Sunday, 20 October 2013

Tragedi tengkujuh di Gua Musang

Alhamdulillah. Masih bersisa usia ini. Sekiranya tidak, mungkin sudah hampir 1 tahun tahun yang lalu saya telah meninggalkan alam ini. Berpantang maut sebelum ajal. Itulah juga yang disebut Allah swt di dalam al-Quran


Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

Namun, ajal yang mendepan adalah rahsiaNya. Tidak diketahui empunya diri. Mungkin pula tidak sampai sesaat jua pun lagi masa yang tinggal. Segala-galanya mungkin berlaku. Segala-galanya dalam perancanganNya. Kita doakan yang terbaik.

Hampir setahun yang lalu di musim tengkujuh, kami sekeluarga memulakan perjalanan ke Gua Musang. KESEDAR Inn menjadi destinasi. 



Memenuhi jemputan program bagi suami, seolah-olah percutian keluarga di musim cuti sekolah bagi kami. Apatah lagi anak sulong pula baru sahaja merdeka dari hempas pulas menduduki UPSR. Peluang yang datang tidak dilepaskan. 

Undangan program di sana disambut baik oleh suami. Sememangnya itu tugasnya, memenuhi jemputan rasmi bagi program jabatan. 




Saya dan anak-anak tumpang sekaki. Kami 7 beranak meredah banjir, mencari jalan-jalan alternatif supaya tidak tersekat di pertengahan jalan. Lintasan air yang merentasi jalan kami harungi bersama. 

Di dalam perut MPV putih, kami sentiasa mengharap, berdoa dan pasrah agar perjalanan kami selamat sampai dan kembali. Hujan dari langit mencurah-curah. Program yang telah dirancang tidak dapat dibatal atau ditunda lagi. Selagi ada jalan, selagi itu program tetap diteruskan. Kami turut nekad. 

Dalam sedikit kegusaran, kami masih teruja meneruskan perjalanan. Suasana banjir di pinggir jalan cukup menarik. Sawah padi penuh berendam air. Orang muda berkumpul beramai-ramai menjala ikan. Rezeki di musim tengkujuh. Rahmat Allah di mana-mana, bila-bila masa. Nelayan tidak ke laut, ikan laut payah dicari, ikan 'darat' menjadi ganti. Segar sesegarnya. Melompat-lompat hingga ke tetakan pisau terakhir. 

Kami terpesona melihat keindahan alam ciptaan Tuhan Rabbul Izzati. Walau dalam susah, dalam payah masih ada yang bergembira. Perjalanan kami teruskan. Dari petang, menginjak maghrib. Rembang senja kelam bersama gelapnya rintik-rintik hujan menjelang malam. 

Kami singgah jama' dan qasar di sebuah masjid. Bangunan yang masih dalam pembinaan dan memerlukan sumbangan orang ramai. Besar sungguh jasa mereka yang merancang, membina dan menyumbang sehingga tertegaknya sebuah masjid sebesar itu. Cukup menampung jemaah yang ramai. 

Semoga pahala jariah sentiasa mengalir dan tertegaknya istana di syurga bagi insan-insan mulia yang tidak lokek harta, masa dan tenaga bagi memastikan Rumah Allah tertegak di mana-mana. Syiar Islam berkembang. Tinggal lagi kita semua untuk mengimarahkan masjid yang ada di sana sini. Hati kami tersentuh.

Destinasi kami masih jauh. Hitam gelap pekat malam menyukarkan pandangan. Namun kenderaan tetap bertali arus. Ramai sungguh yang berkelana di bumi Allah. Mungkin ada di antara mereka yang hanya berkenderaan untuk jarak dekat dan tidak kurang kurang juga musafir seperti kami. Gua Musang sudah diketahui umum merupakan laluan utama ke Kuala Lumpur bagi mereka yang berada di sebelah Kelantan dan Besut. 

Sudah jauh kami tinggalkan Bukit Keluang. Masih jauh lagi jaraknya ke depan. Anak-anak mula menyambung lena. Suasana sejuk menambah keasyikkan beradu. Saya tetap cuba untuk cerah mata menemani suami memandu. Bayi kecil yang sudah berusia lebih setahun turut lena di ribaan.

Tiba-tiba, "Pranggg!!!..". Terkejut bukan kepalang. Jantung seakan tercabut. Debarnya bukan kepalang. Anak-anak di belakang menjengah kepala, mengintai ke depan. Terkejut dengan apa yang berlaku. Ya Allah, Alhamdulillah...Syukur sesyukurnya. 

