Sunday 22 October 2017

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung...


Kita sedang berjalan...


Walau di  mana berada, kita sedang berkongsi bumi yang sama.

Tidak perlu berjalan angkuh, kelak bumi yang dipijak ini juga akan berada di atas kita. 




Al-'Isrā':37 -
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.


Luqmān:18 - "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri

Luqmān:19 - "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".



Mendongak ke langit, jangan kita lupa kaki yang masih berpijak di bumi. Langit sememangnya indah. Bumi juga indah. Bumi tempat kita sujud untuk sampaikan luahan ke langit tinggi. Berbisik pada Allah Yang Satu! Allahu Allah. Kita hanya hamba...



Kita dari tanah dan akan kembali menjadi sebahagian juzuk-juzuk tanah. Walau di bumi mana kita disemadikan, alamnya tetap sama. Hanya amalan dan bekalan menyebabkan nasib berbeza-beza.... 

Si cantik bak ratu pun akan tinggal tengkorak. Tiada yang cantik untuk dibeza-bezakan. Sama! Tengkorak tetap tengkorak. Hanya rangka tulang tanpa daging. Tanpa hidung  mancung dan bibir mongel. Tiada  mata dengan alis menggoda...

Akhirnya walau apa rupa ketika di dunia, tiada masalah lagi. Kulit kusam, muka jerawat... Hitam atau putih.  Itu bukan masalah yang perlu dirisau-risau. 

Masalah besar andai solatnya dulu bagaimana, auratnya untuk siapa dibuka. Ilmu dan bakatnya untuk apa diguna... Cantikkah amalan hidup ketika di dunia...

Jalan sudah sehala. Tidak lagi kembali ke dunia nyata. 



Mati yang terakhir! Hidup baru sedang menunggu. Kekal selamanya... Gerun!

Kita pernah mati. Mati bermakna terpisahnya roh dengan jasad. Kita pernah berada di alam roh sebelum terjah ke alam bumi. Kita pernah berjanji dengan Tuhan. Sebelum roh kita dimsukkan ke rahim Bonda. Kemudian, kita dihidupkan... Roh berpadu jasad!

Kita lupa
Kita lupa alam roh
Kita lupa alam rahim
Kita tidak pernah ingat
Sehingga kita perlu diperingat-ingatkan kembali...



Kita sedang berjalan di alam dunia
Hari bertambah hari
Langkah bertambah langkah
Berbekalkan kalimah syahadah



Kita terus hidup
Kita terus berkelana
Moga kita pulang membawa kalimah ini

Wednesday 18 October 2017

Dengan Nama-Nya


Bismillah
Dengan nama-Nya segalanya bermula
Alhamdulillah
Dengan nama-Nya segalanya berakhir
Dia suka nama-Nya disebut
Dia suka nama-Nya diratib
Semoga kita juga suka menyebut-Nya
Insya-Allah
Biiznillah

Alhamdulillah, lahirnya kita ke dunia sebagai muslim bersambut azan. 

Allahu Akbar dilaung. Ketika matinya pula, nama Allah dibisik. Antara mula dan akhir kita diseru menyebut namanya selalu. Paling tidak, di dalam solat rutin.

Bangun tidur sebut Allah, mahu pejam mata pun sebut Allah. Siang sebut Allah, malam sebut Allah. Allahu Akbar!
Terkadang tanpa sedar nama-Nya disebut. Dalam gembira, dalam tangis. Ketika bersendirian, ketika ramai orang.

Asalkan jangan kita lupa. Lupa kita ada Tuhan. Tuhan kita Allah... Seperti alam yang tidak pernah lupa. Menyebut nama-Nya, Allahu Akbar! Bagaimana seisi alam menyebut nama Allah, hanya Dia yang Tahu. 

An-Nūr:41 -
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan


An-Nūr:42 -
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).

Binatang dan segala isi alam makhluk menyebut nama Allah dengan caranya...



Namun manusia seluruh pelusuk dunia, walau apa pun bahasa, hanya ALLAH yang disebut. Allahu Allah...


