Wednesday, 20 September 2017

Jalan Terus


Dunia luas tanpa sempadan
Jalan luas terbentang
Darat, laut dan udara
Manusia terus berkelana

Jalan terus
Jalannya ke depan
Tinggalkan yang semalam
Bawa memori di sanubari...


40 tahun telah berlalu... Masa kian singkat untuk teruskan musafir. Bumi masih hijau, langit masih biru. Jalannya mungkin tinggal lagi berbatu-batu. Atau mungkin juga, batu nisan sudah sedia menunggu...


Suatu hari, kita toleh belakang... 
Hati berdetik, 'aku pernah di situ...'

Ada jalannya rata mudah dilalu. Ada ketikanya tidak begitu. Langit juga mendung, bumi juga kelam. Cuaca berubah.


Namun, kelana tidak terhenti. Jalannya terus... Bertemankan insan bahagia di sisi... Terus berdiri dan berlari tanpa henti...


Teringat kisah ketika kami sekeluarga berkunjung ke rumah kakak suami, Kak Dah di Seremban. Untuk keluar ke bandar, kami mempelawa anak saudara, Hanif turut serta. Walaupun anak kecil, mungkin sahaja boleh tunjukkan arah yang sudah biasa baginya sekeluarga.

Apa yang lucu...

Sepanjang jalan apabila kami mengusik tanya, "Manakah arah yang perlu dituju?". 

Tiada jawapan lain yang diberi...

Hanya, "Jalan terus..."

Saya terkekek ketawa. Betul sungguh katanya! Walaupun kereta kami perlu menyimpang ke kiri dan ke kanan, kami tetap jalan terus. Tidak sesekali mengundur ke belakang!

Begitu juga hidup kita. Hari tetap ke depan. Yang semalam terpahat memori.

Saya terkenang satu ketika di KOSPINT (kini bergelar Imtiaz Kuala Terengganu). Di depan anak-anak didik yang dikasihi, saya nyatakan hasrat hati.

"Saya ingin suatu hari nanti, Muhammad bersekolah di sini". 

Saya teruja melihat anak-anak pelajar yang bersungguh mendalami ilmu. Ilmunya sukar. Subjek sains tulen ditambah subjek agama tinggi. Saya sendiri tewas, walau hanya dengan Fizik, Kimia dan Biologi. Apatah lagi jika ditambah ilmu lain lagi... 

Mereka bukan sahaja pintar, tapi baik akhlak dan budi. Itu yang jadi penyejuk hati. Hingga tergerak hati untuk menyekolahkan anak sendiri di tempat saya sedang berbakti.

Lucu! Ketika itu Muhammad baru berusia setahun dua. Ibunya pula telah  jauh memasang angan mencipta laluan yang memakan masa bertahun-tahun lagi.

Takdir Allah siapa yang tahu...

Setelah usianya 17 tahun, saya tersenyum membaca mesej yang terpapar. Kenangan lama mengimbau kembali! 

KOSPINT! Anakku tetap pergi... pergi mencari bekal untuk diisi. Kem Gemilang Bersiri sedang menanti...


Alangkah riangnya hati. Nama KOSPINT sudah tiada lagi. Namun tempatnya masih tersergam. Bangunannya masih sama. Silibusnya masih sama. Namun, telah ditambah lagi ilmu baru untuk penguat diri. Pelajar diwajibkan menghafaz Al-Quran. 

KOSPINT yang dulunya Kolej Sains dan Pendidikan Islam Terengganu bertukar identiti. Imtiaz Kuala Terengganu mula dikenali...

Muhammad dari Imtiaz Besut beserta semua rakan dari seluruh Imtiaz dari pelbagai daerah dalam negeri menghadiri sesi bersiri yang bertukar-tukar lokasi.

Muhammad sendiri dulunya bermula pengajian di Sekolah Imtiaz Dungun. Setelah tiga tahun di situ, rayuan bersiri kami di dengari pentadbir di langit dan di bumi. Muhammad berpeluang pulang ke sekolah Imtiaz yang sangat hampir dengan rumah sendiri. 

