Monday, 20 January 2014

Wajah-wajah kehidupan.

Indahnya hidup ini. Pelbagai rupa menghias alam. Antara wajah ada kita. Seronok melihat manusia pelbagai watak. Antara watak ada kita. 



Dengan sebuah manual  kehidupan, kita dicampak ke mana sahaja di bumi milik Allah. 


Kandungannya menceritakan apa yang sudah dan akan berlaku. Dalam cerita ada kisah kita. Kita yang berjalan di muka bumi ini. 

Kami terus di sini, meneruskan perjalanan, mengutip bekal untuk hari ini dan esok yang menanti.



Kami jatuh cinta lagi. Jatuh cinta pada sebuah taman yang tercipta. Taman ilmu yang menggamit tamu. Tamunya ialah anak-anak kecil yang akan ditinggal. Mereka akan membesar menceriakan wajah-wajah alam. 


Saat awal kami berkunjung dan menetap di daerah terpencil di sini, umat Islam sedang menunggu dan merindu datangnya penghulu segala bulan. Melintasi beberapa buah masjid, kami berkira-kira untuk membuat pilihan masjid yang bakal kami kunjungi sebagai tamu. 

Melihat kepada sebuah masjid besar yang indah sedang dibina, kami menyimpan impian. Namun, tempoh siapnya tidak memungkinkan. Kami menanti setahun. Kami beredar mencari yang lain. Akhirnya, Ramadhan kedua di Besut, masjid yang dinanti akhirnya menunggu tamu. Kami datang menyahut panggilan di sini.


Apa yang diharap jauh  menyimpang. Hingar kanak-kanak kami jadikan alasan. Kami beralih arah. Lari dari rumah Allah ke rumah Allah yang lain. Dari masjid ke masjid lain lagi. Akhirnya kami terus tetap bertamu di masjid lama yang menjadi pilihan hati.


Setelah tahun berganti ganti tahun, hati kami digerakkan untuk singgah lagi. Masjid yang selama ini hampir, namun tidak dekat di hati. Melihatnya saban hari, namun tiada rasa untuk bertamu, sekadar singgah di siang hari sekali sekala.


Bila malam, masjid lain juga yang mungkin disinggah.


Takdir Allah, anak yang suci hati sekadar memaksa menyatakan pilihan. Kami turuti sekadar mencuba lagi. Arah pilihan kami pesongkan mengikut kehendak si cilik ahli syurga. Sungguh, kami jatuh cinta lagi.


Mengejar yang jauh, mencari tenang dan kusyuk, rupanya yang dekat adalah anugerah indah yang tidak diendah. Setiap malam, taman ilmunya meriah. Kanak-kanak gembira, seolah riang di masjid. Masjid dekat di hati. Hingar bertukar melodi alunan kitabullah. Semoga generasi rabbani akan menjadi penghias alam ini...

Dulu, saya menanam was-was bila bersama anak-anak di masjid. Bimbang si kecil tidak dapat dikawal. Jemaah yang ramai, mungkin ada yang terganggu. Kita sendiri tidak selesa jika kebisingan mengganggu. Akhirnya, Allah kabulkan doa. 


Anak-anak dan kanak-kanak bukan lagi alasan. Sebaliknya anak-anak dan kanak-kanak perlu dirai. Biarkan mereka ke masjid. Masjid hak semua. Bukan orang-orang tua sahaja. Atau jangan pula biarkan ianya kosong. Kosong. Kosong...


Kadang-kadang gerun bila dijeling, kecut perut rasanya bila anak kecil mempamerkan keletah tanpa disangka. Senyum dan sengeh tidak berbalas lagi. Maafkan kami. Maafkan kami. Sedarkan diri, insafi peribadi. Belum pandai diri ini mendidik anak sendiri.


Lupa seketika senyum mesra dan doa jemaah, memberi motivasi penyejuk hati. "Baiknya dia, solehnya dia, bagusnya dia, kecil-kecil dah jadi ahli masjid, nanti masjid lekat dihatinya...". Takut mula menguasai diri, hingga lupa pernah melafaz Aamiin.., Insya-Allah...Moga masin mulut mereka. Anggap itulah doa yang terucap. Doa mereka mohon dikabulkan IIlahi...

