Thursday 11 July 2013

Ujian luar dan dalam

Kiri kanan, depan dan belakang masih belum cukup bagi saya. Datang pula ujian luar dan dalam. Mungkin juga ujian atas dan bawah. Atau juga ujian dari segenap penjuru. Hanya Allah yang tahu. Yang Mendatangkannya dan Yang Mengambilnya kembali. 

Ujian terhebat di dalam hidup saya bila saya merasakan ajal saya sudah tiba. Jatuh terjelepuk di rumah sepupu ketika bertandang raya, habis segala tenaga. Padahal sebelum itu, saya sibuk melayan adik-beradik yang datang berkunjung ke rumah saya. Kemudian, kami sama-sama pula berkonvoi kereta ke rumah ibu saudara, sebelah rumah sepupu saya itu. Ibu saudara saya yang kebetulan turut berada di situ, mensarankan kepada suami agar segera berubat. Bahangnya terasa pada dirinya juga. Kuat sangat katanya. Apa yang kuat, wallahuallam. Tidak saya tanya sehingga ke hari ini setelah lebih 7 tahun yang lalu.

Dari ruang tamu, saya dipapah ke dalam bilik dan terus terlentang di situ, tidak mampu menarik nafas. Terasa sesak sungguh dada ini. Walaupun saya sedar apa yang berlaku di sekeliling, namun saya tiada kudrat untuk berbuat apa-apa. Saya hanya mampu mengucap dan terus mengucap. Betapa sukarnya melafazkan seolah-olah mahu berpidato di pentas tinggi. 

Di dalam hati berbisik, adakah ajalku di sini, di rumah tinggalan nenek yang telah ditukar milik kepada sepupuku yang baik hati ini. Mungkinkah... Macam mana dengan anak-anak saya nanti. Apakah dosa-dosa saya selama ini terampun. Ya Allah...Tolong... Hati saya semakin lemah, selemah jasad yang terbujur, kaku. Suami di sebelah terus membaca ayat-ayat Al-Quran tanpa henti. 

Tiba-tiba anak kedua saya, Mukminah datang menjenguk. Alangkah peliknya rasa. Satu tenaga datang kembali. Saya seolah-olah keluar dari satu gua yang gelap pekat kepada dunia luas. Hati saya lapang. Seperti tiada apa-apa berlaku. Saya meminta kepada suami agar Mukminah terus berada dekat di sisi saya. Sedikit demi sedikit, saya dapat menghirup air milo panas yang di bawa sepupu ke bilik itu. Kemudian, saya mula beransur-ansur bangkit kembali dan pulang ke rumah menjalankan rutin kehidupan. 

Sebenarnya, penyakit misteri saya bukan bermula dan berakhir di situ. Sejak pertengahan Ramadhan lagi, saya tiba-tiba diserang sakit di dalam bilik kuliah. Memakan masa berbulan-bulan selepas itu, hampir bertahun juga saya bertahan. Alhamdulillah, akhirnya saya dipanjangkan umur lagi sehingga ke hari ini. Sampai bila, hanya Allah yang tahu...

Terasa seperti mati hidup kembali. Sakitnya saya ketika itu, habis beribu. Klinik swasta, unit kecemasan, ujian darah, perubatan moden, perubatan Islam, semuanya saya cuba. Peliknya penyakit saya tidak dapat dikesan oleh beberapa orang doktor yang merawat. Walaupun muka pucat seperti mayat, bibir membiru seperti pesakit jantung, saya disahkan tiada masalah. Segala sistem badan berjalan sempurna. Namun begitu, walau sehingga 8 botol air telah dimasukkan ke dalam badan melalui drip di tangan, tubuh saya tetap lemah. 

Suatu hari, masih lagi di bulan Ramadhan , saya menyerah kalah. Saya katakan kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak sakit, doktor sudah mengesahkannya. Ibu saya membalas tegas, "Tidak sakit apa..," katanya, "Orang tidak sakit tidak begini!". Saya ketika itu ibarat mayat bernyawa. Makan memang tidak lalu. Tidak mampu bersuara. Tidak mampu bernafas. Tidak tahu rasanya mahu diceritakan.  Sijil sakit sudah melebihi had, cuti rehat juga sudah terhad. Saya memaksa suami menghantar saya ke tempat kerja. Alhamdulillah, bermula pada hari kejadian pertama dan hari-hari tertentu yang lain, kebetulan suami saya diminta menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu, makanya dekat untuk dihubungi. 

Seolah-olah cerita di dalam drama hindustan, saya didukung suami dalam dua kejadian berbeza. Dari tempat kerja, saya di bawa ke kereta bagi mendapatkan rawatan. Tiada lagi rasa malu di hati. Para penuntut memandang hairan. Ada juga yang telah mengetahui saya sakit, apabila merekalah yang bersusah payah membantu saya yang terjatuh di dalam bilik kuliah. Tangan saya sejuk membatu. Terima kasih, anak-anak didikku. 

Dalam saya sakit begitu, ramai yang berprasangka saya mengalami tekanan. Aduh, sekiranya saya tertekan, mudahlah bagi saya. Hilangkan tekanan, sihatlah saya. Masalahnya, saya sendiri tidak tahu kenapa. Tiada tekanan, tetapi saya tidak dapat mengelak dari penyakit itu. Jiwa saya stabil, fikiran saya masih waras di bulan puasa begitu. Namun, badan saya tiba-tiba teramat-amat lemah berganda-ganda. 

