Yang baru akan jadi lama Yang lama akan terus kian lama Menjadi kenangan yang tersimpan Manusia bersilih ganti Yang ada, kian meninggal Berkurang dan berkurang Lahir yang baru pula Bertambah dan bertambah Akhirnya, sekelompok manusia berganti Zaman sebelum merdeka berganti pasca merdeka Zaman Nabi Adam berganti ummat akhir zaman Dunia makin tua Begitu juga kita
Anak-anak saya membesar di bumi Besut. Kami pula menua di sini. Dulu kami berhijrah ke bumi Besut ketika si Sulong beradik tiga. Kini adiknya lima. Sulong dan bongsu berbeza usia sejauh 16 tahun. Lamanya masa beredar...
Namun masih terasa singkatnya masa yang berlalu. Baru semalam rasanya melihat Muhammad bergelar bayi. Kini dia pula memangku adik sendiri. Sehinggakan, pernah suatu ketika... Muhammad berdiri mendukung si Bongsu sambil menunggu pesanan makanan. Dua adik kecilnya yang lain, Ali dan Auliya turut berdiri di sisi menemani si abang. Tiba-tiba terdengar tuan gerai bersuara, "Duduklah dulu, nanti penat berdiri lama sambil mendukung anak..." Terkekeh-kekeh Auliya dan Abi bercerita di dalam kereta. Lucu sungguh mereka, bila abangnya disangka ayah... Tidak hairan! Bahkan! Selalu sahaja ketika memangku sibongsu ketika masih terlalu bayi, saya disapa dengan soalan yang sudah lali, "Cucukah?...".
Apa nak dikata... Sudah sampai masa agaknya, jika panjang umur yang Allah beri... Mungkin berpeluang memangku cucu sendiri... Insya-Allah. Mungkin, ketika itu... Mula rindu kembali ketika anak-anak menjadi bayi Ketika anak masih kecil Ketika anak-anak membesar bersama-sama Beserta juga sepupunya sesekali bersua
Rindukan gelak dan tawa Rindukan usik mengusik, walaupun tercetus tangis dan esak... Bergaduh dan berkejar Zaman kanak-kanak mereka tidak akan berulang
Begitu juga zaman kanak-kanak kita yang telah terlalu lama pergi Bahkan! Sudah kian ramai rakan dan sahabat yang dikenali, yang pernah di sisi telah berlalu pergi Pergi ke sisi Allahu Rabbi... Saya rindukan sahabat Sek. Keb. Gelugor. Rindukan rakan yang bermain bersama-sama - Maslida, Mazianum, Norizan, Nur Rahimah, Rusiyati, Nurhati, Yuslidayati... betapa ramainya Tie yang pernah di sisi... Rindukan sahabat SESMA, lima tahun berkongsi dewan makan yang sama. Makan apa sahaja yang dihidang. Mula belajar berpisah keluarga. Berenggang dengan masakan Bonda.
Belajar erti hidup sebenar. Kenal solat berjemaah dan berusrah. Kenal erti kerja berpasukan. Kenal sahabat susah dan senang... Medan melakar SRP & SPM bersama-sama... Terlalu ramai untuk disebut nama. Namun, nama arwah tidak pernah dilupa. Mereka lebih dahulu dijemput Tuhan. Semoga mereka bahagia di sana... Lela, Suha, Ain, Pok, Baihaqi dan Nuwa Rindu rakan universiti... Bumi UM terlalu banyak kenangan Episod susah senang bersama sahabat seperjuangan... Dua ditambah empat tahun mendaki puncak kejayaan... Pusat Asasi Sains menjadi saksi Dataran Sains menjadi medan Akrabnya indah... Rindu bertapa,di kala semuanya telah berlalu... Rindu waktu begitu!
Terasa muda bila dikenang! Yang berlalu biarkan berlalu... Seiring waktu, masa tidak berpatah semula Usia tidak sekali-kali akan berkurang Menjadi remaja kembali Yang kurang adalah bakinya sahaja...