Saya melihat keluar, rangka cermin sisi sedikit patah. Saya merendahkan cermin tingkap yang tiba-tiba diselaputi lumpur, cuba menjenguk ke belakang. Sebuah kancil mengekori di belakang juga selamat. Saya mengandaikan sebatang pokok yang jatuh sudah terpelanting ke tepi. 

Hanya jangkaan semata-mata, tiada apa kelihatan. Suami mengagak hanya runtuhan tanah kecil sahaja yang berlaku. Saya tetap merasa jatuhan itu adalah pokok, kalaupun bukan sepohon batang yang besar, tetap dahan yang tidak kecil. Jatuhnya menyentuh cermin di tepi saya. Sayalah yang paling hampir dengan apa yang berlaku. Pokok yang jatuh dari tebing bukit mungkin tertolak ke tepi jalan. Kami semuanya selamat. 

Perjalanan diteruskan sehingga ke destinasi. Syukur, selamat sampai akhirnya. Kami cepat turun melihat. Di dalam serpihan rangka cermin sisi, masih terlekat daun-daun bergumpal. Badan kereta dari sisi pintu depan hingga ke belakang penuh dengan selut dan lumpur. Gumpalan tanah kecil bercampur akar-akar pokok masih melekat. 

Hanya Allah Yang Tahu apa sebenarnya berlaku. Yang pasti, 1000 Rahmat, kami selamat. Selamat di sana dan selamat juga kembali ke Besut. Perjalanan di musim tengkujuh. Sungai melimpah. Air melintas deras. Jalan-jalan banyak yang tutup, namun tetap masih ada pilihan. Syukur padaMu Ya Allah... 

Begitu juga kehidupan ini. Tertutupnya satu jalan, adalah peluang untuk melihat suasana baru di jalan baru. Selagi semua jalan belum tertutup, sama-samalah kita mengambil dan mengintai peluang yang ada. Peluang berbuat kebaikan untuk semua dan umat bersama. Walau di mana kita, walau apa cara, ada tugas yang perlu digalas.

Dalam perjalanan pulang, kami mengambil peluang melihat kembali tempat kejadian. Anak-anak pun sama naik ingin melihat apakah sebenarnya yang menyebabkan mereka begitu terkejut sama. Disangka mereka berlaku kemalangan. Nauzubillah. Selonggok pohon di tepi jalan. Jalan di tepi bukit. Ia masih di situ. Itulah jawapannya...



Monday, 7 October 2013

Hujan batu di Batu Buruk

Cuaca selalu berubah-rubah. Siang malam silih berganti. Itu tanda Kekuasaan Allah. Tiada yang dapat menghalang. Hanya doa yang mampu mengubah takdir.

Saya masih ingat di suatu hari, satu ketika dulu. Ketika saya masih mengajar di Kolej Swasta bergelar KYT. Suami masih jauh di sisi, bertugas sebagai PAD(Pegawai Agama Daerah) di Kemaman. Kami bertukar kereta. Suami memilih kancil putih saya. Saya pula terpaksa membawa Honda hitam miliknya. Besar kereta dari orangnya. 

Pelajar saya ada yang mengusik dan menggelakkan saya. Katanya kereta bergerak sendiri tanpa pemandu. Apa tidaknya, jika dilihat dari arah belakang, kepala saya tidak kelihatan, tenggelam di sebalik kusyen kereta. Tapi apakan daya, hanya kereta buruk yang berjasa itu yang kami ada. Sebesar-besar kereta pun tidak mampu menangkis serangan angin kencang dari Pencipta. Hebatnya Allah yang Maha Kuasa

Hujan lebat beserta angin yang kuat telah menggoyangkan kereta saya ke kiri dan ke kanan di sepanjang Jalan Kuala Ibai. Itulah laluan utama saya apabila pulang kerja untuk menjemput anak-anak yang ditempatkan di Taska Ummu Aqilah. 

Mendung berarak jelas kelihatan apabila saya mula menuruni tangga pejabat. Tidak disangka ribut petang yang amat dasyat berlaku sepanjang perjalanan. Dari Chendering ke Kuala Ibai, adalah laluan pesisir pantai. Setelah melepasi Istana Badariah Batu Buruk, ribut semakin kencang. Langit hitam kelam. Selepas membelok selekoh ke arah kiri, memasuki arah Jalan Kamarudin, tiba-tiba; 'Tang! Tang!'. 

Bumbung kereta dan cermin depan dihujani ketulan batu dari langit. Masya Allah, kali pertama saya melihat hujan batu dalam hidup saya, setelah lebih 30 tahun menjadi penghuni alam ini. Mungkin pada masa kecil, hujan batu pernah berlaku. Namun kini bukan lagi tersimpan di dalam minda fikir saya. 

