Wednesday 20 September 2017

Jalan Terus


Dunia luas tanpa sempadan
Jalan luas terbentang
Darat, laut dan udara
Manusia terus berkelana

Jalan terus
Jalannya ke depan
Tinggalkan yang semalam
Bawa memori di sanubari...


40 tahun telah berlalu... Masa kian singkat untuk teruskan musafir. Bumi masih hijau, langit masih biru. Jalannya mungkin tinggal lagi berbatu-batu. Atau mungkin juga, batu nisan sudah sedia menunggu...


Suatu hari, kita toleh belakang... 
Hati berdetik, 'aku pernah di situ...'

Ada jalannya rata mudah dilalu. Ada ketikanya tidak begitu. Langit juga mendung, bumi juga kelam. Cuaca berubah.


Namun, kelana tidak terhenti. Jalannya terus... Bertemankan insan bahagia di sisi... Terus berdiri dan berlari tanpa henti...


Teringat kisah ketika kami sekeluarga berkunjung ke rumah kakak suami, Kak Dah di Seremban. Untuk keluar ke bandar, kami mempelawa anak saudara, Hanif turut serta. Walaupun anak kecil, mungkin sahaja boleh tunjukkan arah yang sudah biasa baginya sekeluarga.

Apa yang lucu...

Sepanjang jalan apabila kami mengusik tanya, "Manakah arah yang perlu dituju?". 

Tiada jawapan lain yang diberi...

Hanya, "Jalan terus..."

Saya terkekek ketawa. Betul sungguh katanya! Walaupun kereta kami perlu menyimpang ke kiri dan ke kanan, kami tetap jalan terus. Tidak sesekali mengundur ke belakang!

Begitu juga hidup kita. Hari tetap ke depan. Yang semalam terpahat memori.

Saya terkenang satu ketika di KOSPINT (kini bergelar Imtiaz Kuala Terengganu). Di depan anak-anak didik yang dikasihi, saya nyatakan hasrat hati.

"Saya ingin suatu hari nanti, Muhammad bersekolah di sini". 

Saya teruja melihat anak-anak pelajar yang bersungguh mendalami ilmu. Ilmunya sukar. Subjek sains tulen ditambah subjek agama tinggi. Saya sendiri tewas, walau hanya dengan Fizik, Kimia dan Biologi. Apatah lagi jika ditambah ilmu lain lagi... 

Mereka bukan sahaja pintar, tapi baik akhlak dan budi. Itu yang jadi penyejuk hati. Hingga tergerak hati untuk menyekolahkan anak sendiri di tempat saya sedang berbakti.

Lucu! Ketika itu Muhammad baru berusia setahun dua. Ibunya pula telah  jauh memasang angan mencipta laluan yang memakan masa bertahun-tahun lagi.

Takdir Allah siapa yang tahu...

Setelah usianya 17 tahun, saya tersenyum membaca mesej yang terpapar. Kenangan lama mengimbau kembali! 

KOSPINT! Anakku tetap pergi... pergi mencari bekal untuk diisi. Kem Gemilang Bersiri sedang menanti...


Alangkah riangnya hati. Nama KOSPINT sudah tiada lagi. Namun tempatnya masih tersergam. Bangunannya masih sama. Silibusnya masih sama. Namun, telah ditambah lagi ilmu baru untuk penguat diri. Pelajar diwajibkan menghafaz Al-Quran. 

KOSPINT yang dulunya Kolej Sains dan Pendidikan Islam Terengganu bertukar identiti. Imtiaz Kuala Terengganu mula dikenali...

Muhammad dari Imtiaz Besut beserta semua rakan dari seluruh Imtiaz dari pelbagai daerah dalam negeri menghadiri sesi bersiri yang bertukar-tukar lokasi.

Muhammad sendiri dulunya bermula pengajian di Sekolah Imtiaz Dungun. Setelah tiga tahun di situ, rayuan bersiri kami di dengari pentadbir di langit dan di bumi. Muhammad berpeluang pulang ke sekolah Imtiaz yang sangat hampir dengan rumah sendiri. 

Alhamdulillah, nikmat yang sangat kami sekeluarga syukuri. Apatah lagi, telah menunggu di situ, adiknya Amin yang diberi peluang lebih awal oleh Allah SWT untuk berada di bumi Imtiaz Besut. Nikmat berganda bagi kami. Muhammad tingkatan 4, Amin tingkatan 1 berkongsi bumbung yang sama.



Mukminah kekal tingkatan 2 di sekolah pilihan istikharah kami. Tidak berganjak lagi.  Setia di situ, menanti hingga PT3 tidak lama lagi...



Mereka bertiga semuanya bersekolah rendah di sekolah rendah yang sama. Dari SK Paya Resak di Kuala Terengganu berpindah ke SK Permaisuri Nur Zahirah, Besut.

Hidup perlu diteruskan... Jalan terus!

Pesan saya kepada anak-anak dan saudara...
Biarpun di mana sekolah kita, yang penting masuk syurga!

Kita doa, kita usaha.
Ilmu biar bermanfaat
Al-Quran jangan tinggal...



Semoga jalan yang kita pilih adalah jalan yang lurus.
Walaupun hidup penuh liku!
Jalan terus...




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...