Wednesday, 16 July 2014

Baiknya mereka...

Alhamdulillah, ramainya orang yang baik-baik di sekeliling kita. 

Allah hadirkan insan-insan baik di dalam hidup kita. Satu nikmat yang amat menyentuh hati...

Di saat yang kadang-kadang kita terasa seperti dunia ini tidak lagi aman. Mahu ke sana ke mari walau dekat dan sebentar cuma, pintu rumah tetap perlu dikunci rapat. 

Bukan itu sahaja, setiap tingkap dan pintu terpaksa dipasang jeriji, sehingga terasa umpama terpenjara di rumah sendiri. Pun begitu, masih lagi ada saatnya rumah yang utuh berkunci sana dan sini itu diceroboh juga...

Hanya pada Allah kita berserah dan bertawakkal...




Gerun memikirkan kejahatan manusia rakus yang tidak sudah-sudah. Tidak cukup harta sendiri, barang orang dikebas pula. 

Peliknya ada yang mengambil itu ini yang bukan haknya, bukanlah semestinya orang yang susah-susah sahaja. Ada orang yang dicuri itu lebih susah dari orang yang mengambil darinya! Sungguh, pelik bin hairan...

Namun, dunia ini milik Tuhan Yang Memiliki, Allah Yang Pemurah dan Penyayang... 

Masih ramai insan baik berhati mulia di luar sana. Berbuat baik selagi daya, menitip kasih sesama hamba, hatta walau  tidak pernah kenal di mata.

Hati kami cukup-cukup tersentuh bila melihat kebaikan yang dihulur oleh mereka yang baik itu. Rupanya memang masih ramai insan mulia memeriahkan hamparan bumi Allah ini. 

Namun, mungkin kita merasakan hanya jarang bertemu mereka. Atau mungkin juga, kebaikan mereka tidak kita sedari. Bila sudah hilang atau jauh di mata, barulah kita tersedar dan ingati kembali momen-momen yang sudah berlalu itu... 

"Erm..baiknya dia. Dulu, dialah yang tolong itu, buat ini... Sekarang sudah tidak ada lagi..." 

Mungkin sudah berpindah jauh, atau juga lebih jauh dari itu, sudah berada di luar alam ini... http://budibill.com/2012/01/06/akhir-yang-indah/#more-384Alam baru yang akan kita turuti bersama. Entah bila masanya, hanya Allah Yang Tahu. Mungkin lambat atau mungkin juga sudah terlalu hampir masanya. Semoga kesudahan yang baik menanti di penghujung destinasi.

Tidak lama dahulu, kami memulakan kembara mingguan kami dari Besut ke Kuala Terengganu. Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya bergerak terus ke rumah ibu bapa saya di Kampung Paya Resak. Suami dan anak-anak dijangka akan bersolat Jumaat di sana sahaja. 

Biasalah, lain yang dirancang, lain pula yang jadi. "Rancangan tergendala sebentar...", selalu sahaja muncul secara tiba-tiba. Segalanya berlaku dalam Pengetahuan dan Perancangan Yang Esa. Hikmahnya tetap ada, Insya-Allah...



Bila dihitung-hitung masa berbaki, tidak mungkin kami akan sempat untuk sampai di kampung sebelum waktu solat berlangsung. Jarak perjalanan masih jauh. 

Kami mengambil langkah selamat supaya solat Jumaat dapat ditunaikan, lalu kami singgah di Masjid Merang, Setiu. Setelah suami dan anak lelaki turun ke masjid, saya mengambil alih stereng kereta. 

Menoleh sebentar ke belakang, terlihat baju yang tergantung di 'hanger' belum bergosok. Akhirnya saya panik sendiri. Ke mana arah mahu dituju. Saya tercari-cari kedai dobi. 

"Manalah ada kedai yang dibuka pada hari Jumaat begini..." hati saya berbisik. 

Silap saya juga yang bertangguh kerja. "Baju boleh digosok kemudian, bila sampai di rumah ibu!", fikir saya, ketika sibuk bersiap-siap untuk pulang ke kampung. 

Ketika itu, beg-beg bertimbun sudah diangkut ke kereta. Segala barang termasuk bantal dan selimut anak-anak untuk tidur-tidur di dalam kereta tidak lupa dibawa sama. Baju kerja suami masih tergantung. Sesekali tangan ini terasa laju ingin menggosoknya sahaja, tapi hati kecil seakan menegahnya pula. 