Benarlah kata pujangga, 
"Sukar dicari kanak-kanak yang baik (selalunya nakal-nakal), begitu juga orang tua yang cantik (selalunya kulit wajah sudah mengendur)"

Ya Allah, masjid ini milik-Mu. Kurniakanlah ruang-Mu untuk kami, kami juga ingin bertamu. Anak kecil ini ingin juga bertamu. Jadikanlah rumah-Mu dihatinya...Tolonglah kami...Jadikan dia 'terkawal' di sini...


Rupanya di celah-celah pelusuk alam ini, sebuah masjid di daerah terpencil ini sangat meraikan tetamu cilik. Mereka bebas di sini. Tiada yang prejudis. Program Saf Kanak-kanak Ulul Albab cuba diatur untuk mendekatkan kanak-kanak dengan masjid. Nakal atau tidak cuba diasuh. Mari...mari....mari....


Lebih 100 peserta mendaftar percuma. Mereka datang sendiri. Ada yang berbasikal, tidak kurang juga yang berjalan kaki. Tiada yang memaksa, mereka seronok dengan cara sendiri. Ada yang dihantar ayah, lalu berlalu pergi. Mungkin ada urusan perlu dilunas. Semoga pahala tetap diperolehi. Setiap ibu bapa tentu mahukan yang terbaik untuk anaknya walau pun belum mampu mendidik sendiri. Guru berbakti mungkin dicari. 

Ada yang datang bersama bapa, sedangkan ibu tetap di rumah. Banyak tugas yang lebih perlu diberi autoriti. Pahala juga menanti, insya-Allah. Ada juga yang ikut 'tokki', masjid menjadi sebati walupun iman mungkin tidak boleh diwarisi. 


Sela masa yang singkat antara maghrib dan isya' penuh terisi. Kumpulan kanak-kanak dibentuk mengikut perbezaan aktiviti. Mereka bebas memilih rakan, kumpulan dan guru yang tidak digaji. 

Lucunya, kumpulan santai pun ada juga. Mungkin untuk mengambil hati, anak kecil seusia 3 tahun juga perlu dirai...Kisah-kisah dari Al-Quran dan teladan boleh diceritakan oleh abang-abang yang sudi. Buku cerita sudah tersedia.


Kanak-kanak yang sememangnya ingin keseronokkan walau di mana, diraikan di masjid. Masjid menjadi tempat ibadat yang seronok bagi mereka. Itulah Masjid Limbongan @ Masjid Al-Islah, tidak jauh dari Pantai Bukit Keluang. Program harijadi turut disambut dengan adabnya. Cabutan bertuah juga menanti.

Rezeki bagi mereka. Ruang legar masjid yang besar menjadi medan untuk mereka saling beraktiviti. Andainya slot yang diatur berbeza dengan jemaah di ruang solat, pintu sliding menjadi pemisah. Masing-masing saling kusyuk menambah ilmu di taman sendiri. Yang tua dihormati, yang muda dikasihi.

Program masjid silih berganti. Antara masjid yang hidup di kalangan yang hidup. Antara masjid yang meriah di kalangan yang meriah. 


Semoga ganjaran syurga buat AJK yang bervisi. Saat dunia gawat akhlak dan budi, anak kecil yang masih syurga ingin dihargai agar hidupnya masjid dekat di hati. Al-Quran menjadi sumber inspirasi. Indahnya hidup ini...



Tuesday, 7 January 2014

Alam yang berubah

Zaman beredar pantas, alam kian berubah. Rasanya baru semalam kita berada di zaman indah kanak-kanak riang, hari ini kita sudah berinjak usia meniti saki baki hidup ini. 

Bukan sahaja diri yang berubah rupa dan wajah dari saat ke minit, tapi alam juga begitu. Bumi milik Allah yang dicipta untuk kita diami sementara di sini juga begitu. Tasik, sungai dan laut terus berubah. Tanah padang dan bukit juga kian berbeza. Semalam pohon-pohon ditanam, dicantas akhirnya ditebang. Kelmarin, rumput tumbuh, dipotong, akhirnya diracun. Air, alam dan manusia sama-sama berubah. Kitaran akan terus berlaku dan berubah. Hanya sekejap masa berlalu. Saya dan kami juga begitu. 

