Monday, 25 September 2017

Al-Quran & Solat




Dalam Al-Quran ada perintah solat
Dalam solat ada ayat Al-Quran
Saling berkait

Islam datang dengan turunnya Iqra'
Surah Al-Alaq petanda kenabian
Gua Hira' menjadi saksi hingga hari ini...

Al-Quran mukjizat sepanjang zaman
Mendengar kalam Allah
Diulang baca dan dihafaz 
Sekelian umat pelusuk alam...


Solat tiang agama
Bermula dengan Isra' Mi'raj
Solat tanda aras insan bertaqwa
Sepanjang hari sepanjang hayat
Perkara pertama yang akan dihisab


Tahun kedukaan...

Kembara Nabi merentas masa
Ajaibnya melangkau zaman

Dari bumi ke bumi
Dari bumi ke langit

Kisahnya termaktub di dalam Al-Quran...

Solat adalah anugerah, ruang bercakap dengan Tuhan

Serahkan hati dan perasaan...

Nikmat bagi seorang mukmin
Alhamdulillah...

Sejak kecil hingga ke peringkat seterusnya, kita didedahkan untuk belajar. Belajar Al-Quran, belajar solat... Tidak ketinggalan belajar ilmu dunia.

Alhamdulillah, ketika menyambungkan pelajaran ke peringkat menengah, ayahanda saya bertegas supaya menerima tawaran SBP, SESMA. Saya hampir menolak dengan alasan lebih ramai sahabat saya ke sekolah terpilih aliran agama. Hanya saya dan seorang pelajar lelaki yang terpilih ke sana...

Di SESMA saya banyak belajar ilmu dalam bilik darjah dan luar kelas. Kelas Al-Quran disediakan pada waktu malam bergilir tingkatan 1-5, Ahad-Khamis. Momen yang sangat manis untuk dikenang...

Seronok sungguh bergilir duduk membaca dalam satu barisan kiri dan kanan. Ustazah di depan, tengah barisan. Datangnya bersama seorang ibu tua yang kami panggil nenek. Adakalanya kami turut berborak-borak dengan nenek yang baik hati. 

Di mana-mana ada ilmu Allah diajarkan di muka bumi...
Seiring ilmu dunia.

Saya seronok sekali bila mendapat berita dari guru penyelaras SPM, sekolah anakanda Muhammad akan membuat kunjungan ke SESMA. 



Hari yang ditunggu tiba dengan rasa sangat sukahati. Anak pergi menimba perkongsian ilmu dari pelajar di sekolah saya dahulu. Terasa seperti saya yang kembali ke situ!

Tambah mengujakan, ketika catatan tentang SESMA sedang ditaip dalam bait-bait di atas, saya terpandang kiriman gambar-gambar secara langsung yang dikirimkan oleh cikgu Najibah ketika mengiringi anak-anak pelajar di sana...



Sungguh, rasa rindu datang menerpa sekelip mata!

Koleksi gambar yang dikirim amat dekat di hati... 






Terpandangkan rona warna 'maroon', teringat 'blazer' berlambang lencana SESMA yang pernah disarung.



Tambah menarik...

Jelas kelihatan Ammar bin Q, (saya ringkaskan namanya) merupakan anak rakan saya ketika di SESMA dahulu. Beliau mengikuti jejak ayahbondanya yang pernah belajar di situ. Anak yang pernah dibesarkan di luar negara kerana mengikuti bonda dan ayahanda mendalami ilmu di bumi Ratu... Ilmu di mana-mana!



Segera saya kongsikan dengan bondanya, Dr. Lina yang kini sudah menyandang gelaran Profesor Madya di universiti dalam negeri. Tempat di mana saya pernah bertugas sebagai Pembantu Penyelidik satu ketika dahulu... Tempat yang sama juga saya kembali menyambung pengajian pasca siswazah. 

Saya berterusan melihat gambar demi gambar.