Selalunya saya lebih suka siapkan dahulu segala tugas yang ada. Saya tidak percaya pada masa yang belum tiba. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di tengah jalan. Begitulah hakikatnya...  

Ditakdirkan Allah swt, lain pula jadinya pada hari itu, pada minggu itu! Saya terperangkap dengan bersenang-senang dahulu, akhirnya bersusah-susah kemudian jadinya... Membawa baju tidak bergosok, bersusah pula mencari seterika!

Jadual tugasan luar suami akan bermula selepas solat Jumaat di Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu. Saya panik! Suami sudah berpesan, jika tidak sempat digosok, biarkan sahaja. Kedutan baju yang tidak begitu kelihatan bukan satu masalah yang sangat besar baginya. 

Itu katanya, tetapi tidak bagi saya. Tidak sanggup rasanya melihat kekasih hati keluar bertugas dengan pakaian yang tidak rapi, seolah tiada isteri.  

http://www.iluvislam.com/tarbiyyah-kreatif/facebook/3547-design-jangantakut.htmlBaju oh baju... Aku diuji dengan kelemahan diriku yang disengajakan. Sikap bertangguh tidak membawa untung! Rugi...rugi...

Namun begitu, rupanya hari itu, baju berkedut menjadi asbab untuk saya  bertemu dengan antara jutaan insan baik yang mengimarahkan alam buana ini. Segalanya telah tersurat sejak azali. Allah Penentu segala...

Masjid Merang letaknya tidak jauh dari stesen minyak Shell di hujung simpang lampu isyarat. Sebelum ini, jika singgah berJumaat di masjid ini, saya dan anak perempuan akan berehat dan solat jamak takdim di surau stesen minyak sementara menunggu suami dan anak selesai urusan yang panjang di masjid. 

Kali ini, saya tidak aman untuk bersinggah-singgah lagi. Hati berniat untuk Jamak Takhir sahaja nanti. 

Baju oh baju. Dimanakah seterika... Misi mencari seterika perlu dilancarkankan. 
http://www.ninc.com/blog/index.php/archives/i-is-for-iron

Saya memulakan pemanduan melepasi Shell dan terus membelok ke simpang kanan. Kami melepasi papan tanda Kembara Resort dan Keropok Mengabang Tapah yang digemari ramai.  

http://alteregoandanonymouspena.blogspot.com/2012/09/the-best-fish-sausage-is-in-mengabang.htmlhttp://alteregoandanonymouspena.blogspot.com/2012/09/the-best-fish-sausage-is-in-mengabang.html


Anak saya Auliya (7 tahun), mula bersuara, "Mak, pusinglah semula. Tidak ada pun kedai dobi dekat-dekat sini...". 

Saya tanpa teragak-agak membuat pusingan U. Memang sudah dijangka, tiada kedai dobi di situ, tapi masih juga mahu mencuba. Hati tidak henti-henti berdoa mengharapkan pertolongan Allah. Hanya Allah...

Saya teruskan perjalanan melintasi persimpangan lampu isyarat  menuju ke kiri simpang pula.



"Mahu ke mana lagi, mak?" tanya lagi si Auliya yang selalunya bijak membuat analisis.

"Kita ke depan..." jawab saya sepatah sambil terus mengintai-intai di kiri kanan jalan. Dalam hati berbisik, tidak ada kedai dobi, 'homestay' pun boleh juga. "Tentu seterika disediakan di situ", hati kecil berbisik nakal, menaruh harapan. 

Alhamdulillah, seronoknya! Kelihatan tidak jauh di depan sudah ada papan tanda yang dicari. Namun, saya batalkan niat untuk singgah di homestay tersebut bila melihat ada seorang lelaki berumur sedang berdiri di hadapan rumah. Di sebelahnya mungkin isterinya yang sedang duduk berehat-rehat.


Jauh di dalam hati masih sempat berbisik, "Tidak solat Jumaatkah orang ini?..."

Pemanduan diteruskan. Tanpa putus asa, misi pencarian seterika kukuh tersemat di hati. 

Kami melintasi kawasan jeti untuk ke Pulau Redang. Beberapa orang lelaki tua dan muda bersantai-santai di situ. 

http://baturakithomestay.blogspot.com/2011/03/merang-jetty_17.html

Auliya sibuk mengomel, "Orang itu tidak pergi solat Jumaat!". Anak sekecil itu juga tahu dosa pahala. Lelaki mesti Solat Jumaat. Hanya seminggu sekali sahaja.



