About Me

My photo

Ibu kepada 4 putera dan 2 puteri, cahayamata bersama-sama Ustaz Norawi Endut. Kini kami menetap di Besut. Pernah bertugas sebagai Pensyarah UiTM Kuala Terengganu manakala suami pernah bertugas di Putrajaya. Sekian lama tinggal berjauhan, saya nekad meninggalkan halaman di Kuala Terengganu untuk mengikut suami yang bertukar ke sini. Dunia baru sebagai suri rumah sepenuh masa di sebuah daerah baru...
Blog  :  http://nolizawatimohdsaad.blogspot.com/ 
Emel :  nolizawatimohdsaad@gmail.com,
FB     :  https://www.facebook.com/notie.saad           
https://www.facebook.com/nolizawati.mohdsaad

Google+ Followers

Thursday, 29 August 2013

Dari Besut ke Dungun

Setiap minggu kami berkelana bersama. Bermula dari Besut, kami transit di Kuala Terengganu. Perjalanan diteruskan hingga ke Dungun. 
 

Negeri Terengganu, negeri pesisir pantai. Bermula dengan Pantai Bukit Keluang, kami kemudiannya melepasi Pantai Merang. Seterusnya Pantai Batu Buruk, Pantai Kelulut dan Teluk Lipat sebelum sampai ke Pantai Dungun. 



Tidak kurang juga gugusan pulau-pulau. Pulau Redang dan Pulau Kapas menambahkan keindahan. Cantiknya bumi Tuhan. 



Perjalanan memakan masa berjam-jam menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga. Samada siang atau pun malam, hanya sedikit berbeza. Begitulah kehidupan ini. 



Alah bisa, tegal biasa. Anak-anak lena di dalam perjalanan. 



Alhamdulillah, masjid tersergam di sepanjang perjalanan. Hentian wajib bagi kami semua.

Roda kehidupan terus berputar. Lebuhraya terbentang luas di hadapan...

Wednesday, 28 August 2013

Antara 2 Kuala

Antara 2 Kuala tidaklah sangat jauh bezanya. Kuala Terengganu dan Kuala Besut masih terletak di dalam negeri yang sama. Negeri Cantik Budaya Menarik. Orangnya baik-baik, InsyaAllah...


Kehidupan saya dan kami sekeluarga yang berbeza. 5 tempat di dalam daerah Kuala Terengganu, lebih 10 tahun yang lalu, saya hidup sebagai ibu kerjaya. Keluar pagi, balik petang. Kadang-kadang sampai ke malam. Ada juga balik petang, malam pula terpaksa keluar lagi atas urusan kerja. Alhamdulillah, anak-anak memahami dan ramai pula yang sudi membantu. Terima kasih semua.

Di Besut ini, saya keluar masuk rumah 5-6 kali sehari. Keluar masuk kereta bersama anak-anak di sisi. Bukan lagi sebagai wanita kerjaya. Itu yang berbeza. Cara hidup yang berbeza dengan rutin yang berbeza. Siang dan malam, kehidupan bersama anak-anak. Seronoknya di bumi Besut, sama juga dengan seronoknya hidup di bumi Kuala Terengganu. Keseronokkan yang berbeza-beza. 

Kalau dulu, menjadi rutin anak-anak masuk kereta keluar kereta. Di sini pun begitu. Namun destinasinya adalah berbeza. Kalau dulu berpagi-pagi ke sekolah. Di sini pun begitu. Itu pasti. Tapi dulu, waktu petangnya perlu ke Taska/Tabilas (Tadika Lepas Sekolah) pula. Balik ke rumah hanya selepas habis waktu kerja saya. Terkadang lewatnya hingga ke malam. Terpaksa pula meminta jasa baik saudara mara datang menjemput anak-anak untuk di bawa ke rumah datuk dan nenek. Menumpang seketika sehingga ibu pulang bekerja. 

Kini anak-anak seronok mengikut sahaja ke mana saya menghalakan kereta. Tidak mahu ditinggalkan di rumah, tidak kisah di bawa ke mana-mana sekali pun. Selepas balik sekolah, sesekali menjengah sebentar ke pasaraya atau ke mana-mana kedai kecil berhampiran rumah. Malam pula beramai-ramai mengikut ayah ke masjid. Mengaji dan mengulangkaji bersama-sama.  Selesaikan segalanya ketika masih di masjid. Balik ke rumah untuk rehat dan menyambung agenda menanti siang berulang lagi.

