Saturday, 17 August 2013

Kenangan tetap indah

Riang ria silih berganti. Suka duka berganti-ganti. Walaupun ada kenangan yang agak pahit, namun tetap indah untuk dikenang-kenang kembali. Semasa suami di Kemaman, sayalah yang memandu Honda lama yang berusia lebih 10 tahun ketika itu. 

Berlaku insiden yang mengecutkan perut bila bau hangit kebakaran disangka dari udara luar rupanya bau kereta sendiri. Waktu itu saya dalam perjalanan menuju ke Ummu Aqilah, Tadika dan Taska yang menempatkan Muhammad, Mukminah dan Amin. Bila melihat bacaan suhu berada di tahap maksimum, saya memberhentikan kereta di tepi jalan. Tinggal lagi 1km jaraknya. Puas saya hubungi ayah dan kedua-dua adik lelaki, namun tidak mendapat balasan. 

Ingatan saya berputar kepada seorang rakan yang sama-sama menempatkan anak di Tadika yang sama. Kak Ja, rakan sebilik di KYT segera dihubungi. Ibarat 'superwoman' Kak Ja datang tanpa bertangguh. Tidak sampai setengah jam, segalanya selesai. Anak-anak sudah ke pusat jagaan menaiki proton wira Kak Ja yang sangat berjasa. 

Saya terus di situ, menunggu segala berkaitan kereta selesai. Suami di Kemaman menghubungi rakan yang juga mekanik tetapnya. Ayah dan adik lelaki menghubungi saya bertanya berita. Segalanya selamat, Alhamdulillah. Saya bergerak ke tempat kerja seperti biasa. Ramai sungguh orang yang berjasa dalam hidup ini. 

Buat Kak Ja, kedatanganmu di saat amat-amat memerlukan, menjadi kenangan berjasa buat kami sekeluarga. Kak Ja rakan sebilik di tempat kerja. Aina, puteri keduanya pula menjadi rakan Mukminah di Ummu Aqilah. Mereka sama-sama 4 tahun ketika itu. Kini masing-masing sudah pun berada di Tahun 5. Sungguh lama masa berlalu. Semoga ukhuwah terjalin tetap berpanjangan walaupun tidak berhubung sepanjang masa...  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...