Alhamdulillah, nikmat yang sangat kami sekeluarga syukuri. Apatah lagi, telah menunggu di situ, adiknya Amin yang diberi peluang lebih awal oleh Allah SWT untuk berada di bumi Imtiaz Besut. Nikmat berganda bagi kami. Muhammad tingkatan 4, Amin tingkatan 1 berkongsi bumbung yang sama.



Mukminah kekal tingkatan 2 di sekolah pilihan istikharah kami. Tidak berganjak lagi.  Setia di situ, menanti hingga PT3 tidak lama lagi...



Mereka bertiga semuanya bersekolah rendah di sekolah rendah yang sama. Dari SK Paya Resak di Kuala Terengganu berpindah ke SK Permaisuri Nur Zahirah, Besut.

Hidup perlu diteruskan... Jalan terus!

Pesan saya kepada anak-anak dan saudara...
Biarpun di mana sekolah kita, yang penting masuk syurga!

Kita doa, kita usaha.
Ilmu biar bermanfaat
Al-Quran jangan tinggal...



Semoga jalan yang kita pilih adalah jalan yang lurus.
Walaupun hidup penuh liku!
Jalan terus...




Tuesday, 19 September 2017

Fasa Hidup Yang Berubah

Fasa hidup 
Yang berubah
Dan kian berubah-ubah
Sehingga tiada noktah
Hanya di sini sana tempat singgah!

Kita...
Dari tiada menjadi ada
Kemudian, bakal tiada kembali

Wujud semula!

Manusia...
Berkumpul semua, dari awal dunia
Hingga dunia paling akhir

Bayangkan!
Betapa ramainya manusia
Betapa gamatnya suasana

Mereka...
Seperti kita, tiada beza
Yang beza cuma taqwa
Mencorak hidup baru

Cantik atau sebaliknya
Ria atau gundah
Mudah, payah atau renyah...

Adakah masih di sisi
Yang dikasihi sepenuh hati
Yang disayang bukan kepalang

Aku & dikau...
Dia & kita...
Kami & mereka...

Agar dapat
Sama-sama berganding tangan
Melangkah ke tempat indah...

Biiznillah!

Kita doakan yang terbaik untuk dunia kita, akhirat kita...


Dunia memang sementara. Namun, sementaranya dunia cukup mengujakan. Kita bahagia mengenal ibu ayah, insan pertama dalam hidup. Ibu ayah gembira menerima kita. Ini kisah biasa. Biasa yang bahagia dan membahagiakan...

Walaupun di sudut kehidupan, wujud kisah-kisah yang tak mampu dicerna minda. Anak merintih tidak dipinta lahir ke dunia. Ibu bersedih, ayah berduka menerima orang baru. Bermacam kisah dan rencam kehidupan. Nauzubillah...

Bersyukur dengan takdir yang indah. 

Hidup berkitar. Dulu kita anak, sekarang kita 'bapak'. Dulu ibu ayah ada kita, sekarang ibu ayah ada anak-anak kita. Mereka beralih pangkat. Diberi rasa apa yang datuk nenek kita nikmati. Memanjakan cucu mengalahkan anak sendiri. Itu yang selalu diperkatakan sebagai teori yang tidak diuji...
Apa pun cara, kita pernah bahagia disayangi ibu & ayah, nenek & 'tokki'.

Dulu kita di rahim bonda, kini kita singgah di dunia. Ada antara kita yang diberi rasa. Rasa bagaimana adanya insan di dalam diri. Manusia di dalam rahim manusia...

Namun...
Kita semua sama, tiada yang pernah ingat...
Bagaimana kita berenang bergelut hidup di alam pertama. Alam sebelum menjengah pancaroba dunia! Alam asing yang semua manusia pernah rasa namun semuanya lupa selupa-lupanya... 
Tiada yang diberi kuasa oleh Allah untuk mengimbau zaman itu!

Hanya cerita ibu yang anak dengari. Cerita si anak menendang si ibu. Terkesima si ayah disisi!
Biarlah... biarlah ianya berlalu di alam itu... 

Alam dunia kita lewati...