Di waktu senggang pula, menjenguk sebentar ke PPAT (Perpustakaan Awam Terengganu). Rezeki di sini, PPAT amat dekat dengan rumah, sangat berbeza ketika di Kuala Terengganu. 
 Seronoknya anak-anak berada di dalam dunia buku. Sama seronok seperti berada di dalam dunia membeli-belah. Syurga ilmu menjadi seperti syurga coklat dan ais krim. Tamak dan ketagih. Semoga ada manfaatnya buat diri dan semua...

Tuesday, 27 August 2013

Di sini doaku termakbul

Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar. Sangat-sangat Mendengar. Walau lambat, hikmahnya tetap ada. 

Doa pada tahun 2008  dimakbulkan Allah pada tahun 2011. Dari Chendering, K. Trg ke Bkt Keluang, Besut. Perjalanan masa yang panjang. Kuasa Allah mengatasi segala. Saya sempat di beri ruang oleh Allah untuk berjumpa dengan pasangan Prof Kamil dan Puan Roza di saat akhir sebelum mereka berhijrah ke Madinah. Peluang mereka pulang menjenguk ke Besut sebelum jauh merantau ke bumi Anbiya menjadi rahmat buat kami. 

1 program ilmiah di bulan Ramadhan yang mulia menemukan ratusan khalayak pendengar dari seluruh daerah Besut. Kuatnya aura mereka berdua. Sehinggakan ada peserta yang sanggup turun jauh dari Kelantan dan Kuala Terengganu semata-mata untuk slot yang hanya 2 jam sahaja. 1 jam pertama milik Puan Roza dan 1 jam seterusnya khas buat Prof Kamil. Mereka bergandingan menjalankan misi ibadah dakwah. Betapa terasa keberkatannya. 

Soalan yang saya ajukan kepada Puan Roza, sengaja ditinggalkan kepada Prof Kamil untuk dijawab. Kasih sayang ditunjukkan melalui ilmu yang dikongsi. Perkongsian ilmu yang sangat menarik dari perspektif seorang isteri dan wanita. 


Kisah Mariyam, Hajar, Asiah dan bermacam dicedok dari Al-Quran untuk renungan bersama. Terima kasih Puan Roza. Saya sendiri sanggup mengelek bayi yang belum sampai 2 bulan untuk turun sama-sama ke dewan ceramah.

Semoga kami sekeluarga juga sempat berkunjung ke Madinah. Berjumpa pula di sana.  Tidak sabar rasanya untuk menjadi Tetamu Allah. Rupanya di sana ada duta yang sungguh baikhati. Sudi melayan lebih ratusan insan pelbagai latar belakang.


Mereka yang telah diberi izin oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya. Semoga syurga yang indah disediakan untuk mereka dan kita juga.

Jika di bumi Besut ini, saya berangan seolah-olah melihat hijaunya di bumi Kundasang. Itu adalah berangan mat jenin. Bukit Keluang tidak akan betukar menjadi Gunung Kinabalu. Panas di sini sangat jauh berbeza dengan hembusan bayu sejuk Bumi Di Bawah Bayu. 

Apatah lagi kalau saya berangan kononnya berada di bumi berkat, tempat suci lagi barakah. Panasnya bumi Mekah dan Madinah dalam Rahmat Illahi. Suhunya tinggi diluar, menyejukkan hati di dalam. Tiada di tempat lain. Hanya di sana. Apa yang mampu, hanyalah doa dan terus berdoa. 

Semoga di kesempatan masa dan ruang baki sisa-sisa hidup kita yang masih ada sedikit ini, masih sempat untuk dijemput Allah menjadi tetamuNya. TetamuNya di Haramain, berdepan dengan Kaabah dan menjenguk Masjid dan Makam Nabi Muhammad saw. Sebelum kita dijemput ke alam kubur, berdepan dengan kematian yang pasti...

Monday, 26 August 2013

Ilmu juga di mana-mana

Alhamdulillah sepanjang 14 tahun berkelana di muka bumi ini sebagai hidup orang berkeluarga, ruang untuk menambah ilmu sentiasa ada. Cuma mahu atau tidak sahaja. Kadang-kadang ruang masa yang terhad tidak mengizinkan. 

Semasa di rumah sendiri di Taman KPAT, selalu juga Dah dan Kak Ina, jiran yang paling rapat mengajak ke kelas agama di balairaya berhampiran taman. Namun, kelas berlangsung ketika saya di tempat kerja. Mustahil untuk saya pergi kecuali  jika kebetulan cuti umum jatuh pada hari tersebut. Bila cuti, kita pula yang sibuk mengatur agenda ke situ ke sini. 

