Saturday, 13 July 2013

Rumah pertama, kereta pertama

Rumah pertama saya telah disewa oleh suami sebelum kami melangkah ke alam perkahwinan, sebagai persediaan kehidupan berumahtangga. Setelah dua minggu berkahwin, kehidupan kami bermula di rumah sewa sendiri. Hidup berdikari, keluar dari kepompong rumah keluarga masing-masing. Kelengkapan asas yang minimum telah disediakan. Saya tidaklah hanya masuk cuci kaki sahaja. Pelbagai kelengkapan rumah yang lain kami perlu sediakan bersama. 


Alam pengantin baru kami dipenuhi dengan sama-sama membuat pilihan peralatan rumah yang serba sederhana. Seolah-olah itulah masa bulan madu kami. Sewa rumah ketika itu tersangatlah murah, hanya RM180 sebulan. Cukup selesa untuk kami berdua menghuni rumah teres 2 bilik di sebuah taman perumahan yang kecil. Taman Desa Putera, Kg Banggol Tuan Muda, Manir Kuala Terengganu. Jiran-jiran pun baik dan sangat memahami. 

Rumah kami kosong setiap hari minggu untuk pulang bergilir-gilir ke rumah orang tua kami. Berdua membonceng sahaja hingga ke Dungun. Perjalanan yang hanya 1jam sahaja jika berkereta memakan masa berganda. Yang lucu pun ada, bersusah payah kami cuba memotong lori, ditambah tiupan angin pantai motor kami bergoyang-goyang. Tidak sampai seminit, lori tersebut memotong kami kembali. Pergi lah lori sekuat hati, kami di belakang hanya bermotor kapcai. Akhirnya kini, kami berkereta satu keluarga balik dari Besut ke Dungun setiap minggu. Tiada lagi angin yang menolak-nolak. Seronok pula si anak-anak.Ini semua adalah rezeki. 

3 bulan sebelum perkahwinan dilangsungkan, suami saya yang ketika itu bertugas di JAWI Kuala Lumpur telah mendapat surat pertukaran ke Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di bawah pentabiran JAKIM. Di saat itu, saya sedang menduduki peperiksaan tahun akhir pengajian di Universiti Malaya. Alhamdulillah, setelah tidak sampai sebulan saya bekerja, duit  gaji pertama belum diperolehi, saya telah pun bergelar isteri. Setiap pagi kami masing-masing bermotosikal ke kiri dan ke kanan, melambai di simpang jalan untuk mengikut haluan masing-masing yang bertentangan. Hidup kami tidak kaya. 

Bergaya dengan Honda c70, masing-masing membelah jalan raya mencari sesuap rezeki, seolah-olah kehidupan sebagai penuntut di universiti suatu ketika dahulu. Namun, kami tidak pernah kenal antara satu sama lain walaupun sempat berada 4 tahun di bawah bumbung universiti yang sama. Akhirnya, motosikal zaman belajar dulu juga yang diangkut ke rumah sewa kami. 6 tahun motorsikal tersebut menemani saya di Kuala Lumpur. Kini plat WDC 2345 tersebut berpindah pula ke kereta myvi kami yang berjasa dalam kehidupan kami anak-beranak hingga ke saat ini.


Kuasa Allah mengatasi segala. Segalanya mudah bagi kami walaupun hidup secara asas sahaja ketika itu. Tiada telefon bimbit, komunikasi kami hanyalah ketika di rumah sahaja. Sekiranya ada keperluan, hanya talian pejabat yang boleh dihubungi. Berbeza sungguh dengan kehidupan sekarang ini. Telefon anak-anak lebih mahal daripada telefon ibu bapa sendiri. Saya mempunyai saudara yang ketika itu menolak pinangan hanya kerana si calon lelaki tiada kereta dan telefon bimbit, bimbangkan kehidupan menjadi susah selepas berkahwin. Bagi kami, semua itu kami hanya perolehi setelah bergelar suami isteri. 

