About Me

My photo

Ibu kepada 4 putera dan 2 puteri, cahayamata bersama-sama Ustaz Norawi Endut. Kini kami menetap di Besut. Pernah bertugas sebagai Pensyarah UiTM Kuala Terengganu manakala suami pernah bertugas di Putrajaya. Sekian lama tinggal berjauhan, saya nekad meninggalkan halaman di Kuala Terengganu untuk mengikut suami yang bertukar ke sini. Dunia baru sebagai suri rumah sepenuh masa di sebuah daerah baru...
Blog  :  http://nolizawatimohdsaad.blogspot.com/ 
Emel :  nolizawatimohdsaad@gmail.com,
FB     :  https://www.facebook.com/notie.saad           
https://www.facebook.com/nolizawati.mohdsaad

Google+ Followers

Thursday, 4 December 2014

Jumaat datang lagi...

Alhamdulillah...

Saban minggu, hari mulia Jumaat yang indah tetap datang tanpa lupa. Jumaat, satu nama besar bagi kita ummat Islam. Pelbagai peristiwa berlaku pada hari yang dinamakan Jumaat. Penghulu segala hari. 

Selak sahaja kitab-kitab agama, banyak kisah tentang kejadian yang Allah takdirkan berlaku pada hari Jumaat....

http://www.anirahazuri.com/2012/08/kesilapan-umat-pada-hari-jumaat.html

Betapa hebatnya anugerah hari Jumaat, sehinggakan ada insan di antara kita yang bercita-cita untuk meninggal dunia pada hari Jumaat. Itu hanya harapan, yang menetapkan hanyalah Allah swt yang tidak melengahkan atau mempercepatkan datangnya kematian kita walau sesaat. Berdoalah untuk mendapatkan kematian yang baik-baik....

Sampai masanya nanti, Jumaat tidak akan datang-datang lagi... itulah petandanya kiamat sudah tiba....

Semoga Jumaat yang sedang kita hadapi menjadi ladang pahala bagi kita untuk meraih kebahagian di akhirat sana. Sebagai orang Islam, banyak tugas dan tanggungjawab yang khusus perlu dilaksanakan pada hari yang ditetapkan bernama Jumaat. Banyak perkara sunat yang dianjurkan berserta fardu wajib yang telah termaktub.


Paling jelas, solat Jumaat difardukan ke atas golongan Adam. WAJIB... tiada kompromi. Hatta musafir sekalipun, ada syaratnya untuk mendapat rukhsah yang mengecualikannya dan berganti solat zohor. Lain halnya pula bagi mereka yang uzur dan terbaring sakit.

Bagi masyarakat Melayu Malaysia, malam Jumaat menjadi sinonim dengan bacaan Yassin. Satu amalan yang dibudayakan di mana-mana. Ada juga khabarnya kaum ibu yang membuat kumpulan kecil untuk bacaan Yassin bergilir-gilir tuan rumah setiap minggu. Jamuan kecil mengiringi majlis bagi mengeratkan ukhuwah.

Sepanjang kelana kami di bumi Besut ini, malam Jumaat begitu meriah di sini. Boleh dikatakan setiap masjid menganjurkan bacaan Yassin sebagai aktiviti tetap. Pada awal kami berhijrah di sini, amat jarang sekali kami dapat bersama-sama memeriahkan masjid di sini pada malam tersebut. 

Seawal petang Khamis, biasanya kami sudah bertolak balik ke kampung. Masjid hanya menjadi singgahan kami untuk jamak dan qasar di pelbagai tempat. Kami hanya menjadi pemerhati aktiviti yang dijalankan, bukannya duduk sekali. Perjalanan yang masih jauh menggamit kami untuk cepat bangkit berdiri meneruskan destinasi. 

Masjid Tembila, Saujana, Batu Rakit, Wakaf Tembesu atau mana-mana sahaja yang bertepatan waktunya itulah menjadi medan kami bertamu seketika.

Hanya sesekali kami berada di bumi Besut pada malam hari Jumaat dan berkesempatan bersama jamaah masjid di sini. Itupun, kami hanya sempat datang untuk solat Isya'. Jelasnya, kami terlepas aktiviti bersama jemaah selepas maghrib, samada bacaan Yassin atau sebagainya.

Uniknya di sini, selain diadakan jamuan kecil meraikan malam Jumaat dan bacaan Yassin, tidak kurang juga yang memberi hadiah. Jamuan berganti hadiah. Mungkin sumbangan ikhlas oleh ahli jemaah atau individu lain secara sukarela. 

Tidak pula pernah terfikir bahawa pek biskut kraker pun boleh dijadikan sumbangan. Begitu juga pek meehoon. Mudah dan ringkas. Sesiapa pun boleh buat. Kita pun boleh mencuba...

https://halalhubmuslim.wordpress.com/tag/bihun/


Terkadang, malu rasanya kami mahu menyambut pemberian bungkusan tersebut. Makcik-makcik di masjid beria-ia menghulur, tidak elok pula kalau menolak. Kami sedar, kami bukannya peserta bacaan Yassin mereka, kami hanya bertamu di rumah Allah....

Sesekali, bukan sebungkus yang kami dapat. Ada kalanya Pak Imam yang sedang melangkah turun, datang menghulurkan bahagiannya pula kepada anak-anak yang sedang ralit menunggu si ayah. 