Antara ajaib dan takut, saya memecut laju untuk cuba sampai secepat yang mungkin. Menumpang teduh bersama anak-anak yang telah seharian ditinggalkan di taska yang sudah semakin hampir. Lama juga saya diam di situ. Sempat melihat gelagat guru dan anak-anak yang masih tinggal sebelum dijemput keluarga.  

Sesungguhnya, Kuasa Allah mengatasi segala. Apa yang berlaku mampu dilakukanNya dengan sekelip mata. Syukur Alhamdulillah, ribut berlalu dengan aman. Suasana kembali tenang. Saya memandu pulang bersama anak-anak yang masih kecil, berusia 3, 4 dan 6 tahun ketika itu.



Kini anak-anak sudah semakin membesar. 10, 11 dan 13 tahun. Di tambah lagi 2 adik baru yang memeriahkan suasana. Ibu semakin tua, ayah juga begitu. Tiada yang ke belakang. Hari sentiasa ke depan. Kedua-dua kereta itu pun bukan lagi milik kami. Harta dunia berubah tangan. Hanya amalan yang kekal untuk di bawa bekal ke sana.

Kami sedang beransur meninggalkan alam ini dari hari ke sehari. Bakal meninggalkan anak-anak dengan dunia baru mereka. Mereka akan membesar, menua seperti kami. Dunia pun berkitar. Apa yang akan mereka saksikan pada hari-hari mendatang, hanya Allah yang tentukan. Semoga bumi ini terus aman. Cuaca berubah adat dunia. Siang berubah malam, itu urusan Allah. Petunjuk, bahawa masa sentiasa beredar. Tidak berhenti walau sesaat.


Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.                                    (Al An'am ayat 96)
Semoga hari-hari menjelma sentiasa memberikan sinar yang terang untuk seluruh buana. Rahmat Allah mengatasi Murkanya. 

Dan KAMI menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa.                                    (Al A'raf ayat 84)

 
Bersamalah kita sentiasa berdoa ke arah kebaikan. Untuk dunia kita dan generasi kita. Pastinya doa untuk akhirat buat semua.   








Wednesday, 2 October 2013

Suria Bukit Keluang

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Di mana-mana tetap bumi milik Allah s.w.t. Kita cuba mengadaptasi dengan persekitaran yang ada. 



Alhamdulillah, suria Bukit Keluang amat menceriakan hati. Keindahan tasik berlatarkan Bukit Keluang yang jelas kelihatan menambahkan keindahan. 




Suasana yang sangat damai dan menyejukkan hati. Melihat tenggekan burung-burung pada ranting-ranting pokok seperti lukisan alam yang sangat menarik. 





Betapa cantiknya alam yang Allah Ciptakan. Bunyi kocakan air hasil lompatan ikan-ikan amat jelas di telinga. 

Sesekali kelihatan kepala biawak, muncul menjengah ke permukaan air. Dalam tenang ada peringatan dari Pemilik Alam supaya berhati-hati dan berjaga-jaga. Mungkin ada bahayanya juga.

Angin di sini cukup kuat. Kalau kena harinya, terlingkup semua basikal anak-anak di luar rumah. Bukan itu sahaja, penyidai kain besi pun terbalik sama. Beratnya tidak mampu diangkat mudah oleh seorang yang gagah sekalipun. Yang pelik, boleh terbalik berkali-kali dek penangan tiupan angin Bukit Keluang. Pernah juga kami menyonsongkannya sahaja ke dalam rumah. Penuh satu ruang tamu... 


Ributnya amat menggerunkan. Apatah lagi di musim tengkujuh. Angin yang kuat beserta bunyi deruan yang amat dasyat seolah-olah dunia mahu kiamat. Ketika mula-mula berpindah ke sini, seorang penduduk bercerita dengan semangat sekali, meniru bunyi angin di musim tengkujuh. Kuat dan deras. Bila diingat kembali terasa lucu pula. Sedangkan sewaktu kami berdepan dengan saat itu, amat menggetarkan hati dan perasaan. 

Atap bangunan terbang melayang. Pokok bergoyang, ada yang tumbang. Alhamdulillah, kami terkurung di dalam rumah. Kalau berada di luar, mahunya rasanya seperti diterbangkan angin juga. Pengalaman pertama dalam hidup kami di sini. Apa-apa pun indahnya tetap di rasa.

Begitulah cuaca kehidupan kita. Walau di mana kita, pasti ada lebih dan kurangnya. Bersyukur dengan nikmatNya, bersabar dengan ujian, juga dariNya yang Berkuasa atas segala sesuatu.