Segala peralatan dan terma yang pernah digunakan datang menerjah minda. Dulu, saya pernah belajar di situ bersama-sama rakan. Guru yang baik hati menyumbang bakti tanpa jemu. Mereka guru, kami muridnya. 

Ada yang  bertemu jodoh di situ... Pasangan guru ada, pasangan murid juga ramai. Alhamdulillah, bumi berkat... 

Ilmu yang sama pula saya sebarkan untuk anak didik di KOSPINT (Imtiaz Kuala Terengganu kini). Kimia dan fizik. Sayalah guru, merekalah murid...

Saya mengajar pula Biologi setelah ditawarkan mengajar di KYT (UiTM). Pengalaman menuntut BSc.Hons (Genetics) di bumi Universiti Malaya tidak mahu disia-sia begitu sahaja...

Kenangan belajar dan mengajar tidak pernah luput dari jiwa. Indahnya terasa. Tanpa sedar tersenyum bahagia...

Proses berulang... 
Anak-anak didik itulah pula yang sedang menyumbang bakti di setiap ceruk rantau tanah air. Alhamdulillah, biiznillah...

Fizik, Kimia, Biologi dan apa sahaja. 
Ilmu perlu ditimba!
Ilmu agama perlu di cari...

Ilmu di sini sana...
Belajarlah walau di mana...
Berbaktilah selagi daya dan punya usia...
Asal sahaja Al-Quran dan solat ditinggal jangan...

Saturday, 23 September 2017

Hati-hati Itu Perlu


Apa ada pada hati?

Banyak perkataan boleh terbit dari sepatah perkataan 'hati'. 

Suka hati, sakit hati, kecil hati, besar hati, senang hati, susah hati.

Bila digandakan menjadi hati-hati, terlalu jauh maksudnya lari.

Seronok bermain bahasa, ibarat bermain teka-teki...

Laki sememangnya laki-laki
Gila bukannya gila-gila
Gula tak sama dengan gula-gula
Kuda dan kuda-kuda berbeza
Orang tak mungkin jadi orang-orang


Sumber : http://www.thefullwiki.org/Scarecrow
Hati-hati dengan hati. Hati punca segala!
Hati-hati juga dengan tindakan kita. Hati-hati dengan segala deria. Deria rasa dan apa sahaja...

Dari mata jatuh ke hati. Dari hati terjadi segala. Hati menjadi raja jika akal tidak segera berkuasa.

Lantaran itu, orang tua dahulu kala pernah berkata, "Ikut hati, mati. Ikut nafsu, lesu..." Benar atau tidaknya tidak diuji mengikut kaedah biologi. Sesekali dipandang pada situasi, terkadang ada benarnya juga.

Pesan Nabi tentang hati tidak perlu disangsi.
http://www.alhayyan.com/2017/01/seketul-daging-itu-adalah-hati/

Kenapa seketul bukan sekeping? Serahkan pada pakar...
Pakar bahasa atau mungkin, pakar anatomi...

Itu soal hati. Sifatnya berbolak balik... Doa sebagai perisai menjadi senjata pertahanan diri.


http://rinindrimentres.blogspot.my/2015_12_01_archive.html
Hidayah Allah sentiasa kita pohonkan. Untuk diri, insan terhampir dan semua...


https://www.pinterest.com/pin/546624473495217802/
Semoga iman sentiasa di hati... Iman tidak boleh diwarisi, tapi iman perlu dipahat di dalam hati. Hati yang disuburi baja iman akan membuahkan akhlak mulia yang terpancar pada gerak geri... Akhlak itu yang akan diwarisi, mencetus situasi untuk dicontohi. 



Hati-hati mencari buah hati. 
Dari buah adanya biji yang menjadi benih. 
Dari buah hati yang bersatu akan melahirkan benih kehidupan yang baru...

