Sebuah catatan pengalaman... Hentian Mawaddah. Titian Maghfirah. Destinasi Mardathillah...
Sunday, 18 August 2013
Lama di sana
Sememangnya masa yang agak lama, saya tinggal diam. Diam di tempat yang sama. Di rumah sendiri. Hanya suami yang berpindah seorang diri. Menyewa di Kemaman dan Putrajaya.
Kini lebih 3 tahun kami meninggalkan halaman sendiri, merantau ke bumi Besut. 1 tahun di Manir, 3 tahun di Bukit Payong, 6 bulan di Batu Rakit, 11/2 tahun di Batu Buruk dan 5 tahun di rumah sendiri.
Di Bukit Keluang ini, hidup lagi di rumah miliknya orang. Rumah yang jauh lebih kecil, namun lebih mendamaikan dalam versi yang berbeza. 5 rumah sebelum ini saya diami sebagai ibu kerjaya, kini saya diam di rumah sebagai suri sepenuh masa. Jauh bezanya. Saya menjadi penghuni dan pengurus sendiri. Suami menjadi Ketua Penasihat.
Dulu saya sangat seronok di rumah sendiri. Walaupun cuma dapat tinggal sekejap-sekejap. Siang keluar bekerja, hari minggu ke kampung pula. Waktu diam rehat di rumah sepenuhnya hanya pada waktu tidur. Walupun masa di rumah pendek, nikmat rumah sendiri tetap dirasa. Ketika di rumah sendiri saya telah dibantu oleh 4 pembantu berselang warga tempatan dan warga seberang. Segala urusan menjadi mudah. Tinggal sahaja memasak menjadi tugas tetap saya.
Alhamdulillah, di sini saya pun seronok. Saya tetap bahagia walaupun bukan lagi di rumah sendiri. Saya bebas mengatur jadual sendiri. Kerja rumah menanti sepenuh masa. Cuti juga bila-bila masa. Zaman bekerja sedikit payah jika perlu bercuti pada masa yang tidak dibenarkan. Sedikit ralat bila berlaku pertembungan. Susah untuk membuat keputusan. Lebih parah, bila keadaan terdesak dan kecemasan.
Syukur, segalanya telah selamat saya lalui. Menjadi kenangan sampai bila-bila. Adat orang bekerja, ada senang ada susahnya. Begitu juga sebaliknya. Asal ceria dan berlapang dada...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment