Tuesday 6 August 2013

KYT kenangan terindah

Kenangan di KYT yang terindah buat saya. Bermula dengan kelahiran Al-Amin sebagai anak KYT, hidup saya berubah fasa demi fasa. Semasa dalam pantang melahirkan Amin, tempahan kereta baru saya telah diluluskan. Ketika bayi comel baru berusia 1 minggu, Pegawai Bank datang ke rumah. Bukan datang berziarah, tetapi datang membawa misi. 

Misi bervisi untuk mencari penyumbang baru dalam urusniaga bank. Saya menandatangani segala dokumen berkaitan pinjaman sewa beli kereta di ruang tamu rumah ayah ibu. Di dalam hati sedikit terdetik, baik sungguh mereka yang berkhidmat di bank itu. Sungguh berjiwa rakyat. Sesuai sungguh dengan nama bank diberi.

Kancil putih TAF1115 menjadi milik saya untuk berulang alik dari Batu Buruk ke Chendering setiap hari. 
Tidak perlu lagi bersusah mengganggu suami yang ingin ke pejabat di Kompleks Sri Iman. Arah kami berbeza, tujuan kami sama. Mencari rezeki untuk dikongsi bersama.

KYT banyak membawa perubahan dalam hidup saya. Dari seorang cikgu saya bergelar Puan. Hanya Puan. Tiada Doktor. Walaupun, itulah angan-angan ketika di universiti dahulu. Berniat menjadi Pakar Kanak-kanak yang tidak menjadi, saya berubah azam untuk memiliki PhD. Seronoknya jika di panggil Dr. Nolizawati. Niat yang tersasar. Itu hanya khayalan di alam lalu. Namun, semasa di KYT saya menyimpan hasrat itu semula. Menggapai impian di kalbu. 

Kehadiran bos baru bergelar Doktor menyemarakkan semangat. Doktor falsafah menjadi igauan. Menjadi penulis buku, hasrat di simpan. Tingginya impian. Akhirnya, saya jatuh terjelepuk di bawah bangunan. Tenggelam bersama KYT yang terbenam. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...