Wednesday 8 November 2017

Kita Hanya Hamba


Kita hanya hamba yang dijadikan Allah daripada tiada kepada ada.

Kita hanya hamba yang akan ditiadakan semula seketika dan kemudian kekal hingga selamanya.

Gerun andai kekekalan kita itu di alam infiniti yang menyeksakan zahir dan batin.

Biarlah yang kekal itu indah seindahnya, penuh segala nikmat dan kebahagiaan di samping seluruh yang disayang ketika di dunia sementara dahulu.

Kita tidak pernah kenal dan jumpa Nabi Muhammad SAW ketika di dunia. Biarlah di sana nanti, kita dapat saling berjumpa dan saling mengukir senyum. Dapat menzahirkan rasa terima kasih kepada Baginda SAW atas asbab Baginda dan Para Sahabat, kita dapat bersama Baginda dan seluruh muslimin lain di syurga... Insya-Allah, biiznillah...


Kita mesti sedari diri, siapa kita. Hanya salah seorang manusia dari seluruh manusia yang Allah ciptakan dari Nabi Adam sehingga manusia terakhir dilahirkan ke dunia. Entah siapa, kita tidak pernah tahu dan tidak pernah dikhabarkan. 

Cuma, kita pernah dikhabarkan tentang gegak gempita kiamat, yang mana ibu-ibu yang mengandung terus melahirkan anak yang dikandung tanpa mengira usia kandungan. Kanak-kanak menjadi beruban. Manusia menjadi seperti mabuk. Ketakutan dan kegawatan yang tidak dapat dijangkau akal.

Kisah kekalutan dunia sudah cukup mengerikan bila saat berlakunya sesuatu trajedi. Kisah Tsunami, gempa bumi dan segalanya yang menggoncangkan hati dan perasaan. Apatah lagi kisah yang telah diberi amaran oleh Allah sejak zaman-berzaman. Sedangkan di zaman Nabi Muhammad, beribu tahun dahulu sudah dikira hampir mengikut kiraan Allah, apatah lagi sekarang. Allahu...

Semakin jelas segala tanda-tanda yang dikhabarkan Allah melalui Rasululullah SAW... Hampir benar kita dengan kejadian itu... Semoga Allah selamatkan semua umat Islam walau di mana berada...


Kita perlu Islam. Kita perlu Iman. Kita kena tahu sejarah kita. Asal usul manusia. Manusia asalnya dari syurga. Sepatutnya kembali ke syurga, insya-Allah... Semoga nama kita semua telah didaftarkan di sana. Segalanya sudah dalam pengetahuan dan ketetapan Allah. Kena doa banyak-banyak. 

Doa itu mudah. Di mana-mana sahaja, bila-bila masa. Berdiri doa, duduk pun doa. Baring pun boleh doa. Sambil menunggu mata dipejam, terus doa dan doa...

Satu set doa khusus disusun indah oleh As-syahid Hassan Al-Banna. Cantik andainya menjadi rutin harian. Pagi dan petang. Indah lagi andai boleh dibaca dalam versi penuh (kubro). Edisi ringkas (sughro) juga memadai andai masa terkejar-kejar. Namun, andai tidak sempat membaca, mendengar pun boleh sahaja. Telinga mendengar, bibir bergerak mengikut rentak... Ayat-ayat mudah, lama-lama terhafal tanpa sedar dan  menjadi zikir mudah...



Man jadda wa jada. Semoga Allah pilih kita. Pilih untuk buat perkara baik-baik. Terus baiki amalan dari hari ke sehari. Umpama umur yang meningkat. Dari bayi ke tahap kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Begitulah sebaiknya amalan kita dinaik taraf. Tidak mahu umur yang tua, namun amalan masih ditaraf kanak-kanak. Nauzubillahi minzaaalik...

Biarlah yang berlalu kita jadikan sejarah. Kita terus ukirkan sejarah baru yang lebih baik. Akhirnya dunia ini juga tinggal menjadi sejarah. Yang kekal hanya di sana. Infiniti!

1 comment:

  1. At the core of BrainsClub is a diverse and vibrant community of thinkers, innovators, and lifelong learners. The platform brings together individuals from various backgrounds and disciplines, creating a rich tapestry of perspectives. Whether you're a seasoned professional, a student, or an enthusiast eager to expand your horizons, BrainsClub provides a space where you can connect with others who share your passion for knowledge.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...