Apabila saya mengandung 5 bulan anak yang sulong, kami dikurniakan sebuah kereta Ford Laser TX3 yang bergaya. Buka gaya yang menjadi pilihan, tetapi itulah rezeki yang tidak disangka-sangka datang di  depan mata. Dengan kereta itu juga kami sekeluarga termasuk ibu bapa saya bergerak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Konvokesyen. Muhammad Abdul Salam bin Norawi bersama-sama dengan ibunya naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah. Bezanya, dia masih belum mengenal dunia, di alam kegelapan rahim seusia 5 bulan. Kini segalanya dalam kenangan...

Friday, 12 July 2013

Hidup ibarat roda

Hidup ibarat roda. Itu pasti. Suka dan duka silih berganti. Seronoknya hidup ini. Alhamdulillah, setelah segala ujian di tempuhi, hidup yang indah ini perlu dihayati sepenuh hati. Bekalan hidup di sini dan di sana perlu di cari. 

Saya dan keluarga seolah-olah dicampakkan ke bumi Besut ini dengan penuh nikmat. Kawasan yang indah dan damai. Tempatnya cantik dan menarik. Jalanrayanya tidak terlalu sibuk berbanding jalan-jalan yang saya lalui sebelum bertukar ke daerah ini. Sebenarnya, rumah sekarang adalah rumah ke 6 yang kami diami. Kalau ikutkan bilangan sebenar adalah rumah  yang ke 7. Tapi rumah pertama saya di Besut ini hanya sempat disewa sekadar sebulan lebih sahaja sebagai rumah hinggap. 


Apabila keputusan muktamad dilakukan untuk diam di sini, rumah sekarang yang terletak di dalam kawasan pentadbiran kerajaan menjadi pilihan setelah mendapat petunjuk istikharah kami. Kedudukan yang lebih luas dan selamat untuk anak-anak, walaupun hanya kami satu keluarga sahaja di sini. Rakan-rakan anak hanya di sekolah. Di luar waktu sekolah, seluruhan kehidupannya bersama keluarga. Suami pula berpeluang pulang waktu tengahari untuk sama-sama menikmati hidangan air tangan isteri. 

Semoga Allah mengurniakan rumah untuk kita di syurga, InsyaAllah. 1 harapan yang sangat tinggi, perlu ditagih sungguh-sungguh.



Alhamdulillah, rumah yang paling mengembirakan kami adalah di sini. Mengalahkan rumah kami yang telah ditinggalkan di Taman KPAT (Koperasi Pegawai Agama Terengganu), Kg Telaga Mengkudu Bukit Payong untuk disewa.


Kalau dulu kami pernah merasa menyewa di rumah orang, kini kami pula menjadi tuan rumah. Hubungan sesama insan bertambah. Keakraban sebagai sesama Islam bertambah indah...

Thursday, 11 July 2013

Ujian luar dan dalam

Kiri kanan, depan dan belakang masih belum cukup bagi saya. Datang pula ujian luar dan dalam. Mungkin juga ujian atas dan bawah. Atau juga ujian dari segenap penjuru. Hanya Allah yang tahu. Yang Mendatangkannya dan Yang Mengambilnya kembali. 

Ujian terhebat di dalam hidup saya bila saya merasakan ajal saya sudah tiba. Jatuh terjelepuk di rumah sepupu ketika bertandang raya, habis segala tenaga. Padahal sebelum itu, saya sibuk melayan adik-beradik yang datang berkunjung ke rumah saya. Kemudian, kami sama-sama pula berkonvoi kereta ke rumah ibu saudara, sebelah rumah sepupu saya itu. Ibu saudara saya yang kebetulan turut berada di situ, mensarankan kepada suami agar segera berubat. Bahangnya terasa pada dirinya juga. Kuat sangat katanya. Apa yang kuat, wallahuallam. Tidak saya tanya sehingga ke hari ini setelah lebih 7 tahun yang lalu.

