Wednesday 31 July 2013

Peluang tiba jua

Peluang tidaklah datang bergolek. Namun, perkhabaran bahawa terdapat iklan jawatan kosong oleh suami seorang rakan seolah-olah satu harapan baru buat saya. Kekecewaan lama terpadam. 

Pertemuan dengan rakan lama yang pernah sama-sama mengikuti program Asasi Sains dan menginap di Kolej Kediaman Kinabalu (Kolej ke 8) Universiti Malaya telah menjadi titik perubahan. Setelah 4 tahun membawa haluan masing-masing, Aina yang memegang Ijazah Sains dengan Pendidikan telah selesa dengan jawatan tetapnya sebagai guru Sains. Suaminya pula merupakan Pensyarah KYT, juga merupakan rakan sepengajian. Masing-masing berjaya dengan kerjaya yang diceburi. Cemerlang.

Hanya saya yang masih terumbang-ambing, sekejap ke tengah, sekejap ke tepi. Cuma, rezeki saya tetap ada, tidak pernah menganggur. Namun, tidak pula pernah sekali-kali berjawatan tetap. Sesekali terasa, seperti muka kontrak layaknya.

Setelah diberitahu iklan tersebut, saya segera bertindak. Tarikh tutup hanya tinggal sehari dua sahaja lagi. Surat permohonan dibuat serta-merta dan diserah ke pejabat tanpa pos. Penantian demi penantian. Surat panggilan temuduga yang diterima menambahkan keyakinan saya. Sejalur harapan bersinar. Percaya pada Allah Yang Berkuasa, kita mesti terus berusaha. Usaha selagi daya. Peluang yang ada jangan disia-sia...  

Tuesday 30 July 2013

Segalanya berubah

Segalanya berubah sekelip mata. Gaji Ijazah bertukar gaji SPM kemudian Ijazah kembali. Dalam berkira-kira menyiapkan Ijazah Sarjana (Master), saya pula terus berhenti kerja. Bukan status yang menjadi ukuran buat saya. Hakikatnya, kehidupan hari ini banyak dipengaruhi oleh taraf pendidikan untuk membolot ribuan ringgit di akhir bulan. Pastinya, itu yang dikejar ramai orang. Namun, sekeping ijazah tidak bermakna segalanya. Ramai yang hidup bahagia dan senang lenang tanpa mengenal sekolah tinggi apatah lagi tangga universiti.

Gaji saya tentunya berkait dengan status yang tertulis di atas surat tawaran jawatan. Selama 6 bulan di Sekolah Kebangsaan Maras, saya menerima gaji dengan nilai RM600 sahaja. Mungkin gaji saya adalah terendah di kalangan staf guru pada masa itu. Jumlahnya RM3600 menyamai dengan insan lain yang bekerja hanya untuk 1 bulan atau separuh bulan. Malah ada insan yang lebih bertuah kerana jumlah sebanyak itu hanya cukup dengan bekerja untuk 1 minggu sahaja. Rezeki masing-masing, Alhamdulillah. Pastinya ada cabaran dan pengorbanan yang perlu ditagih.

Majoriti setiap individu akan cuba melakukan apa yang terbaik dalam hidup. Menaiki tangga dari setingkat ke tingkat yang lain supaya mendapat kedudukan yang tertinggi. Begitulah halnya kenapa saya selalu bertukar tempat kerja. Jawapan ringkas hanya Allah Yang Tahu. Hakikatnya sudah suratan begitu.Tersuratnya, saya sudah mencuba dan terus mencuba setakat terdaya. Segala peluang yang ada, tidak dibiar sahaja. Usaha milik kita, dengan izin Yang Maha Esa. Hanya Dia yang menentukan segala...

Monday 29 July 2013

Jawatan baru

Setelah berbagai pengalaman yang ditempuh, saya membuat kesimpulan ringkas. Lama atau baru tidak menjadi masalah. Yang penting, boleh berfungsi dan masih berguna.

Perkara paling penting dan merubah kehidupan saya ialah jawatan yang baru saya terima. Bermulanya karier saya sebagai pensyarah. Walaupun hanya sebagai pensyarah kontrak di KYT (Kolej Yayasan Terengganu) Chendering, namun sudah cukup mengembirakan hati. Itulah asbab perpindahan kami sekeluarga buat kali ke 3. Rumah yang ke 4. Jawatan baru, maka rumah baru. (Rumah baru, anak baru, bibik baru.)

Rasionalnya, mengurangkan jarak perjalanan sementelaah masih lagi bukan tinggal di rumah milik sendiri. Alang-alang menyewa rumah orang, biarlah dekat dengan tempat mencari sumber pendapatan. Syukur, bukan sahaja kebaikan untuk saya, tetapi suami juga semakin hampir dengan pejabat pentadbiran. Alhamdulillah. Rezeki semua pihak.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama saya memohon jawatan tersebut.  Permohonan saya 4 tahun dahulu baru berjawab, akhirnya. Pada awal tahun 2000, saya telah mencuba diri menghantar resume untuk memohon tugas di sana. Di saat itu, saya masih bergelar Penolong Penyelidik di universiti (UPMT/UMT). Memandangkan program master belum berjalan dan berdepan pula dengan kekangan kewangan semasa universiti, saya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap skim tutorship yang diwar-warkan sebelum itu. Lebih baik saya mencari yang lebih pasti. 

Saya mencuba plan B. Permohonan jawatan pensyarah di KYT dibuat serta-merta. Jawapan ringkas diterima, "Maaf, permohonan puan gagal kerana tiada kekosongan buat masa sekarang.", amat mengecewakan. 

Saya memadam terus harapan. Tiada lagi KYT dalam impian. Saya tahu beberapa rakan sepengajian Asasi Sains Universiti Malaya berkhidmat di sana. Begitu juga beberapa orang senior ketika di SESMA juga sedang menabur budi. Kesemuanya lelaki. Ceritanya habis di situ... 

Sunday 28 July 2013

Anak baru Bibik baru

Bermulalah Amin diasuh secara rasmi oleh seorang bibik. Ibu dan guru ganti pertama bagi Amin seorang bayi yang sedang diuji. Pengasuh ke 3 buat kakak dan abangnya yang masing-masing berusia 2 dan 4 tahun. Ujikaji sedang bermula. 

Bermulalah episod baru dalam hidup kami. Amin diasuh oleh orang seberang. Orang seberang yang tegar meninggalkan anak dan keluarga untuk kelangsungan hidupnya. Benarkah begitu. Wajarkah tindakan yang diambil oleh kedua-dua ibu yang melahirkan. Ibu di sini dan ibu yang ke sini. Meninggalkan anak masing-masing untuk jarak dekat dan jarak jauh. Tinggal sekejap dan tinggal bertahun. 

Yang pasti ada wang yang mengalir masuk. Berbaloikah ringgit yang ditadah dengan ringgit yang berjalan keluar dari tangan ke tangan yang lain. Maka anak kami pun berpindah tangan. Dari tangan ke tangan lain...

Laila pula terus mencuba buat kesekian kalinya. Berjayakah setelah 2 kali gagal. Bisa atau ngak bisa lagi. Capek atau ngak. Mengambil risiko lagi untuk menjadi pembantu rumah yang ke 3 selepas majikannya di Kelantan dan Hulu Terengganu. Lalu, Laila menjadi pembantu rumah yang pertama buat kami. 

Terima kasih Laila kerana sudi bersama-sama dengan kami. Terima kasih Kak Laila kerana sudi menjaga dan turut membesarkan Muhammad, Mukminah dan Amin. 


Namun, Kak Laila bukan bibik yang terakhir buat kami...

