Thursday, 14 November 2013

Tetamu Teratak Kecil di Pinggir Tasik

Alhamdulillah, setelah sekian lama berhijrah ke sini, tetamu datang bersilih ganti

Dalam tempoh lebih 3 tahun, tetamu yang datang amat menggembirakan kami. 


Selalunya di kalangan adik beradik dan saudara mara. Alangkah gembira bila ibu dan ayah juga berpeluang sama. 

Ahli keluarga yang berkonvoi kenduri kahwin anak saudara di Kelantan turut pernah singgah seketika sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dungun. Meriahnya masih terasa hingga ke hari ini.


Pasangan 6 anak, Cikgu Khairi (anak saudara suami) dan Ustazah Saba bersama ibu ayah turut singgah berziarah ketika datang menjemput adik yang belajar di Kelantan.

Sememangnya, Besut menjadi laluan utama ke Kelantan atau Utara. Jadi, ada di kalangan rakan yang dalam perjalanan pulang atau pergi Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang sempat singgah bertandang. 

Pasangan rakan SESMA, Rohani Malik dan Saifuddin turut membawa Bonda dan keluarga dari Kelantan mengunjungi kami. Walau pun mereka tinggal jauh di Shah Alam, kesempatan cuti yang ada menemukan kami di sini.  Gembira bukan kepalang anak-anak kecil mereka melihat ada tasik di tepi rumah.

Sahabat JAKIM suami, Ustaz Zaki dan Ustazah Najmiah (pasangan Terengganu yang menetap di Kuala Lumpur) turut sama singgah bertamu bersama Bonda tersayang ke teratak kecil kami. Terasa sejuk hati bila kanak-kanak dan orang tua sentiasa datang mengunjungi kami.  

Sahabat saya, Faizah Yang (UiTM Arau) dan sahabat suami, saudara Mansor (Pulau Pinang) juga sempat singgah seketika dalam perjalanan ke destinasi mereka sekeluarga.

Begitu juga rakan dan saudara mara yang terlibat dengan urusan temuduga anak-anak di  MRSM Ulul Albab. Hanya kira-kira 2 km dari kediaman kami, Ustazah Rubiah Abu Bakar (UiTM K. Trg), Kak Mah (Kuantan) dan Kak Han (Bukit Besi) tidak keberatan datang bertamu. Kak Hasyaniza Yahya (UiTM K. Trg) bersama anakandanya dan rakan-rakan hafizah Imtiaz Besut turut  bertamu ketika perjalanan pulang dari asrama.  

Peserta, urusetia dan penceramah kursus juga sebahagian tetamu kami. Kak Ani (staf Imtiaz K.Trg KOSPINT) yang datang berkursus tidak menyangka bertemu saya di sini, satu kebetulan yang sudah dirancang olehNya... 

Rakan kerja suami, urusetia dari KPM (Kak Bie) dan MOA (Kak Ani) juga antara tetamu yang singgah. Ustaz Din, penceramah kursus turut singgah sejenak bersama keluarga.


Saat manis, rombongan 1 bas dari UiTM Kuala Terengganu yang diiringi oleh Puan Adida Muhammad dan Miss Sarina Mohamad datang menjalankan kerja lapangan Biologi di Tasik ILIM. Semua mereka menjadi tetamu di teratak kecil di pinggir tasik.

Walaupun semua mereka hanya singgah bertamu sebentar cuma, keberkatannya cukup terasa. Kemesraan indah terjalin. 
Hanya adik-beradik saya dan saudara terdekat yang sempat bermalam sehari dua.
Kesempatan yang ada, kami gunakan sepenuhnya. Tempat menarik mesti dikunjungi. Pantai Bukit Keluang menjadi agenda wajib. 

Kalau tidak ke pantai, sungai juga menjadi destinasi pilihan. Sungai yang bersambung ke muara merupakan lubuk bagi pemancing, amat mendamaikan. 

Paling tidak pun, kami membawa anak-anak kecil bermandi kolam di Bukit Keluang Beach Resort di seberang jalan sana. 
 

Saat indah bersama keluarga sungguh terasa....Alhamdulillah.


Friday, 1 November 2013

Haruan Tasik Bukit Keluang

Tercampak ke Bukit Keluang, ibarat syurga dunia bagi anak-anak. Selama ini sibuk dicarinya lopak-lopak berair di dalam sawah untuk menangguk ikan. Kini tidak lagi. Bukan lopak yang tersedia, tapi tasik seluas ikan-ikan berenang bebas.
 