Dari ruang tamu, saya dipapah ke dalam bilik dan terus terlentang di situ, tidak mampu menarik nafas. Terasa sesak sungguh dada ini. Walaupun saya sedar apa yang berlaku di sekeliling, namun saya tiada kudrat untuk berbuat apa-apa. Saya hanya mampu mengucap dan terus mengucap. Betapa sukarnya melafazkan seolah-olah mahu berpidato di pentas tinggi. 

Di dalam hati berbisik, adakah ajalku di sini, di rumah tinggalan nenek yang telah ditukar milik kepada sepupuku yang baik hati ini. Mungkinkah... Macam mana dengan anak-anak saya nanti. Apakah dosa-dosa saya selama ini terampun. Ya Allah...Tolong... Hati saya semakin lemah, selemah jasad yang terbujur, kaku. Suami di sebelah terus membaca ayat-ayat Al-Quran tanpa henti. 

Tiba-tiba anak kedua saya, Mukminah datang menjenguk. Alangkah peliknya rasa. Satu tenaga datang kembali. Saya seolah-olah keluar dari satu gua yang gelap pekat kepada dunia luas. Hati saya lapang. Seperti tiada apa-apa berlaku. Saya meminta kepada suami agar Mukminah terus berada dekat di sisi saya. Sedikit demi sedikit, saya dapat menghirup air milo panas yang di bawa sepupu ke bilik itu. Kemudian, saya mula beransur-ansur bangkit kembali dan pulang ke rumah menjalankan rutin kehidupan. 

Sebenarnya, penyakit misteri saya bukan bermula dan berakhir di situ. Sejak pertengahan Ramadhan lagi, saya tiba-tiba diserang sakit di dalam bilik kuliah. Memakan masa berbulan-bulan selepas itu, hampir bertahun juga saya bertahan. Alhamdulillah, akhirnya saya dipanjangkan umur lagi sehingga ke hari ini. Sampai bila, hanya Allah yang tahu...

Terasa seperti mati hidup kembali. Sakitnya saya ketika itu, habis beribu. Klinik swasta, unit kecemasan, ujian darah, perubatan moden, perubatan Islam, semuanya saya cuba. Peliknya penyakit saya tidak dapat dikesan oleh beberapa orang doktor yang merawat. Walaupun muka pucat seperti mayat, bibir membiru seperti pesakit jantung, saya disahkan tiada masalah. Segala sistem badan berjalan sempurna. Namun begitu, walau sehingga 8 botol air telah dimasukkan ke dalam badan melalui drip di tangan, tubuh saya tetap lemah. 

Suatu hari, masih lagi di bulan Ramadhan , saya menyerah kalah. Saya katakan kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak sakit, doktor sudah mengesahkannya. Ibu saya membalas tegas, "Tidak sakit apa..," katanya, "Orang tidak sakit tidak begini!". Saya ketika itu ibarat mayat bernyawa. Makan memang tidak lalu. Tidak mampu bersuara. Tidak mampu bernafas. Tidak tahu rasanya mahu diceritakan.  Sijil sakit sudah melebihi had, cuti rehat juga sudah terhad. Saya memaksa suami menghantar saya ke tempat kerja. Alhamdulillah, bermula pada hari kejadian pertama dan hari-hari tertentu yang lain, kebetulan suami saya diminta menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu, makanya dekat untuk dihubungi. 

Seolah-olah cerita di dalam drama hindustan, saya didukung suami dalam dua kejadian berbeza. Dari tempat kerja, saya di bawa ke kereta bagi mendapatkan rawatan. Tiada lagi rasa malu di hati. Para penuntut memandang hairan. Ada juga yang telah mengetahui saya sakit, apabila merekalah yang bersusah payah membantu saya yang terjatuh di dalam bilik kuliah. Tangan saya sejuk membatu. Terima kasih, anak-anak didikku. 