Berdoalah kita untuk kebaikan di sana dan di sini...


Friday, 27 September 2013

Terus kembara

Perjalanan hidup diteruskan selagi daya. Selagi nyawa dikandung badan. Alhamdulillah, kenderaan Allah kurniakan buat semua kita. Di laut, darat dan udara.




Semuanya juga Allah mudahkan. Syukur pada Tuhan, Allahu Rabbi. 



Sesekali kita berehat sejenak. Menikmati keindahan alam, bumi ciptaan Tuhan, Allah yang Khaliq.


Jika dulu, waktu cuti kami terisi dengan mengunjungi suami di Putrajaya. Kini tidak lagi. Kunjungan sekali-sekali hanya sekadar mengikut suami pergi berkursus sahaja.



Tahun-tahun sebelumnya pula, kami menghabiskan cuti bersama suami di Kemaman. 

Segalanya sudah berubah. Dulu dan sekarang sudah berbeza. Kami semua sudah di sini. Bertapak di bumi indah, Besut gerbang pelancongan.

Bercuti pun jimat. Banyak lokasi cantik dalam jarak yang sangat dekat. Singkat masa kembara, lebih lama masa yang boleh dihabiskan di destinasi impian. 

Paling hampir, hanya tidak sampai 5 minit berkereta. Pantai Bukit Keluang indah terbentang. 



Menaiki bot pula, nun ke seberang sana. Sedia menanti Pulau Perhentian. 



Pendek kata, buat sahaja pilihan. Berdoa pada Tuhan, Allah yang Berkuasa, agar dipermudahkan.


Segalanya indah di mata, cantik di hati, senang di fikiran. Melihat kekuasaan Allah. Bukti bumi ini milikNya. Tiada yang lain...


Thursday, 29 August 2013

Dari Besut ke Dungun

Setiap minggu kami berkelana bersama. Bermula dari Besut, kami transit di Kuala Terengganu. Perjalanan diteruskan hingga ke Dungun. 
 

Negeri Terengganu, negeri pesisir pantai. Bermula dengan Pantai Bukit Keluang, kami kemudiannya melepasi Pantai Merang. Seterusnya Pantai Batu Buruk, Pantai Kelulut dan Teluk Lipat sebelum sampai ke Pantai Dungun. 



Tidak kurang juga gugusan pulau-pulau. Pulau Redang dan Pulau Kapas menambahkan keindahan. Cantiknya bumi Tuhan. 



Perjalanan memakan masa berjam-jam menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga. Samada siang atau pun malam, hanya sedikit berbeza. Begitulah kehidupan ini. 



Alah bisa, tegal biasa. Anak-anak lena di dalam perjalanan. 



Alhamdulillah, masjid tersergam di sepanjang perjalanan. Hentian wajib bagi kami semua.

Roda kehidupan terus berputar. Lebuhraya terbentang luas di hadapan...

Wednesday, 28 August 2013

Antara 2 Kuala

Antara 2 Kuala tidaklah sangat jauh bezanya. Kuala Terengganu dan Kuala Besut masih terletak di dalam negeri yang sama. Negeri Cantik Budaya Menarik. Orangnya baik-baik, InsyaAllah...


Kehidupan saya dan kami sekeluarga yang berbeza. 5 tempat di dalam daerah Kuala Terengganu, lebih 10 tahun yang lalu, saya hidup sebagai ibu kerjaya. Keluar pagi, balik petang. Kadang-kadang sampai ke malam. Ada juga balik petang, malam pula terpaksa keluar lagi atas urusan kerja. Alhamdulillah, anak-anak memahami dan ramai pula yang sudi membantu. Terima kasih semua.

Di Besut ini, saya keluar masuk rumah 5-6 kali sehari. Keluar masuk kereta bersama anak-anak di sisi. Bukan lagi sebagai wanita kerjaya. Itu yang berbeza. Cara hidup yang berbeza dengan rutin yang berbeza. Siang dan malam, kehidupan bersama anak-anak. Seronoknya di bumi Besut, sama juga dengan seronoknya hidup di bumi Kuala Terengganu. Keseronokkan yang berbeza-beza. 

Kalau dulu, menjadi rutin anak-anak masuk kereta keluar kereta. Di sini pun begitu. Namun destinasinya adalah berbeza. Kalau dulu berpagi-pagi ke sekolah. Di sini pun begitu. Itu pasti. Tapi dulu, waktu petangnya perlu ke Taska/Tabilas (Tadika Lepas Sekolah) pula. Balik ke rumah hanya selepas habis waktu kerja saya. Terkadang lewatnya hingga ke malam. Terpaksa pula meminta jasa baik saudara mara datang menjemput anak-anak untuk di bawa ke rumah datuk dan nenek. Menumpang seketika sehingga ibu pulang bekerja. 

