Friday 9 August 2013

Kenangan tidak dilupa

Terlalu banyak kenangan pahit manis, namun terselit kenangan yang mungkin tidak akan dilupa selagi hayat di kandung badan. Jasa teman-teman yang berbudi di saat memerlukan terpahat dalam memori kehidupan. 

Teman-teman sebilik di unit Sains dan Matematik 1 banyak mempengaruhi hidup saya ke arah yang lebih baik. Banyak kelemahan dan kekurangan yang saya hadapi di peringkat awal penglibatan saya dalam bidang syarahan. Merekalah yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan panduan untuk saya berubah dari masa ke semasa.  

Perbezaan bidang akademik, usia dan status tidak pernah menjadi halangan. Saya cukup seronok menjadi ahli baru bilik S&M1. 3 unit dengan setiap 2 orang ahli menjadikan setiap bilik dihuni oleh 6 orang Pensyarah. Saya berada di tengah-tengah. Puan Fatimah Zainab, rakan satu seunit banyak memberi inspirasi serta kritikan membina ke arah menjadi pensyarah yang berdaya saing. Bukan sahaja Kak Ja, Pensyarah Perniagaan yang menjadi rakan kerja dan berkongsi idea, bahkan kiri dan kanan ada rakan-rakan lain. Di unit sebelah, Kak Bie dan Kak Za juga berbeza bidang pengajian. Ustazah Rubiah, Pensyarah Agama menjadi pakar rujuk saya hingga ke hari ini. Puan Aniza pula kini telah pun bergelar Penolong Pendaftar.  

Bilik kami turut dimeriahkan dengan Puan Adida, juga Pensyarah Biologi dan Puan Ruhana, rakan sebaya merupakan Pensyarah Matematik. Alhamdulillah, rezeki saya berada bersama orang yang masak dalam bidang Biologi. Kak Adida bukan sahaja seorang kakak, bahkan selayaknya sifat keibuannya membuatkan saya telah dipertemukan dengan seorang Pakar Rujuk Biologi serba-serbi. Begitu mendalam ilmu dan pengalaman. Sungguh beruntung rasanya berada di situ. Di tambah pula, Ana seorang yang sangat memahami, alangkah indahnya hidup ini.

Hari berganti hari, musim berganti musim pertukaran jawatan menyebabkan ahli bilik bertukar ganti. Kali terakhir sebelum saya meninggalkan bilik S&M1 setelah hampir 8 tahun, hanya tinggal saya dan Kak Bie di situ. Wan, pensyarah Kimia menjadi teman baru Kak Bie. Puan Najdah, Fakulti Perniagaan menjadi rakan seunit dengan saya. Satu unit, satu kepala, hidup saya tidak kering gusi. Kak Fini dan Kak Sha masing-masing dari Fakulti Undang-undang mengisi unit sebelah. 

Bilik kami tetap meriah. Bilik kami juga turut menjadi bilik sementara bagi Puan Aima yang telah berhijrah ke UMT. Mungkin kini sudah pun bergelar Doktor Aima setelah terbang ke luar negeri mendalami bidang Kimia. Puan Zilda juga orang kimia pernah berkongsi bilik dengan kami. Soli dan Lily masing-masing Pensyarah Statistik dan Biologi juga sebahagian dari keluarga kami. Saat indah masih terasa hingga ke hari ini. Hanya kerana batasan masa, masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sesekali bersua, keindahan masih terasa.  Silaturrahim kekal padu.

Ku bersyukur padaMu Ya Allah, dipertemukan dengan insan-insan baik yang membantu untuk kami menjadi lebih baik, InsyaAllah...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...