Banyak sekali dikongsi manusia tentang keterujaan mereka apabila kalimah Allah terpamer pada sudut yang ganjil. Mungkin secara kebetulan, mungkin juga aturan Allah SWT yang melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya. Kun Fayakun! 


Ada juga insan nakal yang mengedit sesuka hati. Semoga beroleh hidayah! Namun, di sudut dunia, masih ada insan mulia yang seronok mengukir dan berbangga dengan nama Allah yang terpamer. Subhanallah! Semoga beriring pahala buatnya dan insan yang melihat dengan hati yang berzikir...


Namun, cukuplah melihat alam, kita nampak Allah. Kita nampak kebesaran-Nya melalui isi alam yang diciptakan-Nya. Pada pokok-pokok, gunung-ganang, haiwan melata bahkan melihat manusia itu sendiri. Sempurna!


Tengok langit dapat pahala. Tengok laut dapat pahala. Mudahnya pahala diraih! Pemurahnya Dia yang memberi. Hanya perlu ingat dan sebut namanya... Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!





Monday 16 October 2017

Alam Pun Berzikir


Alam ini cantik!
Alam milik Allah
Alam patuh Allah
Belajar dari alam
Ikut yang disuruh
Zikir selalu...


Seawal bermulanya hari, segala isi alam menjalankan tugas dan fungsi. Matahari mula menyinsingkan sinar fajar. Tika ini, ada insan yang sedang menikmati keindahan dan nikmat dinginnya. 


Sebahagian manusia yang lain masih lena diulit malam yang telah pun pergi. Beruntunglah insan yang terpilih...


Dalam Al-Quran, Allah bersumpah dengan waktu Fajar. Apakah waktu yang sebenarnya dimaksudkan itu. Betapa signifikannya saat itu, sehingga menjadi salah satu tajuk dari 114 nama surah dari Al-Quran, kalamuLlah...


Semoga Allah kurniakan kita semua hati yang tenang. Jiwa Mutmainnah!...


Alam ini makmal sains yang maha luas. Segalanya berlaku mengikut hukum alam. Kita adalah pemerhati alam. Mencerap alam mengikut logik hukum Sains. Matahari terbit di sebelah timur dan terbenam di sebelah  Barat. Matahari terus taat menjalankan tugasnya sebagai sumber utama tenaga dunia. Hingga suatu masa Allah yang mengubah sebaliknya. 


Jika terpadam matahari, maka bergelaplah bumi tanpa kehidupan. Siang umpama malam. Malam yang hanya beberapa jam akan menjadi malam yang panjang. Gelap gelita. 


Hukum alam, malam datang sebelum siang. Maka, nikmat malam yang pendek ini perlu dinikmati. Hanya beberapa minit sebelum Subuh itu sudah memadai untuk merasai nikmatnya sebuah ketenangan. Beruntunglah insan yang terpilih...


Dahulukala, sebelum azan Subuh dilaungkan, tarhim dilaungkan di masjid-masjid. Ketenangan terasa bila mendengar alunan solawat di gelap hari sebelum bermulanya pagi... 


Pada bulan Ramadhan, tamatnya bacaan tarhim menyebabkan debaran jika makanan masih bersisa di dalam mulut. Laju-laju baki ditelan. Emak dan ayah akan mengingatkan, "Cepat makan, orang sudah mahu azan..." Bimbang kiranya terlanjur waktu bersahur. Tarhim ini akan berkesudahan dengan azan Subuh. 


Ayam berkokok, burung berkicau. Sesungguhnya itulah alunan zikir alam. Hanya yang mendengar, merasakan nikmatnya... Bunga pun berkembang, nikmat bagi yang memandang... Dengan izin Allah, semuanya berlaku dengan hukum dan ketetapan-Nya. Di sana sini makhluk Allah sedang berzikir mengingati pencipta-Nya... Bukan hanya manusia, bahkan seluruh isi alam. 



Tuesday 10 October 2017

Hidup Sementara


Selamat pagi dunia
Kita hidup lagi

Alhamdulillah
Sekelip mata dicelik
Doa dibaca
Tanda syukur
Nyawa masih belum tertahan

Roh melingkar badan
Bangun, rezeki diraih...
Hingga tidur kembali...