Saturday 27 July 2013

Selamat datang orang baru

Sedar tidak sedar, sudah 2 minggu rupanya saya menumpang berpantang di rumah ayah ibu. Kelahiran Amin mengembirakan kami. Akhirnya, Laila datang menjenguk kembali. Syukur rasa dihati. Terjawab persoalan insan sekeliling selama ini. Setelah sebulan di bumi sendiri, kedatangannya sangat dinanti-nanti. Ringanlah sedikit kerja-kerja rumah yang perlu saya langsaikan buat pertama kali cuba berpantang di rumah sendiri.

Sebelum ini, saya diminta oleh ibu berpantang di rumah kelahiran sendiri. Ibu seolah-olah tidak percaya untuk melepaskan saya berdikari menjaga diri dan bayi sendiri. Saya culas katanya. Malas makan ubat sedari kecil dan tidak mengenal pantang dan larang, "Degil!", ulas bonda lagi.  

Berpantang di rumah ibu, pergerakan saya sedikit terhad. Tempoh 40 hari sebelum ini terasa seperti berbulan-bulan. Saya kepuasan dan terasa ingin terbang. Namun jasa dan kasih seorang ibu bukan sekerat jalan. Tidak hanya setakat anaknya, tetapi jauh dari itu, cucunya mendapat layanan yang sama. Bahkan lebih lagi. Kasihnya tidak perlu diragui.  Sayangnya sejati dari hati. Terima kasih Tokma. Juga, terima kasih Tokki. Kalian menabur budi, kami terhutang budi...

Friday 26 July 2013

Masanya tiba jua

Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan. Dengan janji 1 minggu sahaja, ia menjadi kenyataan. Tetapi  bukannya Laila yang datang. Tetapi,  insan suci yang betul-betul baru ingin menjengah ke bumi. Melihat alam yang terbentang.

Sekali lagi rahmat Allah mendahului. Saya ditakdirkan mengalami tanda-tanda awal bersalin dan mengalami kontriksi yang tidak menentu. Datang dan hilang. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk bercuti awal. Syukur, permohonan saya diluluskan tanpa masalah. Segala hal berkaitan kuliah sudah dibereskan. Mudah bagi pihak pentadbiran memberi laluan. 

Anak-anak kembali ke pangkuan ibu di sisi.Ringanlah beban fikiran memikirkan anak yang ditinggalkan secara 'ad hoc' atau bersifat sementara sahaja. Setelah beberapa hari di rumah, saya ke hospital memandangkan tanda-tanda bersalin telah muncul. Setelah 2 malam di hospital saya diberitahu jururawat bahawa saya perlu diberi aruhan (induce). Kebocoran ketuban telah berlaku melebihi jam yang dibenarkankan. Tambahan pula, tempoh bersalin telah melebihi tarikh jangkaan.  

Bermulalah perjuangan seorang ibu yang ingin melahirkan. Juga perjuangan seorang anak dari dalam kandungan. Ubat yang diberi tidak mendatangkan kesan. Kami berkongsi nyawa dari pagi hingga ke petang bertarung di bilik bersalin. Rezeki sekali lagi kerana doktor yang bertugas rupanya junior ketika di SESMA. Terima kasih Dr Shafini, sentuhanmu menyejukkan hati.  

Syukur, setelah berhempas pulas hingga ke Asar,  segalanya berakhir dengan selamat. Suami saya bergegas meninggalkan kami setelah anak diazan dan ditahnikkan. Kewajipan terhadap Rabbul Izzati perlu disegerakan...

Thursday 25 July 2013

Percaya lagi dan lagi

Kak Ton juga cukup percaya Laila akan datang. Mereka sempat berkawan ketika majikan masing-masing keluar bekerja. Majikan Kak Ton adalah jiran yang baru kami kenali, pemilik unit rumah yang bertentangan di aras yang sama. Encik Megat dan Kak Zie orang yang berhemah tinggi. Kedua-duanya berasal dari Kelantan, merupakan penjawat awam yang berjaya dalam bidang masing-masing. 

Kak Ton merupakan penduduk tempatan, orang kita yang datang pagi dan pulangnya petang dengan basikal. Waktu santai sehabis tugas Kak Ton dan Laila sembang bersama. Saya tidak kisah. Kadang-kadang saya juga mengirim Kak Ton membeli makanan pagi untuk sarapan. Kebetulan, setiap hari dibelinya bekal di pertengahan jalan. Juadah berbeza mengikut citarasa Laila dan anak-anak dikongi mereka bersama.  

Sekurang-kurangnya Laila kelihatan seronok dengan hidup barunya di sini. Dia juga mendapat teman berbual, bertukar cerita dan berkongsi masalah. Saya mohon Kak Ton berpesan-pesan untuk kebaikan Laila dan kami bersama. Sebagai orang lama, pastinya banyak pengalaman hidup dan pekerjaan.

Terima kasih Kak Ton kerana turut percaya dan memberi harapan pada saya...

Wednesday 24 July 2013

Terus percaya

Bersangka baik. Itulah yang dituntut agama. Saya terus menaruh kepercayaan dan harapan. Sebelum Laila pulang ke sana, saya bertanya sungguh-sungguh. Dia berjanji, saya percaya. Tawakkal kepada Illahi. 

Di samping itu, tindakan segera untuk jangka pendek perlu diambil. Otak saya ligat berfikir. Bagaimana pula nasib anak kami yang ditinggalkan, kononnya sementara itu. Sekali lagi saya mencuba nasib dan peluang.  

Kerana desakan kerja, ibu cuba  meninggalkan anak di mana sahaja, asal bahagia. Anak menjadi seolah-olah bahan eksperimen pula. Tidak cukup spesimen di makmal, anak di rumah pula menjadi mangsa. Maafkan emak, wahai anak. 

Saya perlu mencari pengasuh bidan terjun Muhammad dan Mukminah berdua...

Tuesday 23 July 2013

Kehidupan baru

Menggelarkan diri sebagai Kak Tie, saya melayan Laila seperti saudara sendiri. Bukan hanya sebagai orang gaji semata-mata. Apatah lagi dalam keadaan 'pinjam' berbayar begitu.  Bila terasa serasi, kami suami isteri sepakat untuk terus mengambil Laila sebagai pembantu kami. Kepulangan Laila bersama Pak Akmal  ke Medan sekadar memperbaharui permit untuk bekerja dengan kami. "Hanya 1 minggu.", kata mereka. Sepakat berjanji untuk datang kembali, kami percaya 100% tanpa sangsi. 

Laila bersetuju menjadi pengasuh anak-anak kami termasuk yang bakal dilahirkan nanti. Tiada paksaan dalam membuat keputusan. Terserah kepada budi bicara sendiri. "Kesian Kak Tie, sudah sarat 9 bulan, saya mesti ke mari lagi.'' Tambahnya dalam nada yang boleh dipercayai. 

Kak Laila, itulah gelaran yang diberi. Muhammad dan Mukminah nampaknya juga serasi, Alhamdulillah. 2 minggu kemudian, lahirlah putera kedua kami. Muhammad Al-Amin bin Norawi, orang baru yang dinanti-nanti. Anak ketiga yang penuh cabaran dan diuji.


 

Sementara itu, Laila tidak juga kunjung tiba. Ayah saya mengusik, "Tak datang dah tu...". "Tinggalkan saja anak-anak dengan kami." Ibu pula menambah. 

Saya tetap percaya. Percaya pada Laila. Percaya pada Pak Akmal dan isteri. Sambil tidak henti-henti berdoa kepada Yang Memiliki...

Monday 22 July 2013

Segalanya baru

Segalanya baru bagi kami. Rumah baru yang lama, perabot baru yang terpakai dan orang baru yang telah berusia. 