Saya sendiri lahir di Marang, suami di Dungun. Lebih 20 tahun kemudian, kami disatukan di Kuala Terengganu. Setelah hampir 20 tahun selepas itu... 
Kami sekarang di Besut!




Anak-anak saya semuanya lahir ketika kami berlainan tempat tinggal. Hanya pasangan kecil Ali&Abi yang lahir ketika kami bermukim sementara di sini. Satu daerah di hujung utara Terengganu. Bukit Keluang yang cukup menawan...




Muhammad wujudnya ketika saya bekerja di UMT. Mukminah ketika di IMTIAZ. Amin ketika di SK Maras dan akhirnya Auliya ketika di UiTM. Semuanya waktu saya masih bekerja...

Fasa belajar dan bekerja dalam hidup saya sudah tamat. Namun, ilmu tidak pernah habis untuk ditambah tanpa jemu. Kerja tidak pernah habis untuk dibuat tanpa bersisa...

Sekarang, giliran anak-anak menimba ilmu, bakal mencari kerja dan membina kehidupan berkeluarga... Berdepan dengan dunia luas. Indah dan gundah bersilih ganti. Pelengkap rasa insan biasa.

Bertemu dan berpisah sementara di dunia kerana Allah.
Hidup berpindah randah, hanya daerah yang berubah.
Hidup berpindah alam, segalanya berubah.

Mencari bekal yang kekal itu yang utama...


Ilmu dan amal. Ilmu dunia ilmu akhirat. Amal untuk dunia, amal untuk akhirat. Belajar dan bekerja selagi daya. Itu semua ibadat yang dihitung pahala andai niatnya betul. Selari dan seiring, niat dan apa yang dibuat.

Sebaik-baik manusia adalah yang belajar dan mengajarkan al-Quran. Semoga, walaupun siapa kita, tetap salah satu kategori.

Belajar untuk diri dan mungkin mengajarkan anak sendiri. Hatta, belajar bersama-sama anak sendiri. Berguru dengan guru yang sama. Gurumu guruku jua. Belajar silibus yang mungkin sama. 


Al-Quran tidak pernah berubah. Namun, semakin belajar, semakin banyak apa yang perlu ditambah. Tambah baik bacaan, fahaman dan hafazan... 

Alangkah indahnya!
Alhamdulillah...

Monday, 18 September 2017

Yang Lama Itu Rindu

Yang baru akan jadi lama
Yang lama akan terus kian lama
Menjadi kenangan yang tersimpan

Manusia bersilih ganti
Yang ada, kian meninggal
Berkurang dan berkurang
Lahir yang baru pula
Bertambah dan bertambah

Akhirnya, sekelompok manusia berganti
Zaman sebelum merdeka berganti pasca merdeka

Zaman Nabi Adam berganti ummat akhir zaman
Dunia makin tua
Begitu juga kita



Anak-anak saya membesar di bumi Besut. Kami pula menua di sini. Dulu kami berhijrah ke bumi Besut ketika si Sulong beradik tiga. Kini adiknya lima. Sulong dan bongsu berbeza usia sejauh 16 tahun. Lamanya masa beredar... 


Namun masih terasa singkatnya masa yang berlalu. Baru semalam rasanya melihat Muhammad bergelar bayi. Kini dia pula memangku adik sendiri. 

Sehinggakan, pernah suatu ketika... 

Muhammad berdiri mendukung si Bongsu sambil menunggu pesanan makanan. Dua adik kecilnya yang lain, Ali dan Auliya turut berdiri di sisi menemani si abang. 

Tiba-tiba terdengar tuan gerai bersuara, "Duduklah dulu, nanti penat berdiri lama sambil mendukung anak..."

Terkekeh-kekeh Auliya dan Abi bercerita di dalam kereta. Lucu sungguh mereka, bila abangnya disangka ayah...

Tidak hairan! 
Bahkan! 

Selalu sahaja ketika memangku sibongsu ketika masih terlalu bayi, saya disapa dengan soalan yang sudah lali, "Cucukah?...". 


 Apa nak dikata...

Sudah sampai masa agaknya, jika panjang umur yang Allah beri...
Mungkin berpeluang memangku cucu sendiri... 
Insya-Allah.

Mungkin, ketika itu...