Hari bertambah. Usia dicampur satu hari lagi. Baki berkurang satu.

Dunia terus menjauh, akhirat makin mendekat.
Ruang berbaki mahu dekat dengan Allah.
Mahu ikut contoh Rasululullah SAW...
Mahu cari hidayah.

Ustaz ada berkata...

"Mahu Allah sayang, banyakkan buat perkara sunat..."

Hati tertampar...
Yang wajib masih tidak sempurna... Yang sunat, bagaimana?
Fastabiqul khairat!

"Kita mahu masuk syurga tanpa hisab. Jangan pula masuk neraka tanpa hisab!" Ustaz menyambung pesanan.

Di sana sini adanya insan mulia saling mengingatkan. Hati manusia ingin disuluh iman. Agar ramai jiwanya tenang. Allah di hati. 



Sibuk jangan sampai lupa. Jangan terleka! 

Yang wajib jangan tinggal. Yang sunat kena tambah! Ikhlas kena ada...

Formulanya mudah. Namun, masih ada yang payah...



Hidup manusia memang begitu. Mudah suka, ketawa dan terleka. Bila bermain, tidak sedar masa tamat. Bila bekerja, tidak sedar badan penat. Jika berhibur, tidak sedar dunia akan kiamat. Jika tiada yang ingatkan, terus leka dan hanyut...



Hanyut dalam kekusyukkan dunia semata.

Kena ada yang tarik tali. Umpama layang-layang. Jika dibiarkan, terlepas tali entah ke mana-mana.

Ketika berdepan Tuhan pun fikiran masih melayang. Solat menjadi ukuran. Fokus dengan Tuan atau sibuk dengan alam. Lupa, diri hanya hamba. Alam yang diberi hanya pinjaman...

Hidup kita sementara. Yang tua mati. Yang baru lahir pun mati. Semua mati... manusia mati, tumbuhan mati. Jangan hati mati...



Hidayah Allah kena cari.
Kawan baik kena cari.
Tempat baik kena kunjungi...

Alam Allah luas. Jika bukan di sini, di sana! Jika bukan di sana, di sana sini... 

Thursday 5 October 2017

Hai Anak

A N A K
Besar maknanya
Dalam hidup insan



Anak soleh penyejuk mata. Itu harapan untuk diri dan anak sendiri.

Anak adalah anugerah, amanah dan ujian. Hadirnya penyeri, hadirnya juga diuji. Lulus cemerlang jadi dambaan. Berganding tersenyum melangkah ke gerbang jannah...

Setiap orang tidak mungkin menjadi ibu ayah, tapi setiap orang tetap pernah menjadi seorang anak. Itu pasti!

Kita yang dulu, mungkin seperti anak kita kini. Ada tikanya berlari-lari, merajuk minta dipujuk. 



Masa yang lain, menyanyi riang, semua girang...



Anak yang bersih suci. Lahir ke dunia tanpa apa-apa. Warna-warni diukir. Itulah kita. Itulah juga anak kita...



Hala tuju disuluh. Mohon pada Tuhan agar lulus. Jalan banyak simpang, tidak mahu kecundang. Semua mahu menuju syurga. Jalannya bukan semudah lebuhraya yang membentang. Ada mahar yang perlu dibayar. 

Ibarat sebuah keluarga yang mahu dibina. Maharnya diberi dengan bersungguh. Matlamatnya rumahku syurgaku...
Aroma syurga nan indah. Terasa tenang di mata, damai di jiwa... Membumikannya dengan mujahadah. 


Bersungguh dalam bertindak. 

Solatnya jamaah dan kusyuk. Prof Kamil dicontohi dalam mendidik anak lelaki khasnya kepentingan solat di masjid.




Tadarrus tadabbur menjadi melodi rohani. Keluarga PROFAZZ menjadi teladan.




Saling baiki diri dari hari ke hari. Tangan dipimpin bersama-sama. Ayah, ibu dan anak-anak tanpa kecuali...


Sekali hujan, terasa sejuk. Sekali panas, hawanya membahang. Terkadang pelangi muncul. Itulah warna-warni hidup. Sekali pun diuji banjir dan kemarau, tetap ada hikmahnya. Tetap ada puncanya...