Seorang bibik berusia lewat 30-an meninggalkan 3 anak dan suami. Datang merantau dengan niat hanya ingin mengenal tempat orang. Asyik berpindah dari rumah majikan ke majikan yang lain kerana merasa beratnya tugas yang digalas. Akhirnya Laila dihantar semula ke rumah ejen, sementara menanti di bawa pulang oleh ketua syarikat yang akan datang dari Indonesia. Pak Akmal selalu datang ke Malaysia bersama isteri, ibu Ana untuk menyelesaikan urusan berkaitan orang gaji. Terengganu pula menjadi tempat singgah mereka berdua. Dari raut rupa, mereka kelihatan sangat baik hati dan boleh dipercayai. 

Berita kami mahu berpindah dan perlukan seorang pengasuh sampai ke pengetahuan seorang rakan suami. Kebetulan rakan tersebut merupakan kenalan kepada Pak Akmal. Beliau yang turut bertindak sebagai ejen rasmi menawarkan bibik yang sedang menunggu di rumahnya . Petang perpindahan itu juga rakan yang baik hati bersama isteri, Kak Lah yang budiman datang membawa Laila ke rumah kami. Hanya diberi pinjam, sementara menanti kedatangan Pak Akmal yang akan menyusul kemudian. 

Orang yang mengantuk disorongkan bantal. Saya sangat mengalu-alukan kedatangan pengasuh merangkap pembantu di saat terdesak begitu.  Hari itu juga Laila memulakan tugas pertama dengan membantu kami membersihkan rumah lama sebelum kunci diserahkan semula kepada tuannya. Satu rahmat besar bagi saya yang ketika itu berbadan dua dengan kandungan berusia 6 bulan. Berkuranglah sedikit tenaga yang perlu dikerah.

Di kesempatan terakhir itu, kami semua mengunjungi Kak Yah di sebelah. Terjalin perkenalan pertama dan terakhir di antara 2 orang pengasuh anak-anak kami. Orang sini dan orang sana pasti banyak bezanya. Sekali lagi anak kami terpaksa meninggalkan pengasuh mereka yang berbudi gara-gara ibu sendiri. Asyik mengejar kerjaya, bertukar kerja tak henti-henti. Anak-anak pula terpaksa bertukar pengasuh bersilih-ganti. Hanya tawakkal kepada Illahi pengubat hati...

Sunday 21 July 2013

Rezeki ada di mana-mana

Alhamdulillah. Bumi Allah sangat luas. Rezeki diturunkan di mana sahaja. Selari dengan ujian yang silih berganti, rezeki juga tidak henti-henti.
 
Teks : Google
Imej : Google
Sebaik sahaja saya berpindah dari Batu Rakit ke Batu Buruk, saya tercari-cari siapakah pengasuh anak kami berdua. Pada hari kami berpindah, Allah datangkan insan baru ke rumah baru kami. Rumah ke 4 dalam hidup kami. Bangunan lebih puluhan tahun lalu yang tersergam di situ merupakan 3 blok 2 tingkat dengan 4 unit rumah di setiap blok. Kuartes Kerajaan di tepian Pantai Batu Buruk, berhampiran kediaman Menteri Besar menjadi destinasi kami seterusnya. 


Kehadiran kami mengisi 1 unit di tingkat atas yang sudah sekian lama tidak berpenghuni. Rumah yang sangat besar; 4 bilik, 3 bilik air serta ruang tamu seluas gelanggang dan juga 1 stor. Segala kelengkapan disediakan. Almari pakaian dan kabinet dapur siap terpasang. Semua perabot lain termasuk dapur masak gas 4 penunu diangkut percuma setelah kami rasmi menjadi penghuni di situ. Walupun rumah lama, cukup mewah bagi kami 4 beranak beserta orang baru.

Saturday 20 July 2013

Terima kasih semua

Mukminah tidak seperti Muhammad. Muhammad mudah dari segi memberi susu. Diminumnya sahaja apa yang disua. Ketika berpindah ke rumah sewa ke 3, Mukminah berusia 6 bulan. Meninggalkan Moksu dan taska yang berjasa. Sekali lagi rezeki buat anakanda berdua apabila jiran baru rupanya seorang pengasuh. Anak-anak asuhannya baru sahaja berpindah ke tempat lain, menjadikan peluang keemasan untuk saya meninggalkan Muhammad dan Mukminah kepada seorang ibu yang sangat baik hati.


Isteri kepada seorang anggota polis itu menjaga anak kami dengan baik seperti anak sendiri. Kebetulan anak bongsunya ketika itu, baru memasuki darjah 1. Anis begitu seronok bermain dengan adik-adik barunya sebaik pulang dari sekolah. Abang-abangnya yang lain juga masih bersekolah.  Yang sulong berada dalam Tingkatan 4 di salah sebuah MRSM. Kini, berkat didikan tangan sendiri anak-anak Kak Yah semuanya telah berjaya. Hanya yang bongsu masih di bangku sekolah rendah. Anis sedang menempah kejayaan dalam SPM di MRSM berhampiran rumah. Yang sulong pun sudah berjawatan hebat. 

Makcik Yah yang berjasa dalam hidup anak-anak kami. Begitu juga Moksu yang baik hati. Terima kasih semua, termasuk Cikgu Marhaini...  

    

Friday 19 July 2013

Nikmat rezeki

Satu perkara yang saya kira bukan sahaja kebetulan, tetapi segalanya perancangan Allah yang Maha Kuasa adalah berkaitan anak-anak. Anak-anak kami sentiasa mendapat tempat yang mudah untuk ditinggalkan. Hanya sebelah rumah. Rumah sewa ke 2, kami masuki setelah saya berpantang melahirkan anak sulong. Hanya bersebelahan dinding dengan Taska Amika. Dimiliki oleh wanita solo yang dikenali sebagai Moksu yang menyewa di situ. Rezeki Muhammad, senang bagi saya untuk meninggalkannya sepanjang saya bertugas di KOSPINT. 

Ketika malam kelahiran Mukminah, Muhammad turut ditumpangkan di rumah Moksu. Sementara itu, suami terus berkejar ke hospital setelah lebih 2 malam menunggu kelahiran puteri pertama pada jam 4.30 pagi. Di pagi yang hening, kelahiran Mukminah adalah yang paling mudah dan mendamaikan bagi saya.  Hingga jururawat yang bertugas berkata, "Bagusnya awak, sakit pun masih senyum.", sejurus saya mengucapkan terima kasih memberi pinjam telefon kaunter untuk menghubungi suami di rumah untuk memaklumkan saya akan di tolak ke bilik bersalin. 

Alhamdulillah, menjaganya pun mudah. Cuma, sedikit masalah bila dia menolak terus untuk menyusu botol. Habis mencuba, tidak menjadi apa-apa. Sanggup menunggu sehingga saya balik sekolah. Bergegas saya ke taska Moksu bila pulang ke rumah. Kadang-kadang sedikit lewat pulang, dia tetap menunggu. 

Saya menumpang rakan sekerja, Cikgu Marhaini. Beliau merupakan guru pakar Kimia, kadang-kadang ada kelas tambahan dengan pelajar calon SPM. Kebetulan anak tunggalnya ketika itu ditinggalkan di taska yang sama. Alin yang berusia 5 tahun kini menjadi calon PMR di KOSPINT/Imtiaz bersama ibunya yang masih mengajar di situ. Kini, Cikgu Marhaini telah pun mempunyai 3 lagi cahaya mata dan tinggal di taman yang sama dengan rumah kediaman kami yang ditinggalkan. Dari rakan sekerja menjadi jiran, beliau seorang yang cukup berjasa dalam hidup saya... 

