Saturday, 3 August 2013

Anak dan Jawatan

Pejam celik pejam celik, 3 tahun saya berkhidmat di bumi Serada. Lahir pula anak kedua, puteri pertama. Mukminah hadir ketika saya bertugas di KOSPINT. Berpantang melahirkan Mukminah, cuti lagi sebulan tidak bergaji. Kami masih mampu meneruskan hidup. Nikmat rezeki Allah berbagai rupa dan di mana-mana. 

Sungguh seronok rasanya dengan alam kerjaya sebagai guru. Walaupun guru siswazah, saya hanya diberi status Guru Sandaran Tak Terlatih. Taraf kontrak bukan halangan. Kontrak buat kali kedua. 2 anak, 2 jawatan. Kedua-dua anak cuti bersalin tanpa gaji kerana kedua-dua jawatan adalah kontrak. Segalanya, syukur Alhamdulillah. 

Ada insan lain yang lebih mengharap. Mengharapkan anak, mengharapkan pekerjaan. Bahkan ada yang mengharapkan sebuah perkahwinan. Apa-apa pun,  kuasa Allah Yang Memberi tanpa dipinta, Mengabulkan doa hamba yang mendamba, Menangguhkan permintaan hamba, semuanya terkandung rahmat berhikmah. Syukur perlu diutamakan, terima kasih sesama insan menjadi ukuran.

Saya yang beria-ia memohon tugas dan saya sendiri meninggalkannya. Mencari yang lebih baik. Mengharapkan dapat bertukar taraf kontrak kepada tetap. Saya memohon KPLI. Setelah permohonan pertama gagal, kejayaan ke-2 pastinya amat mengujakan. Semangat membara untuk membuat perubahan, rela bertukar status menjadi penuntut semula secara sepenuh masa. Alam guru ditinggalkan buat sementara. Cikgu Kimia menjadi anak murid kembali. Alam yang lebih seronok walau tergalas beban dan tanggungjawab yang besar. Takdir Allah mengatasi segala. Saya hanya bergelar anak murid dewasa hanya 1 minggu. 

Maktab perguruan yang diharap menjadi titik perubahan 'menghalau' saya secara baik hati. Diminta keluar dan ditawarkan pekerjaan. Milik siapakah perancangan ini. Bukan saya, tidak sekali-kali. Apatah lagi jawatan diberi selayaknya untuk saya perolehi 10 tahun sebelum itu, sebelum ke universiti. Selepas SPM 1992 di SESMA. Ya Allah, rupanya anak ke 3 yang hadir tanpa saya sedari ini menjadi asbab. Dalam diuji, saya memanjat syukur padaMu Illahi. Saya percaya rezeki anak pasti ada. Itu janji Allah. Yakin.

Harapan tetap berbunga untuk menjadi pendidik yang lebih berilmu dan berkelayakan. Jawatan TETAP masih didambakan. Maktab meminta menangguhkan pengajian. Datang lagi setahun kemudian. Saya mengangguk perlahan. Perancangan Al-Malik itulah yang terbaik. Tiada pilihan...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...