Apa sekalipun, semoga insan yang memberi mendapat pahala yang boleh dijadikan bekal untuk di bawa ke sana. Tangan yang menghulur lebih baik dari tangan yang menerima. Itu semestinya....

Setelah bertahun kami di sini, masa beransur berlalu, kami semakin tua. Anak pertama, Muhammad sudah melepasi zaman sekolah rendah, kini anak kedua, Mukminah pula menyusul beransur melangkah menjejak si abang. Zaman sekolah rendah akan ditinggalkan!

Medan mendepani UPSR menyebabkan kami terpaksa menunggu di pagi Jumaat.  Laluan khas kepada sang puteri menghadiri tusyen persendirian. Jadualnya tidak dapat dielak, jatuh pada pagi Jumaat. Mahu tidak mahu, kami perlu menunggu sehingga kelasnya tamat.

Perjalanan balik ke kampung diteruskan selepas itu. Saya dan anak-anak menjadi penunggu di mana-mana hentian masjid. Masjid Tembila, Saujana, Kg Batu, Putera Jaya, Permaisuri, Telaga Papan, Merang, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Wakaf Tembesu, Banggul Tuan Muda dan di mana sahaja yang mungkin. Mengikut laluan dan waktu....


Menanti suami dan anakanda Amin menunaikan solat Jumaat. Si kecil Ali yang ingin ikut serta perlu ditenangkan. Kakaknya Auliya yang selalunya memujuk, "Budak kecil tidak perlu solat Jumaat. Nanti kita solat zohor sama-sama, ye!....".  Akhirnya, Ali leka mengikut si kakak bermain-main atau membelek mahupun menconteng buku yang di bawa....

Saya menjadi pemerhati. Ahli jemaah masjid yang datang dari pelbagai latar belakang. Macam-macam ada... seronok dan sedih bercampur-campur. 

Inilah ummat kita, ummat Nabi Muhammad... inilah ummat Islam. Indahnya Islam, cantiknya orang-orang Islam....

Itu yang sepatutnya. Semuanya berdiri tegak di belakang imam....


http://jomcintailmu.com/solat-jumaat-dan-tahiyyatul-masjid/


http://alhaditsassunnah.blogspot.com/2014/01/al-quran-surat-al-jumuah-hari-jumat.html

Pentingnya solat Jumaat. WAJIB bagi kaum LELAKI. Lantaran itu, saya pernah berjumpa dengan seorang ibu yang datang bersama-sama anak perempuan dan anak kecilnya. Saya sangkakan beliau sama seperti saya. Hanya musafir yang menunggu suami dan anak lelaki bersolat Jumaat!

Ruang masa yang ada saya mengambil peluang bertegur sapa sebagai sesama Islam. Sementelah pula saya menunggu di pondok menunggu bas, bukan di dalam kereta. 

"Pondok bas ini baru sahaja dibina ya?", saya lurus bendul bertanya setelah dikhabarkan bahawa beliau hanya tinggal tidak jauh dari situ. Soalan saya berjawab panjang lebar. Ukhuwah terjalin walau pun baru bersua muka.

Datangnya hanya untuk menghantar anak lelaki berusia 12 tahun untuk bersolat Jumaat. Suaminya kerja luar daerah. Tidak mahu dibiarkan anak datang berbasikal sendirian, beliau datang dan terus menunggu hingga sudah. "Sekejap sahaja.", ujarnya.

Masjid Wakaf Tembesu menjadi saksi seorang ibu menghantar dan menanti anaknya bersolat Jumaat. Moga pahala yang besar juga buat si ibu yang bersungguh untuk memastikan anaknya menjalankan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah swt...

Pondok bas itu juga menjadi saksi dunia. Zaman saya bersekolah di situ, Sekolah Sains Sultan Mahmud, SESMA (1988-1992) pondok bas itu masih belum wujud...

Masjid Wakaf Tembesu menjadi nostalgia bagi kami penghuni asrama. Kedudukannya bertentangan jalan dengan sekolah amat strategik bagi kami. Jika tiada bekalan air, masjid inilah yang akan kami serbu. 

http://teropongmasa.blogspot.com/2011/07/masjid-wakaf-tembusu-kuala-terengganu.html



Apa yang melekat dihati, seorang rakan bukan Islam berminat mendekati Islam dan akhirnya menjadi Muslim. Alhamdulillah...semoga Allah memberkatinya dan mengekalkannya dalam nikmat iman dan Islam.

Yang menjadi asbabnya ialah beliau kagum melihat pelajar-pelajar putera bergandingan berjalan bergerombolan menuju ke arah satu seruan. Laungan azan yang mengajak sekelian pemuda dan seluruh kaum Adam untuk solat Jumaat. 

Asrama putera sepi. Yang tinggal cuma dia dan beberapa orang rakan yang bukan Islam. 

Allahu Akbar!!!...


http://alamslegacy.blogspot.com/2014/01/kelebihan-membaca-surah-al-kahfi-pada.html

2 comments:

  1. Seronok baca blog sis. asalam.saya orang baru dalam blog. Join la blog saya. shazwaniafiq.blogspot.com =)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah... Tqvm sis. Okey, insya-Allah....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...