Anak sulong, Muhammad di Tahun 4 ketika mula berpindah ke sini. Nostalgia dia hilang ketika menunggu saya yang pulang lewat kerja hanya tinggal kenangan dalam era kerjaya. Suatu ketika dulu, saya pernah kecut perut bila dia yang dicari-cari tidak tahu ke mana. Hati seorang anak kecil mungkin merasa kesunyian menunggu ibu yang pulang dari kerja, menunggu-nunggu setiap hari. Jam 5 hingga jam 6 kadang-kadang terlajak ke jam 7 satu penyeksaan baginya, mungkin.

Akhirnya, diikutnya rakan sekolah yang pulang, keluar semula bersama mereka menikmati hidup sebagai budak kampung. Bermain layang-layang, mandi sungai, mencari ikan dan sebagainya. Baju sekolah bertukar corak dan warna. Kotoran yang tidak mampu dikalahkan oleh 'trojan'. 


Di sini, urusan saya mudah. Balik sekolah dijemput awal, masa santai anak-anak bebas keluar bermain-main atau memancing di tepi rumah. Bukan sedikit hasil tangkapan. Boleh dibuat belanja bagi yang berniaga. 


Kami turut membawa ikan-ikan tersebut pulang ke kampung, menjadi rezeki ramai. Bangga pula si Muhammad dan Amin bila menjadi usikan ramai sebagai pemancing cilik. 

Sudah lebih 3 tahun kami di sini, sudah banyak hasil dapat dikongsi bersama. Pernah suatu ketika dulu, Muhamad mendapat seekor haruan yang sangat besar, cukup dibuat lauk. Kami sepakat memberikannya sahaja kepada pengawal yang bertugas. Apa yang menarik, seekor yang diberi, hampir 10 ekor lagi yang mengena joran. Benar sekali apa yang dijanji Allah, rezeki bertambah bila dikongsi bersama. 

Kadang-kadang tetamu yang datang turut mengambil peluang berekreasi di tepi tasik sambil mencuba nasib. 



Tidak cukup dengan tasik di tepi rumah, mereka beransur ke sungai atau ke pantai pula. 
 



Sungai Keluang dan Pantai Bukit Keluang menjadi destinasi pakej memancing. Hasil tangkapan terus dimasak menjadi lauk hari itu. Meriah bercampur seronok pula bila beramai-ramai merasa juadah bersama, hasil tangkapan tetamu sendiri. Tetamu pula yang merasa bangga.

Hasil terkini semasa entry ini ditulis, sambil bersiap-siap untuk balik kampung, Amin sempat lagi membaling joran ke tasik. Tidak sampai setengah jam, dua ekor haruan sempat dinaikkan. Alhamdulillah. Rezeki siapa agaknya...



Wednesday, 23 October 2013

Rezeki Tasik Kenyir

Program bersama penuntut Diploma Sains UiTM membawa saya ke Tasik Kenyir. Saya dan Puan Adida Muhammud yang sama-sama bertugas sebagai Pensyarah Biologi menggalas tugas sebagai Pensyarah Pengiring. Kerja lapangan wajib dijalankan sebagai memenuhi keperluan kursus. Tasik Kenyir menjadi pilihan kerana ekosistem yang bertepatan dengan silibus yang telah ditetapkan. 

Menjamu hidangan sebelum menaiki bot


Sudah lama saya tidak ke sana. Kali terakhir pun semasa di Universiti Malaya. Ketika itu saya bersama Exco PERMATA (Persatuan Anak Terengganu) membuat lawatan tapak untuk program yang bakal dianjurkan.


Peluang berkunjung semula ke tempat menarik tersebut tidak saya sia-siakan. Kesempatan yang ada, saya mengajak adik saya, Azmi yang memang kaki pancing. Sudah selalu sangat dia ke sana bersama kawan-kawannya. Ini peluangnya untuk saya mengajak isterinya, Ida serta anak kecilnya (Atilia, 2 tahun) sebaya anak saya, Auliya turut serta bersama. 
 
Menunggu bot

Kebetulan merekalah sebenarnya yang bersedia menjadi pengasuh bidan terjun setelah saya terkial-kial mencari tempat menumpang bagi anak-anak setelah beberapa siri cubaan tidak berjaya. Tamatnya  kontrak 2 tahun pembantu rumah ke 3, anak-anak diasuh pula gadis tempatan yang tinggal bersama di rumah. 