Jika dulunya saya pernah menadah tangan mengaminkan doa sebagai pelajar di tepi koridor kelas, kemudian beralih masa, doa yang sama diaminkan sebagai guru. Hari ini, giliran anak-anak turut berdoa dan terus berdoa setiap pagi di sekolah mereka. Esok yang bagaimana untuk mereka, kita sama-sama doakan. 

Yang pasti, hari ini, alunan doa pagi sayup-sayup kedengaran, saya turut menadah tangan sebagai hambaNya yang tergalas tugas di dalam rumah. Masing-masing punya cerita, masing-masing punya doa untuk ditadah. Semoga yang terbaik akan kita dapat di dunia dan akhirat.

Mengimbau kenangan lalu, membuat kita terkadang senyum manis dan bertukar kelat. Mungkin tertawa atau menangis sendiri. Yang berlalu tetap berlalu. Yang di hadapan sedang menunggu. 

Menikmati keindahan hidup hari ini adalah rezeki. Menempuh ujian silih berganti adalah juga rezeki bagi insan terpilih. Hidup aman di tempat yang selamat, hidup terancam di tempat yang bahaya, kematian tetap tiba. Keajaiban juga dalam kekuasaan Tuhan. Ada juga yang terperangkap bahaya di tempat yang aman, sebaliknya bebas terselamat di tempat terancam. Masing-masing punya kisah dan pengalaman. Yang penting doa tetap tersemat di hati di kala senang mahu pun susah. Hanya padaNya yang Satu kita mengharap dan merayu. Tunduk sujud bersyukur hanya untukNya jua. 

Selamat menempuh jalan yang terbentang luas. Ada jalan beralas tar, cantik dan luas. Ada jalan bersalut lumpur, terpalit kotoran. Masing-masing menuju ke depan, tidak ke belakang. Semoga destinasi yang dituju tetap sama. Bahagia yang berkekalan...


Merenung masa depan, menuju destinasi...

Wednesday, 11 December 2013

Alam ria kanak-kanak


Indahnya alam kanak-kanak. Tiada tanggungjawab yang perlu digalas. Tiada apa yang perlu dirisau. Mereka hanya punya keinginan yang satu. Mahu seronok. 

Kata ustaz, zaman kanak-kanak, nafsunya paling kuat ialah pada makanan. Betul juga, makan pun mahu yang sedap-sedap sahaja. Tapi yang pelik, apa yang sedap pada pada mereka, belum tentu sedap pada kita. Begitu juga sebaliknya. 

Betapa jauh bezanya dunia kanak-kanak dan dunia orang tua. Orang tua? Orang Terengganu, menggantikan istilah dewasa dengan orang tua. Maksudnya lebih luas, bukan semestinya warga emas. 

Pernah ketika dulu, semasa membeli tiket di Kuala Lumpur, kami tersasul "3 kanak-kanak, 2 orang tua". Kerani tiket melihat beberapa kali, mungkin untuk mengesahkan kehadiran warga emas. Harga tiket untuk warga emas pasti lebih murah. Tapi orang tua yang ada hanya kami. Cepat-cepat suami betulkan "Orang dewasa."

Kanak-kanak dan dewasa merupakan 2 dunia berbeza yang erat. Dunia tiada seri tanpa hilaian ketawa kanak-kanak. Kanak-kanak kehilangan pegangan tanpa bimbingan orang dewasa. Kanak-kanak akan membesar menjadi dewasa dan orang tua. Orang tua hari ini pernah menjadi kanak-kanak riang suatu masa yang lalu. 

Pernah suatu ketika, dalam kembara mingguan kami dari Besut ke Dungun, kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Di kawasan parkir terdapat pokok bunga tanjung. 

Saya mengajak Auliya dan adiknya Ali mengutip bunga dan menyucuknya pada batang kemuncup. Seronok melihat mereka tekun menyucuk 1 demi 1. Akhirnya terbentuklah gelang bunga yang cantik dan harum. 


Gelagat kami rupanya diperhatikan makcik-makcik yang juga sedang menunggu. Saya mendekati mereka, mengajak anak-anak bersalam. "Zaman kecil-kecil dulu, selalu la main cucuk bunga tanjung ni, .." 

