Wednesday 2 October 2013

Suria Bukit Keluang

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Di mana-mana tetap bumi milik Allah s.w.t. Kita cuba mengadaptasi dengan persekitaran yang ada. 



Alhamdulillah, suria Bukit Keluang amat menceriakan hati. Keindahan tasik berlatarkan Bukit Keluang yang jelas kelihatan menambahkan keindahan. 




Suasana yang sangat damai dan menyejukkan hati. Melihat tenggekan burung-burung pada ranting-ranting pokok seperti lukisan alam yang sangat menarik. 





Betapa cantiknya alam yang Allah Ciptakan. Bunyi kocakan air hasil lompatan ikan-ikan amat jelas di telinga. 

Sesekali kelihatan kepala biawak, muncul menjengah ke permukaan air. Dalam tenang ada peringatan dari Pemilik Alam supaya berhati-hati dan berjaga-jaga. Mungkin ada bahayanya juga.

Angin di sini cukup kuat. Kalau kena harinya, terlingkup semua basikal anak-anak di luar rumah. Bukan itu sahaja, penyidai kain besi pun terbalik sama. Beratnya tidak mampu diangkat mudah oleh seorang yang gagah sekalipun. Yang pelik, boleh terbalik berkali-kali dek penangan tiupan angin Bukit Keluang. Pernah juga kami menyonsongkannya sahaja ke dalam rumah. Penuh satu ruang tamu... 


Ributnya amat menggerunkan. Apatah lagi di musim tengkujuh. Angin yang kuat beserta bunyi deruan yang amat dasyat seolah-olah dunia mahu kiamat. Ketika mula-mula berpindah ke sini, seorang penduduk bercerita dengan semangat sekali, meniru bunyi angin di musim tengkujuh. Kuat dan deras. Bila diingat kembali terasa lucu pula. Sedangkan sewaktu kami berdepan dengan saat itu, amat menggetarkan hati dan perasaan. 

Atap bangunan terbang melayang. Pokok bergoyang, ada yang tumbang. Alhamdulillah, kami terkurung di dalam rumah. Kalau berada di luar, mahunya rasanya seperti diterbangkan angin juga. Pengalaman pertama dalam hidup kami di sini. Apa-apa pun indahnya tetap di rasa.

Begitulah cuaca kehidupan kita. Walau di mana kita, pasti ada lebih dan kurangnya. Bersyukur dengan nikmatNya, bersabar dengan ujian, juga dariNya yang Berkuasa atas segala sesuatu.

Berdoalah kita untuk kebaikan di sana dan di sini...


4 comments:

  1. Subhanallah.. redup mata melihat kehijauan..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, betul tu En. Khir. Tapi ruginya kerana ada tangan-tangan yang mencacatkan keindahan..tasik yang indah berubah wajah. Semoga ada usaha untuk menjalankan konservasi.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak. wahh bestnya duk tganu ya? lama dah tak singgah sana. heeee suasana tepi pantai tu menggamit sheila kak :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikum salam..Sheila, kak tie mmg duk tganu, tp besut ni 3 tahun lebih...Alhamdulillah..Klu datang sini, contact la ye...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...