Setentang jalan kelihatan kedai-kedai menjual cenderamata. Saya mencuri-curi intai, manalah tahu ada kedai yang ada seterika! Sungguh, tidak logik langsung... Namun apakan daya, kalau hati sudah nekad, usaha terus dicuba.

Kami terus ke depan. Kelihatan Taman Rekreasi Pantai Merang yang cantik menarik. 

http://terengganuhebat.blogspot.com/2010/04/pantai-merang.htmlhttp://terengganuhebat.blogspot.com/2010/04/pantai-merang.html



Akhirnya saya sampai ke hujung jalan, jalan mati.  Rupanya di situ adalah  Pusat Ko-Kurikulum Kem Merang, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Ianya juga sebuah kawasan perkhemahan yang tidak kurang menariknya.

Kelihatan sekumpulan wanita bersolat jamaah secara terbuka di bawah kawasan berbumbung tanpa dinding.


Auliya bersuara lagi, "Baik kakak-kakak ini, perempuan pun solat, orang lelaki tadi tidak pula solat." Dia terus mena'kul apa yang dipandangan mata.

Saya pula terkial-kial mencari ruang untuk mengundur dan melakukan sekali lagi pusingan U. Sekali lagi kami melintasi deret-deret kedai cenderamata. Pasti! Memang tidak ada harapan di situ... 

Perjalanan tetap diteruskan. Masa kian suntuk. Melintasi homestay yang kami lewati kembali, kelihatan mereka yang masih bersantai di situ. Terdetik pula di hati, "Mungkin mereka adalah pengunjung homestay tersebut...", bukanlah pemiliknya seperti sangkaan awal saya. Memang tidak patut disinggah! Ini bukan tempatnya...


Diringkaskan cerita, saya kembali melepasi kanan simpang dan terus ke Kembara Resort. Mungkin masih ada harapan buat musafir, si pencari seterika... Fokus!



Alhamdulillah, di sini hasrat saya tertunai... Terima kasih pemilik Kembara Resort yang sangat baik hati. Saya dilayan seperti kenalan walaupun saya hanyalah orang asing yang datangnya tidak diundang. 


http://www.letsbookhotel.com/en/malaysia/kampung-ru-tapai/hotel/kembara-resort.aspxhttp://www.letsbookhotel.com/en/malaysia/kampung-ru-tapai/hotel/kembara-resort.aspx

Bukan sahaja diberi pinjam seterika, malah makan tengahari turut dijemput sama. Saya menolak dengan penuh hormat. Misi saya sudah terlaksana. Baju sudah bergosok. Hanya itu yang tersemat di hati. Saya bergegas menjemput suami di masjid.

Kembara kami diteruskan untuk menuju Kompleks Sri Iman yang terletak di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu. Puluhan bakal pengantin baru sedang menanti di situ... 

Monday, 20 January 2014

Wajah-wajah kehidupan.

Indahnya hidup ini. Pelbagai rupa menghias alam. Antara wajah ada kita. Seronok melihat manusia pelbagai watak. Antara watak ada kita. 



Dengan sebuah manual  kehidupan, kita dicampak ke mana sahaja di bumi milik Allah. 


Kandungannya menceritakan apa yang sudah dan akan berlaku. Dalam cerita ada kisah kita. Kita yang berjalan di muka bumi ini. 

Kami terus di sini, meneruskan perjalanan, mengutip bekal untuk hari ini dan esok yang menanti.



Kami jatuh cinta lagi. Jatuh cinta pada sebuah taman yang tercipta. Taman ilmu yang menggamit tamu. Tamunya ialah anak-anak kecil yang akan ditinggal. Mereka akan membesar menceriakan wajah-wajah alam. 


Saat awal kami berkunjung dan menetap di daerah terpencil di sini, umat Islam sedang menunggu dan merindu datangnya penghulu segala bulan. Melintasi beberapa buah masjid, kami berkira-kira untuk membuat pilihan masjid yang bakal kami kunjungi sebagai tamu. 

Melihat kepada sebuah masjid besar yang indah sedang dibina, kami menyimpan impian. Namun, tempoh siapnya tidak memungkinkan. Kami menanti setahun. Kami beredar mencari yang lain. Akhirnya, Ramadhan kedua di Besut, masjid yang dinanti akhirnya menunggu tamu. Kami datang menyahut panggilan di sini.