Mula rindu kembali ketika anak-anak menjadi bayi
Ketika anak masih kecil 
Ketika anak-anak membesar bersama-sama
Beserta juga sepupunya sesekali bersua


Rindukan gelak dan tawa
Rindukan usik mengusik, walaupun tercetus tangis dan esak... 
Bergaduh dan berkejar
Zaman kanak-kanak mereka tidak akan berulang



Begitu juga zaman kanak-kanak kita yang telah terlalu lama pergi
Bahkan! Sudah kian ramai rakan dan sahabat yang dikenali, yang pernah di sisi telah berlalu pergi
Pergi ke sisi Allahu Rabbi...

Saya rindukan sahabat Sek. Keb. Gelugor.
Rindukan rakan yang bermain bersama-sama - Maslida, Mazianum, Norizan, Nur Rahimah, Rusiyati, Nurhati, Yuslidayati... betapa ramainya Tie yang pernah di sisi...

Rindukan sahabat SESMA, lima tahun berkongsi dewan makan yang sama. Makan apa sahaja yang dihidang. Mula belajar berpisah keluarga. Berenggang dengan masakan Bonda.



Belajar erti hidup sebenar. Kenal solat berjemaah dan berusrah. Kenal erti kerja berpasukan. Kenal sahabat susah dan senang... Medan melakar SRP & SPM bersama-sama...

Terlalu ramai untuk disebut nama. 
Namun, nama arwah tidak pernah dilupa. Mereka lebih dahulu dijemput Tuhan. Semoga mereka bahagia di sana... 
Lela, Suha, Ain, Pok, Baihaqi dan Nuwa

Rindu rakan universiti...
Bumi UM terlalu banyak kenangan
Episod susah senang bersama sahabat seperjuangan...
Dua ditambah empat tahun mendaki puncak kejayaan...
Pusat Asasi Sains menjadi saksi
Dataran Sains menjadi medan
Akrabnya indah...

Rindu bertapa,di kala semuanya telah berlalu...
Rindu waktu begitu!


Terasa muda bila dikenang!
Yang berlalu biarkan berlalu...
Seiring waktu, masa tidak berpatah semula
Usia tidak sekali-kali akan berkurang
Menjadi remaja kembali
Yang kurang adalah bakinya sahaja...


Masa membesar bersama-sama adik-adik menjadi memori
Nenek dan tokki pun telah lama pergi
Rindunya hanya bersua di alam mimpi
Hargai ibu ayah di sisi untuk terus berbakti...


Kini...
Melihat anak-anak meningkat remaja
Dari susah payah mencari taska dan tadika
Dari UPSR hingga ke asrama...

Sedar tidak sedar
Muhammad sudah bergelut untuk menempuh SPM
Mukminah pula semakin hampir berdepan PT3
Amin masih tenang menunggu giliran...



Tiga anak sudah berpisah ke asrama
Hanya separuh masih di sisi ke sana ke mari
Bila semuanya ke sekolah, tinggallah si ibu hanya bertemankan si bayi...

Sampai masanya, bayi bukan lagi bayi...
Alam kanak-kanaknya akan menjengah
Mula kenal erti tadika dan belajar...


Kini
Ali di tadika, abi masih di ribaan...
Abi seronok sahaja mengekori ke mana sahaja...
Menjemput abang dan kakak sekolah setiap hari tanpa jemu...


Ali & Abi lahirnya ketika kami di sini. Walaupun demikian, kami tetap berkejar balik ke Kuala Terengganu untuk proses kelahiran. Semua ke enam-enam mereka mula mengenal dunia di tempat yang sama, hospital yang sama...

Namun, apa yang tersurat di kemudian hari, tidak kita ketahui. Bumi mana yang dipilih Allah untuk jadikan tempat bersemadi, hanya dalam pengetahuan Dia, Yang Esa...
Yang pasti, hanyalah satu! 
Kita akan kembali kepada-Nya 
Yang Satu...

Sebagaimana kami mengucapkan selamat tinggal Manir, Bukit Payong, Wakaf Tengah, Batu Buruk dan Telaga Mengkudu... 