Di Besut ini, ruang untuk menyertai kuliah, ceramah dan sebagainya terbentang luas. Sebagai tempat orang berkursus, pelbagai pengisian rohani ada di sini. Peserta kursus datang dan pergi. 1 gerombolan demi 1 gerombolan yang lain. Mereka mencedok pelabagai bidang ilmu. Bersesuaian dengan tempat ini telah diwartakan sebagai 1MTC


Kenangan yang amat menarik dalam hidup saya di sini bila dapat berjumpa secara berdepan dengan Puan Roza, isteri kepada Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Pasangan penulis buku dan juga pendakwah yang sangat saya segani. Sebenarnya, Prof Kamil pernah diundang ke UiTM Kuala Terengganu, Chendering ketika saya masih bertugas di sana. Kesempatan yang terhad, saya cuma sempat berkirim salam kepada isteri beliau walaupun saya belum dan tidak pernah mengenali seorang individu hebat bernama Puan Raudzah Roslan. 

Spontan respon Prof agar saya membuka blog 'Roza' pada pautan blog beliau. Sejak pada masa itu, saya mula mengenali Puan Roza hanya pada tulisan-tulisan beliau. Saya menyimpan impian untuk berjumpa beliau sebagai 'pengubat' kerana tidak dapat membeli buku yang di bawa Prof. Kedua-dua buku Travelog Dakwah dan  Travelog Haji habis terjual. Laris,  berebut-rebut mengalahkan pisang panas.  Tidak dapat buku, bermakna tidak dapat autograf pada hari itu. 

Saya memujuk hati. Tidak mengapa tidak mendapat autograf Prof. Saya memasang azam dan impian, berdoa dan juga mengharap. Suatu hari nanti, saya ingin berjumpa, bersalam dan mencium tangan wanita hebat yang tidak jemu-jemu memanjatkan doa hingga membawa kepada perubahan kehidupan yang sangat-sangat bermakna. 


Akhirnya di bumi Besut ini Allah memakbulkan doa saya.

Sunday, 25 August 2013

Ibadah di mana sahaja

Di mana kita berpijak, bekerja atau tidak. Ada tugas untuk kita. Tugas untuk diri sendiri dan tugas untuk ummah. Jika kita membiarkan apa sahaja yang berlaku, kesannya juga kita yang dapat. Tugas berat terlaksana di atas setiap bahu daripada kita. Ruang dan medan untuk untuk beribadat dan berkhidmat terbuka luas. Dengan senyuman ikhlas boleh melegakan kesakitan apatah lagi jika tangan dihulur kepada yang mengharap. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. 

Sepotong hadis telah dinukilkan : 

“Perumpamaan orang-orang yang berpegang kepada kebenaran dan orang-orang yang melakukan kesalahan adalah seumpama penumpang-penumpang di atas sebuah kapal yang besar. Sebahagian penumpang berada di atas kapal dan sebahagian berada di dalam perut kapal. Sekiranya orang-orang yang berada di bawah ingin mengambil air dan mereka malas untuk mengambilnya daripada bahagian atas kapal sebaliknya mereka menebuk dinding kapal dan mendapatkan air terus daripada lautan. Sekiranya orang yang berada di atas hanya melihat sahaja (tindakan menebuk dinding kapal), maka lambat laun seluruh kapal tersebut akan tenggelam, tetapi sekiranya mereka menegur dan mencegah perbuatan tersebut maka semua penumpang kapal tersebut selamat (kapal tidak karam)”

Riwayat Al-Bukhari

Semoga bermanfaat buat kita semua... 
Tanpa melupakan ibadah walau di mana sahaja...



Saturday, 24 August 2013

Banyak berjalan luas pengalaman

Banyak berjalan, berpindah-pindah itulah pengalaman. Pengalaman kami di tempat yang berbeza-beza meluaskan pandangan. Bukit Payong tidak sama dengan Bukit Keluang. Batu Buruk tidak sama dengan Batu Rakit. Manir juga berbeza. Begitu juga Telaga Mengkudu di Padang Midin. 

Pendek kata walau di mana kita, di bukit atau di padang, di batu atau di mana sahaja, pasti ada sedikit perbezaan. Yang pasti kesemua tempat yang saya sebutkan masih lagi di dalam Negeri Terengganu. Di luar negeri Terengganu lain pula ceritanya. Apatah lagi di luar negara Malaysia. 

Beruntunglah mereka yang berpeluang melepasi ke angkasa, di luar planet bumi. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja dapat merasai perjalanannya. Rugi jika pengalaman mereka tidak dibukukan dan dikongsi bersama. Rugi lagi jika kita tidak mengambil tahu dan tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku di sekeliling. 


