Sunday 22 October 2017

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung...


Kita sedang berjalan...


Walau di  mana berada, kita sedang berkongsi bumi yang sama.

Tidak perlu berjalan angkuh, kelak bumi yang dipijak ini juga akan berada di atas kita. 




Al-'Isrā':37 -
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.


Luqmān:18 - "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri

Luqmān:19 - "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".



Mendongak ke langit, jangan kita lupa kaki yang masih berpijak di bumi. Langit sememangnya indah. Bumi juga indah. Bumi tempat kita sujud untuk sampaikan luahan ke langit tinggi. Berbisik pada Allah Yang Satu! Allahu Allah. Kita hanya hamba...



Kita dari tanah dan akan kembali menjadi sebahagian juzuk-juzuk tanah. Walau di bumi mana kita disemadikan, alamnya tetap sama. Hanya amalan dan bekalan menyebabkan nasib berbeza-beza.... 

Si cantik bak ratu pun akan tinggal tengkorak. Tiada yang cantik untuk dibeza-bezakan. Sama! Tengkorak tetap tengkorak. Hanya rangka tulang tanpa daging. Tanpa hidung  mancung dan bibir mongel. Tiada  mata dengan alis menggoda...

Akhirnya walau apa rupa ketika di dunia, tiada masalah lagi. Kulit kusam, muka jerawat... Hitam atau putih.  Itu bukan masalah yang perlu dirisau-risau. 

Masalah besar andai solatnya dulu bagaimana, auratnya untuk siapa dibuka. Ilmu dan bakatnya untuk apa diguna... Cantikkah amalan hidup ketika di dunia...

Jalan sudah sehala. Tidak lagi kembali ke dunia nyata. 



Mati yang terakhir! Hidup baru sedang menunggu. Kekal selamanya... Gerun!

Kita pernah mati. Mati bermakna terpisahnya roh dengan jasad. Kita pernah berada di alam roh sebelum terjah ke alam bumi. Kita pernah berjanji dengan Tuhan. Sebelum roh kita dimsukkan ke rahim Bonda. Kemudian, kita dihidupkan... Roh berpadu jasad!

Kita lupa
Kita lupa alam roh
Kita lupa alam rahim
Kita tidak pernah ingat
Sehingga kita perlu diperingat-ingatkan kembali...



Kita sedang berjalan di alam dunia
Hari bertambah hari
Langkah bertambah langkah
Berbekalkan kalimah syahadah



Kita terus hidup
Kita terus berkelana
Moga kita pulang membawa kalimah ini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...