Segala yang telah, sedang dan akan berlaku semuanya sudah dirancang Tuhan. Namun, sebagai hamba, kita masih boleh meminta-minta. Takdir yang tersurat boleh berubah asbab doa. Allah boleh buat apa sahaja...

Kita doa berjumpa dengan insan yang baik, dikurniakan zuriat yang baik. 

Kita tidak boleh memilih siapa ibu bapa kita. Tapi, kita masih ada ruang membuat pilihan siapakah yang akan menjadi ibu ayah anak-anak kita...

Kita tidak boleh pilih di manakah tempat untuk kita dilahirkan. Namun, kita masih memilih tempat untuk mengembangbiakkan zuriat.

Alhamdulillah, nikmat yang paling besar bagi seorang insan... Dilahirkan dalam nikmat iman dan Islam. Ibu bapa Islam, suasana Islam. Lahirnya diazankan dan diberi pendidikan. Terlalu besar jasa ayah bonda yang membesarkan dan mendoakan...

Segalanya berlaku dengan izin Allah. Jika sehabis doa, tidak termakbul jua, itu Tuhan punya kuasa. Serahkan pada-Nya...

Dalam sebuah hadis riwayat imam Ahmad dari Abu Said al-Khudri,
 Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim melainkan Allah akan beri padanya tiga hal:
[1] Allah akan segera mengabulkan doanya,
[2] Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan
[3] Allah akan menghindarkan darinya keburukkan yang semisal.”

Para sahabat lantas mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyak berdo’a.” 
Nabi SAW lantas bersabda, “Allah nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kalian.” (HR. Ahmad 3/18. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanadnya jayyid).
Sumber : http://www.islamituindah.my/cara-allah-swt-kabulkan-doa-doa-kita
Dari lahir, membesar dan dewasa... hidup kita banyak dipengaruhi doa. Terutamanya doa ibu bapa. Ketika di alam rahim lagi, seorang ibu mahu pun ayah, bahkan seluruh insan sekeliling mengharapkan insan baru kelak, sempurna kejadiaannya. 
Namun, yang diuji tetap teruji.
Ada yang ditakdirkan kembali ke bumi sebelum mengenal alam bumi. Di dalam perut, bayi sudah disahkan meninggal.
Tidak dapat saya bayangkan si ibu yang menahan hiba melahirkan anak yang tidak bernyawa... Anak ke syurga, itu pastinya! Mungkin itulah pengubat hati untuk terus menempuh hari muka...
Ada pula yang ditakdirkan lahir sebagai insan OKU (Insan Kelainan Upaya). Apalagi yang boleh dikesalkan, melainkan berdoa agar dimudahkan urusan...
Hanya doa menjadi ubat penenang dan peransang. Agar hati masih mengharap pada Tuhan. Hanya Tuhan yang beri kebahagiaan...
Banyak kisah di zaman Nabi yang begitu menginsafkan... Seorang wanita memohon didoakan Nabi. Jawapan baginda SAW menyebabkan beliau berubah pilihan. Terus bertahan...
‘Atha’ bin Abu Rabah berkata: Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata kepada: Mahukah engkau jika aku tunjukkan seorang wanita daripada kalangan penghuni syurga. Aku menjawab: Sudah pasti ! Ibn ‘Abbas berkata: 

'Inilah perempuan kulit hitam yang datang berjumpa Rasulullah SAW, lalu dia berkata kepada baginda :

"Sesungguhnya aku menghidapi penyakit sawan (lalu apabila sawan ku datang), aurat aku akan terbuka. Doalah kepada Allah untuk diri ku."

