About Me

My photo

Ibu kepada 4 putera dan 2 puteri, cahayamata bersama-sama Ustaz Norawi Endut. Kini kami menetap di Besut. Pernah bertugas sebagai Pensyarah UiTM Kuala Terengganu manakala suami pernah bertugas di Putrajaya. Sekian lama tinggal berjauhan, saya nekad meninggalkan halaman di Kuala Terengganu untuk mengikut suami yang bertukar ke sini. Dunia baru sebagai suri rumah sepenuh masa di sebuah daerah baru...
Blog  :  http://nolizawatimohdsaad.blogspot.com/ 
Emel :  nolizawatimohdsaad@gmail.com,
FB     :  https://www.facebook.com/notie.saad           
https://www.facebook.com/nolizawati.mohdsaad

Google+ Followers

Monday, 22 July 2013

Segalanya baru

Segalanya baru bagi kami. Rumah baru yang lama, perabot baru yang terpakai dan orang baru yang telah berusia. 

Seorang bibik berusia lewat 30-an meninggalkan 3 anak dan suami. Datang merantau dengan niat hanya ingin mengenal tempat orang. Asyik berpindah dari rumah majikan ke majikan yang lain kerana merasa beratnya tugas yang digalas. Akhirnya Laila dihantar semula ke rumah ejen, sementara menanti di bawa pulang oleh ketua syarikat yang akan datang dari Indonesia. Pak Akmal selalu datang ke Malaysia bersama isteri, ibu Ana untuk menyelesaikan urusan berkaitan orang gaji. Terengganu pula menjadi tempat singgah mereka berdua. Dari raut rupa, mereka kelihatan sangat baik hati dan boleh dipercayai. 

Berita kami mahu berpindah dan perlukan seorang pengasuh sampai ke pengetahuan seorang rakan suami. Kebetulan rakan tersebut merupakan kenalan kepada Pak Akmal. Beliau yang turut bertindak sebagai ejen rasmi menawarkan bibik yang sedang menunggu di rumahnya . Petang perpindahan itu juga rakan yang baik hati bersama isteri, Kak Lah yang budiman datang membawa Laila ke rumah kami. Hanya diberi pinjam, sementara menanti kedatangan Pak Akmal yang akan menyusul kemudian. 

Orang yang mengantuk disorongkan bantal. Saya sangat mengalu-alukan kedatangan pengasuh merangkap pembantu di saat terdesak begitu.  Hari itu juga Laila memulakan tugas pertama dengan membantu kami membersihkan rumah lama sebelum kunci diserahkan semula kepada tuannya. Satu rahmat besar bagi saya yang ketika itu berbadan dua dengan kandungan berusia 6 bulan. Berkuranglah sedikit tenaga yang perlu dikerah.

Di kesempatan terakhir itu, kami semua mengunjungi Kak Yah di sebelah. Terjalin perkenalan pertama dan terakhir di antara 2 orang pengasuh anak-anak kami. Orang sini dan orang sana pasti banyak bezanya. Sekali lagi anak kami terpaksa meninggalkan pengasuh mereka yang berbudi gara-gara ibu sendiri. Asyik mengejar kerjaya, bertukar kerja tak henti-henti. Anak-anak pula terpaksa bertukar pengasuh bersilih-ganti. Hanya tawakkal kepada Illahi pengubat hati...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...