Dalam saya sakit begitu, ramai yang berprasangka saya mengalami tekanan. Aduh, sekiranya saya tertekan, mudahlah bagi saya. Hilangkan tekanan, sihatlah saya. Masalahnya, saya sendiri tidak tahu kenapa. Tiada tekanan, tetapi saya tidak dapat mengelak dari penyakit itu. Jiwa saya stabil, fikiran saya masih waras di bulan puasa begitu. Namun, badan saya tiba-tiba teramat-amat lemah berganda-ganda. 

Walaupun berbuka, tidak puasa berhari-hari, saya tidak mampu memasukkan makanan ke dalam mulut. Kedatangan dua orang rakan ke rumah, Najdah dan Sopiah membantu memasakkan bubur nasi, tidak dapat membantu. Sesuap pun saya tidak lalu. Namun, saya paksakan juga, demi melihat sahabat sejati bersusah payah datang menabur bakti. Saya senyap seorang diri, berjalan mundar mandir di dalam rumah tidak mengapa. Melangkah sahaja keluar pintu, jatuh terjelepuk, belum pun sempat pintu dikunci semula. 

Begitu juga di tempat kerja. Saya diam menumpang di bilik makmal Sains di tingkat bawah, cuba naik ke tingkat atas di bilik Pensyarah, saya tidak mampu. Bila ke tandas saya di papah dengan bantuan kerusi sebagai tongkat oleh Pembantu Makmal, Faizah yang baik hati. Seribu rahmat ketika itu, minggu akhir belajar, kata orang 'study week' sebelum peperiksaan akhir bermula. Tidak perlu lagi menjalankan kuliah dan semua silibus telah ditamatkan.

Oleh kerana kejadian berlaku di bulan Ramadhan, doktor pertama yang merawat hanya meramal saya mengalami gastrik. Disuntiknya saya, diberinya ubat dan menyuruh saya berehat di dalam bilik rawatan beberapa ketika, kemudiannya dibenarkan pulang. Tidak lama selepas pulang, penyakit saya menyerang kembali. Saya rebah semula, tiada tenaga walaupun saya tidak lagi berpuasa. Suami membawa pula saya ke klinik swasta berhampiran rumah. Doktor yang merawat senyum bertanya. Dalam keadaan yang hampir kembali stabil, saya cuba menerangkan situasi yang dihadapi. Sekali lagi, tiba-tiba dada saya berdebar-debar, tangan saya terketar-ketar, rebah kembali. Saya diangkat ke atas katil rawatan. Diperiksa segala, semuanya normal. 

Saya kecewa bercampur syukur. Kecewa kerana tiada penyakit dikesan, syukur kerana saya tiada penyakit. Bukankah pelik begitu. Saya di beri pil tidur dan segala vitamin sebesar jari kelingking. Bertimbun-timbun. Semuanya saya telan, mengenangkan ketakutan andainya sakit datang berulang. Selang beberapa hari penyakit saya berulang, saya dirujuk ke klinik swasta lebih canggih, menyediakan wad untuk pesakit. Doktor menyarankan agar saya menghentikan pengambilan semua ubat-ubatan. "Tidak perlu!", katanya. Bimbang berlaku lebihan dos pada badan terutama pil tidur. Semua itu bahaya untuk kesihatan dalam keadaan saya yang lemah pada masa itu. 

Saya hanya perlu direhatkan. Ujian darah secara komprehensif dijalankan. Drip dijalankan, serta disajikan dengan makanan berzat. Walau pun tekak dan lidah tidak mampu menerima, saya paksakan diri menelan semua itu. Berbayar dan berzat. Sayang jika dibazirkan.  Saya makan paksa di bulan puasa.