Masa membesar bersama-sama adik-adik menjadi memori Nenek dan tokki pun telah lama pergi Rindunya hanya bersua di alam mimpi Hargai ibu ayah di sisi untuk terus berbakti...
Kini... Melihat anak-anak meningkat remaja Dari susah payah mencari taska dan tadika Dari UPSR hingga ke asrama... Sedar tidak sedar Muhammad sudah bergelut untuk menempuh SPM Mukminah pula semakin hampir berdepan PT3 Amin masih tenang menunggu giliran...
Tiga anak sudah berpisah ke asrama Hanya separuh masih di sisi ke sana ke mari Bila semuanya ke sekolah, tinggallah si ibu hanya bertemankan si bayi... Sampai masanya, bayi bukan lagi bayi... Alam kanak-kanaknya akan menjengah Mula kenal erti tadika dan belajar...
Kini Ali di tadika, abi masih di ribaan... Abi seronok sahaja mengekori ke mana sahaja... Menjemput abang dan kakak sekolah setiap hari tanpa jemu...
Ali & Abi lahirnya ketika kami di sini. Walaupun demikian, kami tetap berkejar balik ke Kuala Terengganu untuk proses kelahiran. Semua ke enam-enam mereka mula mengenal dunia di tempat yang sama, hospital yang sama... Namun, apa yang tersurat di kemudian hari, tidak kita ketahui. Bumi mana yang dipilih Allah untuk jadikan tempat bersemadi, hanya dalam pengetahuan Dia, Yang Esa... Yang pasti, hanyalah satu! Kita akan kembali kepada-Nya Yang Satu... Sebagaimana kami mengucapkan selamat tinggal Manir, Bukit Payong, Wakaf Tengah, Batu Buruk dan Telaga Mengkudu...
Insya-Allah, akhirnya nanti... Kami juga akan meninggalkan Bumi Besut... Cuma... Mungkin buat seketika kerana berganti daerah lagi dan lagi Atau mungkin... Meninggalkan alam ini buat selama-lamanya... Kita hanya musafir yang makin hampir... Hampir pada baki usia yang terhad Hampir pada tempat singgah yang baru Hampir pada alam yang kekal Teruskan berbakti Wahai diri, wahai anak, wahai teman... Sebaik-baik manusia, adalah manusia yang bermanfaat Manfaat buat diri, insan terhampir dan seluruh ummat...
Sesaat terlalu sekejap Seminit pun cepat beredar Seminggu pantas berlalu Sebulan juga begitu Setahun tiada beza Bila semakin beredar waktu 10 tahun pun terasa singkat.... Pejam celik pejam celik Sudah lapan tahun Kami sekeluarga Bermukim di bumi Besut Besut Bumi Ulul Albab...
Masa beredar pantas Usia bertambah angka Suasana juga berubah...
Namun... Kami masih setia di sini
Gembira dan ceria
Suka dan duka itu biasa...
Yang indah tetap indah Syukur itu yang utama Yang gundah itu ujian Redha itu indah...
Masjid dan sekolah berpisah tiada. Dua institusi yang melahirkan insan yang baik-baik. Kepentingan mencari ilmu tidak dapat disangkal lagi.
Sebelum manusia menempuh alam dewasa, pendidikan untuk mencari ilmu perlu bermula. Prosesnya tidak pernah berhenti sehingga mati. Selagi ada guru, selagi itulah akan ada murid. Selagi ada da'ie, selagi itu ada mad'u...
Faktor umur menjadi ukuran utama untuk kita menimba ilmu secara formal di sekolah. Seterusnya, faktor kelayakkan pula menjadi ukuran untuk kita meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Hanya di masjid, ilmu boleh dituntut tanpa syarat umur dan kelayakan. Datanglah sahaja bila-bila masa, di mana ada kuliah dijalankan, di situ kita dijemput hadir.
Ibu bapa berwawasan akan mempersiapkan diri mereka untuk menyambut ketibaan generasi pewaris sejak sebelum berkahwin lagi. Ilmu dicari tanpa noktah. Setelah masjid didirikan (rumah tangga), tradisi mewariskan ilmu diteruskan sejak bayi di dalam kandungan. Bila si anak menjengah dunia, laungan azan dan iqamat diperdengarkan.