Hati saya berkata, "Mereka pernah, saya pernah, tapi sekarang sudah ramai yang tidak pernah..." Zaman sekarang, zaman gajet. Anak-anak kenal gajet, anak-anak tidak kenal pokok bunga tanjung apatah lagi bunga tanjung. Anak-anak pun mungkin tidak pernah dengar lagu 'Bunga Tanjung'. Memang tidak diajar di sekolah, tetapi mereka memang tidak tahu wujudnya bunga bernama Tanjung.

Anak-anak hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza. Dunia siber. Kanak-kanak dahulu berbeza dengan kanak-kanak yang sekarang. Namun, apa yang dimahu tetap sama. Seronok! Ke masjid pun mahu seronok. Belajar pun mahu seronok. 


Tidak mahu yang susah dan yang sakit. Lucu bila terkenang pujukan Auliya "Nak pergi cabut gigi kat klinik yang tak sakit." Saya respon, "Kalau gitu, mak pun nak pergi bersalin kat hospital yang tak sakit juga lah." Apa semua yang dibuat, mereka mahu gembira. 

Bermain bergaduh, menjadi lumrah. Dalam gaduhnya ada ketawa. Putus sekejap hubungan, hanya untuk menambah erat. Bak kata rakan suami, Syed "Bergaduh itu bahagia". Ayatnya pendek, tapi penuh bermakna! Kata-kata yang terbit dari seorang novelis. 

Tersenyum beliau mengukir kata sambil melihat anak-anak kami seramai 5 orang yang memenuhi tempat duduk kereta ketika mengiringi kami pulang bertandang. 

Gembiralah anak-anak semua. Senyumlah duhai anak-anak. Ceriakan duniamu. Zaman kanak-kanak akan berlalu. Bahagialah hingga ke syurga. Kami juga pernah menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak riang...
 
 



Tuesday, 19 November 2013

Besut bumi Ulul Albab


Alhamdulillah, itu slogan dan impian yang ingin cuba direalisasikan oleh pihak berwajib di tanah subur Besut ini. Subur dengan pusat-pusat ilmu yang sudah sedia ada sejak dahulu lagi. Tidak kurang juga yang baru bertapak. Semoga harapan jadi kenyataan. Bertambah makmur tanah bertuah. 

Kami hanya menumpang di sini. Sementara jasad masih berpeluang menghirup udara segar dari Pantai dan Tasik Bukit Keluang. Entah bila kami perlu beredar keluar dari daerah indah ini, hanya Allah yang Tahu. Peluang yang ada, kami insafi diri. Berkelana di bumi Allah, bukan sedikit bekal yang perlu di bawa. 

Rezeki dunia terlalu banyak untuk disyukuri. Rezeki rohani perlu dicari. Dunia hanyalah jalan menuju akhirat. Ladang yang perlu dituai hasilnya. Taman yang perlu disubur dan dibaja. Apa yang kita tanam, itu yang kita tuai. Di sana sini, majlis-majlis ilmu sama rancaknya dengan dengan 'majlis' yang meminggirkan ilmu. Kita pilih apa yang kita mahu.


Di Besut ini, institusi ilmu sepanjang jalan. Dari Seberang jertih, terpacak indah Masjid Ulul Albab. 


Masjid kayu menjadi kunjungan ramai. 


Tidak jauh di seberang jambatan, berpusat di Bandar Jertih, Masjid Hadhari pula menjadi mercu tanda. 


Anak-anak saya menggelarkannya masjid roti. Melihat kepada kubahnya, mereka teringat kepada bentuk roti. 

Itulah anak-anak, rezeki lahiriah juga yang bermain di matanya. Biarlah dia dengan dunia kanak-kanaknya. Kita juga pernah melepasi zaman indah itu. Hanya keseronokkan yang kita suka dan ingat lebih. 

Dari Jerteh, Masjid Alor Lintang dan Masjid Alor Lintah berdiri tegak di kiri dan kanan jalan. Terus ke depan, Masjid Gong Kepas (alMuqarrabin), antara masjid yang menarik bagi kami sekeluarga. 


Bergerak terus menuju ke Kampung Raja, tersergam megah masjid lama.  


Masih tetap berperanan utama, banyak acara besar peringkat daerah di jalankan di sini.

Senggang tidak jauh, Masjid Pengkalan Nyireh pula menanti kunjungan jemaah. 



Di masjid ini, anak saya berpeluang bersalam dengan guru Matematiknya. Lama tidak ke sana, di dalam kelas, gurunya mengusik "Amin tidak lagi menjadi hantu masjid." Tersengeh, tiada kata-kata.

