Thursday 8 August 2013

Berkhidmat dan terus berkhidmat

Saya telah berhenti berkhidmat. Rakan-rakan saya masih di sana. Mereka tetap setia. Hanya saya yang berpindah-pindah dari satu tempat kerja ke tempat yang lain. UMT-KOSPINT-Sk Maras-KYT. UiTM Kuala Terengganu menjadi destinasi terakhir saya. Rakan saya tetap di situ. Cuma ada seorang dua yang turut bertukar tempat mengikut adat, ditukar dan bertukar. Tidak kurang juga ada yang telah pulang ke pangkuan Illahi. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Perkhabaran yang sedikit menyentuh perasaan. Rakan yang ditinggalkan telah meninggal. Namun, itulah aturan alam sehingga kita menerima giliran masing-masing. 

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat berkhidmat. Tempat yang paling lama bagi saya meraih rezeki dunia ialah di bumi Chendering. Dari era KYT selama 5 tahun dan diteruskan pula dengan UiTM, hampir 3 tahun. Paling ramai rakan yang dikenali. Bukan sahaja di Chendering sendiri, bahkan UiTM Dungun, UiTM Jengka dan UiTM Shah Alam. Tempat kami selalu berulang alik. Menghadiri kursus dan pembentangan, taklimat dan sebagainya. 

Program Diploma Sains pula menuntut kami berkunjung selalu ke UiTM Jengka untuk berkongsi segala hal berkaitan pengajaran. Sesekali ke Shah Alam, memenuhi jemputan dan kehendak universiti. Bermula Januari 2008, setelah KYT bertukar taraf menjadi UiTM sepenuhnya, semakin kerap pula kami ke UiTM Dungun. Bos baru juga khas didatangkan dari UiTM Dungun. Bukan itu sahaja, warga kerja UiTM Dungun sendiri selalu berkunjung ke mari atas urusan kerja. Ikatan semakin erat. Tidak kurang juga yang mengambil peluang dan diberi peluang bertukar angin antara Dungun dan Kuala Terengganu mengikut kekosongan dan keperluan jawatan. Ada juga yang terus bertukar angin jauh ke Pantai Barat. Shah Alam menjadi lokasi rumah dan pejabat baru. 

Kelahiran baru UiTM Kuala Terengganu memberi 1000 rahmat buat warga KYT. Peluang meningkatkan kerjaya terbentang luas. Kehadiran golongan pensyarah bertaraf Doktor menyuntik semangat baru. Semakin ramai yang melanjutkan pengajian samada atas kehendak peribadi dan kehendak universiti. Perlumbaan menuntut ilmu amat menyeronokkan. Masing-masing sibuk bertanya dan bercerita tentang program Ijazah Sarjana masing-masing. Ada yang terus memacu ke peringkat Ph.D. Bagi yang sudah memiliki 'Master' juga tidak duduk diam menyiapkan kertas kerja, penyelidikan dan pembentangan. 

Kursus-kursus wajib dan pilihan semakin kerap.  Prasana semakin meningkat. Peralatan lama berganti baru. Yang kurang ditambah. Yang sediaada diperelokkan. Ibarat hujan emas mencurah-curah. Rahmat dan rezeki bagi insan terpilih di bumi Chendering. Rezeki penduduk sekitar juga. Bumi Chendering lebih dikenali. Kalau dulu, sebut sahaja UiTM, pasti Dungun yang tergambar di fikiran. Kini tidak lagi. UiTM Dungun dan Kuala Terengganu sama-sama bergandingan meningkatkan kualiti, seiring kehendak negara dan universiti sendiri. 

Rahmat berganda bagi penduduk Chendering bila Istana baru siap dibina dilereng bukit, berjiran dengan kediaman putera dan puteri UiTM. Kompleks perumahan mewah berhampiran meningkatkan imej setempat. KYT danUiTM sama berbudi, di bumi Chendering megah berdiri. Tenggelamnya KYT dan bangkitnya UiTM meneruskan visi mengimarahkan bumi dengan suluhan ilmu yang tidak pernah bertepi. Selamat meneruskan khidmat wahai sahabatku walau di mana bumi dipijak. Semoga rezeki diraih, pahala ditagih, syurga menanti...Aamiin.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...