Ironinya, laungan tersebut hanya biasanya berkumandang nyaring di masjid. Situasi ini membayangkan bahawa kepentingan masjid dalam hidup beragama. Sewajibnya, anak-anak tidak dipisahkan dengan masjid. Masjid dan sekolah adalah medan ilmu yang sangat penting dalam kehidupan kita dan mereka. Pada akhir tahun 2014, kami sekeluarga berdepan konflik untuk memilih sekolah. Anak kedua perlu menyambung sesi persekolahan ke peringkat menengah. Keputusan UPSR menidakkan impiannya dan kami juga.
Sekolah Imtiyaz Besut yang sangat hampir dengan kediaman kami di kaki Bukit Keluang bukan lagi menjadi pilihan.
Kami menghadapi dilema untuk memilih sekolah pilihan yang ada. Setelah beberapa buah sekolah yang layak dipertimbangkan, akhirnya kami terpaksa membuat pilihan di antara dua yang terbaik.
Kedua-duanya sekolah agama harian biasa. Kami keliru dan sukar membuat keputusan. Masing-masing beristikharah dan tidak putus berbincang. Sekolah A menyediakan kelas menghafaz Al-Quran. Sekolah B pula adalah sekolah yang memegang rekod keputusan peperiksaan yang lebih baik di daerah Besut. Mana satu yang perlu dituju...
Akhirnya, saya berbisik kepada suami, andainya terlalu sukar untuk membuat keputusan, sekolah yang lebih hampir dengan masjid yang akan saya pilih mengikut pilihan rambang saya, tanpa sebab-sebab yang lain.
Kami bertanya itu ini, menyelidiki kelebihan dan kekurangan sekolah masing-masing. Akhirnya, saya akur dengan keputusan suami. Sekolah A menjadi pilihan dengan sebab kelas hafazan/tamayyuz yang disediakan. Hanya pelajar yang layak dan terpilih akan menyertai kelas tersebut sebagai murid elit. Temuduga akan dijalankan apabila sesi persekolahan bermula kelak.
Persiapan dibuat. Pakaian seragam yang mengikut kehendak sekolah A siap dibeli. Hanya menunggu hari pendaftaran sahaja lagi.
Namun, pada suatu hari yang tidak disangka...
Saya perlu berurusan dengan guru sekolah si abang, anak saya yang sulong. Nombor telefon guru yang berkaitan didail, akhirnya saya matikan semula bila melihat foto yang muncul di skrin telefon bimbit. Rupanya, nama guru yang tertera adalah guru si adik yang bersekolah di sekolah rendah. Saya namakan sebagai Cikgu Solehah (nama samaran).
Kebetulan yang ditakdirkan Allah, nama guru sekolah mereka serupa. Sebenarnya, nombor guru sekolah si abang tiada dalam simpanan saya. Mungkin saya lupa untuk rekodkan dalam simpanan telefon. Mungkin juga telah terpadam tanpa saya sedari... Allahu Akbar! Apa yang berlaku....
Sejurus saya meletakkan kembali telefon, deringannya menyebabkan saya terus menyambut laju. Tertera di skrin nama guru sekolah si adik, Cikgu Solehah.
Setelah salam bersambut, saya terus bertanya, "Adakah saya ada hubungi cikgu sebentar tadi." "Tiada." Sepatah dia menjawab kehairanan. Saya menceritakan situasi sebenar sebelum itu. Beliau tergelak.
"Saya telefon ada sebabnya. Saya baru balik dari sekolah B. Guru sekolah di sana bertanya kenapa Mukminah menolak tawaran ke sekolah itu. Itu peluang keemasan yang selalunya tidak dibuka untuk semua orang. Hanya tahun ini peluang dibuka kerana masih ada kekosongan tempat."
Saya ceritakan segala kemusykilan kami dan apa yang sudah berlaku. Saya meminta pendapat Cikgu Solehah. Pro dan kontra Sekolah A dan B. Sekali lagi, kebetulan yang ditakdirkan Allah, anak-anak Cikgu Solehah juga bersekolah di situ. Mereka adalah testimonial yang dihantar Allah.