Baginda SAW menjawab : Jika engkau mahu, engkau boleh bersabar, dan untuk engkau syurga. Jika engkau mahu, aku akan mendoakan engkau. Allah akan menyembuhkan engkau. 
Wanita itu berkata : " Aku akan bersabar, tetapi aku sering terbuka aurat (bila penyakit sawan datang). Berdoalah kepada Allah agar aurat aku tidak akan terbuka."
Maka Rasulullah SAW mendoakan beliau.'
[Sahih al-Bukhari, (كتاب المرضى) Kitab Pesakit, (باب فَضْلِ مَنْ يُصْرَعُ مِنَ الرِّيحِ) Bab Kelebihan Orang Menghidap Penyakit Sawan, hadis no : 5220]

Sumber : http://halaqah-an-nur.blogspot.my/2013/10/wanita-hitam-penghuni-syurga.html

Begitulah iktibar kehidupan...

Thursday, 21 September 2017

Kiri atau Kanan


Ke kiri rumah pak lebai
Ke kanan rumah pak imam
Itu kisah di dalam cerita

Ke kiri jalan kampung
Ke kanan merentang lebuhraya
Mana yang kita pilih

Ke kiri neraka
Ke kanan syurga
Hanya satu jalan
Yang kita perlu!

Di mana kita, apa yang kita buat... Semuanya saling berkait. Niat itu yang utama!

Kita mencari tempat yang baik.
Andai takdir menetapkan kita di tempat yang kita rasakan kurang baik mengikut kacamata kita... 
Lalu, bagaimana hati kita? Membenci sebencinya, atau cuba memujuk hati, menerima dengan redha seadanya...

Hidup sentiasa ada pilihan. Namun, sesekali kita terpempan! Tiada pilihan. Hidup atau mati! Bak kata Ustaz Dusuki Abd Rani dalam slot radio IKIM.fm... 

"Nak mati pun, kita mati...
Tak nak mati, pun kita mati..."

Selagi kita diberi peluang oleh Allah dalam sebarang keadaan, maka kita sememangnya ingin pilih  yang terbaik. 
Alhamdulillah, apa yang kita hendak, selari dengan apa yang kita dapat. Bahkan, seindah yang kita bayang.

Namun, hidup manusia sentiasa diuji. Tidak namanya manusia tanpa ujian. Yang indah-indah sahaja semuanya hanya di syurga. 

Asal sahaja, kita jangan buat pilihan yang salah, setiap yang berlaku terkandung hikmah. Dalam hidup kita ini, nikmat juga ujian. Apatah lagi musibah. Namun, dalam musibah masih ada rahmat Tuhan andai kita masih bersangka  baik dengan Allah SWT, Pencipta segala....

Di akhirat nanti, Allah sudah kisahkan ada alim yang tempatnya di neraka. Nauzubillah! Ujian hati, bukannya mudah untuk ditelah. Sudah berbuat baik segalanya, namun hati pula terdetik rasa jahat dan nista... Akhirnya, padah kesannya.

Kalau si alim, juga ke neraka... apatah lagi jika si pendosa yang terang-terangan berani berbuat noda. Ujian sungguh hidup ini. Baik salah, jahat lagilah salah. Nikmat ujian, musibah juga ujian. Lalu, kita mahu buat apa?

Ya! Kita perlu selalu buat baik, tapi syarat utamanya dengan niat yang baik-baik. Andai sesekali kita tersilap langkah, tiada cara lain, melainkan taubat nasuha! Kembali ke pangkal jalan...

Kita manusia biasa. Di bahu kiri tertenggek syaitan yang ingin menggoda. Di bahu kanan, Allah sediakan malaikat yang cuba menarik ke syurga. Hanya ada syurga, ada neraka. Itu pilihan kita. Namun, jalan yang kita pilih hari ini, menentukan segala. Dengan rahmat Allah, beruntunglah manusia yang dipilih ke jannah terjamin bahagia!

Kita cuba, kita usaha. Ke mana jalan kita...

Sepanjang saya menjadi anak, kemudian menjadi ibu...
Selepasnya menjadi pelajar dan akhirnya mengajar...

Banyak sekali iktibar kehidupan dalam hidup ini.

Kita cuba sehabis baik, namun kita juga ada kalanya tidak baik.

