Monday 25 September 2017

Al-Quran & Solat




Dalam Al-Quran ada perintah solat
Dalam solat ada ayat Al-Quran
Saling berkait

Islam datang dengan turunnya Iqra'
Surah Al-Alaq petanda kenabian
Gua Hira' menjadi saksi hingga hari ini...

Al-Quran mukjizat sepanjang zaman
Mendengar kalam Allah
Diulang baca dan dihafaz 
Sekelian umat pelusuk alam...


Solat tiang agama
Bermula dengan Isra' Mi'raj
Solat tanda aras insan bertaqwa
Sepanjang hari sepanjang hayat
Perkara pertama yang akan dihisab


Tahun kedukaan...

Kembara Nabi merentas masa
Ajaibnya melangkau zaman

Dari bumi ke bumi
Dari bumi ke langit

Kisahnya termaktub di dalam Al-Quran...

Solat adalah anugerah, ruang bercakap dengan Tuhan

Serahkan hati dan perasaan...

Nikmat bagi seorang mukmin
Alhamdulillah...

Sejak kecil hingga ke peringkat seterusnya, kita didedahkan untuk belajar. Belajar Al-Quran, belajar solat... Tidak ketinggalan belajar ilmu dunia.

Alhamdulillah, ketika menyambungkan pelajaran ke peringkat menengah, ayahanda saya bertegas supaya menerima tawaran SBP, SESMA. Saya hampir menolak dengan alasan lebih ramai sahabat saya ke sekolah terpilih aliran agama. Hanya saya dan seorang pelajar lelaki yang terpilih ke sana...

Di SESMA saya banyak belajar ilmu dalam bilik darjah dan luar kelas. Kelas Al-Quran disediakan pada waktu malam bergilir tingkatan 1-5, Ahad-Khamis. Momen yang sangat manis untuk dikenang...

Seronok sungguh bergilir duduk membaca dalam satu barisan kiri dan kanan. Ustazah di depan, tengah barisan. Datangnya bersama seorang ibu tua yang kami panggil nenek. Adakalanya kami turut berborak-borak dengan nenek yang baik hati. 

Di mana-mana ada ilmu Allah diajarkan di muka bumi...
Seiring ilmu dunia.

Saya seronok sekali bila mendapat berita dari guru penyelaras SPM, sekolah anakanda Muhammad akan membuat kunjungan ke SESMA. 



Hari yang ditunggu tiba dengan rasa sangat sukahati. Anak pergi menimba perkongsian ilmu dari pelajar di sekolah saya dahulu. Terasa seperti saya yang kembali ke situ!

Tambah mengujakan, ketika catatan tentang SESMA sedang ditaip dalam bait-bait di atas, saya terpandang kiriman gambar-gambar secara langsung yang dikirimkan oleh cikgu Najibah ketika mengiringi anak-anak pelajar di sana...



Sungguh, rasa rindu datang menerpa sekelip mata!

Koleksi gambar yang dikirim amat dekat di hati... 






Terpandangkan rona warna 'maroon', teringat 'blazer' berlambang lencana SESMA yang pernah disarung.



Tambah menarik...

Jelas kelihatan Ammar bin Q, (saya ringkaskan namanya) merupakan anak rakan saya ketika di SESMA dahulu. Beliau mengikuti jejak ayahbondanya yang pernah belajar di situ. Anak yang pernah dibesarkan di luar negara kerana mengikuti bonda dan ayahanda mendalami ilmu di bumi Ratu... Ilmu di mana-mana!



Segera saya kongsikan dengan bondanya, Dr. Lina yang kini sudah menyandang gelaran Profesor Madya di universiti dalam negeri. Tempat di mana saya pernah bertugas sebagai Pembantu Penyelidik satu ketika dahulu... Tempat yang sama juga saya kembali menyambung pengajian pasca siswazah. 

Saya berterusan melihat gambar demi gambar.



Segala peralatan dan terma yang pernah digunakan datang menerjah minda. Dulu, saya pernah belajar di situ bersama-sama rakan. Guru yang baik hati menyumbang bakti tanpa jemu. Mereka guru, kami muridnya. 

Ada yang  bertemu jodoh di situ... Pasangan guru ada, pasangan murid juga ramai. Alhamdulillah, bumi berkat... 

Ilmu yang sama pula saya sebarkan untuk anak didik di KOSPINT (Imtiaz Kuala Terengganu kini). Kimia dan fizik. Sayalah guru, merekalah murid...

Saya mengajar pula Biologi setelah ditawarkan mengajar di KYT (UiTM). Pengalaman menuntut BSc.Hons (Genetics) di bumi Universiti Malaya tidak mahu disia-sia begitu sahaja...

Kenangan belajar dan mengajar tidak pernah luput dari jiwa. Indahnya terasa. Tanpa sedar tersenyum bahagia...

Proses berulang... 
Anak-anak didik itulah pula yang sedang menyumbang bakti di setiap ceruk rantau tanah air. Alhamdulillah, biiznillah...

Fizik, Kimia, Biologi dan apa sahaja. 
Ilmu perlu ditimba!
Ilmu agama perlu di cari...

Ilmu di sini sana...
Belajarlah walau di mana...
Berbaktilah selagi daya dan punya usia...
Asal sahaja Al-Quran dan solat ditinggal jangan...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...