Thursday 18 July 2013

Rezeki tetap ada

Rezeki juga tidak terhingga. Di saat kami mencari rumah sewa, kami dipertemukan dengan rumah baru siap di taman perumahan berhampiran IPG. Suami nekad mencari rumah sewa bila mendapat khabaran gembira, walau hanya melalui panggilan telefon bahawa permohonan saya berjaya. Surat belum menyusul, saya sudah berani meletakkan jawatan  GSTT di KOSPINT dengan gaji yang sudah lumayan ketika itu. 

Ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Saya meninggalkan rumah sewa kedua di Pekan Bukit Payong merantau jauh sedikit ke Wakaf Tengah, Batu Rakit. Rumah teres 3 bilik di Taman Perumahan Permata menjadi rumah sewa baru kami. Jauh bezanya dengan rumah berkembar 3 bilik yang kami sewa RM 250 sebelum itu. Rumah lama lebih besar dan mewah. Tetapi tiada bezanya besar atau tidak, mewah bukan pilihan utama. 

Setakat kami 4 beranak, mana-mana rumah pun sudah cukup untuk kami diami buat menumpang tidur di malam hari. Siang tiada di rumah. Hari minggu juga tiada di rumah. Walau pun rumah kami sangat baru, tetap kami tinggalkan. Telah tercatat sebagai rezeki kami, Allah sentiasa mempertemukan kami dengan rumah baru siap. Alhamdulillah, kami  sentiasa menjadi penyewa pertama. Rumah sekarang di bumi Besut ini pun juga merupakan rumah baru siap. Kami bukan lagi menyewa tetapi menjadi perintis penghuni di sini...
 

Tuesday 16 July 2013

Cabaran menanti

Menjadi guru kepada anak-anak sendiri pula menjadi cabaran. Walaupun peringkat awal, saya merancang mengajar sendiri anak-anak di rumah, tetapi tidak semua 100% mampu saya lakukan. Lebih-lebih lagi setelah kehadiran anak bongsu yang banyak memerlukan perhatian. Di dalam kesibukan anak sulong yang akan menduduki UPSR, kami sepakat membuat keputusan untuk mendaftarkan 3 beradik sekaligus dengan guru yang lebih berautoriti. Ada pengalaman dan lebih mengetahui selok belok pembelajaran dan peperiksaan sekolah rendah. 

 

Walaupun saya pernah mengajar di sekolah rendah selama 6 bulan, pengalaman itu tidak cukup. Sekadar lapisan luaran, tidak ke akal umbi. Jawatan sebagai Guru Sandaran Tak Terlatih (GSTT) di sekolah rendah, diberikan tugas mengikut kekosongan guru yang ada. Saya bergilir-gilir mengajar subjek berlainan termasuk Pengajian Islam, Matematik, Bahasa Inggeris, Kajian Tempatan dan yang paling lucu, Muzik. Lucu kerana Ustazah mengajar Muzik. Sayalah cikgu, ustazah dan teacher. Seronok bersama anak-anak kecil di SK Maras Kuala Terengganu terasa sehingga ke saat ini. Tidak sedikit pengalaman samada menarik atau menggerunkan saya hadapi. Kenangan indah mengusik jiwa... 

Ketika itu saya sedang mengandungkan anak ke 3. Pelbagai ujian saya hadapi saat itu. Kedatangan saya ke bumi Maras itu bukan dalam perancangan hidup saya. Segala-galanya bermula apabila saya mendapat tawaran untuk melanjutkan KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu. Kini dikenali sebagai IPG Kampus Dato' Razali Ismail. Hanya seminggu saya di situ. Tamat minggu suaikenal/orientasi saya dengan rendah diri mengundur diri dengan paksa rela. 

SK Maras ditawarkan dengan gaji SPM setinggi RM 600 sebulan. Cukup untuk bayaran sewa rumah RM 300 dan kos penjagaan 2 orang anak yang juga RM 300. Saya terus juga bekerja. Bersungguh-sungguh. Membonceng motosikal, membawa anak yang baru sahaja wujud di dalam kandungan. Melepasi pagar dan dataran IPG membuatkan hati saya cukup sayu. Melihat penuntut kampus setiap pagi di waktu perhimpunan, hati saya berbisik, sepatutnya aku di situ. Namun, apakan daya ku... 

Saya tetap terus bersyukur dengan rezeki yang tidak pernah putus. Walaupun pada perkiraan mata kasar nilai gaji saya sangat sedikit, tetapi sudah cukup banyak bagi mereka yang tiada langsung pekerjaan. Lepasan ijazah hanya bergaji SPM. Gaji beribu bertukar ratusan. Cubaan... 

Alhamdulillah, Allah kurniakan suami di sisi membuat saya masih mampu menghulurkan hadiah bulanan kepada kedua ibu bapa tersayang. Terima kasih abang... 



Monday 15 July 2013

Ujian datang dan pergi

Ujian tidak pernah surut. Di mana kita berada, walau gembira melangit sekali pun, masalah tetap ada. Tiada bumi yang tidak disirami masalah kecuali syurga. Setenang-tenang air di tasik, berkocak juga. 

Setelah 3 bulan kami di bumi Besut ini, kegembiraan saya berganda bila dikunjungi sebuah bas dari tempat kerja lama. Rakan sekampus datang bersama penuntutnya (yang juga sebahagiannya merupakan bekas penuntut saya) dalam siri menjalankan kajian kerja lapangan. Mereka sepakat memilih tapak kajian di kawasan sekitar Bukit Keluang termasuk mengkaji mutu air tasik, paya, sungai dan lautan serta kehidupan flora dan fauna yang ada di sini. 


Alhamdulillah, tasik di tepian rumah saya termasuk sama dalam skop kajian mereka. Serampang dua mata, alang-alang sudah ke sini, mereka menjadi tetamu istimewa saya. 1 bas. Rumah yang sempit tidak terasa. Dari ruang tamu, hingga ke dapur, tiada masalah. Terima kasih Puan Adida dan Miss Sarina yang merupakan orang kuat dan pelaksana program kursus wajib silibus Biologi. Saya merasa seolah-olah berada di bumi Chendering kembali, tempat saya menabur budi selama lebih 7 tahun.

Bila dikunjungi 1 bas begitu, teringat saya ketika mengajar subjek fizik pelajar Tingkatan 4 di KOSPINT (Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu) lebih 10 tahun yang lalu. Saya dilantik menjadi guru tingkatan mereka. Anak-anak didik saya yang seramai 1 kelas mengambil inisiatif menempah bas sekolah. Mereka datang menziarah saya yang sedang berpantang anak kedua. Secara mengejut tanpa perkhabaran awal. Pandai sungguh mereka. 

Ummu Mukminah binti Norawi menerima kunjungan kakak-kakaknya yang sangat baik hati. Hati saya cukup gembira dengan kehadiran mereka yang begitu ikhlas. Cerdik akalnya, mulia sungguh peribadi mereka. Nama Mukminah juga saya berikan kerana tertarik dengan nama dan kelembutan pekerti  seorang pelajar tingkatan 1 bagi subjek Sains yang saya ajarkan. Seronoknya menjadi pendidik terbawa-bawa sehingga ke hari ini walaupun telah lama meninggalkan bidang formal tersebut. 3 tahun di situ, hubungan saya dengan anak-anak didik kekal hingga ke hari ini. Pelbagai bidang kerjaya telah mereka ceburi kini.Tahniah dan terima kasih anak-anak didikku yang dikasihi....

Sunday 14 July 2013

Indahnya hidup ini

 

Kehidupan jauh berubah, namun orangnya tetap sama, cuma bertambah usia dan berganda bilangan ahli keluarga. Di bumi Besut ini, kami terus melakar kehidupan. Perjalanan yang panjang, rumah silih berganti, kereta datang dan pergi. Namun kereta tetap menjadi rumah kedua kami, cuma dalam versi yang berbeza,  keindahan lebih terasa. Saat bersama keluarga di dalam dan di luar rumah kami alami bersama. Indahnya hidup ini, Alhamdulillah. Seindah bumi Besut ini, bahkan lebih lagi, seindah alam milik IIlahi...

