Tuesday 26 September 2017

Susah atau Senang?


Al-'Anbyā' : 35 -

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan...

Susah atau senang?
Dapat atau tidak?
Plan A atau plan B?
Hidup atau mati?
Tanya sama Allah... Istikharah!



Tanya sama pokok... pokok tidak jawab!
Tanya sama hati... hati kena cuci!

'... Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah...
Tapi hati bila dikotori, bisikannya bukan lagi kebenaran...

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia... '

Begitulah antara bait nasyid yang sering terdengar satu ketika lama dahulu...



Kenapa kita pilih A, kita tolak B. 
Kenapa kita usahakan sungguh-sungguh untuk dapatkan C, kita elak sungguh-sungguh, agar dijauhkan dari D.
Adakalanya kita beria mahukan ABC atau juga ABCD...
Biarlah kerana Allah...

Sejak kecil, kita banyak meminta itu dan ini. Terpaksa juga membuat pilihan. Main hentam, ikut kehendak hati. Kita mahukan yang indah-indah. Mahu menikmati yang menyenangkan. Yang nampak susah tolak tepi. Yang rasa buruk jauh sekali. Itu semua mengikut hati sendiri tanpa merujuk Allah Yang Memberi...

Sedangkan, Islam mengajarkan...
Nikmat itu juga ujian! Sememangnya yang susah itu hanya ujian yang nampak di mata. Ujian nikmat, selalu manusia lupa. Tidak perasan!

Analoginya mudah, ibarat seekor tupai di dahan pohon...
Goncangan angin yang kuat menyebabkan pautannya menjadi teguh, bimbang terjepuk jatuh. Namun, bila angin sepoi-sepoi bahasa meniup manja, meliuk lentoklah si tupai... Akhirnya, leka... Gedebuk! Terjatuh juga akhirnya...

Ujian datang ketika susah dan senang. Terkadang kita diuji dalam membuat keputusan. Yang disangka susah itu, mungkin kelak mendatangkan nikmat. Yang disangka mudah itu, mungkin mengundang mehnah.

Istikharah...
Dulu, semasa kecil saya tidak pernah tahu dan dengar istilah ini. Bila sedikit besar, saya sangkakan istikharah hanya untuk orang dewasa yang mahu pilih jodoh. Terasa diri begitu bodoh... 

Rupanya...
Islam ajar istikaharah itu penting. Sangat penting! 

Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah r.a melaporkan

"Mintalah kepada Allah berkenaan semua perkara sekalipun cuma sekadar tali kasut. Ini kerana sekiranya Allah tidak memudahkan ia kepada kamu, pasti engkau tidak dapat memperoleh ia." 


Sebenarnya...
Istikharah bukan hanya tunggu jawaban Allah. 
Tapi, tanda pergantungan hati kita dengan takdir Allah. 
Hati tetap tenang jika apa yang Allah takdirkan tidak selari dengan apa yang kita impikan. 

Allah lebih tahu yang telah berlaku, sedang dan akan datang...
Kita pohonkan yang terbaik untuk bahagia dunia akhirat.


Alhamdulillah, anakanda Mukminah bahagia dengan sekolah pilihannya kini. Keputusan istikharah kami tidak menghampakan. 

Kelas Al-Quran tetap disediakan walaupun silibusnya tidak mengkhususkan hafazan Al-Quran. Tidak juga ada kelas pilihan khas yang dikenali sebagai kelas tamayyuz sepertimana sekolah agama yang menjadi dilema pilihannya seketika masa dahulu. 

Namun, dalam kelasnya kini tetap juga ada siri-siri hafazan untuk surah pilihan. Itu semua tidak kami jangkakan sekali! Alhamdulillah, Allah kurniakan ruang untuk lebih dekat dengan Kalam-Nya...




Saya seronok sekali bila ke situ. Sekolah di hadapan masjid. Mudah! Selalu sahaja saya ditegur jemaah kerana disangka musafir luar. Rupanya hanya singgah bertandang menjenguk anak di dalam pagar setentang...

Nikmat sungguh bila azan kedengaran bersahutan. Di dalam dan luar pagar saling memanggil menuju Tuhan...

Sebenarnya, sekolah Auliya pun sama. Satu-satunya anakanda yang masih berada di sekolah rendah. Masjid siap dibina di hadapan perkarangan sekolah. Seronok menunggu anak keluar dari pagar sekolah, diiringi alunan Al-Quran dari corong pembesar suara masjid di seberang sana...



Memilih tempat belajar selalu sahaja menjadi dilema yang tidak pernah tamat. Banyak faktor yang menjadi timbang tara. Begitu juga halnya dalam memilih bidang pekerjaan atau apa sahaja. 

Berada di tempat terbaik, belum tentu kita mampu buat yang terbaik. Walau siapa dan di mana kita. Ujian tetap datang silih berganti. Ujian itu menentukan aras iman. 
Usaha cari jalan keluar dalam setiap permasalahan. 
Banyak pintu yang masih terbuka...
Mohon petunjuk Allah SWT.



Namun...
Peluang yang ada, kita cuba sehabis daya
Al-Quran dan solat dijaga
Semoga kita berjaya...
Bahagia dunia akhirat...



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...