Setelah bercakap dengan Cikgu Solehah, saya terus hubungi suami. Suami mengesyorkan agar meneruskan istikharah. Mukminah cukup bekerjasama. Setelah ditimbang itu ini, dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan sekolah masing-masing akhirnya kami sekeluarga memilih Sekolah B. Petang itu juga, suami mengajak kami melawat tapak. Jalan menuju ke sana kami susuri. Ya Allah, menitis air mata saya bila melihat Sekolah B terletak betul-betul berhadapan dengan sebuah masjid. Saya tidak pernah tahu dan tidak pernah perasan! Sejujurnya, masjid itu pernah saya singgah suatu ketika dahulu dan mungkin bangunan sekolah itu pernah saya lihat. Namun, saya tidak menyangka sama sekali, itulah Sekolah B yang dimaksudkan....
Saban minggu, hari mulia Jumaat yang indah tetap datang tanpa lupa. Jumaat, satu nama besar bagi kita ummat Islam. Pelbagai peristiwa berlaku pada hari yang dinamakan Jumaat. Penghulu segala hari.
Selak sahaja kitab-kitab agama, banyak kisah tentang kejadian yang Allah takdirkan berlaku pada hari Jumaat....
Betapa hebatnya anugerah hari Jumaat, sehinggakan ada insan di antara kita yang bercita-cita untuk meninggal dunia pada hari Jumaat. Itu hanya harapan, yang menetapkan hanyalah Allah swt yang tidak melengahkan atau mempercepatkan datangnya kematian kita walau sesaat. Berdoalah untuk mendapatkan kematian yang baik-baik....
Sampai masanya nanti, Jumaat tidak akan datang-datang lagi... itulah petandanya kiamat sudah tiba.... Semoga Jumaat yang sedang kita hadapi menjadi ladang pahala bagi kita untuk meraih kebahagian di akhirat sana. Sebagai orang Islam, banyak tugas dan tanggungjawab yang khusus perlu dilaksanakan pada hari yang ditetapkan bernama Jumaat. Banyak perkara sunat yang dianjurkan berserta fardu wajib yang telah termaktub.
Paling jelas, solat Jumaat difardukan ke atas golongan Adam. WAJIB... tiada kompromi. Hatta musafir sekalipun, ada syaratnya untuk mendapat rukhsah yang mengecualikannya dan berganti solat zohor. Lain halnya pula bagi mereka yang uzur dan terbaring sakit. Bagi masyarakat Melayu Malaysia, malam Jumaat menjadi sinonim dengan bacaan Yassin. Satu amalan yang dibudayakan di mana-mana. Ada juga khabarnya kaum ibu yang membuat kumpulan kecil untuk bacaan Yassin bergilir-gilir tuan rumah setiap minggu. Jamuan kecil mengiringi majlis bagi mengeratkan ukhuwah.
Sepanjang kelana kami di bumi Besut ini, malam Jumaat begitu meriah di sini. Boleh dikatakan setiap masjid menganjurkan bacaan Yassin sebagai aktiviti tetap. Pada awal kami berhijrah di sini, amat jarang sekali kami dapat bersama-sama memeriahkan masjid di sini pada malam tersebut.
Seawal petang Khamis, biasanya kami sudah bertolak balik ke kampung. Masjid hanya menjadi singgahan kami untuk jamak dan qasar di pelbagai tempat. Kami hanya menjadi pemerhati aktiviti yang dijalankan, bukannya duduk sekali. Perjalanan yang masih jauh menggamit kami untuk cepat bangkit berdiri meneruskan destinasi.
Masjid Tembila, Saujana, Batu Rakit, Wakaf Tembesu atau mana-mana sahaja yang bertepatan waktunya itulah menjadi medan kami bertamu seketika.
Hanya sesekali kami berada di bumi Besut pada malam hari Jumaat dan berkesempatan bersama jamaah masjid di sini. Itupun, kami hanya sempat datang untuk solat Isya'. Jelasnya, kami terlepas aktiviti bersama jemaah selepas maghrib, samada bacaan Yassin atau sebagainya.