Saturday 13 July 2013

Rumah pertama, kereta pertama

Rumah pertama saya telah disewa oleh suami sebelum kami melangkah ke alam perkahwinan, sebagai persediaan kehidupan berumahtangga. Setelah dua minggu berkahwin, kehidupan kami bermula di rumah sewa sendiri. Hidup berdikari, keluar dari kepompong rumah keluarga masing-masing. Kelengkapan asas yang minimum telah disediakan. Saya tidaklah hanya masuk cuci kaki sahaja. Pelbagai kelengkapan rumah yang lain kami perlu sediakan bersama. 


Alam pengantin baru kami dipenuhi dengan sama-sama membuat pilihan peralatan rumah yang serba sederhana. Seolah-olah itulah masa bulan madu kami. Sewa rumah ketika itu tersangatlah murah, hanya RM180 sebulan. Cukup selesa untuk kami berdua menghuni rumah teres 2 bilik di sebuah taman perumahan yang kecil. Taman Desa Putera, Kg Banggol Tuan Muda, Manir Kuala Terengganu. Jiran-jiran pun baik dan sangat memahami. 

Rumah kami kosong setiap hari minggu untuk pulang bergilir-gilir ke rumah orang tua kami. Berdua membonceng sahaja hingga ke Dungun. Perjalanan yang hanya 1jam sahaja jika berkereta memakan masa berganda. Yang lucu pun ada, bersusah payah kami cuba memotong lori, ditambah tiupan angin pantai motor kami bergoyang-goyang. Tidak sampai seminit, lori tersebut memotong kami kembali. Pergi lah lori sekuat hati, kami di belakang hanya bermotor kapcai. Akhirnya kini, kami berkereta satu keluarga balik dari Besut ke Dungun setiap minggu. Tiada lagi angin yang menolak-nolak. Seronok pula si anak-anak.Ini semua adalah rezeki. 

3 bulan sebelum perkahwinan dilangsungkan, suami saya yang ketika itu bertugas di JAWI Kuala Lumpur telah mendapat surat pertukaran ke Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di bawah pentabiran JAKIM. Di saat itu, saya sedang menduduki peperiksaan tahun akhir pengajian di Universiti Malaya. Alhamdulillah, setelah tidak sampai sebulan saya bekerja, duit  gaji pertama belum diperolehi, saya telah pun bergelar isteri. Setiap pagi kami masing-masing bermotosikal ke kiri dan ke kanan, melambai di simpang jalan untuk mengikut haluan masing-masing yang bertentangan. Hidup kami tidak kaya. 

Bergaya dengan Honda c70, masing-masing membelah jalan raya mencari sesuap rezeki, seolah-olah kehidupan sebagai penuntut di universiti suatu ketika dahulu. Namun, kami tidak pernah kenal antara satu sama lain walaupun sempat berada 4 tahun di bawah bumbung universiti yang sama. Akhirnya, motosikal zaman belajar dulu juga yang diangkut ke rumah sewa kami. 6 tahun motorsikal tersebut menemani saya di Kuala Lumpur. Kini plat WDC 2345 tersebut berpindah pula ke kereta myvi kami yang berjasa dalam kehidupan kami anak-beranak hingga ke saat ini.


Kuasa Allah mengatasi segala. Segalanya mudah bagi kami walaupun hidup secara asas sahaja ketika itu. Tiada telefon bimbit, komunikasi kami hanyalah ketika di rumah sahaja. Sekiranya ada keperluan, hanya talian pejabat yang boleh dihubungi. Berbeza sungguh dengan kehidupan sekarang ini. Telefon anak-anak lebih mahal daripada telefon ibu bapa sendiri. Saya mempunyai saudara yang ketika itu menolak pinangan hanya kerana si calon lelaki tiada kereta dan telefon bimbit, bimbangkan kehidupan menjadi susah selepas berkahwin. Bagi kami, semua itu kami hanya perolehi setelah bergelar suami isteri. 

Apabila saya mengandung 5 bulan anak yang sulong, kami dikurniakan sebuah kereta Ford Laser TX3 yang bergaya. Buka gaya yang menjadi pilihan, tetapi itulah rezeki yang tidak disangka-sangka datang di  depan mata. Dengan kereta itu juga kami sekeluarga termasuk ibu bapa saya bergerak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Konvokesyen. Muhammad Abdul Salam bin Norawi bersama-sama dengan ibunya naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah. Bezanya, dia masih belum mengenal dunia, di alam kegelapan rahim seusia 5 bulan. Kini segalanya dalam kenangan...

Friday 12 July 2013

Hidup ibarat roda

Hidup ibarat roda. Itu pasti. Suka dan duka silih berganti. Seronoknya hidup ini. Alhamdulillah, setelah segala ujian di tempuhi, hidup yang indah ini perlu dihayati sepenuh hati. Bekalan hidup di sini dan di sana perlu di cari. 

Saya dan keluarga seolah-olah dicampakkan ke bumi Besut ini dengan penuh nikmat. Kawasan yang indah dan damai. Tempatnya cantik dan menarik. Jalanrayanya tidak terlalu sibuk berbanding jalan-jalan yang saya lalui sebelum bertukar ke daerah ini. Sebenarnya, rumah sekarang adalah rumah ke 6 yang kami diami. Kalau ikutkan bilangan sebenar adalah rumah  yang ke 7. Tapi rumah pertama saya di Besut ini hanya sempat disewa sekadar sebulan lebih sahaja sebagai rumah hinggap. 


Apabila keputusan muktamad dilakukan untuk diam di sini, rumah sekarang yang terletak di dalam kawasan pentadbiran kerajaan menjadi pilihan setelah mendapat petunjuk istikharah kami. Kedudukan yang lebih luas dan selamat untuk anak-anak, walaupun hanya kami satu keluarga sahaja di sini. Rakan-rakan anak hanya di sekolah. Di luar waktu sekolah, seluruhan kehidupannya bersama keluarga. Suami pula berpeluang pulang waktu tengahari untuk sama-sama menikmati hidangan air tangan isteri. 

Semoga Allah mengurniakan rumah untuk kita di syurga, InsyaAllah. 1 harapan yang sangat tinggi, perlu ditagih sungguh-sungguh.



Alhamdulillah, rumah yang paling mengembirakan kami adalah di sini. Mengalahkan rumah kami yang telah ditinggalkan di Taman KPAT (Koperasi Pegawai Agama Terengganu), Kg Telaga Mengkudu Bukit Payong untuk disewa.


Kalau dulu kami pernah merasa menyewa di rumah orang, kini kami pula menjadi tuan rumah. Hubungan sesama insan bertambah. Keakraban sebagai sesama Islam bertambah indah...

Thursday 11 July 2013

Ujian luar dan dalam

Kiri kanan, depan dan belakang masih belum cukup bagi saya. Datang pula ujian luar dan dalam. Mungkin juga ujian atas dan bawah. Atau juga ujian dari segenap penjuru. Hanya Allah yang tahu. Yang Mendatangkannya dan Yang Mengambilnya kembali. 

Ujian terhebat di dalam hidup saya bila saya merasakan ajal saya sudah tiba. Jatuh terjelepuk di rumah sepupu ketika bertandang raya, habis segala tenaga. Padahal sebelum itu, saya sibuk melayan adik-beradik yang datang berkunjung ke rumah saya. Kemudian, kami sama-sama pula berkonvoi kereta ke rumah ibu saudara, sebelah rumah sepupu saya itu. Ibu saudara saya yang kebetulan turut berada di situ, mensarankan kepada suami agar segera berubat. Bahangnya terasa pada dirinya juga. Kuat sangat katanya. Apa yang kuat, wallahuallam. Tidak saya tanya sehingga ke hari ini setelah lebih 7 tahun yang lalu.