Tidak lama, berpindah pula ke Taska berhampiran. Sesi cuba jaya akhirnya berpindah ke adik sendiri. Sebagai menghargai jasa mereka, saya menghadiahkan mereka pakej bercuti di Tasik Kenyir. Segalanya ditanggung beres. 




Saya juga turut mengajak bersama adik-adik 'kecil' saya. Mereka menjadi teman kepada anak-anak saya. Ketika itu, suami masih bertugas di Putrajaya. Sekurang-kurangnya kehadiran ahli keluarga memudahkan urusan saya.
 
RPP Tasik Kenyir

Sememangnya kaki pancing seperti adik saya tidak melepaskan peluang yang ada. Joran sudah di tangan, apalagi masa yang ada tidak disia-siakan. Alhamdulillah, rezeki besar, seekor toman menjadi hidangan pada malam itu. Gembira sungguh nampaknya ahli rombongan dapat merasa ikan bakar segar dari Tasik Kenyir.
 
"Ayahchik, Tolong!!.., Auliya takut ikan"

Amin & Pokda tumpang glamour si Toman

Segalanya tinggal dalam kenangan. Penuntut Diploma Sains sudah menggengam Ijazah, Azmi&Ida sudah beranak 3, adik-adik 'kecil' saya dah pun dewasa. Muni, jauh di bumi Yaman, bakal bergelar ibu. Hafiz sudah pun bekerja di KSB, Kemaman dan adik bongsu, Fikri sudah pun di Tahun Akhir alam persekolahan. Auliya pun sudah berusia 6 tahun dan mendapat adik baru, Ali (2 tahun).

Tasik Kenyir penuh rezeki buat semua....





Sunday, 20 October 2013

Tragedi tengkujuh di Gua Musang

Alhamdulillah. Masih bersisa usia ini. Sekiranya tidak, mungkin sudah hampir 1 tahun tahun yang lalu saya telah meninggalkan alam ini. Berpantang maut sebelum ajal. Itulah juga yang disebut Allah swt di dalam al-Quran


Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

Namun, ajal yang mendepan adalah rahsiaNya. Tidak diketahui empunya diri. Mungkin pula tidak sampai sesaat jua pun lagi masa yang tinggal. Segala-galanya mungkin berlaku. Segala-galanya dalam perancanganNya. Kita doakan yang terbaik.

Hampir setahun yang lalu di musim tengkujuh, kami sekeluarga memulakan perjalanan ke Gua Musang. KESEDAR Inn menjadi destinasi. 



Memenuhi jemputan program bagi suami, seolah-olah percutian keluarga di musim cuti sekolah bagi kami. Apatah lagi anak sulong pula baru sahaja merdeka dari hempas pulas menduduki UPSR. Peluang yang datang tidak dilepaskan. 

Undangan program di sana disambut baik oleh suami. Sememangnya itu tugasnya, memenuhi jemputan rasmi bagi program jabatan. 




Saya dan anak-anak tumpang sekaki. Kami 7 beranak meredah banjir, mencari jalan-jalan alternatif supaya tidak tersekat di pertengahan jalan. Lintasan air yang merentasi jalan kami harungi bersama. 

Di dalam perut MPV putih, kami sentiasa mengharap, berdoa dan pasrah agar perjalanan kami selamat sampai dan kembali. Hujan dari langit mencurah-curah. Program yang telah dirancang tidak dapat dibatal atau ditunda lagi. Selagi ada jalan, selagi itu program tetap diteruskan. Kami turut nekad. 

Dalam sedikit kegusaran, kami masih teruja meneruskan perjalanan. Suasana banjir di pinggir jalan cukup menarik. Sawah padi penuh berendam air. Orang muda berkumpul beramai-ramai menjala ikan. Rezeki di musim tengkujuh. Rahmat Allah di mana-mana, bila-bila masa. Nelayan tidak ke laut, ikan laut payah dicari, ikan 'darat' menjadi ganti. Segar sesegarnya. Melompat-lompat hingga ke tetakan pisau terakhir. 

Kami terpesona melihat keindahan alam ciptaan Tuhan Rabbul Izzati. Walau dalam susah, dalam payah masih ada yang bergembira. Perjalanan kami teruskan. Dari petang, menginjak maghrib. Rembang senja kelam bersama gelapnya rintik-rintik hujan menjelang malam. 