Begitulah pelbagai episod dalam hidup saya. Untuk saya sembuh hingga ke saat ini, banyak kisahnya. Tidak mampu diceritakan segala. Ada yang pelik dan tidak tercapai oleh akal manusia normal. Namun, bila saya sendiri yang menghadapinya, saya terpaksa percaya apa yang telah Allah takdirkan untuk saya. Segalanya dalam PerancanganNya dengan PengetahuanNya yang sangat luas. Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan untuk saya hadapi semua itu. Saat-saat getir dalam hidup saya yang dikurniakan status sebagai ibu, isteri, anak, penjawat awam dan segala. Yang pasti saya hanyalah hamba Allah yang sangat lemah. 

Sukar untuk saya percaya sekiranya berlaku kepada orang lain. Yang penting, saya tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain. Terseksa dalam derita. Hingga hari ini, saya sangat fobia dengan apa yang telah berlaku. Di tambah lagi banyak kejadian pelik yang saya alami, sukar untuk saya ceritakan kepada semua orang. Hanya insan mulia yang terhampir, yang melihat dengan mata kepala sendiri, yang mampu percaya. Pun begitu, saya masih tetap hairan dengan apa yang berlaku. Segalanya Allah yang Berkuasa. Alhamdulillah, apa-apa pun yang terjadi, syukur pada yang Esa. Banyak ilmu yang dapat saya kutip sebagai pengajaran buat diri saya yang lemah sebagai hamba yang tidak berdaya. Dunia ini milikNya.  Kita hanya ditumpangkan buat sementara untuk mencari bekal di hari muka. Semoga Allah Rahmati.

Di saat kita diuji, ada yang membantu secara peribadi, memberi nasihat, semangat dan azam. Tidak kurang yang bersangka macam-macam, apatah lagi saya sendiri tidak dapat menjelaskan kepada mereka apakah penyakit saya sebenarnya. Saya sendiri keliru. Hanya Allah yang Tahu. Segalanya tidak sia-sia. Hikmah tersirat berterusan sehingga ke hari ini, Alhamdulillah...     

Wednesday, 10 July 2013

Ujian depan dan belakang

Ujian datang dari pelbagai sudut. Bukan sahaja dari kiri dan kanan, tapi juga depan dan belakang. Ujian meninggalkan anak untuk tinggal di taska adalah perkara biasa sebenarnya. Bukan alasan semata-mata untuk meninggalkan alam kerjaya.


Anak saya yang ketiga sebelum Auliya pun susah untuk ditinggalkan di taska. Selesa di rumah, juga bersama si bibik, tiba-tiba tanpa hujan dan ribut, beralih arah ke taska pula. Setelah diberi tempoh percubaan 2 minggu pertama untuk proses adaptasi oleh pengetua taska, saya bersetuju mencuba bergelut dengan si Al-Amin setiap pagi untuk meninggalkannya. Sebuah taska berprestij di pinggir pusat bandar Kuala Terengganu tidak menjadi hebat baginya yang ketika itu berusia 3 tahun. 


Ketiga-tiga beradik ditinggalkan di situ sekali gus. Dengan pendaftaran mereka mencecah hampir 1k dan bayaran yuran melebihi 1/2k setiap bulan, saya redha, untuk kebaikan mereka. Si sulong belajar solat yang lengkap seperti dewasa di sana. Bukan sahaja solat fardu, solat sunat dhuha menjadi amalan tetap. Skil imam, azan dan iqamah turut diasah. Surah yasin meniti di bibir, apatah lagi surah-surah dan ayat-ayat pendek yang lain, hafal... Bahasa inggerisnya bukan calang-calang. Bahasa Arab tidak ketinggalan. Sungguh hebat...usia semuda 2 tahun telah diajar a ba ta.

Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Terima kasih Ummina, pengetua yang bukan sahaja mendidik anak-anak asuhan, tapi guru-gurunya dididik terlebih dahulu. Sejuk hati melihat seisi taska miliknya dan keluarga. Sehinggakan para ibu bapa pun turut terdidik sama dengan persekitaran yang diwujudkan dan cerminan watak mulia hasil didikan anak-anak asuhannya.