Semakin ramai anak, semakin banyak tugas dan amanah. Banyak yang perlu dijaga. Dari hujung kuku kaki ke hujung rambut. 

Kalau ibu ayah cuma ada anak. Kalau guru pula, anak di rumah ditambah anak di sekolah. Amanah berganda. Jasa mereka tidak terbalas. Kasih mereka tiada tara, menjadi prioriti setelah Allah & Rasul. Semoga syurga ganjarannya.



Hidup tidak semudah membaca ABCD. Tidak juga semudah mengira 1234. Namun, jika tidak semuanya mampu dibuat, jangan sampai semuanya tidak mahu dibuat langsung. 

Seluruh hidup adalah ibadah.
Dari bangun tidur hingga tidur kembali. 
Bukan hanya proses biologi. 
Bukan juga lumrah diri. 

Menggosok gigi, biar berpahala. Memotong kuku begitu juga. Niatnya jelas. 

Saya teringat ketika belajar Pendidikan Islam, arwah YM Ustaz Engku Ilias pernah berkata, 

"Janggut dan jambang ini adalah ujian. Allah mahu uji siapa yang menjaga kebersihan..." Begitulah lebih kurang ayat yang saya ingat-ingat lupa. 

Arwah ustaz memang seorang yang bersih dan kemas. Langkahnya berhati penuh sopan. 

Pernah ditunjukkan di depan kami, tapak kasutnya yang tidak terjejas coraknya. Ibarat tayar kereta yang masih dihias lorekan bunga. Tiada kesan geseran yang jelas.

Tambah beliau lagi, "Berjalan perlu diangkat kaki, bukan diheret... Tidak malas!"

Begitulah...

Setiap orang ada beza watak dan perwatakan. Itu juga yang saya ulang pada anak-anak.

ADA BEZA...

Cara bertindak orang berjaya dan orang gagal...

Orang rajin dan orang malas...

Orang bersungguh dan orang tidak...

Orang berilmu dengan orang jahil tidak akan sesekali sama.

Orang yang ingin berusaha tidak sama dengan orang yang sentiasa mencari helah dan alasan.

Apa sahaja tetap BERBEZA. 

Ada beza hidupnya seorang muslim dengan yang bukan muslim. Bagi seorang muslim, Hari Jumaat ada bezanya dengan hari biasa. Hari Jumaat hari raya! 

Seorang kafir yang berbuat baik tanpa paksi iman, hasilnya hanya berakhir untuk dunia. Seorang muslim berbuat kebaikan dengan berselit niat yang baik beroleh saham akhirat. Ada beza! 

Islam ajar semua perkara dari A-Z. 

Masuk masjid, masuk rumah apatah lagi masuk tandas berbeza caranya. Ada doa dan adabnya. 



24 jam sehari! Banyak sekali salah dan silap yang dibuat, tapi dianggap biasa. Semua itu perlu diambil cakna.

Selalu juga saya ingatkan lagi pada anak-anak...

Seseorang yang disuakan situasi yang sama, jika tindakbalasnya berbeza, maka kesannya berbeza...

Analoginya mudah. Bahan yang sama, diolah dengan cara berbeza, hasilnya berbeza. 

Seperti eksperimen Sains di dalam makmal.
A + B dipanaskan hasilnya C.
A + B ditambah air menghasilkan D.

Apatah lagi jika bahannya diubah, sudah tentu kesannya lagi jauh berbeza. 



Ilmu kena ada. 

Terlebih dahulu perlu diketahui teorinya supaya tindak balas yang berlaku tidak mengundang bencana.  Sedikit kesilapan kecil, boleh menatijahkan kecederaan yang besar. 

Begitu  juga ilmu kehidupan. 

Alam yang luas ini bukan makmal untuk kita buat ujikaji mengikut logik sendiri. Segalanya perlu dirujuk manual dari Ilahi. Al-Quran sudah diwarisi dari generasi ke generasi. Isinya tidak pernah silap dikongsi, dijaga rapi oleh Allah Rabbul Izzati. 