Insya-Allah, akhirnya nanti...
Kami juga akan meninggalkan Bumi Besut... 

Cuma...
Mungkin buat seketika kerana berganti daerah lagi dan lagi

Atau mungkin...
Meninggalkan alam ini buat selama-lamanya...

Kita hanya musafir yang makin hampir...
Hampir pada baki usia yang terhad
Hampir pada tempat singgah yang baru
Hampir pada alam yang kekal

Teruskan berbakti 
Wahai diri, wahai anak, wahai teman...

Sebaik-baik manusia, adalah manusia yang bermanfaat
Manfaat buat diri, insan terhampir dan seluruh ummat...

Sunday, 17 September 2017

Cepatnya Masa Berlalu...

Sesaat terlalu sekejap
Seminit pun cepat beredar

Seminggu pantas berlalu
Sebulan juga begitu

Setahun tiada beza
Bila semakin beredar waktu
10 tahun pun terasa singkat....

Pejam celik pejam celik
Sudah lapan tahun 
Kami sekeluarga 
Bermukim di bumi Besut
Besut Bumi Ulul Albab...


Masa beredar pantas
Usia bertambah angka
Suasana juga berubah...



Namun...
Kami masih setia di sini


Gembira dan ceria



Suka dan duka itu biasa...


Yang indah tetap indah
Syukur itu yang utama
Yang gundah itu ujian
Redha itu indah...



Hidup kita teruskan...
Biiznillah....



Tuesday, 28 April 2015

Masjid & Sekolah : Medan Ilmu Yang Seiiring

Masjid dan sekolah berpisah tiada. Dua institusi yang melahirkan insan yang baik-baik. Kepentingan mencari ilmu tidak dapat disangkal lagi. 

https://adefahrizal24.wordpress.com/2012/12/17/pentingnya-ilmu-sebelum-amal/

Sebelum manusia menempuh alam dewasa, pendidikan untuk mencari ilmu perlu bermula. Prosesnya tidak pernah berhenti sehingga mati. Selagi ada guru, selagi itulah akan ada murid. Selagi ada da'ie, selagi itu ada mad'u...

http://www.al-mubarok.com/2014/05/05/kisah-tali-yang-dibentangkan/
http://aai.uns.ac.id/?p=299

Faktor umur menjadi ukuran utama untuk kita menimba ilmu secara formal di sekolah. Seterusnya, faktor kelayakkan pula menjadi ukuran untuk kita meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

Hanya di masjid, ilmu boleh dituntut tanpa syarat umur dan kelayakan. Datanglah sahaja bila-bila masa, di mana ada kuliah dijalankan, di situ kita dijemput hadir. 

Ibu bapa berwawasan akan mempersiapkan diri mereka untuk menyambut ketibaan generasi pewaris sejak sebelum berkahwin lagi. Ilmu dicari tanpa noktah. Setelah masjid didirikan (rumah tangga), tradisi mewariskan ilmu diteruskan sejak bayi di dalam kandungan. Bila si anak menjengah dunia, laungan azan dan iqamat diperdengarkan.

Ironinya, laungan tersebut hanya biasanya berkumandang nyaring di masjid. Situasi ini membayangkan bahawa kepentingan masjid dalam hidup beragama. Sewajibnya, anak-anak tidak dipisahkan dengan masjid. Masjid dan sekolah adalah medan ilmu yang sangat penting dalam kehidupan kita dan mereka.

Pada akhir tahun 2014, kami sekeluarga berdepan konflik untuk memilih sekolah.  Anak kedua perlu menyambung sesi persekolahan ke peringkat menengah. Keputusan UPSR menidakkan impiannya dan kami juga. 

Sekolah Imtiyaz Besut yang sangat hampir dengan kediaman kami di kaki Bukit Keluang bukan lagi menjadi pilihan.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=955142497837277&set=pcb.465365296973140&type=1&theater
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=955142521170608&set=pcb.465365296973140&type=1&theaterhttps://www.facebook.com/photo.php?fbid=955142537837273&set=pcb.465365296973140&type=1&theater


Kami menghadapi dilema untuk memilih sekolah pilihan yang ada. Setelah beberapa buah sekolah yang layak dipertimbangkan, akhirnya kami terpaksa membuat pilihan di antara dua yang terbaik. 