Dari ruang tamu, saya dipapah ke dalam bilik dan terus terlentang di situ, tidak mampu menarik nafas. Terasa sesak sungguh dada ini. Walaupun saya sedar apa yang berlaku di sekeliling, namun saya tiada kudrat untuk berbuat apa-apa. Saya hanya mampu mengucap dan terus mengucap. Betapa sukarnya melafazkan seolah-olah mahu berpidato di pentas tinggi. 

Di dalam hati berbisik, adakah ajalku di sini, di rumah tinggalan nenek yang telah ditukar milik kepada sepupuku yang baik hati ini. Mungkinkah... Macam mana dengan anak-anak saya nanti. Apakah dosa-dosa saya selama ini terampun. Ya Allah...Tolong... Hati saya semakin lemah, selemah jasad yang terbujur, kaku. Suami di sebelah terus membaca ayat-ayat Al-Quran tanpa henti. 

Tiba-tiba anak kedua saya, Mukminah datang menjenguk. Alangkah peliknya rasa. Satu tenaga datang kembali. Saya seolah-olah keluar dari satu gua yang gelap pekat kepada dunia luas. Hati saya lapang. Seperti tiada apa-apa berlaku. Saya meminta kepada suami agar Mukminah terus berada dekat di sisi saya. Sedikit demi sedikit, saya dapat menghirup air milo panas yang di bawa sepupu ke bilik itu. Kemudian, saya mula beransur-ansur bangkit kembali dan pulang ke rumah menjalankan rutin kehidupan. 

Sebenarnya, penyakit misteri saya bukan bermula dan berakhir di situ. Sejak pertengahan Ramadhan lagi, saya tiba-tiba diserang sakit di dalam bilik kuliah. Memakan masa berbulan-bulan selepas itu, hampir bertahun juga saya bertahan. Alhamdulillah, akhirnya saya dipanjangkan umur lagi sehingga ke hari ini. Sampai bila, hanya Allah yang tahu...

Terasa seperti mati hidup kembali. Sakitnya saya ketika itu, habis beribu. Klinik swasta, unit kecemasan, ujian darah, perubatan moden, perubatan Islam, semuanya saya cuba. Peliknya penyakit saya tidak dapat dikesan oleh beberapa orang doktor yang merawat. Walaupun muka pucat seperti mayat, bibir membiru seperti pesakit jantung, saya disahkan tiada masalah. Segala sistem badan berjalan sempurna. Namun begitu, walau sehingga 8 botol air telah dimasukkan ke dalam badan melalui drip di tangan, tubuh saya tetap lemah. 

Suatu hari, masih lagi di bulan Ramadhan , saya menyerah kalah. Saya katakan kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak sakit, doktor sudah mengesahkannya. Ibu saya membalas tegas, "Tidak sakit apa..," katanya, "Orang tidak sakit tidak begini!". Saya ketika itu ibarat mayat bernyawa. Makan memang tidak lalu. Tidak mampu bersuara. Tidak mampu bernafas. Tidak tahu rasanya mahu diceritakan.  Sijil sakit sudah melebihi had, cuti rehat juga sudah terhad. Saya memaksa suami menghantar saya ke tempat kerja. Alhamdulillah, bermula pada hari kejadian pertama dan hari-hari tertentu yang lain, kebetulan suami saya diminta menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu, makanya dekat untuk dihubungi. 

Seolah-olah cerita di dalam drama hindustan, saya didukung suami dalam dua kejadian berbeza. Dari tempat kerja, saya di bawa ke kereta bagi mendapatkan rawatan. Tiada lagi rasa malu di hati. Para penuntut memandang hairan. Ada juga yang telah mengetahui saya sakit, apabila merekalah yang bersusah payah membantu saya yang terjatuh di dalam bilik kuliah. Tangan saya sejuk membatu. Terima kasih, anak-anak didikku. 

Dalam saya sakit begitu, ramai yang berprasangka saya mengalami tekanan. Aduh, sekiranya saya tertekan, mudahlah bagi saya. Hilangkan tekanan, sihatlah saya. Masalahnya, saya sendiri tidak tahu kenapa. Tiada tekanan, tetapi saya tidak dapat mengelak dari penyakit itu. Jiwa saya stabil, fikiran saya masih waras di bulan puasa begitu. Namun, badan saya tiba-tiba teramat-amat lemah berganda-ganda. 

Walaupun berbuka, tidak puasa berhari-hari, saya tidak mampu memasukkan makanan ke dalam mulut. Kedatangan dua orang rakan ke rumah, Najdah dan Sopiah membantu memasakkan bubur nasi, tidak dapat membantu. Sesuap pun saya tidak lalu. Namun, saya paksakan juga, demi melihat sahabat sejati bersusah payah datang menabur bakti. Saya senyap seorang diri, berjalan mundar mandir di dalam rumah tidak mengapa. Melangkah sahaja keluar pintu, jatuh terjelepuk, belum pun sempat pintu dikunci semula. 

Begitu juga di tempat kerja. Saya diam menumpang di bilik makmal Sains di tingkat bawah, cuba naik ke tingkat atas di bilik Pensyarah, saya tidak mampu. Bila ke tandas saya di papah dengan bantuan kerusi sebagai tongkat oleh Pembantu Makmal, Faizah yang baik hati. Seribu rahmat ketika itu, minggu akhir belajar, kata orang 'study week' sebelum peperiksaan akhir bermula. Tidak perlu lagi menjalankan kuliah dan semua silibus telah ditamatkan.

Oleh kerana kejadian berlaku di bulan Ramadhan, doktor pertama yang merawat hanya meramal saya mengalami gastrik. Disuntiknya saya, diberinya ubat dan menyuruh saya berehat di dalam bilik rawatan beberapa ketika, kemudiannya dibenarkan pulang. Tidak lama selepas pulang, penyakit saya menyerang kembali. Saya rebah semula, tiada tenaga walaupun saya tidak lagi berpuasa. Suami membawa pula saya ke klinik swasta berhampiran rumah. Doktor yang merawat senyum bertanya. Dalam keadaan yang hampir kembali stabil, saya cuba menerangkan situasi yang dihadapi. Sekali lagi, tiba-tiba dada saya berdebar-debar, tangan saya terketar-ketar, rebah kembali. Saya diangkat ke atas katil rawatan. Diperiksa segala, semuanya normal. 

Saya kecewa bercampur syukur. Kecewa kerana tiada penyakit dikesan, syukur kerana saya tiada penyakit. Bukankah pelik begitu. Saya di beri pil tidur dan segala vitamin sebesar jari kelingking. Bertimbun-timbun. Semuanya saya telan, mengenangkan ketakutan andainya sakit datang berulang. Selang beberapa hari penyakit saya berulang, saya dirujuk ke klinik swasta lebih canggih, menyediakan wad untuk pesakit. Doktor menyarankan agar saya menghentikan pengambilan semua ubat-ubatan. "Tidak perlu!", katanya. Bimbang berlaku lebihan dos pada badan terutama pil tidur. Semua itu bahaya untuk kesihatan dalam keadaan saya yang lemah pada masa itu. 

Saya hanya perlu direhatkan. Ujian darah secara komprehensif dijalankan. Drip dijalankan, serta disajikan dengan makanan berzat. Walau pun tekak dan lidah tidak mampu menerima, saya paksakan diri menelan semua itu. Berbayar dan berzat. Sayang jika dibazirkan.  Saya makan paksa di bulan puasa.