Kami singgah jama' dan qasar di sebuah masjid. Bangunan yang masih dalam pembinaan dan memerlukan sumbangan orang ramai. Besar sungguh jasa mereka yang merancang, membina dan menyumbang sehingga tertegaknya sebuah masjid sebesar itu. Cukup menampung jemaah yang ramai. 

Semoga pahala jariah sentiasa mengalir dan tertegaknya istana di syurga bagi insan-insan mulia yang tidak lokek harta, masa dan tenaga bagi memastikan Rumah Allah tertegak di mana-mana. Syiar Islam berkembang. Tinggal lagi kita semua untuk mengimarahkan masjid yang ada di sana sini. Hati kami tersentuh.

Destinasi kami masih jauh. Hitam gelap pekat malam menyukarkan pandangan. Namun kenderaan tetap bertali arus. Ramai sungguh yang berkelana di bumi Allah. Mungkin ada di antara mereka yang hanya berkenderaan untuk jarak dekat dan tidak kurang kurang juga musafir seperti kami. Gua Musang sudah diketahui umum merupakan laluan utama ke Kuala Lumpur bagi mereka yang berada di sebelah Kelantan dan Besut. 

Sudah jauh kami tinggalkan Bukit Keluang. Masih jauh lagi jaraknya ke depan. Anak-anak mula menyambung lena. Suasana sejuk menambah keasyikkan beradu. Saya tetap cuba untuk cerah mata menemani suami memandu. Bayi kecil yang sudah berusia lebih setahun turut lena di ribaan.

Tiba-tiba, "Pranggg!!!..". Terkejut bukan kepalang. Jantung seakan tercabut. Debarnya bukan kepalang. Anak-anak di belakang menjengah kepala, mengintai ke depan. Terkejut dengan apa yang berlaku. Ya Allah, Alhamdulillah...Syukur sesyukurnya. 

Saya melihat keluar, rangka cermin sisi sedikit patah. Saya merendahkan cermin tingkap yang tiba-tiba diselaputi lumpur, cuba menjenguk ke belakang. Sebuah kancil mengekori di belakang juga selamat. Saya mengandaikan sebatang pokok yang jatuh sudah terpelanting ke tepi. 

Hanya jangkaan semata-mata, tiada apa kelihatan. Suami mengagak hanya runtuhan tanah kecil sahaja yang berlaku. Saya tetap merasa jatuhan itu adalah pokok, kalaupun bukan sepohon batang yang besar, tetap dahan yang tidak kecil. Jatuhnya menyentuh cermin di tepi saya. Sayalah yang paling hampir dengan apa yang berlaku. Pokok yang jatuh dari tebing bukit mungkin tertolak ke tepi jalan. Kami semuanya selamat. 

Perjalanan diteruskan sehingga ke destinasi. Syukur, selamat sampai akhirnya. Kami cepat turun melihat. Di dalam serpihan rangka cermin sisi, masih terlekat daun-daun bergumpal. Badan kereta dari sisi pintu depan hingga ke belakang penuh dengan selut dan lumpur. Gumpalan tanah kecil bercampur akar-akar pokok masih melekat. 

Hanya Allah Yang Tahu apa sebenarnya berlaku. Yang pasti, 1000 Rahmat, kami selamat. Selamat di sana dan selamat juga kembali ke Besut. Perjalanan di musim tengkujuh. Sungai melimpah. Air melintas deras. Jalan-jalan banyak yang tutup, namun tetap masih ada pilihan. Syukur padaMu Ya Allah... 

Begitu juga kehidupan ini. Tertutupnya satu jalan, adalah peluang untuk melihat suasana baru di jalan baru. Selagi semua jalan belum tertutup, sama-samalah kita mengambil dan mengintai peluang yang ada. Peluang berbuat kebaikan untuk semua dan umat bersama. Walau di mana kita, walau apa cara, ada tugas yang perlu digalas.

Dalam perjalanan pulang, kami mengambil peluang melihat kembali tempat kejadian. Anak-anak pun sama naik ingin melihat apakah sebenarnya yang menyebabkan mereka begitu terkejut sama. Disangka mereka berlaku kemalangan. Nauzubillah. Selonggok pohon di tepi jalan. Jalan di tepi bukit. Ia masih di situ. Itulah jawapannya...