Apa yang diharap jauh  menyimpang. Hingar kanak-kanak kami jadikan alasan. Kami beralih arah. Lari dari rumah Allah ke rumah Allah yang lain. Dari masjid ke masjid lain lagi. Akhirnya kami terus tetap bertamu di masjid lama yang menjadi pilihan hati.


Setelah tahun berganti ganti tahun, hati kami digerakkan untuk singgah lagi. Masjid yang selama ini hampir, namun tidak dekat di hati. Melihatnya saban hari, namun tiada rasa untuk bertamu, sekadar singgah di siang hari sekali sekala.


Bila malam, masjid lain juga yang mungkin disinggah.


Takdir Allah, anak yang suci hati sekadar memaksa menyatakan pilihan. Kami turuti sekadar mencuba lagi. Arah pilihan kami pesongkan mengikut kehendak si cilik ahli syurga. Sungguh, kami jatuh cinta lagi.


Mengejar yang jauh, mencari tenang dan kusyuk, rupanya yang dekat adalah anugerah indah yang tidak diendah. Setiap malam, taman ilmunya meriah. Kanak-kanak gembira, seolah riang di masjid. Masjid dekat di hati. Hingar bertukar melodi alunan kitabullah. Semoga generasi rabbani akan menjadi penghias alam ini...

Dulu, saya menanam was-was bila bersama anak-anak di masjid. Bimbang si kecil tidak dapat dikawal. Jemaah yang ramai, mungkin ada yang terganggu. Kita sendiri tidak selesa jika kebisingan mengganggu. Akhirnya, Allah kabulkan doa. 


Anak-anak dan kanak-kanak bukan lagi alasan. Sebaliknya anak-anak dan kanak-kanak perlu dirai. Biarkan mereka ke masjid. Masjid hak semua. Bukan orang-orang tua sahaja. Atau jangan pula biarkan ianya kosong. Kosong. Kosong...


Kadang-kadang gerun bila dijeling, kecut perut rasanya bila anak kecil mempamerkan keletah tanpa disangka. Senyum dan sengeh tidak berbalas lagi. Maafkan kami. Maafkan kami. Sedarkan diri, insafi peribadi. Belum pandai diri ini mendidik anak sendiri.


Lupa seketika senyum mesra dan doa jemaah, memberi motivasi penyejuk hati. "Baiknya dia, solehnya dia, bagusnya dia, kecil-kecil dah jadi ahli masjid, nanti masjid lekat dihatinya...". Takut mula menguasai diri, hingga lupa pernah melafaz Aamiin.., Insya-Allah...Moga masin mulut mereka. Anggap itulah doa yang terucap. Doa mereka mohon dikabulkan IIlahi...

Benarlah kata pujangga, 
"Sukar dicari kanak-kanak yang baik (selalunya nakal-nakal), begitu juga orang tua yang cantik (selalunya kulit wajah sudah mengendur)"

Ya Allah, masjid ini milik-Mu. Kurniakanlah ruang-Mu untuk kami, kami juga ingin bertamu. Anak kecil ini ingin juga bertamu. Jadikanlah rumah-Mu dihatinya...Tolonglah kami...Jadikan dia 'terkawal' di sini...


Rupanya di celah-celah pelusuk alam ini, sebuah masjid di daerah terpencil ini sangat meraikan tetamu cilik. Mereka bebas di sini. Tiada yang prejudis. Program Saf Kanak-kanak Ulul Albab cuba diatur untuk mendekatkan kanak-kanak dengan masjid. Nakal atau tidak cuba diasuh. Mari...mari....mari....


Lebih 100 peserta mendaftar percuma. Mereka datang sendiri. Ada yang berbasikal, tidak kurang juga yang berjalan kaki. Tiada yang memaksa, mereka seronok dengan cara sendiri. Ada yang dihantar ayah, lalu berlalu pergi. Mungkin ada urusan perlu dilunas. Semoga pahala tetap diperolehi. Setiap ibu bapa tentu mahukan yang terbaik untuk anaknya walau pun belum mampu mendidik sendiri. Guru berbakti mungkin dicari. 