Maka, rukun untuk menjadi baik perlu kita patuhi.

Guru yang baik perlu dicari. Rakan yang baik itu sangat perlu. Suasana yang baik itu semestinya...

Namun, tidak selalunya rupa seindah kata. Ada kalanya, harapkan pagar, pagar makan padi... Itu biasa sahaja terjadi.

Lalu, apa lagi....

Kita usaha lagi... usaha bahagian kita. Yang Memberi hanyalah Dia, Tuhan yang Maha Segala...

Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah ada berfirman, kejadian manusia disempurnakan dan ada yang tidak  disempurnakan untuk membuktikan kuasanya Tuhan. 


Al-Ĥaj:5
Itu peringkat alam pertama, di dalam  rahim bonda! Ujian sudah bermula...
Apatah lagi di alam dunia yang penuh pancaroba.
Hidup kita diuji lagi dan lagi...
Sehingga nyawa tiada lagi.

Dan sesungguhnya alam kubur itu adalah ujian Maha Hebat andainyanya tiada persediaan yang cukup lengkap. 
Apatah lagi alam akhirat yang kekal abadi!
Bekal perlu dicari lagi dan  lagi...

Al-Ĥaj:5 - Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.








Wednesday, 20 September 2017

Jalan Terus


Dunia luas tanpa sempadan
Jalan luas terbentang
Darat, laut dan udara
Manusia terus berkelana

Jalan terus
Jalannya ke depan
Tinggalkan yang semalam
Bawa memori di sanubari...


40 tahun telah berlalu... Masa kian singkat untuk teruskan musafir. Bumi masih hijau, langit masih biru. Jalannya mungkin tinggal lagi berbatu-batu. Atau mungkin juga, batu nisan sudah sedia menunggu...


Suatu hari, kita toleh belakang... 
Hati berdetik, 'aku pernah di situ...'

Ada jalannya rata mudah dilalu. Ada ketikanya tidak begitu. Langit juga mendung, bumi juga kelam. Cuaca berubah.


Namun, kelana tidak terhenti. Jalannya terus... Bertemankan insan bahagia di sisi... Terus berdiri dan berlari tanpa henti...


Teringat kisah ketika kami sekeluarga berkunjung ke rumah kakak suami, Kak Dah di Seremban. Untuk keluar ke bandar, kami mempelawa anak saudara, Hanif turut serta. Walaupun anak kecil, mungkin sahaja boleh tunjukkan arah yang sudah biasa baginya sekeluarga.

Apa yang lucu...

Sepanjang jalan apabila kami mengusik tanya, "Manakah arah yang perlu dituju?". 

Tiada jawapan lain yang diberi...

Hanya, "Jalan terus..."

Saya terkekek ketawa. Betul sungguh katanya! Walaupun kereta kami perlu menyimpang ke kiri dan ke kanan, kami tetap jalan terus. Tidak sesekali mengundur ke belakang!

Begitu juga hidup kita. Hari tetap ke depan. Yang semalam terpahat memori.

Saya terkenang satu ketika di KOSPINT (kini bergelar Imtiaz Kuala Terengganu). Di depan anak-anak didik yang dikasihi, saya nyatakan hasrat hati.

"Saya ingin suatu hari nanti, Muhammad bersekolah di sini". 

Saya teruja melihat anak-anak pelajar yang bersungguh mendalami ilmu. Ilmunya sukar. Subjek sains tulen ditambah subjek agama tinggi. Saya sendiri tewas, walau hanya dengan Fizik, Kimia dan Biologi. Apatah lagi jika ditambah ilmu lain lagi... 

Mereka bukan sahaja pintar, tapi baik akhlak dan budi. Itu yang jadi penyejuk hati. Hingga tergerak hati untuk menyekolahkan anak sendiri di tempat saya sedang berbakti.

Lucu! Ketika itu Muhammad baru berusia setahun dua. Ibunya pula telah  jauh memasang angan mencipta laluan yang memakan masa bertahun-tahun lagi.

