Monday 12 August 2013

Kenangan terindah


Hidup di rumah sendiri. Setelah sekian lama hidup berpindah randah, dari satu  kampung ke satu kampung, akhirnya perjalanan terhenti seketika. Segalanya bermula di sini. 

Merasa nikmat rumah sendiri. Diri mula disibukkan dengan impian megindahkan kediaman. Selang waktu senggang diisi dengan menuju ke tapak semaian tanaman. Pokok-pokok bunga mawar pelbagai warna menjadi kegilaan. Fokus hanya pada pokok berbunga yang cantik dan wangi. Terasa seperti mendapat sokongan moral bila suami juga mula berjinak-jinak dengan dunia bonsainya.  Masing-masing baru berpeluang bercucuk tanam di laman sendiri.  Pembantu rumah juga turut sepakat membantu. Keindahan terasa. Seronoknya  hidup ini. 

Siraman air hujan dari langit menambahkan keindahan. Bunga-bunga mekar mengembang. Bunga cina cantik di mata, bunga melur tidak kurang juga. Bunga kenanga tidak terpinggir. Taman-taman indah dunia mula tercipta. Tidak sabar menanti waktu pulang dari kerja untuk melihat putik bunga mula mengembang menampakkan warna. 

Boleh dikatakan setiap petang kami di luar rumah.  Kalau tidak dengan suami yang kebetulan pulang bertugas di Kuala Terengganu, saya ditemani dengan pembantu dan anak-anak. Seusai minum-minum petang, masing-masing mula bergegas memegang cangkul di tangan. Anak-anak yang masih kecil pun sibuk membantu, menyangkul itu ini dengan alat-alat kecilnya. Kadang-kadang kami menjamu selera di taman rumah. Indahnya hidup bersama. 

Kini semua hanya tinggal kenangan. Pokok-pokok bunga beserta pasu-pasu yang menambun kami agih-agihkan kepada saudara dan jiran. 

Ihsan : Terima Kasih Kak Ina-KPAT
Bonsai selori diangkut ke Besut. Yang tinggal pun sudah tidak seberapa. Namun, keseronokkan menghias laman sendiri masih terasa. Indahnya hidup ini, syukur pada Yang Memberi…

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...