Monday, 7 October 2013

Hujan batu di Batu Buruk

Cuaca selalu berubah-rubah. Siang malam silih berganti. Itu tanda Kekuasaan Allah. Tiada yang dapat menghalang. Hanya doa yang mampu mengubah takdir.

Saya masih ingat di suatu hari, satu ketika dulu. Ketika saya masih mengajar di Kolej Swasta bergelar KYT. Suami masih jauh di sisi, bertugas sebagai PAD(Pegawai Agama Daerah) di Kemaman. Kami bertukar kereta. Suami memilih kancil putih saya. Saya pula terpaksa membawa Honda hitam miliknya. Besar kereta dari orangnya. 

Pelajar saya ada yang mengusik dan menggelakkan saya. Katanya kereta bergerak sendiri tanpa pemandu. Apa tidaknya, jika dilihat dari arah belakang, kepala saya tidak kelihatan, tenggelam di sebalik kusyen kereta. Tapi apakan daya, hanya kereta buruk yang berjasa itu yang kami ada. Sebesar-besar kereta pun tidak mampu menangkis serangan angin kencang dari Pencipta. Hebatnya Allah yang Maha Kuasa

Hujan lebat beserta angin yang kuat telah menggoyangkan kereta saya ke kiri dan ke kanan di sepanjang Jalan Kuala Ibai. Itulah laluan utama saya apabila pulang kerja untuk menjemput anak-anak yang ditempatkan di Taska Ummu Aqilah. 

Mendung berarak jelas kelihatan apabila saya mula menuruni tangga pejabat. Tidak disangka ribut petang yang amat dasyat berlaku sepanjang perjalanan. Dari Chendering ke Kuala Ibai, adalah laluan pesisir pantai. Setelah melepasi Istana Badariah Batu Buruk, ribut semakin kencang. Langit hitam kelam. Selepas membelok selekoh ke arah kiri, memasuki arah Jalan Kamarudin, tiba-tiba; 'Tang! Tang!'. 

Bumbung kereta dan cermin depan dihujani ketulan batu dari langit. Masya Allah, kali pertama saya melihat hujan batu dalam hidup saya, setelah lebih 30 tahun menjadi penghuni alam ini. Mungkin pada masa kecil, hujan batu pernah berlaku. Namun kini bukan lagi tersimpan di dalam minda fikir saya. 

Antara ajaib dan takut, saya memecut laju untuk cuba sampai secepat yang mungkin. Menumpang teduh bersama anak-anak yang telah seharian ditinggalkan di taska yang sudah semakin hampir. Lama juga saya diam di situ. Sempat melihat gelagat guru dan anak-anak yang masih tinggal sebelum dijemput keluarga.  

Sesungguhnya, Kuasa Allah mengatasi segala. Apa yang berlaku mampu dilakukanNya dengan sekelip mata. Syukur Alhamdulillah, ribut berlalu dengan aman. Suasana kembali tenang. Saya memandu pulang bersama anak-anak yang masih kecil, berusia 3, 4 dan 6 tahun ketika itu.



Kini anak-anak sudah semakin membesar. 10, 11 dan 13 tahun. Di tambah lagi 2 adik baru yang memeriahkan suasana. Ibu semakin tua, ayah juga begitu. Tiada yang ke belakang. Hari sentiasa ke depan. Kedua-dua kereta itu pun bukan lagi milik kami. Harta dunia berubah tangan. Hanya amalan yang kekal untuk di bawa bekal ke sana.

Kami sedang beransur meninggalkan alam ini dari hari ke sehari. Bakal meninggalkan anak-anak dengan dunia baru mereka. Mereka akan membesar, menua seperti kami. Dunia pun berkitar. Apa yang akan mereka saksikan pada hari-hari mendatang, hanya Allah yang tentukan. Semoga bumi ini terus aman. Cuaca berubah adat dunia. Siang berubah malam, itu urusan Allah. Petunjuk, bahawa masa sentiasa beredar. Tidak berhenti walau sesaat.


Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.                                    (Al An'am ayat 96)
Semoga hari-hari menjelma sentiasa memberikan sinar yang terang untuk seluruh buana. Rahmat Allah mengatasi Murkanya. 

Dan KAMI menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.                                    (Al A'raf ayat 84)

 
Bersamalah kita sentiasa berdoa ke arah kebaikan. Untuk dunia kita dan generasi kita. Pastinya doa untuk akhirat buat semua.   








8 comments:

  1. Assalam.. pernah sy dengar ttg hujan batu ni, tp x pernah mengalaminya. Tp klu difikirkan mmg mengerikanlah,, lebih2 lagi klu bersama anan2 & suami tiada.. Nasib baik selamat.. alhamdulillah.

    ReplyDelete
  2. Setiap pengalaman mendewasakan kita seiring penambahan usia. Semoga kita sentiasa dalam naungan kasih sayang Allah.

    ReplyDelete
  3. Betul tu Kak Ain. Terima kasih. Aamiin...

    ReplyDelete
  4. Singgah dah follow sini

    Mari jenguk my blog.. ;)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. Saya tak pernah mengalami kejadian hujan batu macam ni.

    P/S : Tertarik dengan penulisan pada blog ni. Teruskan kongsi cerita2 dan pengalaman2 menarik :)

    ReplyDelete
  6. singgah sini..datang jenguk...^_^

    ReplyDelete
  7. Sekarang ni cuaca agak tak menentu..di besut ni pun, asal petang jer mesti hujan..jarang sekali ribut..emmm

    ReplyDelete
  8. bw sni...mna butang follow blog nie?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...