Thursday, 21 September 2017

Kiri atau Kanan


Ke kiri rumah pak lebai
Ke kanan rumah pak imam
Itu kisah di dalam cerita

Ke kiri jalan kampung
Ke kanan merentang lebuhraya
Mana yang kita pilih

Ke kiri neraka
Ke kanan syurga
Hanya satu jalan
Yang kita perlu!

Di mana kita, apa yang kita buat... Semuanya saling berkait. Niat itu yang utama!

Kita mencari tempat yang baik.
Andai takdir menetapkan kita di tempat yang kita rasakan kurang baik mengikut kacamata kita... 
Lalu, bagaimana hati kita? Membenci sebencinya, atau cuba memujuk hati, menerima dengan redha seadanya...

Hidup sentiasa ada pilihan. Namun, sesekali kita terpempan! Tiada pilihan. Hidup atau mati! Bak kata Ustaz Dusuki Abd Rani dalam slot radio IKIM.fm... 

"Nak mati pun, kita mati...
Tak nak mati, pun kita mati..."

Selagi kita diberi peluang oleh Allah dalam sebarang keadaan, maka kita sememangnya ingin pilih  yang terbaik. 
Alhamdulillah, apa yang kita hendak, selari dengan apa yang kita dapat. Bahkan, seindah yang kita bayang.

Namun, hidup manusia sentiasa diuji. Tidak namanya manusia tanpa ujian. Yang indah-indah sahaja semuanya hanya di syurga. 

Asal sahaja, kita jangan buat pilihan yang salah, setiap yang berlaku terkandung hikmah. Dalam hidup kita ini, nikmat juga ujian. Apatah lagi musibah. Namun, dalam musibah masih ada rahmat Tuhan andai kita masih bersangka  baik dengan Allah SWT, Pencipta segala....

Di akhirat nanti, Allah sudah kisahkan ada alim yang tempatnya di neraka. Nauzubillah! Ujian hati, bukannya mudah untuk ditelah. Sudah berbuat baik segalanya, namun hati pula terdetik rasa jahat dan nista... Akhirnya, padah kesannya.

Kalau si alim, juga ke neraka... apatah lagi jika si pendosa yang terang-terangan berani berbuat noda. Ujian sungguh hidup ini. Baik salah, jahat lagilah salah. Nikmat ujian, musibah juga ujian. Lalu, kita mahu buat apa?

Ya! Kita perlu selalu buat baik, tapi syarat utamanya dengan niat yang baik-baik. Andai sesekali kita tersilap langkah, tiada cara lain, melainkan taubat nasuha! Kembali ke pangkal jalan...

Kita manusia biasa. Di bahu kiri tertenggek syaitan yang ingin menggoda. Di bahu kanan, Allah sediakan malaikat yang cuba menarik ke syurga. Hanya ada syurga, ada neraka. Itu pilihan kita. Namun, jalan yang kita pilih hari ini, menentukan segala. Dengan rahmat Allah, beruntunglah manusia yang dipilih ke jannah terjamin bahagia!

Kita cuba, kita usaha. Ke mana jalan kita...

Sepanjang saya menjadi anak, kemudian menjadi ibu...
Selepasnya menjadi pelajar dan akhirnya mengajar...

Banyak sekali iktibar kehidupan dalam hidup ini.

Kita cuba sehabis baik, namun kita juga ada kalanya tidak baik.

Maka, rukun untuk menjadi baik perlu kita patuhi.

Guru yang baik perlu dicari. Rakan yang baik itu sangat perlu. Suasana yang baik itu semestinya...

Namun, tidak selalunya rupa seindah kata. Ada kalanya, harapkan pagar, pagar makan padi... Itu biasa sahaja terjadi.

Lalu, apa lagi....

Kita usaha lagi... usaha bahagian kita. Yang Memberi hanyalah Dia, Tuhan yang Maha Segala...

Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah ada berfirman, kejadian manusia disempurnakan dan ada yang tidak  disempurnakan untuk membuktikan kuasanya Tuhan. 


Al-Ĥaj:5
Itu peringkat alam pertama, di dalam  rahim bonda! Ujian sudah bermula...
Apatah lagi di alam dunia yang penuh pancaroba.
Hidup kita diuji lagi dan lagi...
Sehingga nyawa tiada lagi.

Dan sesungguhnya alam kubur itu adalah ujian Maha Hebat andainyanya tiada persediaan yang cukup lengkap. 
Apatah lagi alam akhirat yang kekal abadi!
Bekal perlu dicari lagi dan  lagi...

Al-Ĥaj:5 - Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...