Friday, 27 September 2013

Terus kembara

Perjalanan hidup diteruskan selagi daya. Selagi nyawa dikandung badan. Alhamdulillah, kenderaan Allah kurniakan buat semua kita. Di laut, darat dan udara.




Semuanya juga Allah mudahkan. Syukur pada Tuhan, Allahu Rabbi. 



Sesekali kita berehat sejenak. Menikmati keindahan alam, bumi ciptaan Tuhan, Allah yang Khaliq.


Jika dulu, waktu cuti kami terisi dengan mengunjungi suami di Putrajaya. Kini tidak lagi. Kunjungan sekali-sekali hanya sekadar mengikut suami pergi berkursus sahaja.



Tahun-tahun sebelumnya pula, kami menghabiskan cuti bersama suami di Kemaman. 

Segalanya sudah berubah. Dulu dan sekarang sudah berbeza. Kami semua sudah di sini. Bertapak di bumi indah, Besut gerbang pelancongan.

Bercuti pun jimat. Banyak lokasi cantik dalam jarak yang sangat dekat. Singkat masa kembara, lebih lama masa yang boleh dihabiskan di destinasi impian. 

Paling hampir, hanya tidak sampai 5 minit berkereta. Pantai Bukit Keluang indah terbentang. 



Menaiki bot pula, nun ke seberang sana. Sedia menanti Pulau Perhentian. 



Pendek kata, buat sahaja pilihan. Berdoa pada Tuhan, Allah yang Berkuasa, agar dipermudahkan.


Segalanya indah di mata, cantik di hati, senang di fikiran. Melihat kekuasaan Allah. Bukti bumi ini milikNya. Tiada yang lain...


Thursday, 29 August 2013

Dari Besut ke Dungun

Setiap minggu kami berkelana bersama. Bermula dari Besut, kami transit di Kuala Terengganu. Perjalanan diteruskan hingga ke Dungun. 
 

Negeri Terengganu, negeri pesisir pantai. Bermula dengan Pantai Bukit Keluang, kami kemudiannya melepasi Pantai Merang. Seterusnya Pantai Batu Buruk, Pantai Kelulut dan Teluk Lipat sebelum sampai ke Pantai Dungun. 



Tidak kurang juga gugusan pulau-pulau. Pulau Redang dan Pulau Kapas menambahkan keindahan. Cantiknya bumi Tuhan. 



Perjalanan memakan masa berjam-jam menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga. Samada siang atau pun malam, hanya sedikit berbeza. Begitulah kehidupan ini. 



Alah bisa, tegal biasa. Anak-anak lena di dalam perjalanan. 



Alhamdulillah, masjid tersergam di sepanjang perjalanan. Hentian wajib bagi kami semua.

Roda kehidupan terus berputar. Lebuhraya terbentang luas di hadapan...

Wednesday, 28 August 2013

Antara 2 Kuala

Antara 2 Kuala tidaklah sangat jauh bezanya. Kuala Terengganu dan Kuala Besut masih terletak di dalam negeri yang sama. Negeri Cantik Budaya Menarik. Orangnya baik-baik, InsyaAllah...


Kehidupan saya dan kami sekeluarga yang berbeza. 5 tempat di dalam daerah Kuala Terengganu, lebih 10 tahun yang lalu, saya hidup sebagai ibu kerjaya. Keluar pagi, balik petang. Kadang-kadang sampai ke malam. Ada juga balik petang, malam pula terpaksa keluar lagi atas urusan kerja. Alhamdulillah, anak-anak memahami dan ramai pula yang sudi membantu. Terima kasih semua.

Di Besut ini, saya keluar masuk rumah 5-6 kali sehari. Keluar masuk kereta bersama anak-anak di sisi. Bukan lagi sebagai wanita kerjaya. Itu yang berbeza. Cara hidup yang berbeza dengan rutin yang berbeza. Siang dan malam, kehidupan bersama anak-anak. Seronoknya di bumi Besut, sama juga dengan seronoknya hidup di bumi Kuala Terengganu. Keseronokkan yang berbeza-beza. 

Kalau dulu, menjadi rutin anak-anak masuk kereta keluar kereta. Di sini pun begitu. Namun destinasinya adalah berbeza. Kalau dulu berpagi-pagi ke sekolah. Di sini pun begitu. Itu pasti. Tapi dulu, waktu petangnya perlu ke Taska/Tabilas (Tadika Lepas Sekolah) pula. Balik ke rumah hanya selepas habis waktu kerja saya. Terkadang lewatnya hingga ke malam. Terpaksa pula meminta jasa baik saudara mara datang menjemput anak-anak untuk di bawa ke rumah datuk dan nenek. Menumpang seketika sehingga ibu pulang bekerja. 