Kalau tidak banyak sekali pun, pasti ada sedikit ilmu yang boleh dikutip untuk manfaat diri dan orang lain.

      

Friday, 23 August 2013

Kita terus berkelana

Berjalan dan terus berjalan. Walau pun kita rehat seketika, rehatnya itu hanya pada jasad fizikal. Masa kita semakin singkat. Perjalanan tetap diteruskan. Moga jalan-jalan yang lurus di hadapan mejadi pilihan.


Kami, saudara dan mereka sedang berada di bumi masing-masing. Di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung. Bumi berbeza, langit tetap sama. Masing-masing punya kisah dan cerita. Moga ada kisah yang bermanfaat untuk sama-sama kita kongsi bersama anak-anak dan generasi masa depan.

Thursday, 22 August 2013

Berkereta sana sini

Nikmatnya alam ini. Kita masih bebas berkereta sana sini. Bagi yang kaya raya, boleh sahaja terbang ke sana ke mari. Bagi yang susah, hanya melihat, bersabar dan menanti saatnya tiba. Tidak di dunia, insyaAllah di akhirat. 

Sepasang kaki anugerah Allah cukup berharga dan bermakna untuk tidak ditukar galang gantinya dengan sepasang tayar apa sahaja kenderaan. Miskin atau kaya, kenderaan ke alam barzakh adalah sama. Hanya keranda menanti. Destinasi yang sama, laluan berbeza.     

Rezeki Allah sama dinikmati. Seluruh anggota badan kita juruskan untuk amal kebaikan. Tolong-menolong menjadi amalan. Allah jadikan kita pelbagai rupa dan bangsa dengan tujuan.
 
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan Maha Mengetahui perkara-perkara yang berkait dengan kamu.” 
Semoga kita menjadi hambaNya yang beriman... 

Wednesday, 21 August 2013

Kita juga tetamu

Kita juga tetamu. Tetamu kepada tuan rumah. Tetamu juga kepada alam ini. Kita singgah sebentar di bumi. Melengkapkan perjalanan hidup insan. Dari rahim bonda, kita berkelana di alam fana yang luas. Berjumpa, berkawan dan berpisah menjadi adat dunia. 

Perjalanan kita masih jauh. Ada yang mendahului, ada yang dilewatkan. Alam kubur menanti, alam akhirat menunggu. Syurga atau neraka hanya 2 destinasi. Walau di mana kita dihentikan sementara di bumi ini, moga kita digolongkan ke dalam hamba-hamba yang dipilih Allah untuk menjadi orang-orang yang diberi petunjuk. Sepakat kita berdoa. Untuk diri kita dan seluruh umat Islam. Begitu juga buat sahabat-sahabat kita yang belum kembali kepada fitrah. 

Bersyukur kita dilahirkan Islam. Masih ada insan yang berjihad untuk mendapatkannya. Luasnya bumi Allah. Di mana-mana ada Rahmatnya. Sama-sama kita terus berdoa dan mengharap Hanya PadaNya... 

        

Tuesday, 20 August 2013

Tetamu berbeza-beza.

Rumah berbeza, tetamu berbeza-beza. Hanya di kalangan saudara, adik-beradik dan rakan terdekat menjadi tetamu tetap walau di mana kami berada. Kak Bie dan Kak Da setia mengunjungi saya di setiap kediaman hingga ke Besut. Malah Kak Da pun sudah bertandang ke rumah ibu saya di Kampung Paya Resak. Kak Bie pula pernah berkunjung ke teratak usang nenek saya di Kampung Kijing. Keakraban terasa sehingga kini. 

Begitu juga sahabat-sahabat saya yang lain. Najdah dan Kak Ja juga pernah mengunjungi nenek saya yang hidup susah. Nenek tinggal bersama ibu dan bapa saudara. Mereka bukan orang kaya, tetapi rumah mereka sentiasa dikunjungi tetamu. Keberkatan terasa. Ibarat nukilan sebuah hadis

إن الضيف إذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة
Sesungguhnya tetamu itu apabila masuk ke rumah seseorang mukmin maka, ia masuk bersama dengan seribu berkat dan seribu rahmat.

Semoga rumah kami dan rumah kita semua adalah rumah yang berkat dan sentiasa dikunjungi tetamu walau di mana sahaja berada.