Ada yang datang bersama bapa, sedangkan ibu tetap di rumah. Banyak tugas yang lebih perlu diberi autoriti. Pahala juga menanti, insya-Allah. Ada juga yang ikut 'tokki', masjid menjadi sebati walupun iman mungkin tidak boleh diwarisi. 


Sela masa yang singkat antara maghrib dan isya' penuh terisi. Kumpulan kanak-kanak dibentuk mengikut perbezaan aktiviti. Mereka bebas memilih rakan, kumpulan dan guru yang tidak digaji. 

Lucunya, kumpulan santai pun ada juga. Mungkin untuk mengambil hati, anak kecil seusia 3 tahun juga perlu dirai...Kisah-kisah dari Al-Quran dan teladan boleh diceritakan oleh abang-abang yang sudi. Buku cerita sudah tersedia.


Kanak-kanak yang sememangnya ingin keseronokkan walau di mana, diraikan di masjid. Masjid menjadi tempat ibadat yang seronok bagi mereka. Itulah Masjid Limbongan @ Masjid Al-Islah, tidak jauh dari Pantai Bukit Keluang. Program harijadi turut disambut dengan adabnya. Cabutan bertuah juga menanti.

Rezeki bagi mereka. Ruang legar masjid yang besar menjadi medan untuk mereka saling beraktiviti. Andainya slot yang diatur berbeza dengan jemaah di ruang solat, pintu sliding menjadi pemisah. Masing-masing saling kusyuk menambah ilmu di taman sendiri. Yang tua dihormati, yang muda dikasihi.

Program masjid silih berganti. Antara masjid yang hidup di kalangan yang hidup. Antara masjid yang meriah di kalangan yang meriah. 


Semoga ganjaran syurga buat AJK yang bervisi. Saat dunia gawat akhlak dan budi, anak kecil yang masih syurga ingin dihargai agar hidupnya masjid dekat di hati. Al-Quran menjadi sumber inspirasi. Indahnya hidup ini...



Tuesday, 7 January 2014

Alam yang berubah

Zaman beredar pantas, alam kian berubah. Rasanya baru semalam kita berada di zaman indah kanak-kanak riang, hari ini kita sudah berinjak usia meniti saki baki hidup ini. 

Bukan sahaja diri yang berubah rupa dan wajah dari saat ke minit, tapi alam juga begitu. Bumi milik Allah yang dicipta untuk kita diami sementara di sini juga begitu. Tasik, sungai dan laut terus berubah. Tanah padang dan bukit juga kian berbeza. Semalam pohon-pohon ditanam, dicantas akhirnya ditebang. Kelmarin, rumput tumbuh, dipotong, akhirnya diracun. Air, alam dan manusia sama-sama berubah. Kitaran akan terus berlaku dan berubah. Hanya sekejap masa berlalu. Saya dan kami juga begitu. 

Jika dulunya saya pernah menadah tangan mengaminkan doa sebagai pelajar di tepi koridor kelas, kemudian beralih masa, doa yang sama diaminkan sebagai guru. Hari ini, giliran anak-anak turut berdoa dan terus berdoa setiap pagi di sekolah mereka. Esok yang bagaimana untuk mereka, kita sama-sama doakan. 

Yang pasti, hari ini, alunan doa pagi sayup-sayup kedengaran, saya turut menadah tangan sebagai hambaNya yang tergalas tugas di dalam rumah. Masing-masing punya cerita, masing-masing punya doa untuk ditadah. Semoga yang terbaik akan kita dapat di dunia dan akhirat.

Mengimbau kenangan lalu, membuat kita terkadang senyum manis dan bertukar kelat. Mungkin tertawa atau menangis sendiri. Yang berlalu tetap berlalu. Yang di hadapan sedang menunggu. 

Menikmati keindahan hidup hari ini adalah rezeki. Menempuh ujian silih berganti adalah juga rezeki bagi insan terpilih. Hidup aman di tempat yang selamat, hidup terancam di tempat yang bahaya, kematian tetap tiba. Keajaiban juga dalam kekuasaan Tuhan. Ada juga yang terperangkap bahaya di tempat yang aman, sebaliknya bebas terselamat di tempat terancam. Masing-masing punya kisah dan pengalaman. Yang penting doa tetap tersemat di hati di kala senang mahu pun susah. Hanya padaNya yang Satu kita mengharap dan merayu. Tunduk sujud bersyukur hanya untukNya jua. 