Dalam kegembiraan dengan tempat yang selesa dan terjamin buat anak saya, hati saya masih sedikit berkocak. Ketenangan saya terusik. Suami yang bertugas di luar daerah lebih setahun yang lalu menyebabkan hati saya sentiasa risau. Risau bukan kerana cemburu, jauh sekali cemburu buta, nauzubillah. Sebenarnya, saya tidak sampai hati melihat suami yang keletihan berulang alik 2-3 kali seminggu kerana menjalankan tugas. 

Bertolak dari Kemaman sehabis waktu kerja, berhenti makan dan solat, jam 10 malam baru sampai ke rumah menjadi rutin suami. Besoknya sebelum subuh, bergegas semula ke pejabat. Perjalananan 2 jam pergi dan balik selang 2 hari, pastinya memakan tenaga. Hati mana yang tidak runsing membiarkan suami yang entahkan cukup tidurnya, ditambah keletihan badan memandu seorang diri di pagi yang masih gelap gelita. Saya tidak sanggup. Kasih dan kasihan sama-sama bertaup...

Pada saat ini, saya masih sayang dan mempertahankan jawatan saya. Walaupun ketika itu, tugas saya hanyalah sebagai pensyarah berstatus kontrak di sebuah Kolej Swasta. Sesekali, saya mengusik suami untuk berhenti sahaja dan mengikutnya berpindah ke Kemaman, mencuba apa sahaja kerja di sana. Langsung tidak diendahnya. Katanya, ramai lagi orang lain yang jauh lebih susah dari kami. Setakat berulang 2-3 hari sekali tidak menjadi masalah baginya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya tahu, suami sengaja menyembunyikan segala keletihan dan kesusahan menjadi orang bujang di sana. 

Bagi saya pula, cubaan-cubaan kecil tetap ada. Hidup seorang diri dengan anak 3 ketika itu, tidak sedikit juga masalahnya. Segala perkara perlu di buat sendiri. Ke pasar, memasak, buang sampah, itu hanyalah perkara biasa sahaja. Lebih dari itu, segala berkaitan anak, saya perlu uruskan. Urusan rumah tangga, apa yang rosak, apa yang tiada, sebarang masalah yang melanda saya yang perlu selesaikan. Paip bocor, sarang lebah, mentol terbakar, apa sahaja perlu saya ambil tindakan. Waktu hujung minggu bersama suami, bukan di rumah sendiri.



Setiap hujung minggu, kami sekeluarga bergegas balik ke kampung menjenguk ibu dan ayah mertua saya yang sudah uzur. Perjalanan 1 jam dari Kuala Terengganu ke Dungun menjadi rutin. Saya jarang ada hari minggu di rumah sendiri. Boleh di hitung jari. Anak-anak kami membesar di dalam kereta. Setiap hari berkereta pagi dan petang ke taska, hari minggu ke kampung halaman tok dan tokki yang merindukannya. Saya dan suami sama-sama menua di dalam kereta. Itulah saatnya kami bersama keluarga. Kereta menjadi rumah kedua buat kami semua...Sampai bila...

Tuesday, 9 July 2013

Ujian kiri dan kanan

Ujian itu nikmat. Pepatah ini hanya benar setelah kita melangkau tempoh itu. Di saat kita diuji, pastinya berbagai rasa berkampung, berpesta di dalam dada. Sehinggakan satu tahap yang bahaya, boleh mencabar iman dan kewarasan berfikir. 