Uniknya di sini, selain diadakan jamuan kecil meraikan malam Jumaat dan bacaan Yassin, tidak kurang juga yang memberi hadiah. Jamuan berganti hadiah. Mungkin sumbangan ikhlas oleh ahli jemaah atau individu lain secara sukarela.
Tidak pula pernah terfikir bahawa pek biskut kraker pun boleh dijadikan sumbangan. Begitu juga pek meehoon. Mudah dan ringkas. Sesiapa pun boleh buat. Kita pun boleh mencuba...
Terkadang, malu rasanya kami mahu menyambut pemberian bungkusan tersebut. Makcik-makcik di masjid beria-ia menghulur, tidak elok pula kalau menolak. Kami sedar, kami bukannya peserta bacaan Yassin mereka, kami hanya bertamu di rumah Allah....
Sesekali, bukan sebungkus yang kami dapat. Ada kalanya Pak Imam yang sedang melangkah turun, datang menghulurkan bahagiannya pula kepada anak-anak yang sedang ralit menunggu si ayah.
Apa sekalipun, semoga insan yang memberi mendapat pahala yang boleh dijadikan bekal untuk di bawa ke sana. Tangan yang menghulur lebih baik dari tangan yang menerima. Itu semestinya.... Setelah bertahun kami di sini, masa beransur berlalu, kami semakin tua. Anak pertama, Muhammad sudah melepasi zaman sekolah rendah, kini anak kedua, Mukminah pula menyusul beransur melangkah menjejak si abang. Zaman sekolah rendah akan ditinggalkan!
Medan mendepani UPSR menyebabkan kami terpaksa menunggu di pagi Jumaat. Laluan khas kepada sang puteri menghadiri tusyen persendirian. Jadualnya tidak dapat dielak, jatuh pada pagi Jumaat. Mahu tidak mahu, kami perlu menunggu sehingga kelasnya tamat.
Perjalanan balik ke kampung diteruskan selepas itu. Saya dan anak-anak menjadi penunggu di mana-mana hentian masjid. Masjid Tembila, Saujana, Kg Batu, Putera Jaya, Permaisuri, Telaga Papan, Merang, Batu Rakit, Wakaf Tengah, Wakaf Tembesu, Banggul Tuan Muda dan di mana sahaja yang mungkin. Mengikut laluan dan waktu....
Menanti suami dan anakanda Amin menunaikan solat Jumaat. Si kecil Ali yang ingin ikut serta perlu ditenangkan. Kakaknya Auliya yang selalunya memujuk, "Budak kecil tidak perlu solat Jumaat. Nanti kita solat zohor sama-sama, ye!....". Akhirnya, Ali leka mengikut si kakak bermain-main atau membelek mahupun menconteng buku yang di bawa.... Saya menjadi pemerhati. Ahli jemaah masjid yang datang dari pelbagai latar belakang. Macam-macam ada... seronok dan sedih bercampur-campur.
Inilah ummat kita, ummat Nabi Muhammad... inilah ummat Islam. Indahnya Islam, cantiknya orang-orang Islam....
Itu yang sepatutnya. Semuanya berdiri tegak di belakang imam....
Pentingnya solat Jumaat. WAJIB bagi kaum LELAKI. Lantaran itu, saya pernah berjumpa dengan seorang ibu yang datang bersama-sama anak perempuan dan anak kecilnya. Saya sangkakan beliau sama seperti saya. Hanya musafir yang menunggu suami dan anak lelaki bersolat Jumaat!
Ruang masa yang ada saya mengambil peluang bertegur sapa sebagai sesama Islam. Sementelah pula saya menunggu di pondok menunggu bas, bukan di dalam kereta. "Pondok bas ini baru sahaja dibina ya?", saya lurus bendul bertanya setelah dikhabarkan bahawa beliau hanya tinggal tidak jauh dari situ. Soalan saya berjawab panjang lebar. Ukhuwah terjalin walau pun baru bersua muka.