Kini anak-anak seronok mengikut sahaja ke mana saya menghalakan kereta. Tidak mahu ditinggalkan di rumah, tidak kisah di bawa ke mana-mana sekali pun. Selepas balik sekolah, sesekali menjengah sebentar ke pasaraya atau ke mana-mana kedai kecil berhampiran rumah. Malam pula beramai-ramai mengikut ayah ke masjid. Mengaji dan mengulangkaji bersama-sama.  Selesaikan segalanya ketika masih di masjid. Balik ke rumah untuk rehat dan menyambung agenda menanti siang berulang lagi.

Di waktu senggang pula, menjenguk sebentar ke PPAT (Perpustakaan Awam Terengganu). Rezeki di sini, PPAT amat dekat dengan rumah, sangat berbeza ketika di Kuala Terengganu. 
 Seronoknya anak-anak berada di dalam dunia buku. Sama seronok seperti berada di dalam dunia membeli-belah. Syurga ilmu menjadi seperti syurga coklat dan ais krim. Tamak dan ketagih. Semoga ada manfaatnya buat diri dan semua...

Tuesday, 27 August 2013

Di sini doaku termakbul

Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar. Sangat-sangat Mendengar. Walau lambat, hikmahnya tetap ada. 

Doa pada tahun 2008  dimakbulkan Allah pada tahun 2011. Dari Chendering, K. Trg ke Bkt Keluang, Besut. Perjalanan masa yang panjang. Kuasa Allah mengatasi segala. Saya sempat di beri ruang oleh Allah untuk berjumpa dengan pasangan Prof Kamil dan Puan Roza di saat akhir sebelum mereka berhijrah ke Madinah. Peluang mereka pulang menjenguk ke Besut sebelum jauh merantau ke bumi Anbiya menjadi rahmat buat kami. 

1 program ilmiah di bulan Ramadhan yang mulia menemukan ratusan khalayak pendengar dari seluruh daerah Besut. Kuatnya aura mereka berdua. Sehinggakan ada peserta yang sanggup turun jauh dari Kelantan dan Kuala Terengganu semata-mata untuk slot yang hanya 2 jam sahaja. 1 jam pertama milik Puan Roza dan 1 jam seterusnya khas buat Prof Kamil. Mereka bergandingan menjalankan misi ibadah dakwah. Betapa terasa keberkatannya. 

Soalan yang saya ajukan kepada Puan Roza, sengaja ditinggalkan kepada Prof Kamil untuk dijawab. Kasih sayang ditunjukkan melalui ilmu yang dikongsi. Perkongsian ilmu yang sangat menarik dari perspektif seorang isteri dan wanita. 


Kisah Mariyam, Hajar, Asiah dan bermacam dicedok dari Al-Quran untuk renungan bersama. Terima kasih Puan Roza. Saya sendiri sanggup mengelek bayi yang belum sampai 2 bulan untuk turun sama-sama ke dewan ceramah.

Semoga kami sekeluarga juga sempat berkunjung ke Madinah. Berjumpa pula di sana.  Tidak sabar rasanya untuk menjadi Tetamu Allah. Rupanya di sana ada duta yang sungguh baikhati. Sudi melayan lebih ratusan insan pelbagai latar belakang.


Mereka yang telah diberi izin oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya. Semoga syurga yang indah disediakan untuk mereka dan kita juga.

Jika di bumi Besut ini, saya berangan seolah-olah melihat hijaunya di bumi Kundasang. Itu adalah berangan mat jenin. Bukit Keluang tidak akan betukar menjadi Gunung Kinabalu. Panas di sini sangat jauh berbeza dengan hembusan bayu sejuk Bumi Di Bawah Bayu. 

Apatah lagi kalau saya berangan kononnya berada di bumi berkat, tempat suci lagi barakah. Panasnya bumi Mekah dan Madinah dalam Rahmat Illahi. Suhunya tinggi diluar, menyejukkan hati di dalam. Tiada di tempat lain. Hanya di sana. Apa yang mampu, hanyalah doa dan terus berdoa. 

Semoga di kesempatan masa dan ruang baki sisa-sisa hidup kita yang masih ada sedikit ini, masih sempat untuk dijemput Allah menjadi tetamuNya. TetamuNya di Haramain, berdepan dengan Kaabah dan menjenguk Masjid dan Makam Nabi Muhammad saw. Sebelum kita dijemput ke alam kubur, berdepan dengan kematian yang pasti...

Monday, 26 August 2013

Ilmu juga di mana-mana

Alhamdulillah sepanjang 14 tahun berkelana di muka bumi ini sebagai hidup orang berkeluarga, ruang untuk menambah ilmu sentiasa ada. Cuma mahu atau tidak sahaja. Kadang-kadang ruang masa yang terhad tidak mengizinkan. 

Semasa di rumah sendiri di Taman KPAT, selalu juga Dah dan Kak Ina, jiran yang paling rapat mengajak ke kelas agama di balairaya berhampiran taman. Namun, kelas berlangsung ketika saya di tempat kerja. Mustahil untuk saya pergi kecuali  jika kebetulan cuti umum jatuh pada hari tersebut. Bila cuti, kita pula yang sibuk mengatur agenda ke situ ke sini. 