Memasuki jalan kampung, bersebelahan sekolah anakanda (SK Permaisuri Nur Zahirah), Masjid Limbungan menjadi kebanggaan penduduk. 


Masjid besar yang baru siap mula berperanan.


Dari masjid ke masjid, tidak terbilang taman-taman ilmunya. 

Menuju ke Pantai Bukit Keluang, tegak kukuh pusat melatih tersebarnya ilmu ke seluruh buana. Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan tidak asing lagi bertapak lama di daerah kecil ini. 

Bertentangan jalan, MRSM Ulul Albab (Kota Putera) gigih melahirkan ilmuan hafiz dan hafizah. Sepanjang jalan, Kem Bina Negara dan Kem Sri Kluang terletak tidak jauh antara satu sama lain. 

Meneruskan perjalanan menuju ke Pantai Bukit Keluang, kelihatan terbentang luas Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur. 



Pusat kursus terkini, menjadi nadi ilmu bagi daerah terpencil ini. 


Peserta kursus datang jauh dan dekat, memeriahkan taman-taman ilmu yang berkembang di serata daerah bumi Besut, bumi Ulul Albab. 

Semoga percikan dan tempias ilmu turut menyuburkan rohani kita semua, walau di mana berada....Ilmu di mana-mana.



 

Thursday, 14 November 2013

Tetamu Teratak Kecil di Pinggir Tasik

Alhamdulillah, setelah sekian lama berhijrah ke sini, tetamu datang bersilih ganti. 

Dalam tempoh lebih 3 tahun, tetamu yang datang amat menggembirakan kami. 


Selalunya di kalangan adik beradik dan saudara mara. Alangkah gembira bila ibu dan ayah juga berpeluang sama. 

Ahli keluarga yang berkonvoi kenduri kahwin anak saudara di Kelantan turut pernah singgah seketika sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dungun. Meriahnya masih terasa hingga ke hari ini.


Pasangan 6 anak, Cikgu Khairi (anak saudara suami) dan Ustazah Saba bersama ibu ayah turut singgah berziarah ketika datang menjemput adik yang belajar di Kelantan.

Sememangnya, Besut menjadi laluan utama ke Kelantan atau Utara. Jadi, ada di kalangan rakan yang dalam perjalanan pulang atau pergi Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang sempat singgah bertandang. 

Pasangan rakan SESMA, Rohani Malik dan Saifuddin turut membawa Bonda dan keluarga dari Kelantan mengunjungi kami. Walau pun mereka tinggal jauh di Shah Alam, kesempatan cuti yang ada menemukan kami di sini.  Gembira bukan kepalang anak-anak kecil mereka melihat ada tasik di tepi rumah.

Sahabat JAKIM suami, Ustaz Zaki dan Ustazah Najmiah (pasangan Terengganu yang menetap di Kuala Lumpur) turut sama singgah bertamu bersama Bonda tersayang ke teratak kecil kami. Terasa sejuk hati bila kanak-kanak dan orang tua sentiasa datang mengunjungi kami.  

Sahabat saya, Faizah Yang (UiTM Arau) dan sahabat suami, saudara Mansor (Pulau Pinang) juga sempat singgah seketika dalam perjalanan ke destinasi mereka sekeluarga.

Begitu juga rakan dan saudara mara yang terlibat dengan urusan temuduga anak-anak di  MRSM Ulul Albab. Hanya kira-kira 2 km dari kediaman kami, Ustazah Rubiah Abu Bakar (UiTM K. Trg), Kak Mah (Kuantan) dan Kak Han (Bukit Besi) tidak keberatan datang bertamu. Kak Hasyaniza Yahya (UiTM K. Trg) bersama anakandanya dan rakan-rakan hafizah Imtiaz Besut turut  bertamu ketika perjalanan pulang dari asrama.  

Peserta, urusetia dan penceramah kursus juga sebahagian tetamu kami. Kak Ani (staf Imtiaz K.Trg KOSPINT) yang datang berkursus tidak menyangka bertemu saya di sini, satu kebetulan yang sudah dirancang olehNya... 

Rakan kerja suami, urusetia dari KPM (Kak Bie) dan MOA (Kak Ani) juga antara tetamu yang singgah. Ustaz Din, penceramah kursus turut singgah sejenak bersama keluarga.