Datangnya hanya untuk menghantar anak lelaki berusia 12 tahun untuk bersolat Jumaat. Suaminya kerja luar daerah. Tidak mahu dibiarkan anak datang berbasikal sendirian, beliau datang dan terus menunggu hingga sudah. "Sekejap sahaja.", ujarnya. Masjid Wakaf Tembesu menjadi saksi seorang ibu menghantar dan menanti anaknya bersolat Jumaat. Moga pahala yang besar juga buat si ibu yang bersungguh untuk memastikan anaknya menjalankan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah swt... Pondok bas itu juga menjadi saksi dunia. Zaman saya bersekolah di situ, Sekolah Sains Sultan Mahmud, SESMA (1988-1992) pondok bas itu masih belum wujud...
Masjid Wakaf Tembesu menjadi nostalgia bagi kami penghuni asrama. Kedudukannya bertentangan jalan dengan sekolah amat strategik bagi kami. Jika tiada bekalan air, masjid inilah yang akan kami serbu.
Apa yang melekat dihati, seorang rakan bukan Islam berminat mendekati Islam dan akhirnya menjadi Muslim. Alhamdulillah...semoga Allah memberkatinya dan mengekalkannya dalam nikmat iman dan Islam.
Yang menjadi asbabnya ialah beliau kagum melihat pelajar-pelajar putera bergandingan berjalan bergerombolan menuju ke arah satu seruan. Laungan azan yang mengajak sekelian pemuda dan seluruh kaum Adam untuk solat Jumaat.
Asrama putera sepi. Yang tinggal cuma dia dan beberapa orang rakan yang bukan Islam.
Alhamdulillah, ramainya orang yang baik-baik di sekeliling kita. Allah hadirkan insan-insan baik di dalam hidup kita. Satu nikmat yang amat menyentuh hati...
Di saat yang kadang-kadang kita terasa seperti dunia ini tidak lagi aman. Mahu ke sana ke mari walau dekat dan sebentar cuma, pintu rumah tetap perlu dikunci rapat.
Bukan itu sahaja, setiap tingkap dan pintu terpaksa dipasang jeriji, sehingga terasa umpama terpenjara di rumah sendiri. Pun begitu, masih lagi ada saatnya rumah yang utuh berkunci sana dan sini itu diceroboh juga...
Hanya pada Allah kita berserah dan bertawakkal...
Gerun memikirkan kejahatan manusia rakus yang tidak sudah-sudah. Tidak cukup harta sendiri, barang orang dikebas pula.
Peliknya ada yang mengambil itu ini yang bukan haknya, bukanlah semestinya orang yang susah-susah sahaja. Ada orang yang dicuri itu lebih susah dari orang yang mengambil darinya! Sungguh, pelik bin hairan... Namun, dunia ini milik Tuhan Yang Memiliki, Allah Yang Pemurah dan Penyayang...
Masih ramai insan baik berhati mulia di luar sana. Berbuat baik selagi daya, menitip kasih sesama hamba, hatta walau tidak pernah kenal di mata. Hati kami cukup-cukup tersentuh bila melihat kebaikan yang dihulur oleh mereka yang baik itu. Rupanya memang masih ramai insan mulia memeriahkan hamparan bumi Allah ini.
Namun, mungkin kita merasakan hanya jarang bertemu mereka. Atau mungkin juga, kebaikan mereka tidak kita sedari. Bila sudah hilang atau jauh di mata, barulah kita tersedar dan ingati kembali momen-momen yang sudah berlalu itu...
"Erm..baiknya dia. Dulu, dialah yang tolong itu, buat ini... Sekarang sudah tidak ada lagi..."
Mungkin sudah berpindah jauh, atau juga lebih jauh dari itu, sudah berada di luar alam ini...Alam baru yang akan kita turuti bersama. Entah bila masanya, hanya Allah Yang Tahu. Mungkin lambat atau mungkin juga sudah terlalu hampir masanya. Semoga kesudahan yang baik menanti di penghujung destinasi. Tidak lama dahulu, kami memulakan kembara mingguan kami dari Besut ke Kuala Terengganu. Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya bergerak terus ke rumah ibu bapa saya di Kampung Paya Resak. Suami dan anak-anak dijangka akan bersolat Jumaat di sana sahaja.