Di Besut ini, ruang untuk menyertai kuliah, ceramah dan sebagainya terbentang luas. Sebagai tempat orang berkursus, pelbagai pengisian rohani ada di sini. Peserta kursus datang dan pergi. 1 gerombolan demi 1 gerombolan yang lain. Mereka mencedok pelabagai bidang ilmu. Bersesuaian dengan tempat ini telah diwartakan sebagai 1MTC. 


Kenangan yang amat menarik dalam hidup saya di sini bila dapat berjumpa secara berdepan dengan Puan Roza, isteri kepada Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Pasangan penulis buku dan juga pendakwah yang sangat saya segani. Sebenarnya, Prof Kamil pernah diundang ke UiTM Kuala Terengganu, Chendering ketika saya masih bertugas di sana. Kesempatan yang terhad, saya cuma sempat berkirim salam kepada isteri beliau walaupun saya belum dan tidak pernah mengenali seorang individu hebat bernama Puan Raudzah Roslan. 

Spontan respon Prof agar saya membuka blog 'Roza' pada pautan blog beliau. Sejak pada masa itu, saya mula mengenali Puan Roza hanya pada tulisan-tulisan beliau. Saya menyimpan impian untuk berjumpa beliau sebagai 'pengubat' kerana tidak dapat membeli buku yang di bawa Prof. Kedua-dua buku Travelog Dakwah dan  Travelog Haji habis terjual. Laris,  berebut-rebut mengalahkan pisang panas.  Tidak dapat buku, bermakna tidak dapat autograf pada hari itu. 

Saya memujuk hati. Tidak mengapa tidak mendapat autograf Prof. Saya memasang azam dan impian, berdoa dan juga mengharap. Suatu hari nanti, saya ingin berjumpa, bersalam dan mencium tangan wanita hebat yang tidak jemu-jemu memanjatkan doa hingga membawa kepada perubahan kehidupan yang sangat-sangat bermakna. 


Akhirnya di bumi Besut ini Allah memakbulkan doa saya.

Sunday, 25 August 2013

Ibadah di mana sahaja

Di mana kita berpijak, bekerja atau tidak. Ada tugas untuk kita. Tugas untuk diri sendiri dan tugas untuk ummah. Jika kita membiarkan apa sahaja yang berlaku, kesannya juga kita yang dapat. Tugas berat terlaksana di atas setiap bahu daripada kita. Ruang dan medan untuk untuk beribadat dan berkhidmat terbuka luas. Dengan senyuman ikhlas boleh melegakan kesakitan apatah lagi jika tangan dihulur kepada yang mengharap. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. 

Sepotong hadis telah dinukilkan : 

“Perumpamaan orang-orang yang berpegang kepada kebenaran dan orang-orang yang melakukan kesalahan adalah seumpama penumpang-penumpang di atas sebuah kapal yang besar. Sebahagian penumpang berada di atas kapal dan sebahagian berada di dalam perut kapal. Sekiranya orang-orang yang berada di bawah ingin mengambil air dan mereka malas untuk mengambilnya daripada bahagian atas kapal sebaliknya mereka menebuk dinding kapal dan mendapatkan air terus daripada lautan. Sekiranya orang yang berada di atas hanya melihat sahaja (tindakan menebuk dinding kapal), maka lambat laun seluruh kapal tersebut akan tenggelam, tetapi sekiranya mereka menegur dan mencegah perbuatan tersebut maka semua penumpang kapal tersebut selamat (kapal tidak karam)”

Riwayat Al-Bukhari

Semoga bermanfaat buat kita semua... 
Tanpa melupakan ibadah walau di mana sahaja...



Saturday, 24 August 2013

Banyak berjalan luas pengalaman

Banyak berjalan, berpindah-pindah itulah pengalaman. Pengalaman kami di tempat yang berbeza-beza meluaskan pandangan. Bukit Payong tidak sama dengan Bukit Keluang. Batu Buruk tidak sama dengan Batu Rakit. Manir juga berbeza. Begitu juga Telaga Mengkudu di Padang Midin. 

Pendek kata walau di mana kita, di bukit atau di padang, di batu atau di mana sahaja, pasti ada sedikit perbezaan. Yang pasti kesemua tempat yang saya sebutkan masih lagi di dalam Negeri Terengganu. Di luar negeri Terengganu lain pula ceritanya. Apatah lagi di luar negara Malaysia. 

Beruntunglah mereka yang berpeluang melepasi ke angkasa, di luar planet bumi. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja dapat merasai perjalanannya. Rugi jika pengalaman mereka tidak dibukukan dan dikongsi bersama. Rugi lagi jika kita tidak mengambil tahu dan tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku di sekeliling. 


Kalau tidak banyak sekali pun, pasti ada sedikit ilmu yang boleh dikutip untuk manfaat diri dan orang lain.

      
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...