Begitulah pelbagai episod dalam hidup saya. Untuk saya sembuh hingga ke saat ini, banyak kisahnya. Tidak mampu diceritakan segala. Ada yang pelik dan tidak tercapai oleh akal manusia normal. Namun, bila saya sendiri yang menghadapinya, saya terpaksa percaya apa yang telah Allah takdirkan untuk saya. Segalanya dalam PerancanganNya dengan PengetahuanNya yang sangat luas. Alhamdulillah, Allah telah memberi kekuatan untuk saya hadapi semua itu. Saat-saat getir dalam hidup saya yang dikurniakan status sebagai ibu, isteri, anak, penjawat awam dan segala. Yang pasti saya hanyalah hamba Allah yang sangat lemah. 

Sukar untuk saya percaya sekiranya berlaku kepada orang lain. Yang penting, saya tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain. Terseksa dalam derita. Hingga hari ini, saya sangat fobia dengan apa yang telah berlaku. Di tambah lagi banyak kejadian pelik yang saya alami, sukar untuk saya ceritakan kepada semua orang. Hanya insan mulia yang terhampir, yang melihat dengan mata kepala sendiri, yang mampu percaya. Pun begitu, saya masih tetap hairan dengan apa yang berlaku. Segalanya Allah yang Berkuasa. Alhamdulillah, apa-apa pun yang terjadi, syukur pada yang Esa. Banyak ilmu yang dapat saya kutip sebagai pengajaran buat diri saya yang lemah sebagai hamba yang tidak berdaya. Dunia ini milikNya.  Kita hanya ditumpangkan buat sementara untuk mencari bekal di hari muka. Semoga Allah Rahmati.

Di saat kita diuji, ada yang membantu secara peribadi, memberi nasihat, semangat dan azam. Tidak kurang yang bersangka macam-macam, apatah lagi saya sendiri tidak dapat menjelaskan kepada mereka apakah penyakit saya sebenarnya. Saya sendiri keliru. Hanya Allah yang Tahu. Segalanya tidak sia-sia. Hikmah tersirat berterusan sehingga ke hari ini, Alhamdulillah...     

Wednesday 10 July 2013

Ujian depan dan belakang

Ujian datang dari pelbagai sudut. Bukan sahaja dari kiri dan kanan, tapi juga depan dan belakang. Ujian meninggalkan anak untuk tinggal di taska adalah perkara biasa sebenarnya. Bukan alasan semata-mata untuk meninggalkan alam kerjaya.


Anak saya yang ketiga sebelum Auliya pun susah untuk ditinggalkan di taska. Selesa di rumah, juga bersama si bibik, tiba-tiba tanpa hujan dan ribut, beralih arah ke taska pula. Setelah diberi tempoh percubaan 2 minggu pertama untuk proses adaptasi oleh pengetua taska, saya bersetuju mencuba bergelut dengan si Al-Amin setiap pagi untuk meninggalkannya. Sebuah taska berprestij di pinggir pusat bandar Kuala Terengganu tidak menjadi hebat baginya yang ketika itu berusia 3 tahun. 


Ketiga-tiga beradik ditinggalkan di situ sekali gus. Dengan pendaftaran mereka mencecah hampir 1k dan bayaran yuran melebihi 1/2k setiap bulan, saya redha, untuk kebaikan mereka. Si sulong belajar solat yang lengkap seperti dewasa di sana. Bukan sahaja solat fardu, solat sunat dhuha menjadi amalan tetap. Skil imam, azan dan iqamah turut diasah. Surah yasin meniti di bibir, apatah lagi surah-surah dan ayat-ayat pendek yang lain, hafal... Bahasa inggerisnya bukan calang-calang. Bahasa Arab tidak ketinggalan. Sungguh hebat...usia semuda 2 tahun telah diajar a ba ta.

Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Terima kasih Ummina, pengetua yang bukan sahaja mendidik anak-anak asuhan, tapi guru-gurunya dididik terlebih dahulu. Sejuk hati melihat seisi taska miliknya dan keluarga. Sehinggakan para ibu bapa pun turut terdidik sama dengan persekitaran yang diwujudkan dan cerminan watak mulia hasil didikan anak-anak asuhannya.

Dalam kegembiraan dengan tempat yang selesa dan terjamin buat anak saya, hati saya masih sedikit berkocak. Ketenangan saya terusik. Suami yang bertugas di luar daerah lebih setahun yang lalu menyebabkan hati saya sentiasa risau. Risau bukan kerana cemburu, jauh sekali cemburu buta, nauzubillah. Sebenarnya, saya tidak sampai hati melihat suami yang keletihan berulang alik 2-3 kali seminggu kerana menjalankan tugas. 

Bertolak dari Kemaman sehabis waktu kerja, berhenti makan dan solat, jam 10 malam baru sampai ke rumah menjadi rutin suami. Besoknya sebelum subuh, bergegas semula ke pejabat. Perjalananan 2 jam pergi dan balik selang 2 hari, pastinya memakan tenaga. Hati mana yang tidak runsing membiarkan suami yang entahkan cukup tidurnya, ditambah keletihan badan memandu seorang diri di pagi yang masih gelap gelita. Saya tidak sanggup. Kasih dan kasihan sama-sama bertaup...

Pada saat ini, saya masih sayang dan mempertahankan jawatan saya. Walaupun ketika itu, tugas saya hanyalah sebagai pensyarah berstatus kontrak di sebuah Kolej Swasta. Sesekali, saya mengusik suami untuk berhenti sahaja dan mengikutnya berpindah ke Kemaman, mencuba apa sahaja kerja di sana. Langsung tidak diendahnya. Katanya, ramai lagi orang lain yang jauh lebih susah dari kami. Setakat berulang 2-3 hari sekali tidak menjadi masalah baginya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya tahu, suami sengaja menyembunyikan segala keletihan dan kesusahan menjadi orang bujang di sana. 

Bagi saya pula, cubaan-cubaan kecil tetap ada. Hidup seorang diri dengan anak 3 ketika itu, tidak sedikit juga masalahnya. Segala perkara perlu di buat sendiri. Ke pasar, memasak, buang sampah, itu hanyalah perkara biasa sahaja. Lebih dari itu, segala berkaitan anak, saya perlu uruskan. Urusan rumah tangga, apa yang rosak, apa yang tiada, sebarang masalah yang melanda saya yang perlu selesaikan. Paip bocor, sarang lebah, mentol terbakar, apa sahaja perlu saya ambil tindakan. Waktu hujung minggu bersama suami, bukan di rumah sendiri.



Setiap hujung minggu, kami sekeluarga bergegas balik ke kampung menjenguk ibu dan ayah mertua saya yang sudah uzur. Perjalanan 1 jam dari Kuala Terengganu ke Dungun menjadi rutin. Saya jarang ada hari minggu di rumah sendiri. Boleh di hitung jari. Anak-anak kami membesar di dalam kereta. Setiap hari berkereta pagi dan petang ke taska, hari minggu ke kampung halaman tok dan tokki yang merindukannya. Saya dan suami sama-sama menua di dalam kereta. Itulah saatnya kami bersama keluarga. Kereta menjadi rumah kedua buat kami semua...Sampai bila...

Tuesday 9 July 2013

Ujian kiri dan kanan

Ujian itu nikmat. Pepatah ini hanya benar setelah kita melangkau tempoh itu. Di saat kita diuji, pastinya berbagai rasa berkampung, berpesta di dalam dada. Sehinggakan satu tahap yang bahaya, boleh mencabar iman dan kewarasan berfikir. 