Biasalah,
lain yang dirancang, lain pula yang jadi. "Rancangan tergendala
sebentar...", selalu sahaja muncul secara tiba-tiba. Segalanya berlaku
dalam Pengetahuan dan Perancangan Yang Esa. Hikmahnya tetap ada,
Insya-Allah...
Bila dihitung-hitung masa berbaki, tidak mungkin kami akan sempat untuk sampai di kampung sebelum waktu solat berlangsung. Jarak perjalanan masih jauh.
Kami mengambil langkah selamat supaya solat Jumaat dapat ditunaikan, lalu kami singgah di Masjid Merang, Setiu. Setelah suami dan anak lelaki turun ke masjid, saya mengambil alih stereng kereta.
Menoleh sebentar ke belakang, terlihat baju yang tergantung di 'hanger' belum bergosok. Akhirnya saya panik sendiri. Ke mana arah mahu dituju. Saya tercari-cari kedai dobi.
"Manalah ada kedai yang dibuka pada hari Jumaat begini..." hati saya berbisik.
Silap saya juga yang bertangguh kerja. "Baju boleh digosok kemudian, bila sampai di rumah ibu!", fikir saya, ketika sibuk bersiap-siap untuk pulang ke kampung.
Ketika itu, beg-beg bertimbun sudah diangkut ke kereta. Segala barang termasuk bantal dan selimut anak-anak untuk tidur-tidur di dalam kereta tidak lupa dibawa sama. Baju kerja suami masih tergantung. Sesekali tangan ini terasa laju ingin menggosoknya sahaja, tapi hati kecil seakan menegahnya pula.
Selalunya saya lebih suka siapkan dahulu segala tugas yang ada. Saya tidak percaya pada masa yang belum tiba. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di tengah jalan. Begitulah hakikatnya...
Ditakdirkan Allah swt, lain pula jadinya pada hari itu, pada minggu itu! Saya terperangkap dengan bersenang-senang dahulu, akhirnya bersusah-susah kemudian jadinya... Membawa baju tidak bergosok, bersusah pula mencari seterika!
Jadual tugasan luar suami akan bermula selepas solat Jumaat di Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu. Saya panik! Suami sudah berpesan, jika tidak sempat digosok, biarkan sahaja. Kedutan baju yang tidak begitu kelihatan bukan satu masalah yang sangat besar baginya. Itu katanya, tetapi tidak bagi saya. Tidak sanggup rasanya melihat kekasih hati keluar bertugas dengan pakaian yang tidak rapi, seolah tiada isteri.
Baju oh baju... Aku diuji dengan kelemahan diriku yang disengajakan. Sikap bertangguh tidak membawa untung! Rugi...rugi...
Namun begitu, rupanya hari itu, baju berkedut menjadi asbab untuk saya bertemu dengan antara jutaan insan baik yang mengimarahkan alam buana ini. Segalanya telah tersurat sejak azali. Allah Penentu segala...
Masjid Merang letaknya tidak jauh dari stesen minyak Shell di hujung simpang lampu isyarat. Sebelum ini, jika singgah berJumaat di masjid ini, saya dan anak perempuan akan berehat dan solat jamak takdim di surau stesen minyak sementara menunggu suami dan anak selesai urusan yang panjang di masjid.
Kali ini, saya tidak aman untuk bersinggah-singgah lagi. Hati berniat untuk Jamak Takhir sahaja nanti.
Baju oh baju. Dimanakah seterika... Misi mencari seterika perlu dilancarkankan.
Saya memulakan pemanduan melepasi Shell dan terus membelok ke simpang kanan. Kami melepasi papan tanda Kembara Resort dan Keropok Mengabang Tapah yang digemari ramai.
Anak saya Auliya (7 tahun), mula bersuara, "Mak, pusinglah semula. Tidak ada pun kedai dobi dekat-dekat sini...".