Kedua-duanya sekolah agama harian biasa. Kami keliru dan sukar membuat keputusan. Masing-masing beristikharah dan tidak putus berbincang. Sekolah A menyediakan kelas menghafaz Al-Quran. Sekolah B pula adalah sekolah  yang memegang rekod keputusan peperiksaan yang lebih baik di daerah Besut. Mana satu yang perlu dituju...

Akhirnya, saya berbisik kepada suami, andainya terlalu sukar untuk membuat keputusan, sekolah yang lebih hampir dengan masjid yang akan saya pilih mengikut pilihan rambang saya, tanpa sebab-sebab yang lain.

Kami bertanya itu ini, menyelidiki kelebihan dan kekurangan sekolah masing-masing. Akhirnya, saya akur dengan keputusan suami. Sekolah A menjadi pilihan dengan sebab kelas hafazan/tamayyuz yang disediakan. Hanya pelajar yang layak dan terpilih akan menyertai kelas tersebut sebagai murid elit. Temuduga akan dijalankan apabila sesi persekolahan bermula kelak.

Persiapan dibuat. Pakaian seragam yang mengikut kehendak sekolah A siap dibeli. Hanya menunggu hari pendaftaran sahaja lagi.

Namun, pada suatu hari yang tidak disangka...

Saya perlu berurusan dengan guru sekolah si abang, anak saya yang sulong. Nombor telefon guru yang berkaitan didail, akhirnya saya matikan semula bila melihat foto yang muncul di skrin telefon bimbit. Rupanya, nama guru yang tertera adalah guru si adik yang bersekolah di sekolah rendah. Saya namakan sebagai Cikgu Solehah (nama samaran).

Kebetulan yang ditakdirkan Allah, nama guru sekolah mereka serupa. Sebenarnya, nombor guru sekolah si abang tiada dalam simpanan saya. Mungkin saya lupa untuk rekodkan dalam simpanan telefon. Mungkin juga telah terpadam tanpa saya sedari...

Allahu Akbar! Apa yang berlaku....

Sejurus saya meletakkan kembali telefon, deringannya menyebabkan saya terus menyambut laju. Tertera di skrin nama guru sekolah si adik, Cikgu Solehah. 

Setelah salam bersambut, saya terus bertanya, "Adakah saya ada hubungi cikgu sebentar tadi." 

"Tiada." Sepatah dia menjawab kehairanan. Saya menceritakan situasi sebenar sebelum itu. Beliau tergelak. 

"Saya telefon ada sebabnya. Saya baru balik dari sekolah B. Guru sekolah di sana bertanya kenapa Mukminah menolak tawaran ke sekolah itu. Itu peluang keemasan yang selalunya tidak dibuka untuk semua orang. Hanya tahun ini peluang dibuka kerana masih ada kekosongan tempat."

Saya ceritakan segala kemusykilan kami dan apa yang sudah berlaku. Saya meminta pendapat Cikgu Solehah. Pro dan kontra Sekolah A dan B. Sekali lagi, kebetulan yang ditakdirkan Allah, anak-anak Cikgu Solehah juga bersekolah di situ. Mereka adalah testimonial yang dihantar Allah.

Setelah bercakap dengan Cikgu Solehah, saya terus hubungi suami. Suami mengesyorkan agar meneruskan istikharah. Mukminah cukup bekerjasama. Setelah ditimbang itu ini, dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan sekolah masing-masing akhirnya kami sekeluarga memilih Sekolah B.

Petang itu juga, suami mengajak kami melawat tapak. Jalan menuju ke sana kami susuri. Ya Allah, menitis air mata saya bila melihat Sekolah B terletak betul-betul berhadapan dengan sebuah masjid. Saya tidak pernah tahu dan tidak pernah perasan!

Sejujurnya, masjid itu pernah saya singgah suatu ketika dahulu dan mungkin bangunan sekolah itu pernah saya lihat. Namun, saya tidak menyangka sama sekali, itulah Sekolah B yang dimaksudkan....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...