Thursday, 1 August 2013

Temuduga lagi

Alhamdulillah, panggilan temuduga satu kejayaan. Sebahagian perjalanan bermula. Sama ada terhenti di situ, atau travelog kehidupan berubah catatan, keputusannya mendebarkan. Dengan langkah seribu harapan, saya mengorak langkah. Temuduga yang kesekelian kalinya. Pelbagai siri temuduga, pelbagai persoalan berbeza diutarakan. 

Kenangan yang tidak dilupa, saya tidak dapat menjawab soalan mudah. Kanak-kanak seusia TADIKA pun mampu memberi jawapan segera. Ketika ditemuduga untuk jawatan di bawah SPA, Proffesor berambut ikal yang terkenal dengan kajian tengkorak bertanya dengan nada bersahaja, "Apakah nama bendera Malaysia?". Saya menggerutu di dalam hati. "Kalau sudah namanya bendera Malaysia, kenapa ditanya lagi". 

Ligat kepala saya berputar mencari jawapan sesuai. Akhirnya, dengan cukup hormat dan berhemah kononnya, "Maaf, ..." saya memberikan jawapan. Ayat seterusnya diatur rapi. Tapi, segalanya sudah hilang dalam ingatan saya. Hilang terus keyakinan. Panik. Begitulah mudahnya saya kehilangan markah. Calon berpuluh-puluh orang, saya menjangkakan hanya layak mendapat tempat tercorot. 1-2 markah sudah cukup memberikan kedudukan dan gred berbeza persis di dalam peperiksaan.

Begitu juga ketika menghadiri temuduga untuk jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah untuk Sekolah-sekolah Menengah Agama Terengganu. Ada kenangan yang mencuit perasaan. Ketika itu saya sedang berbadan dua, mengandungkan anak sulong. Panel penemuduga bertanya status berumahtangga. Senang memberi jawapan, sudah berkahwin. 

Bila soalan lanjutan diajukan, "Sudahkah mempunyai anak?" Spontan pula saya menjawab mudah, "Dalam proses.." Responnya pula; "Inilah masalah orang perempuan, mengandung, kemudian bersalin, ambil cuti." Berani pula saya menjawab, "Itu cuma masalah jangka pendek." Saya tidak menaruh harapan tinggi. Kandungan yang cuma menunggu beberapa bulan sahaja lagi pastinya menjadi alasan dan halangan untuk menagih jawatan.  Jauh di sudut hati kecil, masih tetap mengharap pada Yang Memberi.

Ketika menghadiri temuduga di KYT, sekali lagi juga, saya berbadan dua. Mengandungkan anak ke 3. Saya sangat menaruh harapan tinggi untuk mengubah keadaan diri. Perut yang sedikit menonjol, cuba disembunyikan. Seusai 'microteaching', panel penemuduga bertanya, "Awak mengandung ke?" Di dalam hati berbisik syahdu, "Mungkinkah peluangku terhenti di sini." Dengan tersenyum, sekilas saya memberi jawapan "Ya, 5 bulan." Lebih pula jawapan diberi. Ahli panel saling berpandangan...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...