Monday, 19 August 2013

Cuti oh cuti

Waktu cuti adalah waktu yang paling seronok. Ketika suami di Kemaman, bila berpeluang mengambil cuti, kami sekeluarga akan ke sana termasuk pembantu rumah, Laila. Bermula dengan tinggal di Kuarters Kerajaan di Kg Mak Chili, suami bertukar ke rumah sewa yang tidak berapa jauh dari situ. Lebih selesa dengan rumah yang lebih kecil. Kuartes Kemaman dan kediaman kami di Batu Buruk adalah sama 100% dari segi reka bentuk. Rumahnya sangat besar, 4 bilik terasa sedikit janggal dan sunyi untuk dihuni seorang diri.

Saya teringat kenangan di Batu buruk. Lela, pembantu rumah pertama memohon cuti setelah setahun bekerja. Rindukan kampung halaman menjadi alasan. Atas ihsan sesama manusia, kami sepakat izinkan. Urusan diselesaikan. Tiket bas disediakan ke Pulau Pinang untuknya menaiki feri dari sana. Itu ketetapan syarikat. Sedikit masalah berlaku bila pasport kedatangannya ke Malaysia belum dicopkan oleh majikan baru. 

Dari Pulau Pinang, Lela kembali pulang ke rumah. Rahmatnya di situ. Hikmahnya menyelamatkan kami. Kami terlepas pandang untuk mengesahkan kehadirannya bersama kami. Sekiranya sedikit masa lagi terlewat, pasti denda beribu terpaksa kami bayar. Pengalaman pertama menggunakan khidmat orang seberang sebagai pembantu rumah mengajar kami lebih peka dan berhati-hati dengan sistem yang diamalkan. 

Alhamdulillah. Kami selesaikan urusan imigresen dengan segera. Pegawai bertugas siap berpesan jangan percaya dengan cutinya orang Medan. Pengalamannya di imigresen, mereka tidak akan kembali. Saya tetap percayakan Lela. Setelah segalanya selesai, sekali lagi tiket bas dibeli. Lela di hantar ke stesen bas. 

Lambaian terakhir dari kami sehingga ke hari ini. Laila pulang sepulangnya. Cuti seumur hidup. Kontrak 2 tahun, hanya diguna untuk 1 tahun. Kami rugi dunia. Pengajaran dan ilmunya tidak merugikan. Semoga Laila bahagia di sana. Laila tetap menabur budi, berjasa dalam kerjaya... 

Sunday, 18 August 2013

Lama di sana


Sememangnya masa yang agak lama, saya tinggal diam. Diam di tempat yang sama. Di rumah sendiri. Hanya suami yang berpindah seorang diri. Menyewa di Kemaman dan Putrajaya. 

Kini lebih 3 tahun kami meninggalkan halaman sendiri, merantau ke bumi Besut. 1 tahun di Manir, 3 tahun di Bukit Payong, 6 bulan di Batu Rakit, 11/2 tahun di Batu Buruk dan 5 tahun di rumah sendiri. 

Di Bukit Keluang ini, hidup lagi di rumah miliknya orang. Rumah yang jauh lebih kecil, namun lebih mendamaikan dalam versi yang berbeza. 5 rumah sebelum ini saya diami sebagai ibu kerjaya, kini saya diam di rumah sebagai suri sepenuh masa. Jauh bezanya. Saya menjadi penghuni dan pengurus sendiri. Suami menjadi Ketua Penasihat. 

Dulu saya sangat seronok di rumah sendiri. Walaupun cuma dapat tinggal sekejap-sekejap. Siang keluar bekerja, hari minggu ke kampung pula. Waktu diam rehat di rumah sepenuhnya hanya pada waktu tidur. Walupun masa di rumah pendek, nikmat rumah sendiri tetap dirasa. Ketika di rumah sendiri saya telah dibantu oleh 4 pembantu berselang warga tempatan dan warga seberang. Segala urusan menjadi mudah. Tinggal sahaja memasak menjadi tugas tetap saya.

Alhamdulillah, di sini saya pun seronok. Saya tetap bahagia walaupun bukan lagi di rumah sendiri. Saya bebas mengatur jadual sendiri. Kerja rumah menanti sepenuh masa. Cuti juga bila-bila masa. Zaman bekerja sedikit payah jika perlu bercuti pada masa yang tidak dibenarkan. Sedikit ralat bila berlaku pertembungan. Susah untuk membuat keputusan. Lebih parah, bila keadaan terdesak dan kecemasan. 

Syukur, segalanya telah selamat saya lalui. Menjadi kenangan sampai bila-bila. Adat orang bekerja, ada senang ada susahnya. Begitu juga sebaliknya.  Asal ceria dan berlapang dada...