Monday, 7 October 2013

Hujan batu di Batu Buruk

Cuaca selalu berubah-rubah. Siang malam silih berganti. Itu tanda Kekuasaan Allah. Tiada yang dapat menghalang. Hanya doa yang mampu mengubah takdir.

Saya masih ingat di suatu hari, satu ketika dulu. Ketika saya masih mengajar di Kolej Swasta bergelar KYT. Suami masih jauh di sisi, bertugas sebagai PAD(Pegawai Agama Daerah) di Kemaman. Kami bertukar kereta. Suami memilih kancil putih saya. Saya pula terpaksa membawa Honda hitam miliknya. Besar kereta dari orangnya. 

Pelajar saya ada yang mengusik dan menggelakkan saya. Katanya kereta bergerak sendiri tanpa pemandu. Apa tidaknya, jika dilihat dari arah belakang, kepala saya tidak kelihatan, tenggelam di sebalik kusyen kereta. Tapi apakan daya, hanya kereta buruk yang berjasa itu yang kami ada. Sebesar-besar kereta pun tidak mampu menangkis serangan angin kencang dari Pencipta. Hebatnya Allah yang Maha Kuasa

Hujan lebat beserta angin yang kuat telah menggoyangkan kereta saya ke kiri dan ke kanan di sepanjang Jalan Kuala Ibai. Itulah laluan utama saya apabila pulang kerja untuk menjemput anak-anak yang ditempatkan di Taska Ummu Aqilah. 

Mendung berarak jelas kelihatan apabila saya mula menuruni tangga pejabat. Tidak disangka ribut petang yang amat dasyat berlaku sepanjang perjalanan. Dari Chendering ke Kuala Ibai, adalah laluan pesisir pantai. Setelah melepasi Istana Badariah Batu Buruk, ribut semakin kencang. Langit hitam kelam. Selepas membelok selekoh ke arah kiri, memasuki arah Jalan Kamarudin, tiba-tiba; 'Tang! Tang!'. 

Bumbung kereta dan cermin depan dihujani ketulan batu dari langit. Masya Allah, kali pertama saya melihat hujan batu dalam hidup saya, setelah lebih 30 tahun menjadi penghuni alam ini. Mungkin pada masa kecil, hujan batu pernah berlaku. Namun kini bukan lagi tersimpan di dalam minda fikir saya. 

Antara ajaib dan takut, saya memecut laju untuk cuba sampai secepat yang mungkin. Menumpang teduh bersama anak-anak yang telah seharian ditinggalkan di taska yang sudah semakin hampir. Lama juga saya diam di situ. Sempat melihat gelagat guru dan anak-anak yang masih tinggal sebelum dijemput keluarga.  

Sesungguhnya, Kuasa Allah mengatasi segala. Apa yang berlaku mampu dilakukanNya dengan sekelip mata. Syukur Alhamdulillah, ribut berlalu dengan aman. Suasana kembali tenang. Saya memandu pulang bersama anak-anak yang masih kecil, berusia 3, 4 dan 6 tahun ketika itu.



Kini anak-anak sudah semakin membesar. 10, 11 dan 13 tahun. Di tambah lagi 2 adik baru yang memeriahkan suasana. Ibu semakin tua, ayah juga begitu. Tiada yang ke belakang. Hari sentiasa ke depan. Kedua-dua kereta itu pun bukan lagi milik kami. Harta dunia berubah tangan. Hanya amalan yang kekal untuk di bawa bekal ke sana.

Kami sedang beransur meninggalkan alam ini dari hari ke sehari. Bakal meninggalkan anak-anak dengan dunia baru mereka. Mereka akan membesar, menua seperti kami. Dunia pun berkitar. Apa yang akan mereka saksikan pada hari-hari mendatang, hanya Allah yang tentukan. Semoga bumi ini terus aman. Cuaca berubah adat dunia. Siang berubah malam, itu urusan Allah. Petunjuk, bahawa masa sentiasa beredar. Tidak berhenti walau sesaat.


Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.                                    (Al An'am ayat 96)
Semoga hari-hari menjelma sentiasa memberikan sinar yang terang untuk seluruh buana. Rahmat Allah mengatasi Murkanya. 

