Thursday 4 July 2013

Macam mana boleh berhenti

Kini tiga tahun telah berlalu... Hatiku cukup seronok dengan dunia baru ini. Tidak lagi baru. Usia tiga tahun sudah cukup lama bagi pasangan pengantin baru untuk tidak lagi digelar baru. Kehadiran seorang lagi cahaya mata menambah seri hidup kami anak-beranak di bumi Besut ini. Hari ini, usia si bongsu sudah menginjak 2 tahun. Sekali lagi, sedar tidak sedar..rupanya sudah lama kami di sini. Di sebuah daerah yang sangat menarik. Alhamdulillah...


Semoga anugerah Allah ini sentiasa kami syukuri. Hilang rasanya sakit saat diuji. Ya...Diuji bila menyatakan ingin berhenti kerja lebih tiga tahun dahulu...Ramai yang menentang. Memuji dan mengeji tiada bezanya. 

Walau pun mahu dipekakkan telinga, adat hidup perlu menghormati. Hormat dengan mendengar, sabarkan hati, walaupun menitis juga air mata ini. Betapa saya merasakan insan-insan baik di sekeliling saya sangat perihatin dan inginkan yang terbaik untuk masa depan saya. Namun kalaulah mereka rasa apa yang saya rasa, mereka alami apa yang saya tempuhi, mungkinkah mereka akan berkata 'Berhentilah. Teruskanlah kehidupanmu. Rasailah apa yang menjadi impianmu.'

Di dalam sujud, saya memohon agar Allah swt memudahkan jalan, memberi ruang dan asbab yang kukuh untuk saya membuat tindakan. Tiada bantahan. Saya masih ingat seorang rakan kerja, En. Syukri mengusik sambil bergurau mengatakan bahawa saya perlu istikharah lagi. Saya hanya tersenyum hormat. 6 bulan...

Bila sudah berhenti, rupanya barulah seorang abang ipar menyatakan firasatnya sudah lama saya patut berhenti. Oh... Rupanya dalam diam insan-insan mulia yang baik hati memerhatikan hidup kami. Hidup yang huru-hara agaknya pada pandangan mereka. Mana tidaknya, dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan kami, 5 daerah telah kami diami. 5 buah rumah telah mereka kunjungi. 

Mereka lah insan-insan dekat di mata, dekat di hati yang sentiasa menghulurkan bantuan, meringankan beban setiap kali kami berpindah randah. Berpindah kerana mengikut isteri. Mengikut isteri yang berkerja tidak pernah tetap. Betapa besarnya jasa seorang suami. Namun jasa ibu ayah tercinta tidak kami lupa hingga akhir hidup ini...





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...