Saturday, 17 August 2013

Kenangan tetap indah

Riang ria silih berganti. Suka duka berganti-ganti. Walaupun ada kenangan yang agak pahit, namun tetap indah untuk dikenang-kenang kembali. Semasa suami di Kemaman, sayalah yang memandu Honda lama yang berusia lebih 10 tahun ketika itu. 

Berlaku insiden yang mengecutkan perut bila bau hangit kebakaran disangka dari udara luar rupanya bau kereta sendiri. Waktu itu saya dalam perjalanan menuju ke Ummu Aqilah, Tadika dan Taska yang menempatkan Muhammad, Mukminah dan Amin. Bila melihat bacaan suhu berada di tahap maksimum, saya memberhentikan kereta di tepi jalan. Tinggal lagi 1km jaraknya. Puas saya hubungi ayah dan kedua-dua adik lelaki, namun tidak mendapat balasan. 

Ingatan saya berputar kepada seorang rakan yang sama-sama menempatkan anak di Tadika yang sama. Kak Ja, rakan sebilik di KYT segera dihubungi. Ibarat 'superwoman' Kak Ja datang tanpa bertangguh. Tidak sampai setengah jam, segalanya selesai. Anak-anak sudah ke pusat jagaan menaiki proton wira Kak Ja yang sangat berjasa. 

Saya terus di situ, menunggu segala berkaitan kereta selesai. Suami di Kemaman menghubungi rakan yang juga mekanik tetapnya. Ayah dan adik lelaki menghubungi saya bertanya berita. Segalanya selamat, Alhamdulillah. Saya bergerak ke tempat kerja seperti biasa. Ramai sungguh orang yang berjasa dalam hidup ini. 

Buat Kak Ja, kedatanganmu di saat amat-amat memerlukan, menjadi kenangan berjasa buat kami sekeluarga. Kak Ja rakan sebilik di tempat kerja. Aina, puteri keduanya pula menjadi rakan Mukminah di Ummu Aqilah. Mereka sama-sama 4 tahun ketika itu. Kini masing-masing sudah pun berada di Tahun 5. Sungguh lama masa berlalu. Semoga ukhuwah terjalin tetap berpanjangan walaupun tidak berhubung sepanjang masa...  

Friday, 16 August 2013

Banyak kenangan

Banyak sungguh kenangan pahit manis, hampir sebahagian hidup saya dan keluarga terisi di Taman KPAT. Di sinilah saya mengharungi kehidupan dalam berbagai versi. Begitu juga suami. Dari PAD Kemaman, balik ke JHEAT, kemudian ke Putrajaya. Bertukar pula dari MECD ke KKM dan akhirnya ke Besut, bermukim di ILIM. Pelbagai corak dan rentak kehidupan dilalui dalam dunia berbeza-beza. Akhirnya kini, dunia kami sama, 1 rumah 1 bumbung.

Ketika suami di Kemaman, kami bertukar kereta. Kancil dan Honda Accord, WBS 2150 bertukar tangan. Ford Laser BDK 1064 kereta pertama dalam hidup kami telah berpindah milik kepada adik saya, Azmi. Akhirnya cinta kami jatuh pula kepada si putih myvi. Kancil dan myvi pula yang bertukar milik. Si kancil putih kami hadiahkan kepada ayahanda bonda untuk berulang ke masjid, hasil pakatan adik-beradik saya. Menggantikan Nissan Sunny, CV 9016 yang banyak memberi nostalgia kepada zaman kecil kami adik-beradik. Terima kasih Mokteh dan Ayahcik yang turut menyumbang kepada saham akhirat. Tidak lupa juga Ayahngah yang turut berbudi. 

Terima kasih khusus buat Tokki dan Tokma. Kereta sekecil itu tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan kalian membawa kami ke sana sini selama ini. Namun, hati kami sangat gembira melihat Tokki dan Tokma berdua ke sana ke mari bersama-sama. 

Semoga bahagia hingga ke syurga...

Thursday, 15 August 2013

Jiran dan rakan

Jiran dan rakan. Itulah yang boleh saya katakan buat jiran yang baik di kalangan terbaik. Dah atau Cik Dah, gelaran anak-anak buatnya. Umurnya sebaya saya. Lebih menyeronokkan anak pertama dan kedua kami juga sebaya. Syafiq dan Syarah sebaya Muhammad dan Mukminah. 