Takdir Allah siapa yang tahu...

Setelah usianya 17 tahun, saya tersenyum membaca mesej yang terpapar. Kenangan lama mengimbau kembali! 

KOSPINT! Anakku tetap pergi... pergi mencari bekal untuk diisi. Kem Gemilang Bersiri sedang menanti...


Alangkah riangnya hati. Nama KOSPINT sudah tiada lagi. Namun tempatnya masih tersergam. Bangunannya masih sama. Silibusnya masih sama. Namun, telah ditambah lagi ilmu baru untuk penguat diri. Pelajar diwajibkan menghafaz Al-Quran. 

KOSPINT yang dulunya Kolej Sains dan Pendidikan Islam Terengganu bertukar identiti. Imtiaz Kuala Terengganu mula dikenali...

Muhammad dari Imtiaz Besut beserta semua rakan dari seluruh Imtiaz dari pelbagai daerah dalam negeri menghadiri sesi bersiri yang bertukar-tukar lokasi.

Muhammad sendiri dulunya bermula pengajian di Sekolah Imtiaz Dungun. Setelah tiga tahun di situ, rayuan bersiri kami di dengari pentadbir di langit dan di bumi. Muhammad berpeluang pulang ke sekolah Imtiaz yang sangat hampir dengan rumah sendiri. 

Alhamdulillah, nikmat yang sangat kami sekeluarga syukuri. Apatah lagi, telah menunggu di situ, adiknya Amin yang diberi peluang lebih awal oleh Allah SWT untuk berada di bumi Imtiaz Besut. Nikmat berganda bagi kami. Muhammad tingkatan 4, Amin tingkatan 1 berkongsi bumbung yang sama.



Mukminah kekal tingkatan 2 di sekolah pilihan istikharah kami. Tidak berganjak lagi.  Setia di situ, menanti hingga PT3 tidak lama lagi...



Mereka bertiga semuanya bersekolah rendah di sekolah rendah yang sama. Dari SK Paya Resak di Kuala Terengganu berpindah ke SK Permaisuri Nur Zahirah, Besut.

Hidup perlu diteruskan... Jalan terus!

Pesan saya kepada anak-anak dan saudara...
Biarpun di mana sekolah kita, yang penting masuk syurga!

Kita doa, kita usaha.
Ilmu biar bermanfaat
Al-Quran jangan tinggal...



Semoga jalan yang kita pilih adalah jalan yang lurus.
Walaupun hidup penuh liku!
Jalan terus...




Tuesday, 19 September 2017

Fasa Hidup Yang Berubah

Fasa hidup 
Yang berubah
Dan kian berubah-ubah
Sehingga tiada noktah
Hanya di sini sana tempat singgah!

Kita...
Dari tiada menjadi ada
Kemudian, bakal tiada kembali

Wujud semula!

Manusia...
Berkumpul semua, dari awal dunia
Hingga dunia paling akhir

Bayangkan!
Betapa ramainya manusia
Betapa gamatnya suasana

Mereka...
Seperti kita, tiada beza
Yang beza cuma taqwa
Mencorak hidup baru

Cantik atau sebaliknya
Ria atau gundah
Mudah, payah atau renyah...

Adakah masih di sisi
Yang dikasihi sepenuh hati
Yang disayang bukan kepalang

Aku & dikau...
Dia & kita...
Kami & mereka...

Agar dapat
Sama-sama berganding tangan
Melangkah ke tempat indah...

Biiznillah!

Kita doakan yang terbaik untuk dunia kita, akhirat kita...


Dunia memang sementara. Namun, sementaranya dunia cukup mengujakan. Kita bahagia mengenal ibu ayah, insan pertama dalam hidup. Ibu ayah gembira menerima kita. Ini kisah biasa. Biasa yang bahagia dan membahagiakan...