Kini anak-anak seronok mengikut sahaja ke mana saya menghalakan kereta. Tidak mahu ditinggalkan di rumah, tidak kisah di bawa ke mana-mana sekali pun. Selepas balik sekolah, sesekali menjengah sebentar ke pasaraya atau ke mana-mana kedai kecil berhampiran rumah. Malam pula beramai-ramai mengikut ayah ke masjid. Mengaji dan mengulangkaji bersama-sama.  Selesaikan segalanya ketika masih di masjid. Balik ke rumah untuk rehat dan menyambung agenda menanti siang berulang lagi.

Di waktu senggang pula, menjenguk sebentar ke PPAT (Perpustakaan Awam Terengganu). Rezeki di sini, PPAT amat dekat dengan rumah, sangat berbeza ketika di Kuala Terengganu. 
 Seronoknya anak-anak berada di dalam dunia buku. Sama seronok seperti berada di dalam dunia membeli-belah. Syurga ilmu menjadi seperti syurga coklat dan ais krim. Tamak dan ketagih. Semoga ada manfaatnya buat diri dan semua...

Tuesday, 27 August 2013

Di sini doaku termakbul

Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar. Sangat-sangat Mendengar. Walau lambat, hikmahnya tetap ada. 

Doa pada tahun 2008  dimakbulkan Allah pada tahun 2011. Dari Chendering, K. Trg ke Bkt Keluang, Besut. Perjalanan masa yang panjang. Kuasa Allah mengatasi segala. Saya sempat di beri ruang oleh Allah untuk berjumpa dengan pasangan Prof Kamil dan Puan Roza di saat akhir sebelum mereka berhijrah ke Madinah. Peluang mereka pulang menjenguk ke Besut sebelum jauh merantau ke bumi Anbiya menjadi rahmat buat kami. 

1 program ilmiah di bulan Ramadhan yang mulia menemukan ratusan khalayak pendengar dari seluruh daerah Besut. Kuatnya aura mereka berdua. Sehinggakan ada peserta yang sanggup turun jauh dari Kelantan dan Kuala Terengganu semata-mata untuk slot yang hanya 2 jam sahaja. 1 jam pertama milik Puan Roza dan 1 jam seterusnya khas buat Prof Kamil. Mereka bergandingan menjalankan misi ibadah dakwah. Betapa terasa keberkatannya. 

Soalan yang saya ajukan kepada Puan Roza, sengaja ditinggalkan kepada Prof Kamil untuk dijawab. Kasih sayang ditunjukkan melalui ilmu yang dikongsi. Perkongsian ilmu yang sangat menarik dari perspektif seorang isteri dan wanita. 


Kisah Mariyam, Hajar, Asiah dan bermacam dicedok dari Al-Quran untuk renungan bersama. Terima kasih Puan Roza. Saya sendiri sanggup mengelek bayi yang belum sampai 2 bulan untuk turun sama-sama ke dewan ceramah.

Semoga kami sekeluarga juga sempat berkunjung ke Madinah. Berjumpa pula di sana.  Tidak sabar rasanya untuk menjadi Tetamu Allah. Rupanya di sana ada duta yang sungguh baikhati. Sudi melayan lebih ratusan insan pelbagai latar belakang.


Mereka yang telah diberi izin oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya. Semoga syurga yang indah disediakan untuk mereka dan kita juga.

Jika di bumi Besut ini, saya berangan seolah-olah melihat hijaunya di bumi Kundasang. Itu adalah berangan mat jenin. Bukit Keluang tidak akan betukar menjadi Gunung Kinabalu. Panas di sini sangat jauh berbeza dengan hembusan bayu sejuk Bumi Di Bawah Bayu. 

Apatah lagi kalau saya berangan kononnya berada di bumi berkat, tempat suci lagi barakah. Panasnya bumi Mekah dan Madinah dalam Rahmat Illahi. Suhunya tinggi diluar, menyejukkan hati di dalam. Tiada di tempat lain. Hanya di sana. Apa yang mampu, hanyalah doa dan terus berdoa. 

Semoga di kesempatan masa dan ruang baki sisa-sisa hidup kita yang masih ada sedikit ini, masih sempat untuk dijemput Allah menjadi tetamuNya. TetamuNya di Haramain, berdepan dengan Kaabah dan menjenguk Masjid dan Makam Nabi Muhammad saw. Sebelum kita dijemput ke alam kubur, berdepan dengan kematian yang pasti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...