Anaknya yang bongsu ketika itu, walaupun baru seusia dua tahun sudah mahir berzikir lagaknya seperti orang dewasa, bahkan lebih lagi. Semoga suatu hari nanti menjadi seorang ulamak besar yang bakal mewarnai Islam. Kini Syamil tidak lagi bongsu. Kelahiran sepasang kembar lelaki menambahkan keceriaan. Orang baru ketika mereka telah pun berpindah ke Kedah. 

Suatu yang lucu satu ketika dulu, bila saya sekali lagi bertanyakan nama Syarah kerana terlupa, Dah mengingatkan supaya ingat sahaja Pensyarah, pasti ingat Syarah. Walaupun saya kini bukan lagi Pensyarah, tetapi nama Syarah, rakan sepermainan Mukminah tetap di ingatan, InsyaAllah...    

Wednesday, 14 August 2013

Jiran terbaik

Jiran terbaik. Itu adalah anugerah Allah yang sangat besar buat kami. Alhamdulillah, di mana sahaja kami tinggal, semua jiran adalah baik-baik belaka. Di Taman KPAT, rumahnya tidaklah banyak. Kami mengenali semua ahli antara satu sama lain. 
 
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .
(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).(Sumber).

Syukur, kami merasa nikmat kebahagiaan itu. Di mana-mana ada jiran. Jiran pula baik. Nikmat berganda. 

Cuma di Besut ini, kami tiada jiran jika diukur dari rumah kediaman. Kediaman Pengarah di sebelah tinggal kosong. Namun, dari segi insan di sekelililing, jiran sentiasa ada siang dan malam. Barisan Pengawal yang tidak jemu bertugas 24 jam menjadi jiran dan teman di kediaman kami. Rahmat Yang Esa... 

Tuesday, 13 August 2013

Bertahun di situ


Ketika si bongsu menginjak 1 1/2 tahun kami mula mendiami rumah sendiri. Setelah usianya 4 tahun, kehadiran adik baru pula menambah seri.  Anak ke 4 seorang puteri. 

Sepasang putera dan sepasang puteri menambahkan makna hidup kami. Auliya membesar dengan bibik ke 3 dan terakhir dalam kisah hidup anak-anak kami. Ketika usia Auliya 3 tahun, kami berpindah ke Besut. Buat sementara, perjalanan hidup kami terhenti di sini. Ke mana arahnya selepas ini hanya Allah Yang Mengetahui. 

Keseronokkan mendiami bumi Besut ini tidak melupakan bait kenangan ketika di Taman KPAT. Saat indah semasa mendiami rumah sendiri.  Jiran-jiran  yang baik hati serta rakan-rakan anak-anak tetap melekap di hati. Walau hanya setahun sekali kami bertandang menjenguk ketika Aidilfitri, hubungan kami  tetap erat.   

Jiran sebelah rumah, jiran terhampir jarak dan silaturrahim, juga sama seperti kami telah berhijrah nun jauh di utara tanahair. Kami menyusul meninggalkan  kediaman tidak lama selepas mereka berpindah. Rumah mereka dan rumah kami sama-sama disewakan. Bilakah masa kami berjiran kembali, hanya waktu yang dinanti.  Terima kasih Cik Dah sekeluarga kerana pernah menjadi jiran yang menggembirakan kami. 

Monday, 12 August 2013

Kenangan terindah


Hidup di rumah sendiri. Setelah sekian lama hidup berpindah randah, dari satu  kampung ke satu kampung, akhirnya perjalanan terhenti seketika. Segalanya bermula di sini. 

Merasa nikmat rumah sendiri. Diri mula disibukkan dengan impian megindahkan kediaman. Selang waktu senggang diisi dengan menuju ke tapak semaian tanaman. Pokok-pokok bunga mawar pelbagai warna menjadi kegilaan. Fokus hanya pada pokok berbunga yang cantik dan wangi. Terasa seperti mendapat sokongan moral bila suami juga mula berjinak-jinak dengan dunia bonsainya.  Masing-masing baru berpeluang bercucuk tanam di laman sendiri.  Pembantu rumah juga turut sepakat membantu. Keindahan terasa. Seronoknya  hidup ini. 

Siraman air hujan dari langit menambahkan keindahan. Bunga-bunga mekar mengembang. Bunga cina cantik di mata, bunga melur tidak kurang juga. Bunga kenanga tidak terpinggir. Taman-taman indah dunia mula tercipta. Tidak sabar menanti waktu pulang dari kerja untuk melihat putik bunga mula mengembang menampakkan warna. 

