Thursday 5 October 2017

Hai Anak

A N A K
Besar maknanya
Dalam hidup insan



Anak soleh penyejuk mata. Itu harapan untuk diri dan anak sendiri.

Anak adalah anugerah, amanah dan ujian. Hadirnya penyeri, hadirnya juga diuji. Lulus cemerlang jadi dambaan. Berganding tersenyum melangkah ke gerbang jannah...

Setiap orang tidak mungkin menjadi ibu ayah, tapi setiap orang tetap pernah menjadi seorang anak. Itu pasti!

Kita yang dulu, mungkin seperti anak kita kini. Ada tikanya berlari-lari, merajuk minta dipujuk. 



Masa yang lain, menyanyi riang, semua girang...



Anak yang bersih suci. Lahir ke dunia tanpa apa-apa. Warna-warni diukir. Itulah kita. Itulah juga anak kita...



Hala tuju disuluh. Mohon pada Tuhan agar lulus. Jalan banyak simpang, tidak mahu kecundang. Semua mahu menuju syurga. Jalannya bukan semudah lebuhraya yang membentang. Ada mahar yang perlu dibayar. 

Ibarat sebuah keluarga yang mahu dibina. Maharnya diberi dengan bersungguh. Matlamatnya rumahku syurgaku...
Aroma syurga nan indah. Terasa tenang di mata, damai di jiwa... Membumikannya dengan mujahadah. 


Bersungguh dalam bertindak. 

Solatnya jamaah dan kusyuk. Prof Kamil dicontohi dalam mendidik anak lelaki khasnya kepentingan solat di masjid.




Tadarrus tadabbur menjadi melodi rohani. Keluarga PROFAZZ menjadi teladan.




Saling baiki diri dari hari ke hari. Tangan dipimpin bersama-sama. Ayah, ibu dan anak-anak tanpa kecuali...


Sekali hujan, terasa sejuk. Sekali panas, hawanya membahang. Terkadang pelangi muncul. Itulah warna-warni hidup. Sekali pun diuji banjir dan kemarau, tetap ada hikmahnya. Tetap ada puncanya...



Semakin ramai anak, semakin banyak tugas dan amanah. Banyak yang perlu dijaga. Dari hujung kuku kaki ke hujung rambut. 

Kalau ibu ayah cuma ada anak. Kalau guru pula, anak di rumah ditambah anak di sekolah. Amanah berganda. Jasa mereka tidak terbalas. Kasih mereka tiada tara, menjadi prioriti setelah Allah & Rasul. Semoga syurga ganjarannya.



Hidup tidak semudah membaca ABCD. Tidak juga semudah mengira 1234. Namun, jika tidak semuanya mampu dibuat, jangan sampai semuanya tidak mahu dibuat langsung. 

Seluruh hidup adalah ibadah.
Dari bangun tidur hingga tidur kembali. 
Bukan hanya proses biologi. 
Bukan juga lumrah diri. 

Menggosok gigi, biar berpahala. Memotong kuku begitu juga. Niatnya jelas. 

Saya teringat ketika belajar Pendidikan Islam, arwah YM Ustaz Engku Ilias pernah berkata, 

"Janggut dan jambang ini adalah ujian. Allah mahu uji siapa yang menjaga kebersihan..." Begitulah lebih kurang ayat yang saya ingat-ingat lupa. 

Arwah ustaz memang seorang yang bersih dan kemas. Langkahnya berhati penuh sopan. 

Pernah ditunjukkan di depan kami, tapak kasutnya yang tidak terjejas coraknya. Ibarat tayar kereta yang masih dihias lorekan bunga. Tiada kesan geseran yang jelas.

Tambah beliau lagi, "Berjalan perlu diangkat kaki, bukan diheret... Tidak malas!"

Begitulah...

Setiap orang ada beza watak dan perwatakan. Itu juga yang saya ulang pada anak-anak.

ADA BEZA...

Cara bertindak orang berjaya dan orang gagal...

Orang rajin dan orang malas...

Orang bersungguh dan orang tidak...

Orang berilmu dengan orang jahil tidak akan sesekali sama.

Orang yang ingin berusaha tidak sama dengan orang yang sentiasa mencari helah dan alasan.

Apa sahaja tetap BERBEZA. 

Ada beza hidupnya seorang muslim dengan yang bukan muslim. Bagi seorang muslim, Hari Jumaat ada bezanya dengan hari biasa. Hari Jumaat hari raya! 