Saat manis, rombongan 1 bas dari UiTM Kuala Terengganu yang diiringi oleh Puan Adida Muhammad dan Miss Sarina Mohamad datang menjalankan kerja lapangan Biologi di Tasik ILIM. Semua mereka menjadi tetamu di teratak kecil di pinggir tasik.

Walaupun semua mereka hanya singgah bertamu sebentar cuma, keberkatannya cukup terasa. Kemesraan indah terjalin. 
Hanya adik-beradik saya dan saudara terdekat yang sempat bermalam sehari dua.
Kesempatan yang ada, kami gunakan sepenuhnya. Tempat menarik mesti dikunjungi. Pantai Bukit Keluang menjadi agenda wajib. 

Kalau tidak ke pantai, sungai juga menjadi destinasi pilihan. Sungai yang bersambung ke muara merupakan lubuk bagi pemancing, amat mendamaikan. 

Paling tidak pun, kami membawa anak-anak kecil bermandi kolam di Bukit Keluang Beach Resort di seberang jalan sana. 
 

Saat indah bersama keluarga sungguh terasa....Alhamdulillah.


Friday, 1 November 2013

Haruan Tasik Bukit Keluang

Tercampak ke Bukit Keluang, ibarat syurga dunia bagi anak-anak. Selama ini sibuk dicarinya lopak-lopak berair di dalam sawah untuk menangguk ikan. Kini tidak lagi. Bukan lopak yang tersedia, tapi tasik seluas ikan-ikan berenang bebas.
 



Anak sulong, Muhammad di Tahun 4 ketika mula berpindah ke sini. Nostalgia dia hilang ketika menunggu saya yang pulang lewat kerja hanya tinggal kenangan dalam era kerjaya. Suatu ketika dulu, saya pernah kecut perut bila dia yang dicari-cari tidak tahu ke mana. Hati seorang anak kecil mungkin merasa kesunyian menunggu ibu yang pulang dari kerja, menunggu-nunggu setiap hari. Jam 5 hingga jam 6 kadang-kadang terlajak ke jam 7 satu penyeksaan baginya, mungkin.

Akhirnya, diikutnya rakan sekolah yang pulang, keluar semula bersama mereka menikmati hidup sebagai budak kampung. Bermain layang-layang, mandi sungai, mencari ikan dan sebagainya. Baju sekolah bertukar corak dan warna. Kotoran yang tidak mampu dikalahkan oleh 'trojan'. 


Di sini, urusan saya mudah. Balik sekolah dijemput awal, masa santai anak-anak bebas keluar bermain-main atau memancing di tepi rumah. Bukan sedikit hasil tangkapan. Boleh dibuat belanja bagi yang berniaga. 


Kami turut membawa ikan-ikan tersebut pulang ke kampung, menjadi rezeki ramai. Bangga pula si Muhammad dan Amin bila menjadi usikan ramai sebagai pemancing cilik. 

Sudah lebih 3 tahun kami di sini, sudah banyak hasil dapat dikongsi bersama. Pernah suatu ketika dulu, Muhamad mendapat seekor haruan yang sangat besar, cukup dibuat lauk. Kami sepakat memberikannya sahaja kepada pengawal yang bertugas. Apa yang menarik, seekor yang diberi, hampir 10 ekor lagi yang mengena joran. Benar sekali apa yang dijanji Allah, rezeki bertambah bila dikongsi bersama. 

Kadang-kadang tetamu yang datang turut mengambil peluang berekreasi di tepi tasik sambil mencuba nasib. 



Tidak cukup dengan tasik di tepi rumah, mereka beransur ke sungai atau ke pantai pula. 
 



Sungai Keluang dan Pantai Bukit Keluang menjadi destinasi pakej memancing. Hasil tangkapan terus dimasak menjadi lauk hari itu. Meriah bercampur seronok pula bila beramai-ramai merasa juadah bersama, hasil tangkapan tetamu sendiri. Tetamu pula yang merasa bangga.

Hasil terkini semasa entry ini ditulis, sambil bersiap-siap untuk balik kampung, Amin sempat lagi membaling joran ke tasik. Tidak sampai setengah jam, dua ekor haruan sempat dinaikkan. Alhamdulillah. Rezeki siapa agaknya...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...