Boleh dikatakan setiap petang kami di luar rumah.  Kalau tidak dengan suami yang kebetulan pulang bertugas di Kuala Terengganu, saya ditemani dengan pembantu dan anak-anak. Seusai minum-minum petang, masing-masing mula bergegas memegang cangkul di tangan. Anak-anak yang masih kecil pun sibuk membantu, menyangkul itu ini dengan alat-alat kecilnya. Kadang-kadang kami menjamu selera di taman rumah. Indahnya hidup bersama. 

Kini semua hanya tinggal kenangan. Pokok-pokok bunga beserta pasu-pasu yang menambun kami agih-agihkan kepada saudara dan jiran. 

Ihsan : Terima Kasih Kak Ina-KPAT
Bonsai selori diangkut ke Besut. Yang tinggal pun sudah tidak seberapa. Namun, keseronokkan menghias laman sendiri masih terasa. Indahnya hidup ini, syukur pada Yang Memberi…

Sunday, 11 August 2013

Ramai yang membantu

Jika diimbau kembali kisah perjalanan hidup ini, setiap yang berlaku datang beserta pakej. Ada susah ada senangnya. Ibarat setiap racun ada penawarnya. Begitu juga setiap penyakit ada ubatnya.  

Alhamdulillah, sepanjang saya tinggal di Batu Buruk, sebarang kerosakan di dalam rumah bukan menjadi masalah yang menyukarkan. Buat sahaja laporan dan tunggu sehingga kerja-kerja pembaikian dijalankan. Tiada kos dan tiada masa yang perlu diperuntukkan untuk mencari sendiri mereka yang pakar. Lainlah kalau kereta yang rosak, pandai-pandailah bertanya pada yang lebih arif.  

Setelah lebih kurang setahun tinggal di Batu Buruk, saya berpindah lagi. Bukan kerana saya berpindah tempat kerja. Bukan juga suami yang bertukar. Suami masih kekal di Kemaman, saya masih di KYT. Rumah yang dibeli telah siap sepenuhnya. Destinasi kami yang seterusnya ke Taman KPAT (Koperasi Pegawai Agama Terengganu). Kali pertama masuk ke rumah sendiri, syukur terasa.  

Berpindah dari rumah besar ke rumah yang jauh lebih kecil. Sekecil-kecil rumah sendiri lebih terasa nikmatnya berbanding besarnya rumah tapi milik orang. Rumah ke 5, rumah sendiri dengan harapan perpindahan terakhir. Bibik pun sudah bertukar. Bibik ke 2, masih lagi orang seberang. Pembantu rumah yang banyak membantu segala urusan pembungkusan barang-barang

Kalau dulu, semuanya saya terpaksa buat sendiri. Kali itu, sudah ada yang membantu. Seribu rahmat. Sekali lagi, bibik baru, rumah pun baru. Moga anak-anak terus gembira. Jiran baru, rakan baru. Jiran yang banyak membantu. Bukan sahaja sebagai rakan setaman, tapi seperti saudara juga. Nasihat dan buah tangan sentiasa berhulur. Salam bersapa berbalas senyum. Indahnya hidup ini...

Saturday, 10 August 2013

Rakan susah dan senang

Berkasih biar satu. Berkawan biar seribu. 

Setelah hampir setengah tahun saya tinggal di Batu Buruk dan berkhidmat di KYT, akhirnya buat pertama kali suami mendapat surat pertukaran. Daerah Kemaman menjadi destinasi. Bermulalah cinta jarak jauh antara kami. Saya ditinggalkan dengan seorang bibik dan 3 orang anak-anak yang sedang membesar.  

Ketika suami jauh di sisi, rakan-rakanlah yang banyak menghulurkan tangan, menjadi mata dan telinga, membantu apa yang perlu. Saya mula belajar erti sebuah kehidupan. Berada bersama rakan-rakan yang memahami dan berpengalaman, soal berkaitan anak-anak banyak dirujuk kepada mereka. Persekolahan dan pengajaran anak-anak di rumah perlu diambil kira. Mereka perlukan masa depan yang cerah, bukan hanya terperap di rumah bersama  pembantu rumah.

Kepada rakan-rakan saya bertanya sekolah tadika yang bersesuaian. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menempatkan Muhammad di Tadika Yayasan Islam. Seronok sekali anak kecil yang baru belajar bersosial. Naik van bersama kawan-kawan baru dan belajar di sekolah baru. Sekolah pertama buatnya. Sesekali saya membuat kejutan menjemputnya sendiri bila ada ruang dan kelapangan. Senyum sampai ke telinga si anak teruna. Sungguh gembira nampaknya dia. Ibu bekerja tiada halangan. Adik di rumah turut bahagia bersama bibik tersayang...
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...