Seorang kafir yang berbuat baik tanpa paksi iman, hasilnya hanya berakhir untuk dunia. Seorang muslim berbuat kebaikan dengan berselit niat yang baik beroleh saham akhirat. Ada beza! 

Islam ajar semua perkara dari A-Z. 

Masuk masjid, masuk rumah apatah lagi masuk tandas berbeza caranya. Ada doa dan adabnya. 



24 jam sehari! Banyak sekali salah dan silap yang dibuat, tapi dianggap biasa. Semua itu perlu diambil cakna.

Selalu juga saya ingatkan lagi pada anak-anak...

Seseorang yang disuakan situasi yang sama, jika tindakbalasnya berbeza, maka kesannya berbeza...

Analoginya mudah. Bahan yang sama, diolah dengan cara berbeza, hasilnya berbeza. 

Seperti eksperimen Sains di dalam makmal.
A + B dipanaskan hasilnya C.
A + B ditambah air menghasilkan D.

Apatah lagi jika bahannya diubah, sudah tentu kesannya lagi jauh berbeza. 



Ilmu kena ada. 

Terlebih dahulu perlu diketahui teorinya supaya tindak balas yang berlaku tidak mengundang bencana.  Sedikit kesilapan kecil, boleh menatijahkan kecederaan yang besar. 

Begitu  juga ilmu kehidupan. 

Alam yang luas ini bukan makmal untuk kita buat ujikaji mengikut logik sendiri. Segalanya perlu dirujuk manual dari Ilahi. Al-Quran sudah diwarisi dari generasi ke generasi. Isinya tidak pernah silap dikongsi, dijaga rapi oleh Allah Rabbul Izzati. 

Ada perkara berlaku dalam kawalan kita. Ada yang berlaku sebelum sempat kita berfikir jauh. Dalam hati-hati, terkadang tersilap juga.  

Ketika saya bekerja dahulu, pernah terjadi sesuatu yang tidak terduga kepada seorang rakan. Kesilapannya berpunca dari penggunaan bahan kimia yang sudah biasa baginya. 

Dengan kadar kepekatan bahan yang tinggi, sedikit kesilapan telah mengundang bahaya tanpa disangka. 

Kesannya besar! Rakan tersebut tidak mahu dikunjungi tetamu ketika tempoh rawatan. Semoga kesannya bersifat sementara...

Berbeza bahan dan cara, maka bezalah hasilnya dan kesannya. 

Hidup kita pun begitu. 

Teringat pula kisah berbeza ketika di rumah sewa ketika di alam kampus. Seorang rakan mengadun cekodok dengan air biasa, manakala seorang yang lagi menggunakan air panas. Ternyata hasilnya berbeza. 

Terung goreng kari pula adalah resipi baru dihidangkan kami oleh Mary dari Miri. Bahan yang sama dimasak cara berbeza, rasanya jauh berbeza dibandingkan lauk kebiasaan. Cubalah...

Setiap hari kita dihadapkan dengan perkara baru dalam hidup. Begitu juga teknologi yang mengalami pecutan dinamik dari segi perkembangannya. Namun, perlu diingat sesuatu  itu, baik atau buruk bergantung kepada cara kita olahkannya. 

Ada perkara baru yang baik untuk kita. Ada perkara yang andai tersilap cara, padah hasilnya. 

Umpama kenderaan 
Sebaik mana kenderaan itu
Jika dipandu membuta tuli
Arahnya kelak tahu sendiri!



Wahai anak...

Kita menuju ke arah destinasi yang satu. 

Kenderaan yang tepat
Pemandu yang tepat
Perlu diteliti... 

Jalan kita hanya sehala...
Sirotul mustaqim!



Bukan semua perkara boleh diaplikasikan kaedah cuba jaya. 
Kalau betul mencuba dan berjaya...
Alhamdulillah... 

Sebaliknya, jika benar-benar terjadi seperti yang dimaksudkan dengan "Try and Error". 
Cuba dan salah!
GAGAL!


Begitulah halnya dalam hidup kita. 

Berjaya dan gagal silih berganti. 

Kesannya ditakuti. 

Jika berakhir di dunia
Dan masih boleh dibaiki 

Itu tandanya kita masih diberi peluang lagi. Alhamdulillah.

Jika kesannya sampai akhirat, tiada jalan lain lagi. U-turn atau jalan mati! 

Hanya kepada Allah kita kembali...



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...