Walaupun di sudut kehidupan, wujud kisah-kisah yang tak mampu dicerna minda. Anak merintih tidak dipinta lahir ke dunia. Ibu bersedih, ayah berduka menerima orang baru. Bermacam kisah dan rencam kehidupan. Nauzubillah...

Bersyukur dengan takdir yang indah. 

Hidup berkitar. Dulu kita anak, sekarang kita 'bapak'. Dulu ibu ayah ada kita, sekarang ibu ayah ada anak-anak kita. Mereka beralih pangkat. Diberi rasa apa yang datuk nenek kita nikmati. Memanjakan cucu mengalahkan anak sendiri. Itu yang selalu diperkatakan sebagai teori yang tidak diuji...
Apa pun cara, kita pernah bahagia disayangi ibu & ayah, nenek & 'tokki'.

Dulu kita di rahim bonda, kini kita singgah di dunia. Ada antara kita yang diberi rasa. Rasa bagaimana adanya insan di dalam diri. Manusia di dalam rahim manusia...

Namun...
Kita semua sama, tiada yang pernah ingat...
Bagaimana kita berenang bergelut hidup di alam pertama. Alam sebelum menjengah pancaroba dunia! Alam asing yang semua manusia pernah rasa namun semuanya lupa selupa-lupanya... 
Tiada yang diberi kuasa oleh Allah untuk mengimbau zaman itu!

Hanya cerita ibu yang anak dengari. Cerita si anak menendang si ibu. Terkesima si ayah disisi!
Biarlah... biarlah ianya berlalu di alam itu... 

Alam dunia kita lewati...

Saya sendiri lahir di Marang, suami di Dungun. Lebih 20 tahun kemudian, kami disatukan di Kuala Terengganu. Setelah hampir 20 tahun selepas itu... 
Kami sekarang di Besut!




Anak-anak saya semuanya lahir ketika kami berlainan tempat tinggal. Hanya pasangan kecil Ali&Abi yang lahir ketika kami bermukim sementara di sini. Satu daerah di hujung utara Terengganu. Bukit Keluang yang cukup menawan...




Muhammad wujudnya ketika saya bekerja di UMT. Mukminah ketika di IMTIAZ. Amin ketika di SK Maras dan akhirnya Auliya ketika di UiTM. Semuanya waktu saya masih bekerja...

Fasa belajar dan bekerja dalam hidup saya sudah tamat. Namun, ilmu tidak pernah habis untuk ditambah tanpa jemu. Kerja tidak pernah habis untuk dibuat tanpa bersisa...

Sekarang, giliran anak-anak menimba ilmu, bakal mencari kerja dan membina kehidupan berkeluarga... Berdepan dengan dunia luas. Indah dan gundah bersilih ganti. Pelengkap rasa insan biasa.

Bertemu dan berpisah sementara di dunia kerana Allah.
Hidup berpindah randah, hanya daerah yang berubah.
Hidup berpindah alam, segalanya berubah.

Mencari bekal yang kekal itu yang utama...


Ilmu dan amal. Ilmu dunia ilmu akhirat. Amal untuk dunia, amal untuk akhirat. Belajar dan bekerja selagi daya. Itu semua ibadat yang dihitung pahala andai niatnya betul. Selari dan seiring, niat dan apa yang dibuat.

Sebaik-baik manusia adalah yang belajar dan mengajarkan al-Quran. Semoga, walaupun siapa kita, tetap salah satu kategori.

Belajar untuk diri dan mungkin mengajarkan anak sendiri. Hatta, belajar bersama-sama anak sendiri. Berguru dengan guru yang sama. Gurumu guruku jua. Belajar silibus yang mungkin sama. 


Al-Quran tidak pernah berubah. Namun, semakin belajar, semakin banyak apa yang perlu ditambah. Tambah baik bacaan, fahaman dan hafazan... 

Alangkah indahnya!
Alhamdulillah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...