Bagi saya, seberat mana saya diuji, tidaklah berat berbanding banyaknya masalah di dalam dunia ini. Namun, masing-masing punya rasa, punya hati, punya perasaan. Sakitnya berbeza-beza. Gigitan nyamuk bagi seorang yang pernah digigit buaya tiada nilainya langsung berbanding seorang lain yang marahnya mengatasi sakit sehingga membakar kelambu tempat beradu. Begitu juga sakitnya seorang ibu ketika melahirkan, ada yang masih tersenyum di dalam bilik bersalin, ada pula yang sakitnya sehingga meninggalkan jasad terbujur kaku.

Alasan letih untuk saya berhenti kerja adalah fizikal semata-mata. Jauh dari itu, banyak perkara lain yang perlu diambil kira. Kenapa kita bekerja sebenarnya. Kenapa kita susah-susah bermati-matian mempertahankan jawatan kita yang satu itu. Sekiranya kita seronok hanya dengan gaji yang kita dapat di akhir bulan, adakah berbaloi dengan usaha dan keringat yang telah kita curahkan. Jangan sampai kita bekerja kerana terpaksa. Biarlah khidmat kita beroleh pahala, habuan dunia hanyalah alat untuk meneruskan kehidupan. 

Kita perlu hidup. Saya perlu hidup bersama keluarga. Selama ini, saya tiada kehidupan yang sebenarnya. Rumah hanya menjadi sarang untuk saya balik melelapkan mata. Pagi-pagi sebelum ke tempat kerja, saya perlu berkejar-kejar menghantar anak-anak ke sekolah. Kemudian saya perlu berpusing semula ke arah jalan pulang untuk menghantar si bongsu ketika itu, seorang puteri untuk ke pusat jagaan. 


Di sini, hati saya diuji; sayu pilu apabila bersusah-susah untuk cuba meningalkan si anak yang bermatian-matian menolak untuk tinggal di situ. Tempatnya bagus. Tapi apakan daya, hasrat anak kecil untuk terus berada selesa di rumah bersama bibik, kini tidak lagi dapat dipenuhi. 


Akhirnya, saya terpaksa menemankan si kecil Auliya sehingga dia tertidur kembali.Mungkin itu rutin biasa bagi ibu lain yang bekerja, malah ada juga yang tugas ini diambil alih sepenuhnya oleh seorang ayah. Itu hak mereka. Hati saya tidak rela meninggalkan anak dalam keadaan menangis seperti kesawanan, berkejar ke tempat kerja untuk mengejar ringgit buat belanja. Biarlah bekerja dalam keadaan hati senang, anak bahagia walau di mana ditinggalkan.  

 


Tambahan pula anak saya yang satu ini, semenjak dari kecil diuji dengan penyakit lelah. Umur tiga bulan, baru mengenal dunia, sudah mengenal katil hospital untuk menumpang tidur. Walaupun 3 malam sahaja, tetapi lelahnya sampai ke umur hari ini, sudah pun 6 tahun. Lahirnya melalui operasi, satu perkara biasa bagi ramai orang, satu nikmat dan rahmat bagi saya. 

Rahmat kerana di saat-saat akhir sebelum kelahirannya, suami saya mendapat pertukaran kerja dari daerah Kemaman, balik ke Kuala Terengganu. Setiap kelahiran anak saya, bermula dari sulong sehingga yang ke-3 sebelum itu, ditemani oleh si suami yang setia menanti tidak jemu di sisi. 

Sempitnya bilik bersalin tidak menjadi halangan untuk sama-sama menyaksikan saat-saat indah dan mencabar ketika anak-anak kami bergelut dengan nyawa untuk cuba menerobos ke alam luar, alam dunia yang menanti. Walaupun anak yang satu ini hanyalah diberi lambaian di pintu dewan bedah sahaja, itu sudah cukup memadai...Terima kasih suami yang memahami...



Monday 8 July 2013

Cabaran adalah peluang

Benar sekali setiap ujian dan cabaran yang berlaku, adalah tidak sia-sia. Masalahnya hanyalah 1, hikmahnya beribu. Sekiranya saya tidak berdepan dengan banyak masalah, pastinya saya cukup sayang untuk meninggalkan alam kerjaya. Namun takdir Allah mengatasi segala. 

Siri ujian yang tidak pernah henti menjadi tunggak kekuatan untuk saya membuat keputusan untuk diri sendiri. Suatu hari, saya seolah-olah mendapat lampu hijau daripada bonda tercinta apabila jelas kedengaran di cuping telinga saya, "Dah kalau tidak larat sangat, berhenti-berhentilah...". Apa lagi, seperti orang mengantuk disorongkan bantal, hati saya tersenyum sendiri, Alhamdulillah. Semoga redha ibu dan ayah mengiringi saya. 

Itulah kisah beberapa bulan sebelum saya berhenti kerja. Padahal sebelum itu, ibu saya selalu merungut bila saya cuba-cuba berbisik menyuarakan hasrat hati. Sehinggakan pernah terdengar nada bosan diluahkannya secara spontan, "Dah berapa lama la, duk asyik bersungut nak berhenti, tak berhenti-henti pun...". 

Sebenarnya, memang sudah lama juga saya mewar-warkan khabaran untuk berhenti, tapi tiada tindakan yang diambil. Tempoh menanti saya agak cukup lama, hampir bertahun. Pelbagai alasan yang tidak kukuh untuk dijadikan titik tindakan. Akhirnya, Allah permudahkan jalan. Siri ujian didatangkan, Alhamdulillah...

Sunday 7 July 2013

Kerja oh kerja

Di saat ramai orang yang memerlukan kerja dan jawatan, sekurang-kurangnya dengan perletakan jawatan saya telah menyumbang kepada ekonomi orang lain. Tempat yang kosong perlu diganti. Setidaknya-tidaknya, kalau kena dengan niatnya, tidak mustahil saya mendapat pahala bagi jawatan yang saya tinggalkan untuk diisi oleh insan yang lebih layak dan memerlukannya. Masing-masing punya pendapat, saya hormati. 

Bagi saya sendiri, saya sudah letih, lesu dan tidak lagi bertenaga untuk menjalankan segala urusan seorang diri. Saya yakin masih ada lagi insan lain yang lebih diduga daripada saya, bukan sahaja tinggal seorang diri malah berpisah terus samada berpisah nyawa atau ditinggalkan suami. Namun pilihan di tangan masing-masing, yang penting bahagia. 

Di saat akhir perletakan jawatan, saya diusik oleh salah seorang Penolong Pendaftar, En.Mizi kononnya saya kelihatan gembira mahu meninggalkan kampus. Respon saya spontan, "Tinggalkan kampus kira okey lagi, jangan tinggalkan dunia ini terus." Ya, ajal maut di tangan Tuhan. Perancangan Allah di luar kemampuan akal waras kitas sebagai hambaNya yang sangat-sangat lemah. Namun, hidup perlu diteruskan. 

Dunia ini hanya sementara dan sangat singkat. Ibu saudara suami, Pn. Halimahton dan anak saudara suami, Pn. Zawati meninggal dunia ketika masih bergelar Pensyarah di universiti yang sama, namun dalam daerah yang berbeza. Masing-masing telah berada di puncak kerjaya masing-masing. Meninggalkan nama dan jasa yang dikenang di bumi Dungun dan Shah Alam. Semoga Allah merahmati roh mereka dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Perkara utama bagi saya, saya mahu hidup dekat di mata, dekat di hati bersama suami selagi hayat dikandung badan. Begitu juga anak-anak yang perlukan perhatian sepenuhnya oleh ayahnya. Bukan hanya ayah hujung minggu. Bukan hanya ditinggalkan kepada seorang ibu kerjaya yang berstatus isteri hujung minggu. Ibu yang bertukar menjadi garang hanya kesalahan kecil yang dilakukan. Sifat sabar hilang dek letih akal dan minda. Kesian anak-anak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...