Ada perkara berlaku dalam kawalan kita. Ada yang berlaku sebelum sempat kita berfikir jauh. Dalam hati-hati, terkadang tersilap juga.  

Ketika saya bekerja dahulu, pernah terjadi sesuatu yang tidak terduga kepada seorang rakan. Kesilapannya berpunca dari penggunaan bahan kimia yang sudah biasa baginya. 

Dengan kadar kepekatan bahan yang tinggi, sedikit kesilapan telah mengundang bahaya tanpa disangka. 

Kesannya besar! Rakan tersebut tidak mahu dikunjungi tetamu ketika tempoh rawatan. Semoga kesannya bersifat sementara...

Berbeza bahan dan cara, maka bezalah hasilnya dan kesannya. 

Hidup kita pun begitu. 

Teringat pula kisah berbeza ketika di rumah sewa ketika di alam kampus. Seorang rakan mengadun cekodok dengan air biasa, manakala seorang yang lagi menggunakan air panas. Ternyata hasilnya berbeza. 

Terung goreng kari pula adalah resipi baru dihidangkan kami oleh Mary dari Miri. Bahan yang sama dimasak cara berbeza, rasanya jauh berbeza dibandingkan lauk kebiasaan. Cubalah...

Setiap hari kita dihadapkan dengan perkara baru dalam hidup. Begitu juga teknologi yang mengalami pecutan dinamik dari segi perkembangannya. Namun, perlu diingat sesuatu  itu, baik atau buruk bergantung kepada cara kita olahkannya. 

Ada perkara baru yang baik untuk kita. Ada perkara yang andai tersilap cara, padah hasilnya. 

Umpama kenderaan 
Sebaik mana kenderaan itu
Jika dipandu membuta tuli
Arahnya kelak tahu sendiri!



Wahai anak...

Kita menuju ke arah destinasi yang satu. 

Kenderaan yang tepat
Pemandu yang tepat
Perlu diteliti... 

Jalan kita hanya sehala...
Sirotul mustaqim!



Bukan semua perkara boleh diaplikasikan kaedah cuba jaya. 
Kalau betul mencuba dan berjaya...
Alhamdulillah... 

Sebaliknya, jika benar-benar terjadi seperti yang dimaksudkan dengan "Try and Error". 
Cuba dan salah!
GAGAL!


Begitulah halnya dalam hidup kita. 

Berjaya dan gagal silih berganti. 

Kesannya ditakuti. 

Jika berakhir di dunia
Dan masih boleh dibaiki 

Itu tandanya kita masih diberi peluang lagi. Alhamdulillah.

Jika kesannya sampai akhirat, tiada jalan lain lagi. U-turn atau jalan mati! 

Hanya kepada Allah kita kembali...



Sunday 1 October 2017

Doa Itu Indah


Harta yang bukan harta 
Diwarisi dan mewarisi
DNA itu terus bertahan
DOA itu terus kukuh
Senjata pusaka...

Kita punya ayah ibu. 
Kita juga ayah & ibu. 
Kita punya anak-anak. Begitulah seterusnya...

Genetik tidak berubah, hanya bertambah beza. Terus berbeza dan berbeza... Namun, doanya tetap sama. Tidak berubah...

Sampai kita tua sekali pun, kita tetap doakan kedua ibu bapa. Seperti kita masih anak kecil... 

Ya! Masa kecil itu juga disebut-sebut. Masa yang kian banyak kita lupakan. 


Sedari kecil ibu ayah mengajar erti sebuah kehidupan. Tanpa sedar! 

Walau pun mereka bukan pakar bahasa, kita tetap pandai bahasa. Bahasa itu yang kita tuturkan saban hari. 

Kita diberi ruang belajar. Bertambah bahasa, bertambah nahu. Mereka mungkin tidak tahu,  tapi kita tahu! Bahasa Inggeris cair di mulut walaupun bahasa Arab tersangkut-sangkut. Bahasa Arab fasih di lidah, bahasa Cina, Perancis pun tiada kurang. Bahasa seluruh dunia jadi mainan harian...