Bagi saya, seberat mana saya diuji, tidaklah berat berbanding banyaknya masalah di dalam dunia ini. Namun, masing-masing punya rasa, punya hati, punya perasaan. Sakitnya berbeza-beza. Gigitan nyamuk bagi seorang yang pernah digigit buaya tiada nilainya langsung berbanding seorang lain yang marahnya mengatasi sakit sehingga membakar kelambu tempat beradu. Begitu juga sakitnya seorang ibu ketika melahirkan, ada yang masih tersenyum di dalam bilik bersalin, ada pula yang sakitnya sehingga meninggalkan jasad terbujur kaku.

Alasan letih untuk saya berhenti kerja adalah fizikal semata-mata. Jauh dari itu, banyak perkara lain yang perlu diambil kira. Kenapa kita bekerja sebenarnya. Kenapa kita susah-susah bermati-matian mempertahankan jawatan kita yang satu itu. Sekiranya kita seronok hanya dengan gaji yang kita dapat di akhir bulan, adakah berbaloi dengan usaha dan keringat yang telah kita curahkan. Jangan sampai kita bekerja kerana terpaksa. Biarlah khidmat kita beroleh pahala, habuan dunia hanyalah alat untuk meneruskan kehidupan. 

Kita perlu hidup. Saya perlu hidup bersama keluarga. Selama ini, saya tiada kehidupan yang sebenarnya. Rumah hanya menjadi sarang untuk saya balik melelapkan mata. Pagi-pagi sebelum ke tempat kerja, saya perlu berkejar-kejar menghantar anak-anak ke sekolah. Kemudian saya perlu berpusing semula ke arah jalan pulang untuk menghantar si bongsu ketika itu, seorang puteri untuk ke pusat jagaan. 


Di sini, hati saya diuji; sayu pilu apabila bersusah-susah untuk cuba meningalkan si anak yang bermatian-matian menolak untuk tinggal di situ. Tempatnya bagus. Tapi apakan daya, hasrat anak kecil untuk terus berada selesa di rumah bersama bibik, kini tidak lagi dapat dipenuhi. 


Akhirnya, saya terpaksa menemankan si kecil Auliya sehingga dia tertidur kembali.Mungkin itu rutin biasa bagi ibu lain yang bekerja, malah ada juga yang tugas ini diambil alih sepenuhnya oleh seorang ayah. Itu hak mereka. Hati saya tidak rela meninggalkan anak dalam keadaan menangis seperti kesawanan, berkejar ke tempat kerja untuk mengejar ringgit buat belanja. Biarlah bekerja dalam keadaan hati senang, anak bahagia walau di mana ditinggalkan.  

 


Tambahan pula anak saya yang satu ini, semenjak dari kecil diuji dengan penyakit lelah. Umur tiga bulan, baru mengenal dunia, sudah mengenal katil hospital untuk menumpang tidur. Walaupun 3 malam sahaja, tetapi lelahnya sampai ke umur hari ini, sudah pun 6 tahun. Lahirnya melalui operasi, satu perkara biasa bagi ramai orang, satu nikmat dan rahmat bagi saya. 

Rahmat kerana di saat-saat akhir sebelum kelahirannya, suami saya mendapat pertukaran kerja dari daerah Kemaman, balik ke Kuala Terengganu. Setiap kelahiran anak saya, bermula dari sulong sehingga yang ke-3 sebelum itu, ditemani oleh si suami yang setia menanti tidak jemu di sisi. 

Sempitnya bilik bersalin tidak menjadi halangan untuk sama-sama menyaksikan saat-saat indah dan mencabar ketika anak-anak kami bergelut dengan nyawa untuk cuba menerobos ke alam luar, alam dunia yang menanti. Walaupun anak yang satu ini hanyalah diberi lambaian di pintu dewan bedah sahaja, itu sudah cukup memadai...Terima kasih suami yang memahami...



Monday, 8 July 2013

Cabaran adalah peluang

Benar sekali setiap ujian dan cabaran yang berlaku, adalah tidak sia-sia. Masalahnya hanyalah 1, hikmahnya beribu. Sekiranya saya tidak berdepan dengan banyak masalah, pastinya saya cukup sayang untuk meninggalkan alam kerjaya. Namun takdir Allah mengatasi segala. 