Selamat menempuh jalan yang terbentang luas. Ada jalan beralas tar, cantik dan luas. Ada jalan bersalut lumpur, terpalit kotoran. Masing-masing menuju ke depan, tidak ke belakang. Semoga destinasi yang dituju tetap sama. Bahagia yang berkekalan...


Merenung masa depan, menuju destinasi...

Wednesday, 11 December 2013

Alam ria kanak-kanak


Indahnya alam kanak-kanak. Tiada tanggungjawab yang perlu digalas. Tiada apa yang perlu dirisau. Mereka hanya punya keinginan yang satu. Mahu seronok. 

Kata ustaz, zaman kanak-kanak, nafsunya paling kuat ialah pada makanan. Betul juga, makan pun mahu yang sedap-sedap sahaja. Tapi yang pelik, apa yang sedap pada pada mereka, belum tentu sedap pada kita. Begitu juga sebaliknya. 

Betapa jauh bezanya dunia kanak-kanak dan dunia orang tua. Orang tua? Orang Terengganu, menggantikan istilah dewasa dengan orang tua. Maksudnya lebih luas, bukan semestinya warga emas. 

Pernah ketika dulu, semasa membeli tiket di Kuala Lumpur, kami tersasul "3 kanak-kanak, 2 orang tua". Kerani tiket melihat beberapa kali, mungkin untuk mengesahkan kehadiran warga emas. Harga tiket untuk warga emas pasti lebih murah. Tapi orang tua yang ada hanya kami. Cepat-cepat suami betulkan "Orang dewasa."

Kanak-kanak dan dewasa merupakan 2 dunia berbeza yang erat. Dunia tiada seri tanpa hilaian ketawa kanak-kanak. Kanak-kanak kehilangan pegangan tanpa bimbingan orang dewasa. Kanak-kanak akan membesar menjadi dewasa dan orang tua. Orang tua hari ini pernah menjadi kanak-kanak riang suatu masa yang lalu. 

Pernah suatu ketika, dalam kembara mingguan kami dari Besut ke Dungun, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Di kawasan parkir terdapat pokok bunga tanjung. 

Saya mengajak Auliya dan adiknya Ali mengutip bunga dan menyucuknya pada batang kemuncup. Seronok melihat mereka tekun menyucuk 1 demi 1. Akhirnya terbentuklah gelang bunga yang cantik dan harum. 


Gelagat kami rupanya diperhatikan makcik-makcik yang juga sedang menunggu. Saya mendekati mereka, mengajak anak-anak bersalam. "Zaman kecil-kecil dulu, selalu la main cucuk bunga tanjung ni, .." 

Hati saya berkata, "Mereka pernah, saya pernah, tapi sekarang sudah ramai yang tidak pernah..." Zaman sekarang, zaman gajet. Anak-anak kenal gajet, anak-anak tidak kenal pokok bunga tanjung apatah lagi bunga tanjung. Anak-anak pun mungkin tidak pernah dengar lagu 'Bunga Tanjung'. Memang tidak diajar di sekolah, tetapi mereka memang tidak tahu wujudnya bunga bernama Tanjung.

Anak-anak hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza. Dunia siber. Kanak-kanak dahulu berbeza dengan kanak-kanak yang sekarang. Namun, apa yang dimahu tetap sama. Seronok! Ke masjid pun mahu seronok. Belajar pun mahu seronok. 


Tidak mahu yang susah dan yang sakit. Lucu bila terkenang pujukan Auliya "Nak pergi cabut gigi kat klinik yang tak sakit." Saya respon, "Kalau gitu, mak pun nak pergi bersalin kat hospital yang tak sakit juga lah." Apa semua yang dibuat, mereka mahu gembira. 

Bermain bergaduh, menjadi lumrah. Dalam gaduhnya ada ketawa. Putus sekejap hubungan, hanya untuk menambah erat. Bak kata rakan suami, Syed "Bergaduh itu bahagia". Ayatnya pendek, tapi penuh bermakna! Kata-kata yang terbit dari seorang novelis. 

Tersenyum beliau mengukir kata sambil melihat anak-anak kami seramai 5 orang yang memenuhi tempat duduk kereta ketika mengiringi kami pulang bertandang. 

Gembiralah anak-anak semua. Senyumlah duhai anak-anak. Ceriakan duniamu. Zaman kanak-kanak akan berlalu. Bahagialah hingga ke syurga. Kami juga pernah menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak riang...
 
 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...