Friday 2 August 2013

Rezeki Anak

Sudah tersurat itulah rezekinya sejak di Luh Mahfuz. Alhamdulillah, walaupun saya hanya wanita, ditambah keadaan berbadan dua, jawatan dipohon tetap menjadi kenyataan. Tiada diskriminasi dalam negara. Tiada pilih kasih di sisi Pencipta. Rezeki hidup di bumi ini. Syukur Alhamdulillah...

13 tahun lalu, semasa mendapat surat tawaran sebagai guru KOSPINT, saya dalam keadaan berpantang melahirkan anak sulong. Ketika itu, saya bercuti tanpa gaji dari jawatan RA yang bersifat kontrak. Sudah semestinya jawatan saya itu bertaraf tiada kerja tiada gaji. Cuti sehari pun diambil kira, dan perlu ditolak gaji bulanan. Kalau sudah cuti bersalin memakan bulan, bermakna tiadalah gaji diberikan. Dengan rahmat Allahu Rabbi, hidup tetap di teruskan. 

Alhamdulillah, berita gembira datang menyusul ketika berpantang. Terasa baru sahaja menghadiri temuduga hampir 2 bulan yang lalu. Surat tawaran jawatan bertarikh 1 minggu selepas bayi dilahirkan. Kuasa Allah, anak dikandung bukan halangan. Bahkan , kami pula yang menumpang rezeki anak. Hadirnya zuriat pertama itu sudah 1 nikmat, apatah lagi jawatan baru pula menyusul. Nikmat berganda-ganda, limpah kurnia Illahi. Rezeki anak atau rezeki ibu, sama disyukuri. Rezeki suami yang sentiasa di sisi, menemani. Rezeki Tokma dan Tokki yang berpangkat baru dengan kehadiran cucu pertama. Apatah lagi kami berkampung di rumah ayah dan ibu saya, ceria seisi rumah. Saya menjadi tahanan pantang.

Dengan semangat waja, ketika berpantang itu juga, saya keluar bersama suami meninjau lokasi. Mencari sedikit maklumat asas, mendapatkan gambaran kolej dan mempersiapkan diri. Tempatnya sangat jauh ke dalam. Sejuk dan nyaman. Sesuai menjadi tempat belajar Sains dan Al-Quran. Melewati jalan-jalan kampung dan juga ladang duku dan getah. Serada, nama tempatnya. 

Hari ke 41 berpantang, saya memulakan tugas sebagai guru. Tangga 3 tingkat saya daki. Ustazah Rukiah (kami mengenalinya sebagai Cik De) yang sedikit berusia berpesan agar berhati-hati. Masih baru katanya. Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku. Demi sebuah jawatan baru, saya cuba gagahi. Kepercayaan yang diberi menuntut komitmen diri. Amanah yang terpikul perlu ditunaikan tanpa alasan. Jangan hanya bersungguh ketika memerlukan, bila sudah dapat dibuat sambil lewa pula. Sekadar melepaskan batuk di tangga. Itu berdosa namanya...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...