Monday 26 August 2013

Ilmu juga di mana-mana

Alhamdulillah sepanjang 14 tahun berkelana di muka bumi ini sebagai hidup orang berkeluarga, ruang untuk menambah ilmu sentiasa ada. Cuma mahu atau tidak sahaja. Kadang-kadang ruang masa yang terhad tidak mengizinkan. 

Semasa di rumah sendiri di Taman KPAT, selalu juga Dah dan Kak Ina, jiran yang paling rapat mengajak ke kelas agama di balairaya berhampiran taman. Namun, kelas berlangsung ketika saya di tempat kerja. Mustahil untuk saya pergi kecuali  jika kebetulan cuti umum jatuh pada hari tersebut. Bila cuti, kita pula yang sibuk mengatur agenda ke situ ke sini. 

Di Besut ini, ruang untuk menyertai kuliah, ceramah dan sebagainya terbentang luas. Sebagai tempat orang berkursus, pelbagai pengisian rohani ada di sini. Peserta kursus datang dan pergi. 1 gerombolan demi 1 gerombolan yang lain. Mereka mencedok pelabagai bidang ilmu. Bersesuaian dengan tempat ini telah diwartakan sebagai 1MTC


Kenangan yang amat menarik dalam hidup saya di sini bila dapat berjumpa secara berdepan dengan Puan Roza, isteri kepada Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Pasangan penulis buku dan juga pendakwah yang sangat saya segani. Sebenarnya, Prof Kamil pernah diundang ke UiTM Kuala Terengganu, Chendering ketika saya masih bertugas di sana. Kesempatan yang terhad, saya cuma sempat berkirim salam kepada isteri beliau walaupun saya belum dan tidak pernah mengenali seorang individu hebat bernama Puan Raudzah Roslan. 

Spontan respon Prof agar saya membuka blog 'Roza' pada pautan blog beliau. Sejak pada masa itu, saya mula mengenali Puan Roza hanya pada tulisan-tulisan beliau. Saya menyimpan impian untuk berjumpa beliau sebagai 'pengubat' kerana tidak dapat membeli buku yang di bawa Prof. Kedua-dua buku Travelog Dakwah dan  Travelog Haji habis terjual. Laris,  berebut-rebut mengalahkan pisang panas.  Tidak dapat buku, bermakna tidak dapat autograf pada hari itu. 

Saya memujuk hati. Tidak mengapa tidak mendapat autograf Prof. Saya memasang azam dan impian, berdoa dan juga mengharap. Suatu hari nanti, saya ingin berjumpa, bersalam dan mencium tangan wanita hebat yang tidak jemu-jemu memanjatkan doa hingga membawa kepada perubahan kehidupan yang sangat-sangat bermakna. 


Akhirnya di bumi Besut ini Allah memakbulkan doa saya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...