Walaupun berbuka, tidak puasa berhari-hari, saya tidak mampu memasukkan makanan ke dalam mulut. Kedatangan dua orang rakan ke rumah, Najdah dan Sopiah membantu memasakkan bubur nasi, tidak dapat membantu. Sesuap pun saya tidak lalu. Namun, saya paksakan juga, demi melihat sahabat sejati bersusah payah datang menabur bakti. Saya senyap seorang diri, berjalan mundar mandir di dalam rumah tidak mengapa. Melangkah sahaja keluar pintu, jatuh terjelepuk, belum pun sempat pintu dikunci semula. 

Begitu juga di tempat kerja. Saya diam menumpang di bilik makmal Sains di tingkat bawah, cuba naik ke tingkat atas di bilik Pensyarah, saya tidak mampu. Bila ke tandas saya di papah dengan bantuan kerusi sebagai tongkat oleh Pembantu Makmal, Faizah yang baik hati. Seribu rahmat ketika itu, minggu akhir belajar, kata orang 'study week' sebelum peperiksaan akhir bermula. Tidak perlu lagi menjalankan kuliah dan semua silibus telah ditamatkan.

Oleh kerana kejadian berlaku di bulan Ramadhan, doktor pertama yang merawat hanya meramal saya mengalami gastrik. Disuntiknya saya, diberinya ubat dan menyuruh saya berehat di dalam bilik rawatan beberapa ketika, kemudiannya dibenarkan pulang. Tidak lama selepas pulang, penyakit saya menyerang kembali. Saya rebah semula, tiada tenaga walaupun saya tidak lagi berpuasa. Suami membawa pula saya ke klinik swasta berhampiran rumah. Doktor yang merawat senyum bertanya. Dalam keadaan yang hampir kembali stabil, saya cuba menerangkan situasi yang dihadapi. Sekali lagi, tiba-tiba dada saya berdebar-debar, tangan saya terketar-ketar, rebah kembali. Saya diangkat ke atas katil rawatan. Diperiksa segala, semuanya normal. 

Saya kecewa bercampur syukur. Kecewa kerana tiada penyakit dikesan, syukur kerana saya tiada penyakit. Bukankah pelik begitu. Saya di beri pil tidur dan segala vitamin sebesar jari kelingking. Bertimbun-timbun. Semuanya saya telan, mengenangkan ketakutan andainya sakit datang berulang. Selang beberapa hari penyakit saya berulang, saya dirujuk ke klinik swasta lebih canggih, menyediakan wad untuk pesakit. Doktor menyarankan agar saya menghentikan pengambilan semua ubat-ubatan. "Tidak perlu!", katanya. Bimbang berlaku lebihan dos pada badan terutama pil tidur. Semua itu bahaya untuk kesihatan dalam keadaan saya yang lemah pada masa itu. 

Saya hanya perlu direhatkan. Ujian darah secara komprehensif dijalankan. Drip dijalankan, serta disajikan dengan makanan berzat. Walau pun tekak dan lidah tidak mampu menerima, saya paksakan diri menelan semua itu. Berbayar dan berzat. Sayang jika dibazirkan.  Saya makan paksa di bulan puasa.

Begitulah pelbagai episod dalam hidup saya. Untuk saya sembuh hingga ke saat ini, banyak kisahnya. Tidak mampu diceritakan segala. Ada yang pelik dan tidak tercapai oleh akal manusia normal. Namun, bila saya sendiri yang menghadapinya, saya terpaksa percaya apa yang telah Allah takdirkan untuk saya. Segalanya dalam PerancanganNya dengan PengetahuanNya yang sangat luas. Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan untuk saya hadapi semua itu. Saat-saat getir dalam hidup saya yang dikurniakan status sebagai ibu, isteri, anak, penjawat awam dan segala. Yang pasti saya hanyalah hamba Allah yang sangat lemah. 

Sukar untuk saya percaya sekiranya berlaku kepada orang lain. Yang penting, saya tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain. Terseksa dalam derita. Hingga hari ini, saya sangat fobia dengan apa yang telah berlaku. Di tambah lagi banyak kejadian pelik yang saya alami, sukar untuk saya ceritakan kepada semua orang. Hanya insan mulia yang terhampir, yang melihat dengan mata kepala sendiri, yang mampu percaya. Pun begitu, saya masih tetap hairan dengan apa yang berlaku. Segalanya Allah yang Berkuasa. Alhamdulillah, apa-apa pun yang terjadi, syukur pada yang Esa. Banyak ilmu yang dapat saya kutip sebagai pengajaran buat diri saya yang lemah sebagai hamba yang tidak berdaya. Dunia ini milikNya.  Kita hanya ditumpangkan buat sementara untuk mencari bekal di hari muka. Semoga Allah Rahmati.

Di saat kita diuji, ada yang membantu secara peribadi, memberi nasihat, semangat dan azam. Tidak kurang yang bersangka macam-macam, apatah lagi saya sendiri tidak dapat menjelaskan kepada mereka apakah penyakit saya sebenarnya. Saya sendiri keliru. Hanya Allah yang Tahu. Segalanya tidak sia-sia. Hikmah tersirat berterusan sehingga ke hari ini, Alhamdulillah...     

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...