Wednesday 3 July 2013

Kenapa tidak bekerja

Saya merupakan seorang ibu yang sedang menua, bak kata pepatah 'rumah kata pergi, kubur kata mari.' Pada lewat usia 38 tahun, saya merasakan kehidupan kita di dunia ini teramat singkat. Saat bersama keluarga, suami dan anak-anak sangat terhad. 


Terasa seperti baru semalam kami berkahwin, diulit kegembiraan membesarkan anak sulong kami. Sedar tidak sedar, anak sudah berderet. Anak yang sulong pun sudah melangkah ke alam remaja. Anak yang sedang meniti hidup sebagai seorang bakal hafiz di sebuah sekolah berasrama penuh, Imtiaz di tepian Pantai Dungun yang indah. InsyaAllah...

Betapa 13 tahun berlalu, anakanda kami membesar bergilir tangan. Kedua ayah dan emak sibuk mencari rezeki, masing-masing berlumba mengejar kerjaya. Dalam masa yang sama, anakku Muhammad, perlu pula berkongsi kasih dengan kehadiran adik seorang demi seorang. Akhirnya semua anakku merasa tangan-tangan yang berbeza, menyentuh dan membelai mereka sebagai anak asuhan

Jiwaku gembira, sedih, bercampur gaul. Gembira kerana dipertemukan dengan insan-insan mulia yang sudi menjaga makan pakai anak kami sepanjang kami keluar rumah. Sedih, sebagai seorang ibu, saya merasa sangat bersalah kerana sanggup meninggalkan mereka sehari-hari hanya kerana mengejar gaji yang tidak seberapa. Namun, untuk mencari sesuap nasi, hidup diteruskan juga. 

Semoga kisah saya di dalam blog ini dapat dijadikan panduan untuk anak-anak saya kelak. Bukan sahaja jasa ayah dan emak yang perlu dikenang seandainya kami telah tiada nanti, bahkan juga orang-orang yang disekeliling ayah dan emak. Mereka sama-sama merasa susah dan senang membesarkan anak-anak yang bukan dari darah zuriat mereka sendiri. Dengan jasa-jasa mereka, anak-anak ayah dan emak membesar sehingga ke hari ini, Alhamdulillah...

Setelah 12 tahun merasa nikmat sebagai wanita kerjaya, akhirnya saya nekad dan penuh yakin untuk membuat keputusan penting dalam hidup saya. Bukan kerana suami, bukan kerana anak, tapi kerana desakan naluri saya sendiri. Saya panjatkan hajat dan harapan kepada Yang Maha Esa. Saya tidak mahu membuat pilihan kerana insan lain. Saya tidak mahu mengharapkan balasan kononnya telah berkorban kerana mereka. Tidak...

Bagi saya, 'menjadi isteri dan ibu sepenuh masa' bukanlah satu pengorbanan, tapi satu anugerah dari Allah Yang Maha Besar...Cita-citaku tercapai...Alhamdulillah...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...