Siri ujian yang tidak pernah henti menjadi tunggak kekuatan untuk saya membuat keputusan untuk diri sendiri. Suatu hari, saya seolah-olah mendapat lampu hijau daripada bonda tercinta apabila jelas kedengaran di cuping telinga saya, "Dah kalau tidak larat sangat, berhenti-berhentilah...". Apa lagi, seperti orang mengantuk disorongkan bantal, hati saya tersenyum sendiri, Alhamdulillah. Semoga redha ibu dan ayah mengiringi saya. 

Itulah kisah beberapa bulan sebelum saya berhenti kerja. Padahal sebelum itu, ibu saya selalu merungut bila saya cuba-cuba berbisik menyuarakan hasrat hati. Sehinggakan pernah terdengar nada bosan diluahkannya secara spontan, "Dah berapa lama la, duk asyik bersungut nak berhenti, tak berhenti-henti pun...". 

Sebenarnya, memang sudah lama juga saya mewar-warkan khabaran untuk berhenti, tapi tiada tindakan yang diambil. Tempoh menanti saya agak cukup lama, hampir bertahun. Pelbagai alasan yang tidak kukuh untuk dijadikan titik tindakan. Akhirnya, Allah permudahkan jalan. Siri ujian didatangkan, Alhamdulillah...

Sunday, 7 July 2013

Kerja oh kerja

Di saat ramai orang yang memerlukan kerja dan jawatan, sekurang-kurangnya dengan perletakan jawatan saya telah menyumbang kepada ekonomi orang lain. Tempat yang kosong perlu diganti. Setidaknya-tidaknya, kalau kena dengan niatnya, tidak mustahil saya mendapat pahala bagi jawatan yang saya tinggalkan untuk diisi oleh insan yang lebih layak dan memerlukannya. Masing-masing punya pendapat, saya hormati. 

Bagi saya sendiri, saya sudah letih, lesu dan tidak lagi bertenaga untuk menjalankan segala urusan seorang diri. Saya yakin masih ada lagi insan lain yang lebih diduga daripada saya, bukan sahaja tinggal seorang diri malah berpisah terus samada berpisah nyawa atau ditinggalkan suami. Namun pilihan di tangan masing-masing, yang penting bahagia. 

Di saat akhir perletakan jawatan, saya diusik oleh salah seorang Penolong Pendaftar, En.Mizi kononnya saya kelihatan gembira mahu meninggalkan kampus. Respon saya spontan, "Tinggalkan kampus kira okey lagi, jangan tinggalkan dunia ini terus." Ya, ajal maut di tangan Tuhan. Perancangan Allah di luar kemampuan akal waras kitas sebagai hambaNya yang sangat-sangat lemah. Namun, hidup perlu diteruskan. 

Dunia ini hanya sementara dan sangat singkat. Ibu saudara suami, Pn. Halimahton dan anak saudara suami, Pn. Zawati meninggal dunia ketika masih bergelar Pensyarah di universiti yang sama, namun dalam daerah yang berbeza. Masing-masing telah berada di puncak kerjaya masing-masing. Meninggalkan nama dan jasa yang dikenang di bumi Dungun dan Shah Alam. Semoga Allah merahmati roh mereka dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Perkara utama bagi saya, saya mahu hidup dekat di mata, dekat di hati bersama suami selagi hayat dikandung badan. Begitu juga anak-anak yang perlukan perhatian sepenuhnya oleh ayahnya. Bukan hanya ayah hujung minggu. Bukan hanya ditinggalkan kepada seorang ibu kerjaya yang berstatus isteri hujung minggu. Ibu yang bertukar menjadi garang hanya kesalahan kecil yang dilakukan. Sifat sabar hilang dek letih akal dan minda. Kesian anak-anak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...