Dengan usaha mereka, Allah izinkan berlaku... 
Dicarikan kita guru untuk membantu. Allahu Akbar! 
Terlalu banyak jasa mereka... 
Ibu bapa, guru...

Saya cukup terkesan dengan cara didikan orang dahulu. Ada mereka yang sampai tahap buta huruf, tapi anaknya bijak pandai. Ibu ayah  sebenarnya yang berjaya! 

Mereka telah berjaya sebelum anak-anak dikurniakan kejayaan oleh Allah. Usaha dan doa mereka tidak pernah putus.

Saya sendiri masih terhegeh-hegeh mendidik anak. Apa yang menunggu di depan, hanya doa yang dipohon pada Yang Memberi, Allah SWT. Mohon restu ibu ayah doakan zuriat kami dan mereka sampai bila-bila...

Saya rasa belum berjaya dibandingkan ibu ayah. Mereka sudah lama buka peluang untuk anak-anak.Dengan izin Allah, jalan sudah lama dibentang. Pilih saja. Mana baik, mana buruk. Fikir! 

Doa, restu dan nasihat mereka sentiasa dipohon. Hatta mereka juga yang menolong dalam apa jua keadaan sekali pun. Sungguh terhutang budi... Tidak terbalas sampai bila-bila... Mereka setia berada di sisi ketika susah senang, dulu hingga kini... Syurga jannah kita doakan buat mereka...


Alhamdulillah, Allah masih ilhamkan memori pesanan ayahanda ketika saya di SESMA. 

"Masa belajar ini, buat betul-betul..." 

Namun, saya tetap manusia yang tidak sentiasa betul 100%. Saya cemerlang matematik moden, tapi saya juga kecundang matematik tambahan... Anologinya begitu!

Pesanan untuk anak...
Muhammad, Mukminah, Amin, Auliya, Ali & Abi
Belajar, belajar...
Belajar jadi pandai, jadi baik...

Masih sama saya titipkan pesanan. 
Hakikatnya turut sama...

Di saat umur muda mereka yang masih bertatih. Cabaran dari dalam diri dan alam sekelilling yang diperhati bergaul sebati. Adakalanya terjatuh... Bangkit kembali!


Suasana yang baik itu sangat membantu. Guru dan rakan yang baik. Baik untuk diri dan jati diri dari hari ke sehari. Sokongan kiri dan kanan, agar tidak rebah di tengah perjalanan yang masih jauh...


Hatta, kami yang tua ini pun turut masih mengheret kaki lagi dan lagi. Tiada daya berlari laju. Hanya doa dan doa agar Allah kurniakan kebaikan dunia akhirat.
Tanpa sedar, 20 tahun berlalu. Bahkan berganda. 40 menjengah... Doa lagi dan lagi!


Yang baik kita teruskan...
Yang buruk kita tinggalkan...
Muhasabah!


Doa ini saya bingkaikan di dinding bilik anak. 

Kekal saya biarkan di rumah sendiri yang saya tinggalkan. Penyewa bertukar orang. 

Doanya kekal di situ, tidak berubah. 

Hanya usia dan bilangan anak bertambah. Usia kami meningkat di sini. Di sebuah daerah terpencil, bumi Besut... 

Saya teringat pesanan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam slot IKIM. 

"Kita dilahirkan dengan 99 perangkap kematian. Ada yang kena perangkap pada usia berbeza."

Ada yang terlepas perangkap. Ditakdirkan kemalangan, penyakit dan segala apa musibah, namun masih terlepas... Alhamdulillah.

Cuma! Satu perangkap yang tidak boleh lari lagi. 
T U A
Sejauh mana kita lari...
Paling tua dalam dunia sekali pun, tetap ada hadnya. 
Tiada yang 150, 200, 400...


Angka 40 tetap misteri. Dibahaskan tanpa henti...

Andai ketika usia itu...
Telah berjaya (teras akhirat)
Bersyukurlah!

Andai belum juga...
Bertindaklah! 

Itu pesan hati buat diri...


Pesanan di sana sini, agar beringat. Di saat terasa usia bangkit, sedangkan bakinya susut. Bertahan sebelum tertahan...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...