Dan KAMI menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.                                    (Al A'raf ayat 84)

 
Bersamalah kita sentiasa berdoa ke arah kebaikan. Untuk dunia kita dan generasi kita. Pastinya doa untuk akhirat buat semua.   








Wednesday, 2 October 2013

Suria Bukit Keluang

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Di mana-mana tetap bumi milik Allah s.w.t. Kita cuba mengadaptasi dengan persekitaran yang ada. 



Alhamdulillah, suria Bukit Keluang amat menceriakan hati. Keindahan tasik berlatarkan Bukit Keluang yang jelas kelihatan menambahkan keindahan. 




Suasana yang sangat damai dan menyejukkan hati. Melihat tenggekan burung-burung pada ranting-ranting pokok seperti lukisan alam yang sangat menarik. 





Betapa cantiknya alam yang Allah Ciptakan. Bunyi kocakan air hasil lompatan ikan-ikan amat jelas di telinga. 

Sesekali kelihatan kepala biawak, muncul menjengah ke permukaan air. Dalam tenang ada peringatan dari Pemilik Alam supaya berhati-hati dan berjaga-jaga. Mungkin ada bahayanya juga.

Angin di sini cukup kuat. Kalau kena harinya, terlingkup semua basikal anak-anak di luar rumah. Bukan itu sahaja, penyidai kain besi pun terbalik sama. Beratnya tidak mampu diangkat mudah oleh seorang yang gagah sekalipun. Yang pelik, boleh terbalik berkali-kali dek penangan tiupan angin Bukit Keluang. Pernah juga kami menyonsongkannya sahaja ke dalam rumah. Penuh satu ruang tamu... 


Ributnya amat menggerunkan. Apatah lagi di musim tengkujuh. Angin yang kuat beserta bunyi deruan yang amat dasyat seolah-olah dunia mahu kiamat. Ketika mula-mula berpindah ke sini, seorang penduduk bercerita dengan semangat sekali, meniru bunyi angin di musim tengkujuh. Kuat dan deras. Bila diingat kembali terasa lucu pula. Sedangkan sewaktu kami berdepan dengan saat itu, amat menggetarkan hati dan perasaan. 

Atap bangunan terbang melayang. Pokok bergoyang, ada yang tumbang. Alhamdulillah, kami terkurung di dalam rumah. Kalau berada di luar, mahunya rasanya seperti diterbangkan angin juga. Pengalaman pertama dalam hidup kami di sini. Apa-apa pun indahnya tetap di rasa.

Begitulah cuaca kehidupan kita. Walau di mana kita, pasti ada lebih dan kurangnya. Bersyukur dengan nikmatNya, bersabar dengan ujian, juga dariNya yang Berkuasa atas segala sesuatu.

Berdoalah kita untuk kebaikan di sana dan di sini...


Friday, 27 September 2013

Terus kembara

Perjalanan hidup diteruskan selagi daya. Selagi nyawa dikandung badan. Alhamdulillah, kenderaan Allah kurniakan buat semua kita. Di laut, darat dan udara.




Semuanya juga Allah mudahkan. Syukur pada Tuhan, Allahu Rabbi. 



Sesekali kita berehat sejenak. Menikmati keindahan alam, bumi ciptaan Tuhan, Allah yang Khaliq.


Jika dulu, waktu cuti kami terisi dengan mengunjungi suami di Putrajaya. Kini tidak lagi. Kunjungan sekali-sekali hanya sekadar mengikut suami pergi berkursus sahaja.



Tahun-tahun sebelumnya pula, kami menghabiskan cuti bersama suami di Kemaman. 

Segalanya sudah berubah. Dulu dan sekarang sudah berbeza. Kami semua sudah di sini. Bertapak di bumi indah, Besut gerbang pelancongan.

Bercuti pun jimat. Banyak lokasi cantik dalam jarak yang sangat dekat. Singkat masa kembara, lebih lama masa yang boleh dihabiskan di destinasi impian. 

Paling hampir, hanya tidak sampai 5 minit berkereta. Pantai Bukit Keluang indah terbentang. 



Menaiki bot pula, nun ke seberang sana. Sedia menanti Pulau Perhentian. 



Pendek kata, buat sahaja pilihan. Berdoa pada Tuhan, Allah yang Berkuasa, agar dipermudahkan.


Segalanya indah di mata, cantik di hati, senang di fikiran. Melihat kekuasaan Allah. Bukti bumi ini milikNya. Tiada yang lain...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...