Saya tanpa teragak-agak membuat pusingan U. Memang sudah dijangka, tiada kedai dobi di situ, tapi masih juga mahu mencuba. Hati tidak henti-henti berdoa mengharapkan pertolongan Allah. Hanya Allah... Saya teruskan perjalanan melintasi persimpangan lampu isyarat menuju ke kiri simpang pula.
"Mahu ke mana lagi, mak?" tanya lagi si Auliya yang selalunya bijak membuat analisis.
"Kita ke depan..." jawab saya sepatah sambil terus mengintai-intai di kiri kanan jalan. Dalam hati berbisik, tidak ada kedai dobi, 'homestay' pun boleh juga. "Tentu seterika disediakan di situ", hati kecil berbisik nakal, menaruh harapan.
Alhamdulillah, seronoknya! Kelihatan tidak jauh di depan sudah ada papan tanda yang dicari. Namun, saya batalkan niat untuk singgah di homestay tersebut bila melihat ada seorang lelaki berumur sedang berdiri di hadapan rumah. Di sebelahnya mungkin isterinya yang sedang duduk berehat-rehat.
Jauh di dalam hati masih sempat berbisik, "Tidak solat Jumaatkah orang ini?..."
Pemanduan diteruskan. Tanpa putus asa, misi pencarian seterika kukuh tersemat di hati.
Kami melintasi kawasan jeti untuk ke Pulau Redang. Beberapa orang lelaki tua dan muda bersantai-santai di situ.
Auliya sibuk mengomel, "Orang itu tidak pergi solat Jumaat!". Anak sekecil itu juga tahu dosa pahala. Lelaki mesti Solat Jumaat. Hanya seminggu sekali sahaja.
Setentang jalan kelihatan kedai-kedai menjual cenderamata. Saya mencuri-curi intai, manalah tahu ada kedai yang ada seterika! Sungguh, tidak logik langsung... Namun apakan daya, kalau hati sudah nekad, usaha terus dicuba.
Kami terus ke depan. Kelihatan Taman Rekreasi Pantai Merang yang cantik menarik.
Akhirnya saya sampai ke hujung jalan, jalan mati. Rupanya di situ adalah Pusat Ko-Kurikulum Kem Merang, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Ianya juga sebuah kawasan perkhemahan yang tidak kurang menariknya.
Kelihatan sekumpulan wanita bersolat jamaah secara terbuka di bawah kawasan berbumbung tanpa dinding.
Auliya bersuara lagi, "Baik kakak-kakak ini, perempuan pun solat, orang lelaki tadi tidak pula solat." Dia terus mena'kul apa yang dipandangan mata.
Saya pula terkial-kial mencari ruang untuk mengundur dan melakukan sekali lagi pusingan U. Sekali lagi kami melintasi deret-deret kedai cenderamata. Pasti! Memang tidak ada harapan di situ...
Perjalanan tetap diteruskan. Masa kian suntuk. Melintasi homestay yang kami lewati kembali, kelihatan mereka yang masih bersantai di situ. Terdetik pula di hati, "Mungkin mereka adalah pengunjung homestay tersebut...", bukanlah pemiliknya seperti sangkaan awal saya. Memang tidak patut disinggah! Ini bukan tempatnya...
Diringkaskan cerita, saya kembali melepasi kanan simpang dan terus ke Kembara Resort. Mungkin masih ada harapan buat musafir, si pencari seterika... Fokus!
Alhamdulillah, di sini hasrat saya tertunai... Terima kasih pemilik Kembara Resort yang sangat baik hati. Saya dilayan seperti kenalan walaupun saya hanyalah orang asing yang datangnya tidak diundang.
Bukan sahaja diberi pinjam seterika, malah makan tengahari turut dijemput sama. Saya menolak dengan penuh hormat. Misi saya sudah terlaksana. Baju sudah bergosok. Hanya itu yang tersemat di hati. Saya bergegas menjemput suami di masjid. Kembara kami diteruskan untuk menuju Kompleks Sri Iman yang terletak di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu. Puluhan bakal pengantin baru sedang menanti di situ...